Tajuk: Kelebihan Dan Cara Mencapai Kesempurnaan Puasa

Kelebihan Bulan Ramadhan.

Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat tinggi darjat dan besar martabatnya di sisi Allah s.w.t. dan RasulNya, ia juga penghulu segala bulan.

Di antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan itu Allah s.w.t telah menurunkan kitab suciNya (Al-Quran) yang menjadi petunjuk pada manusia. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan kitab sucinya (Al-Quran) yang menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan yang benar dengan yang salah. " Surah Al-Baqarah : 185.

Di pilih di antara malam-malam bulan Ramadhan itu suatu malam Lailatulqadar yang mana ia jauh lebih baik daripada seribu bulan. Seribu bulan itu kira-kira 83 tahun. . Menurut ulama Lailatulqadar itu jatuh pada salah satu malam sepuluh yang terakhir daripada bulan Ramadhan. Sayugia diingatkan bahawa jangan disia-siakan malam-malam di bulan Ramadhan dengan perkara-perkara tidak berfaedah, bahkan hendaklah diisi dengan amal ibadat sebagai saham dan bekalan di dunia dan akhirat.

Kelebihan Puasa di Bulan Ramadhan.
Apabila membincangkan mengenai bulan Ramadhan, dengan sendirinya ia mempunyai hubungan dengan kewajipan puasa yang disyariatkan didalamnya. Suatu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Meninggalkan atau sengaja tidak menunaikan kewajipan puasa, bukan sahaja suatu dosa besar bahkan ia tidak boleh ditebus dalam apa jua cara. Tidak boleh ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidup. Ini jelas sebagaimana sambda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:"Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunas (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup. "Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)

Menuju Kesempurnaan Ibadah Puasa
Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan batiniyah puasa itu, antara lain seperti berikut:Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah s.w.t.

Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata ria'.

Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah, Allah s.w.t. telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud: "Mereka sangat suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram. "
(Surah Al-Maidah:42)

Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram.

Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci Allah s.w.t. daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.

Kelebihan Bulan Ramadhan
Amalan-amalan utama dan besar pahalanya di bulan Ramadhan
Supaya kita dapat memasuki bulan Ramadhan dengan penuh bersedia untuk memperbanyakkan amalan di bulan keberkatan yang banyak kelebihannya itu, kita hendaklah mengetahui apakah amal-amal ibadah atau amal-amal kebaikan yang digalakkan oleh Allah dalam bulan Ramadhan di mana pahalanya amatlah besar dan berlipat-ganda. Antara amalan-amalan utama di bulan Ramadhan dapat kita senaraikan seperti berikut;

1) Berpuasa dengan sesungguh hati

Sabda Rasulullah s.a.w. ;
“Sesiapa mengerjakan puasa Ramadhan kerana imannya (kepada Allah) dan mengharapkan pahala dariNya, akan diampunkan untuknya segala dosanya yang lalu”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r. a.)

Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud; “Setiap amalan anak Adam akan digandakan di mana satu amalan kebaikan akan digandakan sebanyak sepuluh hingga 700 kali ganda, kecuali puasa. Allah berkata; ‘Puasa itu untukKu, maka Aku sendiri yang akan menentukan pahalanya. Ia (yakni orang yang berpuasa itu) meninggalkan syahwatnya dan makanannya dengan sebabKu’. Bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan; kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya nanti. Sesungguhnya bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r. a.)

2) Menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan solat sunat (terawikh, tahajjud dan sebagainya) Sabda Rasulullah s.a.w. “Sesiapa bangun (untuk beribadah) pada malam-malam Ramadhan kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan pahala dariNya, akan diampunkan dosanya yang lalu”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r. a.)

Menurut Imam an-Nawawi, yang dimaksudkan dengan Qiyam Ramadhan dalam hadis di atas ialah solat Terawikh. Namun ada ulama’ yang memberi makna yang umum iaitu segala solat sunat yang dilakukan untuk menghidupkan malam iaitulah qiyamullail. Jadi mengikut pandangan kedua ini termasuk di dalam Qiyam-Ramadhan itu; solat Terawikh, solat Tahajjud, solat Taubah dan sebagainya. (Rujuk; Soheh Muslim bisyarhi an-Nawawi dan Raudhatul-Muttaqien syarh Riyadhus-Salihin)

3) Menggiatkan ibadah di sepuluh malam terakhir ramadhan

Terdapat hadis di mana Saidatina ‘Aisyah menceritakan

“Rasulullah s.a.w. apabila masuk sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan, baginda bangun menghidupkan malamnya (dengan ibadah lebih dari biasa), membangunkan ahli-ahli keluarga baginda (untuk sama mengerjakan ibadah seperti baginda), baginda bersungguh-bersungguh (mengerjakan ibadah) dan baginda mengikat kainnya (*kiasan kepada kesungguhan untuk beribadah atau kiasan kepada meninggalkan isteri untuk menumpukan kepada ibadah)”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Dalam satu riwayat yang lain, Saidatina ‘Aisyah menceritakan; “Rasulullah menggiatkan ibadahnya pada malam-malam sepuluh terakhir Ramadhan melebihi ibadahnya pada malam-malam yang lain”. (Riwayat oleh Imam Muslim)

4) Beriktikaf
Di antara Ibadah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. di bulan Ramadhan terutamanya pada sepuluh hari terakhirnya ialah iktikaf. Saidatina ‘Aisyah r. a. menceritakan;

“Rasulullah s.a.w. beriktikaf pada sepuluh hari terakhir Ramadhan hingga ia meninggal dunia. Kemudian isteri-isteri baginda meneruskan iktikaf selepas kewafatan baginda”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Iktikaf bermaksud menetap di dalam masjid dengan niat ibadah. Syaratnya ada tiga iaitu;
Pertama: Berniat iktikaf (yakni berniat untuk tinggal/berdiam di dalam masjid dalam tempoh tertentu dengan tujuan ibadah bagi melaksanakan sunnah Nabi s.a.w.)
Kedua: Menetap/tinggal di dalam masjid dalam tempoh tertentu yang dapat dianggap pada uruf bahawa seseorang itu beriktikaf atau duduk diam di dalam masjid.
Ketiga: Seorang yang beriktikaf pula disyaratkan hendaklah seorang muslim, berakal sihat dan suci dari haid, nifas dan janabah. (Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam asy-Syafi’ie, jil. 2)

Beriktikaf hukumnya adalah sunat pada setiap waktu dan lebih disunatkan lagi pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan kerana di antara malam-malam tersebut terdapatnya lailatul-Qadar atau malam al-Qadar. Menurut ulama’, beriktikaf pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan hukumnya adalah sunat muakkad (yakni sunat yang amat-amat disuruh). (Rujuk: Raudhatul-Muttaqien syarh Riyadhus-Salihin, jil. 3, kitab al-I’tikaf)

5) Mencari malam al-Qadar (lailatul Qadar)
Firman Allah menjelaskan kelebihan malam al-Qadar (lailatul-Qadar);

“Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan”. (al-Qadar: 3)

Menurut kebanyakan ahli Tafsir, ayat ini memberi pengertian kepada kita bahawa beramal pada malam al-Qadar atau lailatul-Qadar lebih baik dari beramal selama 1000 bulan yang tidak ada lailatul-Qadar (malam al-Qadar) di dalamnya.
(Rujuk: al-Asas fi at-tafsir, Said Hawa, surah al-Qadr)

Sabda Rasulullah s.a.w. ; “Sesiapa bangun (untuk mengerjakan ibadah) pada malam al-Qadar kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan ganjaran dariNya, akan diampunkan dosanya yang lalu”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Menurut penjelasan beberapa hadis Rasulullah s.a.w. , lalilatul-Qadar ini terdapat di sepuluh malam terakhir Ramadhan iaitu pada malam-malam ganjil darinya. Kerana itulah, Rasulullah menggiatkan ibadahnya pada malam-malam tersebut termasuklah beriktikaf di masjid sebagaimana yang telah kita jelas tadi. Sabda baginda;

“Carilah lailatul-Qadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Saidatina Aisyah r. a.)

“Carilah lailatul-Qadar pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan”. (Riwayat Imam Bukhari)

Menurut ulama’, sekurang-kurangnya qiyam lailatil-Qadr (yakni bangun mengerjakan ibadah pada malam al-Qadar untuk mendapatkan kelebihannya) ialah dengan seseorang itu menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Subuh berjamaah. Ini kerana Rasulullah s.a.w. bersabda dalam satu hadisnya;

“Sesiapa menunaikan solat Isyak berjamaah, maka ia seolah-olah bangun berqiyamullail separuh malam. Dan sesiapa menunaikan solat subuh berjamaah, maka ia seolah-olah bangun berqiyamullail keseluruhan malam”. (Riwayat Imam Muslim dari Ustman r. a.)

Namun demikian, yang paling sempurna ialah dengan memenuhi keseluruhan malam atau sebahagian besarnya dengan solat, bacaan al-Quran, zikir atau seumpamanya dari jenis-jenis ketaatan. (Rujuk: at-Tajul Jami’ Lil-Ushul, Syeikh Manshur ‘Ali Nashif, jil. 2, hlm. 80)

Pada malam Lailatul Qadar menyuruh Allah Ta'ala akan Jibrail Alaihisalam turun ke bumi, lalu turunlah Jibrail ke dalam perhimpunan malaikat ke bumi bersamanya bendera hijau lalu dipacakkan ke atas Kaabah, baginya 600 sayapnya, setengahnya tiada dibuka keduanya, melainkan pada malam Lailatul Qadar baharulah dibukakan keduanya, hingga sampai dari timur ke barat (Musyriq Ke Maghrib). Untuk menyelamatkan umat Muhammad, Lalu memberi salam kepada tiap orang yang berjaga pada malam Lailatul Qadar beribadah kerana mencari keredaan Allah, dan orang-orang yang duduk beribadah, orang yang sembahyang dan berzikir dan berjabat tangan sesama mereka mukmin dan mengucap amin doa orang-orang mukmin hingga terbit fajar subuh. . . . . . . berkata para malaikat kepada Jibrail, apakah Allah berikan pada hajat orang mukmin dari umat Muhammad (s.a.w) pada bulan Ramadan ini? Berkata Jibrail bahawasanya Allah menilik kepada umat Muhammad yang berpuasa dan beribadah padanya dan dimaafkan mereka, diampunkan dosa-dosa mereka, melainkan empat orang yang tiada diampunkan dosanya: yaitu orang yang kekal minum arak, orang yang derhakakan ibubapanya, orang yang memutuskan sillaturrahim dan orang yang tidak bercakap dengan saudaranya lebih dari 3 hari.

Ibadat puasa

Definisi :
Puasa ialah menahan diri daripada makan, minum dan bersetubuh mulai dari terbit fajar sehingga terbenam matahari kerana Allah Taala.
Rukun puasa
a. Berniat pada malam hari untuk mengerjakan puasa pada esok harinya.
b. Menahan diri dari makan, minum, bersetubuh dan muntah serta menjauhi segala perkara yang menbatalkan puasa.

Takrifan puasa
a. Puasa golongan awam, iaitu orang yang menahan diri daripada makan, minum dan bersetubuh sahaja.
b. Puasa golongan Ahlul Khawas, iaitu orang yang menahan dirinya dari makan dan minum serta syahwatnya kerana Allah dengan mengharapkan keampunan dan syurga atau terhunda dari neraka.
c. Puasa golongan Ahlul Makrifat, iaitu orang yang menahan diri dari makan, minum serta syahwat juga menahan hati dan segala pancaindera daripada segala yang tidak disukai oleh Allah kerana semata-mata mengharapkan keredhaan Allah sahaja.

Syarat-syarat wajib puasa
a. Islam
b. Mukallaf(akil baligh). Tidak wajib ke atas orang yang tidak berakal(gila, pengsan). Begitu juga terhadap kanak-kanak yang belum akil baligh.
c. Suci daripada haid dan nifas.
d. Menetap(bukan musafir)
e. Kuasa(orang yang lemah atau sakit, tidak wajib puasa atasnya).
Syarat - syarat sah puasa
a. islam
b. suci daripada haid dan nifas.
c. Mumaiyiz(dapat menbezakan antara baik dan buruk)
d. Berpuasa pada waktunya.
Orang yang tidak wajib berbuasa
a. orang yang kafir kalau telah memeluk agama islam, maka wajiblah atasnya puasa tatapi tidak wajib qada’ atas puasa yangditinggalkan sewaktu kafirnya dahulu.
b. Orang yang murtad tidak wajib puasa ketika dia murtad tetapi kalau dia sudah bertaubat semula, wajiblah berpuasa atasnya dab wajid juga qada’ puasa yang ditinggalkannya selama murtad itu.
c. Orang yang sakit dibolehkan berbuka dan wajib qada’ atasnya apabila dia sudah sihat. kalau dia sakit sepanjang tahun dan tidak ada harapan lagi untuk sembuh, tidak wajib qada’tetapi wajib fidyah atas puasa yang ditinggalkannya.
d. Orang musafir bukan untuk buat maksiat boleh berbuka, tetapi wajib qada’ setelah menetap di tempatnya.

Perkara-perkara yang membatalkan puasa
a. Berniat berbuka puasa
b. Makan, minum dan bersetubuh pada siang hari dengan sengaja.
c. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga berlubang dengan sengaja.
d. Muntah dengan sengaja.
e. Keluar haid bagi kaum perempuan
f. Mengeluarkan mani dengan sengaja pada siang hari. jika bermimpi tidak batal puasanya.
g. Hilang akal sebab gila atau mabuk pada siang hari pada bulan puasa.
h. Murtad

Perkara – perkara yang makruh dilakukan semasa berpuasa

a. Berkumur-kumur dan menggosok gigi setelah gelincir matahari
b. Memasukkan air dalam hidung secara berlebihan
c. Mengeluarkan kata-kata yang kotor dan sia-sia.
d. Memandang dan mencium bunga atau bau-bauan
e. Berbekam jika berbekam itu melemahkan badan
f. Merasa makanan dengan lidah

Perkara-perkara yang dibolehkan ketika puasa

a. Menyelam dalam air dan membasahkan kepala asalkan air tidak masuk ke dalam perut.
b. Bercelak dan menitiskan ubat ke dalam mata
c. Suntikan(injection) dibolehkan dalam bulan puasa. tetapi boleh juga orang yang disuntik itu tidak puasa sekiranya dia sakit dan wajib qada’ puasanya.

Sunat-sunat puasa

a. Menyegerakan berbuka. Berbukalah dengan kurma atau sesuatu yang manis
b. Melambatkan makan sahur.
c. Menjauhi perkara-perkara yang kotor.
d. Mengerjakan solat tarawih pada tiap-tiap malam bulan Ramadan.
e. Berdoa dan Berzikir pada setiap malam sesudah solat Witir
f. Tadarus al-Quran pada sepanjang bulan Ramadan

Hari-hari yang dilarang Berpuasa

a. Hari Raya Aidilfitri pada 1 syawal
b. Hari Raya Aidilaudha pada 10 Zulhijjah
c. Pada 3 hari Tasyriq iaitu 11, 12, 13 Zulhijjah
d. Pada hari syak(hari yang diragui antara 30 syaban atau sudah masuk 1 ramadan

Adab-adab berpuasa

a. Menjauhkan diri daripada mengumpat, mencela, mencaci, maki hamun dan perkara-perkara yang kotor.
b. Menjauhkan diri dari segala perkara yang membatalkan puasa
c. Mengurangkan makan dan minum ketika berbuka dan makan sahur
d. Mengurangkan tidur terutama pada sing hari

Hikmat puasa

a. Dapat melahir perasaan tolong-menolong antara satu sama lain
b. Dapat melatih diri supaya bersifat sabar, kuat dan tahan menderita menghadapi segala cabaran, kesusahan dan kesengsaraan yang menimpa diri.
c. Dapat melatih diri supaya bersifat amanah
d. Dapat menyihatkan badan dan melatih diri supaya hidup berdisplin
e. Sebagai tanda syukur dan terima kasih kepada allah S.W.T kerana telah menurunkan nikmat-Nya yang tidak terhinnga
f. Dapat mendidik jiwa mentaati segala suruhan Allah
g. Dapat menginsafkan bahawa kita ini adalah hamba yang lemah di sisinya.

Kesimpulan

Kelebihan bulan Ramadan dan keagungannya dengan adanya malam Lailatul Qadar yang dirahsiakan, sehingga mendapat keampunan dan pahala serta darjat dan darjah tertinggi bagi orang yang berjaya mendapatkan malam Lailatul Qadar dengan dipenuhi amal ibadah dan bertaqwa kepada Allah, disamping sembahyangnya yang sunat, istiqfar, tasbih dan berzikir sepenuhnya.
Apabila pada malam akhir Ramadan dinamakan malam persalinan. Pada malam hari raya Aidilfitri didatangkan Allah malaikat kepada tiap-tiap negeri turunlah mereka ke bumi, berdiri pada permukaan jalan menyeru dengan suara yang kuat, semua mendengarnya kecuali jin dan manusia berkata mereka, hai umat Muhammad keluarlah kamu menghadap tuhan yang amat mulia (sembahyang raya di pagi raya) yang memberi pemberian yang berpanjangan dan mengampun akan dosa-dosa yang besar. Apabila tibalah umat Muhammad ke tempat sembahyang, firman Allah kepada maliakat : Hai malaikatKu, apakah balasan orang yang mengambil upah apabila selesai kerjanya ? Jawab malaikat, hai Tuhan kami, sempurnakanlah upahnya! Firman Allah bahawa Aku saksikan kamu hai malaikatku, telah aku jadikan pahala mereka dari puasa mereka pada bulan Ramadan mereka mendirikan sembahyang, ialah keredaanKu dan keampunanKu kepada mereka! Maka firmannya lagi : Hai segala hambaku, pohonlah kamu kepada ku, maka demi ketinggianku dan kebesaranku, tiada memohon kepadaku hari ini akak sesuatu bagi agamamu dan duniamu, melainkan Aku kurniakan kepadamu! (Al-Hadith).

apabila berakhir bulan Ramadan, menangis wali-wali Allah kerana terpisahnya bulan yang paling mulia yang digandakan ibadat berlipatkali ganda daripada bulan bulan yang lainnya, bulan Allah mudah menerima ampun taubat hambaNya, bulan yang banyak sekali diturun rahmat ke alam, bulan yang terdapat padanya malam Lailatul Qadar, suatu rahmat dan rahsia yang dikurniakan kepada hamba hamba Nya yang salihin, yang tidak terdapat pada bulan bulan yang lainnya. Mereka menangis kerana belum tentu akan dapat menemui bulan termulia ini pada tahun tahun hadapan, kiranya dipanjangkan umur.

Apabila berakhirlah malam bulan Ramadan, menangislah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi, dan segala malaikat, jerana berlalu Ramadan berlalulah kelebihan, sebab musibah bagi umatku, dan duduk segala malaikat bagi musibah, orang bertanya : Ya Rasullullah, apa itu musibah ? Jawab rasullullah (s.a.w), Kerana segala doa padaNya itu mustajab, sedakah makbul, segala kebajikan digandakan dan siksa kubur diangkat, maka apakah musibah yang terlebih besar daripada ini bagi umatku?! (Al-Hadith)

Malam Aidilfitri, malam raya, disunatkan kepada kita berjaga malam, beribadah, bertakbir "AllahuAkbar" sepanjang malamnya. Akan mendapat keampunan yang banyak, pahala yang besar, rahmat Allah tercurah kepadanya. Siapa yang menghidupkan dua malam raya (AidilFitri & AidilAdha) dengan ibadatnya dan takbirnya, tiada dimatikan hatinya pada hari yang dimatikan segala hati. (Al-Hadith).



------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com