Tajuk: Zikir:Fadhilat Dan Kaifiyyat

PENDAHULUAN

Zikir adalah merupakan amalan yang dapat dilakukan tanpa mengira masa, suasana, dan ketika tertentu kerana di dalam pengertian yang seluas-luasnya, zikir adalah merangkumi segala perbuatan yang menggambarkan ketaatan kepada Allah S.W.T dan dilakukan semata-mata untuk mencari keredhaanNya. Mengikut Imam An-Nawawi, zikir merangkumi segala aspek gerak hati, sebutan dan amalan dan beliau menganggap semua majlis yang dianjurkan di atas dasar ketaatan kepada Allah adalah termasuk di dalam majlis zikir. Contohnya, majlis ilmu, majlis mengingati Allah dan Rasul-Nya dan majlis mengingati kisah perjuangan para salaf as-soleh. Said bin Jabir berkata, zikir itu ibadat yang menghampirkan seseorang itu kepada Allah S.W.T. Imam Hassan Al-Banna pula menyebut bahawa setiap urusan yang dilakukan di dalam rangka menghampirkan diri kepada Allah adalah zikir.

ZIKIR MELALUI TILAWATUL-QURAN

Membaca Al-Quran adalah merupakan salah satu ibadat zikir yang utama. Setiap perkataan dan huruf yang disebut akan diberikan pahala. Rasulullah s.a.w telah menyarankan agar masa perlu digunakan sebaik mungkin untuk membaca dan memahami Al-Quran. Masa yang diperlukan untuk khatamkan Al-Quran adalah sebaik-baiknya dalam tempoh seminggu. Tetapi, Al-Quran boleh juga dikhatamkan dalam masa sebulan jika tidak mempunyai masa yang mencukupi. Contoh para sahabat Rasulullah s.a.w seperti Othman, Zaid Ibn Thabit, Ibn Mas’ud, mereka telah mengkhatamkan Al-Quran dalam masa seminggu dengan bacaan tartil. Membaca dengan tartil ialah membaca dengan lambat, teratur dan memerhatikan maksud kandungannya dengan baik.

FADHILAT ZIKIR

Ibadat zikir mempunyai pelbagai fadhilat. Ia dapat dirasakan secara rasa dan perasaan lahiriah dan sebahagiannya pula hanya dapat dirasakan oleh perasaaan bathiniah. Setiap orang dikurniakan fadhilat yang berbeza-beza. Ia bergantung kepada tingkat keimanan dan ketaqwaan mereka kepada Allah S.W.T. Di antara beberapa fadhilat yang sering disebut oleh para ulana termasuklah seperti yang dinyatakan di bawah:

• Peningkatan Sifat-Sifat Mahmudah dan Penghapusan Sifat-Sifat Mazmumah.

Mengingati Allah atau berzikir merupakan cara terbaik bagi manusia mengasah dan membina sifat-sifat terpuji (mahmudah) dan mengikis sifat-sifat keji (mazmumah). Sifat-sifat mahmudah seperti sabar, syukur, ikhlas dapat diterapkan di dalam diri secara perlahan-lahan dan seterusnya dapat melenyapkan sifat-sifat mazmumah seperti nifaq, hasad, dan malas. Proses pembersihan jiwa merupakan gerak-kerja spiritual yang dapat melahirkan insan yang sentiasa memperolehi taufiq, hidayah dan keberkatan daripada Allah S.W.T.

• Meningkatkan Keimanan Dan Ketaqwaan.

Berzikir dapat meningkatkan keimanan dan ketaqwaan seseorang kepada Allah S.W.T. Perasaan takut dan harap di dalam diri seseorang akan terbit apabila meningkatnya keimanan dan ketaqwaan seseorang itu. Semakin beriman dan bertaqwa seseorang itu, semakin takut dan haraplah dia kepada Allah S.W.T. Dengan ini, seseorang itu akan sentiasa melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan laranganNya. Amalan zikir juga dapat mencegah kelalaian (ghaflah) daripada mengingati Allah. Fiman Allah S.W.T di dalam surah Al-Kahf ayat 28 yang bermaksud “Dan janganlah engkau turut orang yang Kami lalaikan hatinya daripada mengingati Kami dan ia memperturutkan hawa nafsunya, kerana itu adalah pekerjaan melewati batas”. Zikir bukan sahaja dilakukan melalui hati dan mulut tetapi ia merangkumi tindakan dan tingkah laku perbuatan yang dilakukan mengikut garis-garis yang telah ditetapkan oleh Allah. Zikir juga dapat mengelakkan diri kita daripada mudah terpengaruh dengan godaan syaitan.

• Menimbulkan Ketenteraman Jiwa

Bagi orang Islam, ubat yang paling mujarab mengubati penyakit jiwa adalah amalan zikir. Amalan zikir akan melahirkan kenikmatan yang boleh dirasai langsung oleh mereka yang tenggelam di dalamnya, apa lagi jika dilakukan dengan rasa takut dan tadharru’. Allah telah berfirman di dalam surah Ar-Ra’ad ayat 28 yang bermaksud “Yang beriman dan tenteram hati-hati mereka kerana ingat kepada Allah. Ketahuilah dengan ingat kepada Allah itu menenteramkan hati”.

• Memperolehi Ganjaran Yang Besar dan Keampunan daripada Allah. Dengan berzikir, seseorang itu memperolehi keampunan Ilahi dan juga dijanjikan ganjaran yang amat besar. Setiap kalimah zikir yang dituturkan membawa mereka selangkah lagi maju menghampiri Allah dan memperolehi darjat yang mulia di sisi Allah. Dalam Al-Quran juga ada disebutkan tentang hal ini di dalam surah Al-Azhab ayat 35 yang bermaksud “Lelaki dan perempuan yang banyak berzikir kepada Allah, Allah sediakan kepada mereka keampunan dan ganjaran yang besar.

• Pendorong Kepada Lain-Lain AmalanIbadat zikir dapat membina cirri-ciri istiqamah dalam mana seseorang itu mampu menjalankan amal ibadah secara berterusan. Amalan zikir dapat medorong kepada amalan-amalan yang lain. Hadith Riwayat Termizi yang bermaksud “Wahai Rasulullah!Sesungguhnya syariat Islam itu terlalu banyak bagiku, khabarkan kepadaku satu amalan yang dapat aku berpegang dengannya (yang dapat meringankan aku dalam mengerjakan kesemuanya)” Nabi bersabda: “Janganlah engkau kelukan lidah engkau daripada menyebut zikrullah”.

• Menambah Tenaga Dan Kekuatan Tubuh Badan. Zikir juga menambah kekuatan fizikal manusia yang berjaya di dalam penghayatan zikir mereka. Hal ini dapat dibuktikan dengan begitu jelas di dalam sebuah hadith panjang yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Hadith ini membabitkan puteri Rasulullah S.A.W. , Saiyyidatina Fatimah r. a. Hadith tersebut menjelaskan bahawa Rasullulah S.A.W. telah mengajarkan puterinya Saiyyidatina Fatimah r. a supaya setiap kali sebelum tidur beliau bertasbih sebanyak 33 kali, bertahmid 33 kali dan bertakbir 34 kali. Sebutan-sebutan zikir ini akan melahirkan kekuatan dua kali ganda sesiapa yang mengamalkannya. Hadith ini diriwayatkan kerana Saiyyidatina Fatimah r. a.sentiasa menjalankan kerja berat di dalam menguruskan rumahtangga.

• Menambahkan Rezeki. Zikir yang berterusan telah dijanjikan dengan rezeki yang semakin bertambah. Dalam Al-Quran surah Nuh ayat 10-12 yang bermaksud “Maka aku (Nuh) katakana kepada mereka: “Beristighfarlah kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun, nescaya Dia akan menurunkan hujan kepada kamu dengan lebat, dan menambahkan harta dan anak-anak kamu dan akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) sungai-sungai”. Bersyukur, bertasbih, bertasmid juga dapat menambahkan rezeki seseorang.

• Menjauhkan Azab Dan Bala. Ketika Nabi Yunus a.s. ditelan ikan, baginda telah berdoa dan berzikir kepada yang bermaksud “Tiada Tuhan kecuali Engkau, Maha Suci engkau, sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang zalim. Allah telah memperkenankan doa dan zikir Nabi Allah Yunus itu dan terselamatlah baginda daripada malapetaka tersebut. Hal ini dijelaskan di dalam Al-Quran surah As-Shaffat ayat 142-144 yang bermaksud “Lalu ditelanlah dia (Yunus) oleh ikan, sedang dia telah berbuat kesalahan. Maka sekiranya dia tidak termasuk orang-orang yang banyak menyebut Allah, nescaya tinggal di dalam petur ikan itu hingga hari dibangkitkan”. Ini telah membuktikan bahawa dengan berzikir, seseorang itu dapat terselamat daripada malapetaka.

• Mendatangkan Kejayaan Di Dalam Perjuangan. Dengan berzikir, seseorang itu dapat memperolehi kejayaan. Kekuatan dan peralatan sahaja sebenarnya tidak menjamin kejayaan. Sentiasa mengingati Allah adalah merukan senjata utama dan dengan senjata inilah, di samping senjata lahiriah, Allah akan mengurniakan kejayaan. Allah telah berfirman di dalam surah Al-Anfaal ayat 45 yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka berteguh hatilah kamu dan berzikirlah kepada Allah sebanyak-banyaknya agar kamu berjaya. ”Zikir juga dapat membawa kepada kejayaan di dunia dan akhirat.

• Menjalin Hubungan Baik Sangka (Dzan) Dengan Allah. Imam an-Nawawi telah menurunkan sepotong hadith yang diriwayatkan oelh Bukhari dan Muslim di dalam kitabnya ‘Hadith Qudsi 40’ yang menyentuh mengenai jalinan hubungan baik sangka di antara makhluk dengan Khaliknya melalui amalan zikir. Allah S.W.T. juga telah menurunkan sepotong ayat di dalam surah Al-Baqarah ayat 152 yang bermaksud “Kerana itu berzikirlah kamu kepada-Ku, nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku”.

ADAB-ADAB BERZIKIR

Seperti amalan-amalan ibadat yang lain, amalan zikir juga mempunyai adab, tertib dan tatacara tertentu yang perlu dilakukan untuk mendapatkan keredhaan daripada Allah S.W.T. Di antaranya ialah:

• Mengikhlaskan niat. Zikir yang disertakan niat yang ikhlas dan suci murni akan medapat keredhaan daripada Allah S.W.T.

• Kesucian Lahir dan Batin. Amalan zikir hendaklah dilakukan di dalam keadaan suci lahir dan batin. Tubuh badan, pakaian, tempat dan persekitaran hendaklah bersih daripada sebarang najis sama ada zahir atau yang tersembunyi. Seseorang itu juga haruslah memakai wangi-wangian dan membersihkan mulut dengan bersugi supaya ibadat zikir yang dilakukan dalam keadaan selesa dan dalam suasana yang diraikan oleh para malaikat. Orang-orang yang berhadas, berjunub, dan perempuan yang kedatangan haid atau nifas, diharuskan berzikir dengan hati atau lidah dengan menyebut tasbih, tahmid, takbir, berselawat ke atas Rasulullah S.A.W. , berdoa dan lain-lainnya. Tetapi, mereka-mereka ini adalah haram sama sekali membaca Al-Quran.

• Khusyuk dan Khuduk

Seseorang itu hendaklah sentiasa berada di dalam keadaan khusyuk kepada Allah S.W.T. ketika berzikir. Kita haruslah sentiasa mengingati kebesaranNya dan cuba sedaya upaya memahami makna dan isi kandungan zikir. Janganlah sekali-kali tersenyum-senyum dan bergelak ketawa semasa berzikir atau menganggapnya sebagai pengisi waktu sahaja.

• Menghadap Qiblat.

Cara terbaik ketika berzikir adalah menghadap Qiblat di samping menundukkan kepala bagi menggambarkan rasa kerdilnya diri di hadapan Allah Maha Pencipta. Jika berada di dalam majlis yang ramai seelok-eloknya duduk di dalam linkungan atau halaqah.

• Lafaz dan Sebutan Yang Betul.
Seseorang itu hendaklah berzikir dengan menyebut setiap perkataan dengan kalimah zikir yang tepat dan betul mengikut kehendak tajwid. Jika berzikir di dalam majlis, hendaklah dia bermuafakat di dalam sebutan dan sebaik-baiknya sentiasa menjaga kelantangan suara supaya tidak menganggu ahli-ahli majlis zikir lain.

KEISTIMEWAAN MAJLIS ZIKIR

Zikir boleh dilakukan dengan secara bersendirian dan boleh juga dilakukan dalam keadaan berjemaah. Imam As-Sayuti di dalam kitab beliau yang masyhur iaitu ‘Al-Haawi lil Fataawi’ mendatangkan 25 hadith mengenai kelebihan berzikir di dalam majlis dan juga menyebut kalimat-kalimat zikir secara ‘jahr’. Imam Habib Abdullah Haddad di dalam bukunya ‘An-Nasaaih ad-Diniyah wal-Wasaaya al-Imaaniyah’memberi keutamaan dan keistimewaan kepada majlis atau perkumpulan zikir. Beliau telah menegaskan bahawa majlis zikir yang ramai memang dituntut dan sangat dianjurkan. Majlis zikir mestilah diadakan dengan bertujuan mengharapkan keredhaan Allah. Imam As-Syahid Hassan al-Banna di dalam muqaddimah kitab ‘Al-Ma’thurat’nya menyatakan bahawa majlis berkumpul dalam jemaah yang dilakukan atas dasar ketaatan kepada Allah mempunyai keutamaan tersendiri. Majlis sedemikian mendatangkan banyak kelebihan. Contohnya, menyatukan hati-hati, merapatkan hubungan silaturrahim, mendidik yang kurang tahu, menzahirkan syiar daripada syiar-syiar Allah dan sebagainya. Zikir juga mestilah mengambil kira adab dan akhlak serta tertib berzikir. Said Hawa di dalam salah satu risalahnya yang bertajuk ‘Ihya ar-Rabbaniyyah wal-Ijaabat’ telah begitu lantang mempertahankan keutamaan berzikir secara berjemaah dan beliau menerangkan kedudukan perkara ini bagi menyingkirkan sebarang kekeliruan.

ZIKIR / DOA HARIAN

Zikir terbahagi kepada 2 kategori:

• Zikir yang dilakukan pada masa dan tempat tertentu.
• Zikir yang dilakukan tanpa mengira masa, keadaan dan tempat.

CONTOH-CONTOH ZIKIR / DOA HARIAN

KETIKA BANGUN TIDUR

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami sesudah kami mati, dan kepada-Nyalah kami kembali”.

KETIKA HENDAK MASUK TANDAS

Hendaklah memasuki tandas dengan langkah kaki kiri seraya membaca:Maksudnya: “Ya Tuhanku, aku berlindung dengan-Mu daripada syaitan jantan dan betina.

KETIKA MENGAMBIL WUDUK

a)Permulaan wuduk
Maksudnya: “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

b)Selesai wuduk.

Maksudnya: “Aku mengakui bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah Yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya dan aku mengakui bahawa sesungguhnya Muhammad adalah Hamba-Nya dan Pesuruh-Nya. Ya Tuhanku, jadikanlah aku daripada golongan yang bertaubat dan jadikanlah aku daripada golongan yang bersihkan diri. Maha Suci Engkau wahat Tuhan, dan segala pujian bagi Engkau. Aku mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan Engkau. Aku memohon ampun kepada Engkau dan aku kembalu (taubat) kepada Engkau,

KETIKA MENUJU MASJID

Maksudnya: “Wahai Allah, jadikanlah pada hatiku cahaya, pada penglihatanku cahaya, pada pendengaranku cahaya, dan dari kananku cahaya, dan dari kiriku cahaya, dan dari atasku cahaya, dan dari bawahku cahaya, dan dari depanku cahaya, dan dari belakangku cahaya dan diriku cahaya.

KETIKA MASUK MASJID

Hendaklah memasuki masjid dengan langkah kaki kanan dan membaca:Maksudnya: “Dengan nama Allah. Wahai Allah, Selawatkanlah atas Nabi Muhammad, Ya Allah, bukakanlah bagiku pintu-pintu rahmat-Mu.

KETIKA KELUAR MASJID

Hendaklah keluar dari masjid dengan langkah kaki kiri dan membaca:Maksudnya: “Ya Allah, Selawatkanlah atas Nabi Muhammad. Ya Allah, aku memohon kepada Engkau daripada anugerah-Mu.

SELEPAS MENYEMPURNAKAN SEMBAHYANG SUNAT DHUHA.

Maksudnya: “Ya Allah, bahawasanya dhuna ini adalah dhuha Engkau, keagungan ini adalah keagungan Engkau, keindahan ini adalah keindahan Engkau, kekuatan ini adalah kekuatan Engkau, kekuasaan ini adalah kekuasaan Engkau, dan kesejahteraan ini adalah kesejahteraan Engkau. Ya Allah, jika rezkiku di langit, turunkanlah;dan jika ianya di bumi, keluarkanlah;jika ianya sukar;mudahkanlah;jika ianya haram;sucikanlah;jika ianya masih jauh;dekatkanlah;demi keberkatan waktu dhuha-Mu, keagungan-Mu, keindahan-Mu dan kekuatan serta kekuasaan-Mu, Ya Allah, limpahkanlah kami dengan segala yang telah Engkau limpahkan kepada hamba-hamba-Mu yang sahih. ”

PELBAGAI ZIKIR

KETIKA MENZIARAHI ORANG SAKIT

Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kesusahan, Tuhan manusia, sembuhkanlah. Engkaulah Penyembuh, tidak akan sembuh kecuali dengan izin Engkau, itulah penyembuhan yang sebenarnya.

KETIKA MEMOHON KEAMPUNAN UNTUK KEDUA IBU BAPA

Makdusnya: “Ya Allah, Ampunilah aku dan kedua ibu bapaku, dan kasihanilah kedua- duanya sebagaimana mereka mengasihani aku ketika kecil.

KETIKA MEMOHON DIPERMUDAHKAN URUSAN

Maksudnya: “Ya Allah, permudahkanlah bagi kami segala urursan kemi beserta kerehatan bagi hati dan badan kami, dan sejahtera dan aflat pada agama, dunia dan akhirat kami. ”

KETIKA MEMOHON DIMANTAPKAN HIDAYAH ALLAH.

Maksudnya:”Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau sesatkan kami sesudah Engkau memberi petinjuk, berikanlah kami rahmat daripada sisi Engkau. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pemurah. ”

KETIKA BERBUKA PUASA

Maksudnya: “Ya Allah, kerana Engkaulah aku berpuasa, dengan rezeki Engkaulah aku berbuka, dan kepada-Mu aku beriman. ”

ZIKIR MUNAJAT

Salah satu daripada bentuk zikir adalah zikir munajat. Zikir ini dapat mendatangkan banyak manfaat bagi orang yang mengamalkannya. Ia dapat memanfaatkan masa seseorang supaya tidak tejebak di dalam aktiviti yang tidak berfaedah dan melalaikan. Zikir munajat juga dapat menjadi sumber keberkatan di dalam usaha membina generasi ummah yang selalu menginati kabesaran Allah S.W.T.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, zikir mempuyai banyak fadhilat dan kaifiyyatnya. Dengan membaca zikir, ia dapat menambahkan lagi pahala seseorang itu dan mendekatkan diri seseorang itu kepada Allah S.W.T. Selain itu, ia juga dapat meningkatkan sifat-sifat mahmudah dan menghapuskan sifat-sifat mazmumah dalam diri seseorang. Seterusnya ia dapat meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kitaJiwa kita juga akan menjadi lebih tenang apabila membaca zikir. Dengan ini, kehidupan kita menjadi lebih tenang. Kita juga akan sentiasa melakukan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Berzikir juga dapat merapatkan lagi hubungan kita dengan Allah S.W.T. Berzikir juga mempunyai adab-adab tersendiri seperti mengikhlaskan niat, kesucian lahir dan batin, khusyuk dan khuduk, dan sebagainya. Majlis zikir mempunyai bayak keistimewaan seperti ia boleh dilakukan secara bersendirian atau berjemaah. Pelbagai zikir dan doa harian yang boleh kita baca setiap hari. Contohnya, doa ketika bangun tidur, ketika hendak masuk tandas, ketika mengambil wudhuk dan sebagainya. Zikir munajat adalah salah satu bentuk zikir. Seseorang yang selalu berzikir kepada Allah S.W.T akan mendapat hidayah dan pahala daripada Allah SWT.


------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com