Tajuk: Hakikat Dua Kalimah Syahadat.

PENDAHULUAN

Agama islam adalah agama yang terdiri daripada dua perkara iaitu aqidah dan syari’ah. Hanya aqidah sahaja tidak berubah manakala syari’ah berubah mengikut keadaan umat. Rasul demi rasul diturunkan oleh Allah swt kepada umat mereka masing-masing namun aqidah tetap satu, tidak berubah-ubah. Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud:-
Dia telah mensyari’atkan bagi kamu tentang agama apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa iaitu: Tegakkan agama dan janganlah kamu berpecah-belah tentangnya.
Ayat diatas bermaksud tegakkanlah agama yang dibawa oleh semua rasul yang hanya beribadah kepada Allah Yang Maha Esa dan tiada sekutu bagi-Nya. Sedangkan syari’at dalam beramal adalah berbeza-beza antara satu umat dengan umat yang lain sesuai dengan keadaan atau kondisi umat berkenaan. Ini adalah kerana Allah Yang Maha Adil lagi Bijaksana tidak akan memberatkan umat-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu dipikul oleh mereka.

Oleh itu, kita hendaklah sentiasa menyesuaikan amal ibadah dan segala bentuk aktiviti harian kita dengan syari’at yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Kita boleh melihat kedua-dua hakikat iaitu aqidah dan syari’at tergambar dengan jelas didalam dua kalimah syahadat yang bermaksud:-
Aku naik saksi tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan aku naik saksi sesungguhnya Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah.
Syahadat pertama disebut juga dengan istilah Syahadat Tauhid kerana kandungannya ialah kita mempersaksikan bahawa hanya Allah Yang Berhak Disembah. Dan syahadat kedua disebut juga dengan Syahadat Risalah kerana kandungannya ialah kita mempersaksikan bahawa hanya syari’at atau peraturan amalan yang dibawa oleh Nabi Muhammad sahaja yang akan kita patuhi dan bukan cara amalan dari sumber-sumber lain.

Syahadat.
Makna Syahadat
Perkara yang paling penting dalam Islam ialah
Pertama: MengEsakan Allah dalah ibadah (Aqidah) Kedua: Mengikuti ajaran yang dibawa oleh Rasulullah (syari’at)
Kedua-dua perkara utama ini tersimpul dalam dua kalimah syahadat yang bermaksud
Aku naik saksi tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan aku naik saksi sesungguhnya Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah.
Kalimah syahadat dimulakan dengan (ashhadu) yang bermaksud: “aku naik saksi”. Dalam bahasa Arab kata Syahadat mengandungi banyak makna antara lain :

1) Ilmu
Ini kerana seseorang itu hendaklah tahu apa yang dia bersaksi dan bukanlah dia bersaksi dengan betul sekiranya dia tidak mengetahui perkara yang dia mempersaksikan.
Dalam kalimah syahadat, mengandungi dua penyaksian iaitu pertama tentang ketuhanan Allah s.w.t 
Yang kedua ialah tentang kerasulan Nabi Muhammad s.a.w 
Dengan mengucap tanpa sebarang paksaan, ini bermakna kita bersedia menanggung bebanan yang besar iaitu ilmu pengetahuan tentang Ketuhanan dan Kerasulan dengan segala cabangnya.
Kesimpulannya, salah satu maksud syahadat ialah ilmu, dan dengan itu kita dituntu untuk memantapkan keislaman kita dengan mempelajari ilmu-ilmu agama.

2) Mengakui
Seseorang yang mempersaksikan sesuatu mesti mengiktiraf dan mengaku kebenaran yang disaksikannya. 
Ini bermakna penyaksian akan terbatal jika tidak disertai dengan pengiktirafan dan ekoran itu sifat patuh dan tunduk akan menjelma kepada perkara yang dipersaksikan tersebut.

3) Berjanji
Seseorang itu bersaksi atas sesuatu perkara, ini bermakna ia berikrar dan berjanji akan menunaikan perkara yang dipersaksikan itu.

Firman Allah yang bermaksud: Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman) : Bukankah Aku ini Tuhanmu? Mereka menjawab: Betul (Engkau Tuhan Kami) dan kami akan menjadi saksi.

Ayat diatas menunjukkan bahawa syahadat mengandungi makna janji dan ikrar serta ketika dialam roh, kita pernah berjanji dan berikrar bahawa Allah itu adalah Tuhan kita.
Adalah wajib bagi kita menepati janji dan sekiranya memungkirinya adalah salah satu tanda-tanda orang munafiq. 

4) Iktikad

Jika seseorang itu telah bersaksi, ini bermakna ia telah menyakini dengan sungguh-sungguh akan kesahihan perkara yang dipersaksikannya.
Jika Islam itu mengandungi iktikad, ini bermakna kita akan sungguh yakin tanpa ragu untuk mempercayai bahawa Allah itu wujud, segala suruhan-Nya dan larangan-Nya sudah tertera didalam Al-Quran.

5) Menyatakan

Yang dimaksudkan menyatakan di sini bukan sahaja dalam bentuk ucapan tetapi juga dalam perbuatan dan sikap. 
Walaupun kita mengucapkan dua kalimah syahadat dengan lisan, akan tetapi menyatakan keyakinan kita dalam bentuk perbuatan juga dituntut untuk menyesuaikan dengan segala tindak-tanduk dan aktiviti harian yang sesuai dengan ketentuan Allah melalui ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w

Kesimpulannya.
Jika syahdat mengandungi lima makna diatas maka dapatlah dua kalimah syahadat diertikan secara panjang iaitu:-

Syahadat Pertama (Syahadat Tauhid)

Aku mengaku, aku berjanji, aku mengetahui, aku beiktikad bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan selanjutnya aku nyatakan pengakuanku, janjiku, pengetahuanku dan i’tikadku itu dalam sikap dan perbuatanku seharian.

Syahadat Kedua (Syahadat Risalah)

Aku mengaku, aku berjanji, aku mengetahui, aku beriktikad, bahawa sesungguhnya Muhammad itu adalah utusan Allah dan selanjutnya aku nyatakan pengakuanku, janjiku, pengetahuanku dan iktikadku itu dalam sikap dan perbuatanku seharian.

Rukun Syahadat

Dua kalimah syahadat juga mempunyai rukun seperti ibadah yang lain iaitu:-
1) Mengucapkannya dengan lidah
2) Membenarkannya dengan hati
3) Melaksanakannya dengan anggota

Tidak sempurna syahadat seseorang kalau tidak menyempurnakan tiga rukun diatas melalui suruhan Allah s.a.w

Kalimah Tauhid

Kalimah Tauhid iaitu kalimah (lailaha illallah), kadang kala disebut sebagai Kalimah Iklas. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa mengetahui rukun-syarat kalimah tauhid adalah lebih utama daripada mengetahui rukun-syarat cabang Islam yang lain.


Rukun Kalimah Tauhid

Rukun kalimah tauhid mempunyai dua iaitu:-

1) Nafi iaitu menafikan bahawa tiada tuhan yang berhak disembah. Bahagian nafi ini di dalam kalimah tersebut ialah (lailaha)
2) Ikhtibat iaitu menetapkan bahawa hanya Allah yang berhak disembah. Bahagian ikhtibat ini pula ialah (illallah).

Kalimah tauhid ini didatangi dalam bentuk nafi dan ikhtibat kerana bentuk demikian adalah lebih murni natijahnya daripada dengan hanya ikhtibat sahaja. Sekiranya hanya dalam ikhtibat sahaja, sepeti: Tuhanku adalah Allah, maka kalimah itu hanya menegaskan tuhan adalah Allah tetapi tidak menolak kemungkinan ada tuhan selain Allah.
Demikaianlah, kalau kita mengimbangi kalimah tauhid dengan nafi dan ikhtibat, maka ia bukan sahaja berperanan bahawa tuhan itu Allah malah pada masa menolak terus segala jenis tuhan-tuhan yang lain.

Syarat Kalimah Tauhid.

Makna kalimah tauhid yange sebenar ialah membebaskan diri daripada segala bentuk penyembahan dan berikrar menumpukan segala jenis hanya kepada Allah Yang Maha Esa serta melaksanakannya dengan sesuai dengan apa yang disukai dan diredhai oleh-Nya.
Berikut adalah beberapa syarat yang perlu kita ketahui agar kalimah tauhid yang kita pegang berperanan sebagai kunci pintu syurga:-

Pertama: Ilmu
Ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu tentang rukun-rukun kalimah tauhid iaitu ilmu tentang nafi dan ikhtibat. Faktor ilmu ini sangat diperlukan untuk kesempurnaan segala sesuatu lebih-lebih lagi berkenaan dengan ilmu aqidah. Firman Allah yang bermaksud:-

Barang siapa yang mati sedangkan ia tahu (berilmu) bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, nescaya ia akan masuk syurga.

Dari dalil diatas, nyatalah bahawa ilmu tentang tauhid iaitu nafi dan ikhtibat adalah menjadi syarat kalimah itu menjadi berguna kepada sesiapa yang mengucapnya.
Lawan ilmu adalah jahil, maka ini nyata menunjukkan bahawa barang siapa yang jahil terhadap kalimah tauhid yang diucapkan, maka kalimah itu tidak memberi manfaat kepadanya di akhirat kelak.

Kedua: Yakin
Unsur yakin sangat penting dalam ilmu aqidah kerana kita mesti yakin sepenuhnya dan tidak bercampur dengan syak terhadap kandungan kalimah tauhid tersebut.

Ketiga: Cinta
Cinta hakiki adalah cinta kepada Allah dan Rasulullah s.a.w kerana ini adalah kemuncak cinta. Dua nama yang disebut dalam dua kalimah syahadat ialah Allah dan Muhammad dan hendaklah mendapat tempat yang istimewa didalam kehidupan kita. Cinta kepada Allah dan Rasul mestilah melebihi daripada cinta kita kepada yang lain. Bukti cinta yang tulen adalah:-

a) Menyebut selalu nama orang yang dicintai
b) Mengingati selalu
c) Melakukan apa yang disukainya
d) Menjauhi segala yang dibencinya.

Maka, cinta yang suci dan murni kapada Allah dan Rasul amatlah penting kerana demi menegakkan agama Allah di muka bumi ini.

Keempat: Menerima Konsepnya
Kita tidak boleh menolak sedikit pun kehendak dan kandungan kalimah tauhid. Terdapat orang-orang yang terdahulu menyebut kalimah tauhid tetapi tidak menerima sepenuh hatinya iaitu Abdullah Bin Ubay.

Kesimpulan
Rukun dan syarat inilah perlu kita tunaikan agar kalimah tauhid ini dapat memberi faedah kepada kita di Akhirat kelak.

Tauhid dan jenis-jenisnya

Tauhid bemakna mengEsakan. Ini bermakna kita haruslah mengEsakan Allah dari segi perbuatan, sifat-sifat dan nama-nama-Nya. Walaubagaimanapun, tauhid terbahagi kepada tiga iaitu:

1) Tauhid Rububiyah

Rububiyah bererti mencipta, yang memiliki, yang memelihara dan yang mengurus. 
Tauhid rububiyah bermaksud keyakinan seseorang bahawa Allah sahaja yang menciptakan alam ini, Allah yang menurunkan rezeki dan hujan, Allah yang memelihara dan mengatur seluruh alam, Allah yang menghidupkan dan mematikan.

2) Tauhid Asmaa Wa Sifaat

Menyakini bahawa Allah memiliki segala sifat dan nama yang sempurna dan terhindar daripada-Nya segala sifat yangtidak layak bagi-Nya.
Dengan kata lain, semua nama dan sifat Allah adalah tauqifyyah iaitu terhenti hanya dari dua sumber tersebut sahaja sama ada ithbat (menetapkan) ataupun nafi (menidakkan).
Ringkasnya, tidaklah menjadi satu kesalahan jika kita menyifatkan makhluk dengan sifat-sifat Allah, asalkan terbatas pada ucapan sahaja dan bukan pada makna.

3) Tauhid Uluhiyah

Tauhid Uluhiyah bermaksud keyakinan kita bahawa hanya Allah yang berhak disembah dan Dia tidak boleh disekutukan dengan apa pun juga.
Seorang muslim hendaklah benar-benar memahami hakikat ini supaya tidak terjadi hanya mengaku diri mereka muslim tetapi telah terkeluar daripada Islam kerana meragui-Nya.

Syarat Syahadat Risalah
Pertama: Membenarkan segala yang datang daripada Rasulullah
Kedua: Mematuhi segala yang disuruh oleh Rasulullah
Ketiga: Menjauhi segala yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w
Keempat: Kita hendaklah jangan beribadat kepada Allah kecuali dengan cara yang telah ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w

Perkara-perkara yang Boleh Merosakkan Dua Kalimah Syahadat.
1) Bertawakkal kepada selain Allah
Allah menyuruh kita kepada dua perkara iaitu: 
I. Dia menyuruh agar kita berusaha.
II. Dia menyuruh agar kita tidak bersandar kepada usaha.
Ini kerana Allah menyuruh kita menyakini Allah dan sebab-sebab apa yang Allah tebarkan ke atas muka bumi ini. 
Sesiapa yang tidak mempercayai sebab-sebab itu, lalu mengenepikannya, maka ia telah membawa kepada kekufuran. 
Dan sesiapa yang meyakini sebab-sebab itu yang dapat memberi kesan kepada sesuatu, maka keyakinan itu teh membawa kepada syirik.

2) Tidak mengakui bahawa segala nikmat adalah pemberian Allah.
Barangsiapa yang tidak mengiktirafkan bahawa segala bentuk nikmat sama ada yang zahir ataupun yang batin adalah daripada Allah, maka rosaklah dua kalimah syahadatnya.
Kita mestilah menyakini bahawa segala yang menimpa diri kita adalah daripada Allah. 

Kesimpulan
Adidah adalh faktor yang paling utama dan menentukan kedudukan seseorang manusia. Segala amalah yang tidak berlandaskan akidah yang betul dan tidak mengikuti cara baginda Rasulullah nescaya hanyalah sia-sia belaka.

------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com