Tajuk: Rumah Yang Tidak Akan Menerima Kedatangan Malaikat Rahmat

PENDAHULUAN:
Setiap umat manusia wajib berpegang kepada rukun iman. Tidak sempurna iman seseorang itu sekiranya dia tidak mempercayai salah satu rukun iman. Antara salah satu rukun iman adalah beriman kepada malaikat. Malaikat ialah makhluk Allah yang sangat patuh kepada perintah Allah. Malaikat dijadikan daripada cahaya dan tidak menyerupai fizikal manusia. Malaikat tidak pernah minum atau tidur sebaliknya mereka hanya beribadah dan melaksanakan tugas yang diperintahkan oleh Allah kepadanya. Mereka tidak pernah lalai dalam menjalankan tugas mereka. Tugas-tugas malaikat adalah menyampaikan wahyu Allah, menurunkan rezeki, mengawasi pergerakan manusia dan menjadi pendamping manusia untuk memelihara amal manusia. Sebagai hamba Allah kita sentiasa mengharapkan rahmat dan keberkatan dari Allah dan rahmat Allah ini diturunkan melalui malaikat. Malaikat akan membawa rahmat ke rumah kita tetapi bukan semua rumah boleh dimasuki malaikat. Malaikat tidak akan masuk ke rumah orang-orang yang melanggar perintah Allah. Oleh itu, kita hendaklah meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah agar kita memperoleh rahmat Allah s.w.t.

TUGAS MALAIKAT KE ATAS ORANG BERIMAN :-
Salah satu syarat seseorang dikatakan beriman adalah keimanan kepada malaikat yang mulia.Tugas yang diamanahkan oleh allah kepada malaikat untuk kepentingan manusia adalah meniupkan roh kepada janin,baik ianya orang yang beriman mahupun kafir,memelihara seluruh manusia,menyampaikan wahyu,mengawasi dan mencatatkan amal perbuatan manusia serta mencabut roh manusia atas perintah allah.Malaikat juga memiliki tugas khusus terhadap orang beriman iaitu memberikan kecintaan kepada orang beriman,meluruskan jalan kehidupan orang beriman,mengaminkan doa-doa orang beriman,membacakan istigfar atau mohon ampunan Allah bagi orang beriman,menghadiri majlis ilmu dan zikir serta menaungi orang beriman yang berada dalam majlis tersebut dengan sayap-sayapnya dan sebagainya.

Hubungan malaikat dengan manusia sangat erat.Mereka mengawasi dan memberikan perhatian kepada manusia ketika diciptakan,memelihara manusia ketika dilahirkan,mengawasi gerak-geri dan amal perbuatan manusia serta mengambil roh manusia ketika ajal datang.Selain malaikat menjadi pendamping manusia,syaitan dan jin juga turut mendampingi manusia.Syaitan dan malaikat masing-masing memberikan bisikan kepada manusia.Bisikan syaitan sentiasa menyeru kepada kejahatan dan pendustaan sedangkan bisikan malaikat sentiasa menyeru kepada kebaikan dan kebenaran.Kedatangan malaikat ke rumah manusia membawa rahmat kepada kita.Tetapi terdapat beberapa perkara yang menghalang kedatangan malaikat ke rumah kita.Antara jenis-jenis rumah yang tidak dimasuki malaikat ialah:-

1)Rumah orang yang memutuskan hubungan silaturahim:-
Malaikat tidak akan turun kepada sesuatu kaum yang gemar memutuskan silaturahim.Allah s.w.t akan menyambung silaturahim orang yang menyambung silaturahim dan sebaliknya akan memutuskan silaturahim orang yang memutuskannya.Dengan demikian,kita hendaklah menjadi orang yang memiliki kesungguhan untuk menyambung tali silaturahim dengan cara mengunjungi kerabat dan saudara,memelihara mereka dengan hal-hal yang dapat memperbaiki urusan dan keadaan mereka serta memenuhi keperluan mereka sehingga kita memperoleh rahmat Allah dan doa para malaikat.Hal ini sesuai dengan firman Allah yang bermaksud:“Dan orang-orang yang beriman,lelaki dan wanita,sebahagian mereka adalah menjadi penolong bagi sebahagian yang lain.Mereka menyuruh (mengerjakan)yang ma’ruf,mencegah dari yang mungkar,mendirikan solat,menunaikan zakat dan taat kepada Allah dan rasulnya.Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah,sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah:71)

Rasulullah juga pernah bersabda: “Sesungguhnya malaikat tidak akan turun kepada kaum yang di dalamnya ada orang yang memutuskan silaturahim.” Oleh itu,dapat kita simpulkan di sini bahawa menjaga silaturahim sesama manusia amat dititikberatkan oleh Allah untuk mendapatkan keredaannya.Rahmat dan kasih sayang Allah hanya akan menyebar ke tengah kaum yang menyebarkan kasih sayang sahaja.Jika kita mengharapkan malaikat memasuki rumah kita dengan membawa rahmat,hendaklah kita menyambungkan tali silaturahim dengan orang yang memutuskannya.

2)Rumah orang yang menderhaka orang tua:-
Malaikat rahmat tidak akan memasuki rumah tempat terjadinya dosa besar derhaka kepada orang tua.Di dalam Al-Quran,Allah s.w.t telah berwasiat agar kita berbuat baik dan berbakti kepada orang tua.Perintah berbuat baik itu disertai dengan perintah untuk beribadah kepadanya seperti dalam ayat berikut:“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu bapa; ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah…”(Luqman:14)

Abu Bakrah r.a. bercerita bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda:“Mahukah kalian aku beritahu tentang dosa besar yang paling besar?...(Baginda mengucapkannya tiga kali) kami (maksudnya para sahabat) berkata: “Tentu,wahai Rasulullah!” Maka baginda berkata: “Iaitu menyekutukan Allah dan derhaka kepada orang tua. Lalu baginda duduk tegak setelah bersandar sambil melanjutkan perkataannya:…ketahuilah…dan juga…ucapan palsu dan syahadat azzuur(persaksian palsu)…! Baginda terus-menerus mengulang-ulangi kata-katanya ini sampai kami berkata: “Mudah-mudahan baginda diam!”

Dari situ dapat dikatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggandingkan perbuatan jahat dan menderhakai ibu bapa dengan perbuatan menyekutukan Allah.Orang yang menderhakai orang tua juga akan tercegah dari nikmat besar dipandang dan dilihat Allah dengan kemuliaan dan ampunannya pada hari kiamat kelak.Orang yang menderhakai ibu bapa juga akan diheret kepada akibat yang tidak baik,dibutakan mata hatinya,dicabut keimanannya,dijadikan tidak mampu lagi mengucapkan dua kalimah syahadah serta dicegah dari menghirup wangi aroma syurga.

3)Rumah orang yang memakan harta anak yatim:-
Malaikat tidak akan memasuki rumah yang dihuni oleh orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim.Di dalam Al-Quran,Allah s.w.t. telah mengancam keras pemakan harta anak yatim dengan dua ancaman iaitu perutnya penuh dengan api dan dimasukkan ke dalam neraka seperti firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim,sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala(neraka).”(An-Nisak:10)

Rasulullah juga berpesan agar kita tidak memakan harta anak yatim dan baginda menganggap perbuatan seperti itu sebagai salah satu dari dosa yang mencelakakan pelakunya.Baginda bersabda:“Jauhilah olehmu tujuh mubiqot,iaitu syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, berpaling (lari) dari pertempuran serta menuduh perempuan baik berbuat zina.”(Bukhari dan muslim)

Orang yang memakan harta anak yatim doanya tidak akan diperkenankan oleh Allah kerana perbuatannya itu merupakan suatu bentuk kezaliman terhadap orang yang tidak memiliki kekuatan kecuali kepasrahan kepada Allah.Mereka juga dikategorikan sebagai orang yang bodoh dan mendustakan hari kiamat. Orang yang suka mengusap kepala anak yatim sebagai tanda kasih sayangnya akan disinari hatinya oleh Allah dan memperolehi banyak kurnia kerana kebaikan perbuatannya akan kembali kepadanya dari sisi Allah baik di dunia mahupun akhirat.

4) Rumah Orang yang Memakan Riba:-
Pada harta yang halal terdapat keberkatan dan jaminan dari keharaman.Riba termasuk dosa yang paling besar.Di dalam Al-Quran Allah s.w.t. tidak menyatakan perang kepada seorang pelaku maksiat pun kecuali terhadap pemakan riba.Seseorang yang memakan riba bererti dia telah bersiap sedia untuk mati secara su’ul khatimah sebagaimana firman Allah:-
“Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu adalah disebabkan mereka berkata,sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya lalu terus berhenti (dari mengambil riba),maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan) dan urusannya terserah kepada Allah. Orang yang mengulangi (mengambil riba),maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka dan mereka kekal di dalamnya.Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah.Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran dan sentiasa berbuat dosa.” (al- Baqarah:275-276)

Nabi Muhammad s.a.w. juga melarang tegas memakan riba. Dari Abdullah bin Hanzhalah r.a. mengatakan bahawa Rasulullah bersabda:“Satu dirham wang riba yang dimakan oleh seseorang padahal dia tahu jauh lebih besar dosanya daripada dosa 36 kali zina.” (Al-Hakim)Riba hampir serupa dengan syirik kerana telah menembusi tiga jalan,dua antaranya adalah jalan perlanggaran terhadap kehormatan Allah dan jalan yang satu lagi adalah perlanggaran terhadap hehormatan para hamba Allah.Kerana itu,dosa riba itu sangat besar sehingga ancaman dan peringatannya pun sangat keras.

5)Rumah Yang Di Dalamnya Terdapat Anjing:-
Islam adalah agama yang mencintai kebersihan dan mengingatkan bahayanya memiliki anjing bahkan melarang memelihara anjing kecuali untuk kapentingan penjagaan keamanan atau pertanian.Di dalam Al-Quran Allah juga telah mengharamkan kita memegang atau memakan anjing dan khinzir.Rasulullah s.a.w. telah bersabda:“Malaikat tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya terdapat anjing,juga tidak memasuki rumah yang di dalamnya terdapat gambar (patung).” (Bukhari dan Muslim)

Ummul Mukminin Aisyah r.a. mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah mengadakan perjanjian dengan Jibril bahawa Jibril akan datang.Ketika waktu pertemuan itu tiba,ternyata Jibril tidak datang.Sambil melepaskan tongkat yang dipegangnya,Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah tidak mungkin mengingkari janjinya tetapi mmengapa Jibril belum datang?” Ketika Rasulullah s.a.w. menoleh, ternyata baginda melihat seekor anak anjing di bawah tempat tidur. “Baginda anjing ini masuk?” tanya baginda.Aku (Aisyah) menyahut: “Entah.” Setelah anjing itu dikeluarkan, masuklah malaikat Jibril. “Mengapa engkau lambat?” tanya Rasulullah kepada Jibril. Jibril menjawab: “Kerana tadi di rumahmu ada anjing.Ketahuilah, kami tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya terdapat anjing dan gambar (patung).” Malaikat tidak memasuki rumah yang ada anjing kerana anjing dikategorikan haiwan yang suka memakan najis dan menurut sebahagian ulama, anjing merupakan haiwan yang sering diserupai syaitan. Bau anjing juga sangat dibenci oleh malaikat.

6) Rumah Yang Penghuninya Mencaci Maki:-
Jika kita mengharapkan malaikat rahmat selalu mengunjungi rumah dan keluarga kita, peliharalah lidah.Akibat lidah seseorang itu boleh masuk syurga atau diseret ke neraka. Jika kata-kata yang lembut dan baik ini merupakan sedekah, senyum kepada saudara seiman juga merupakan sedekah. Sebaliknya,caci maki serta ucapan keji dan kasar yang penuh dengan dendam dan kedengkian merupakan jalan menuju kerugian, mendatangkan seksa dan menyingkirkan kita dari rahmat Allah. Kerana itu, kita harus bersungguh-sungguh memelihara lidah. Basahilah lidah kita dengan zikrullah dan kendalikan nafsu sebelum memulakan perbicaraan. Kuasailah lidah dan tahanlah emosi kerana mengendalikan emosi dan hawa nafsu merupakan hal yang sangat dianjurkan di dalam Al-Quran.

Kewujudan manusia ditentukan juga oleh kewujudan organ tubuh yang sangat kecil iaitu lidah dan hati. Barang siapa yang dikurniakan Allah hati yang bersih dan lidah yang suci dari ucapan kotor, bererti telah melapangkan untuknya taufik dan hidayah Allah. Ucapan yang baik dan manis dapat menjanjikan ketenangan jiwa, ketenteraman hati dan kelapangan dada. Jika kita menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji, kita pasti akan terhindar dari kebiasaan mengutuk, mencela dan mencaci maki yang biasa dilakukan oleh orang-orang yang bodoh dan itu merupakan perbuatan orang-orang yang dijauhkan dari rahmat Allah. Perbuatan mengutuk dan mencela itu merupakan perbuatan yang sangat merugikan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Darda r.a.: “Orang-orang yang suka mengutuk tidak akan memberi syafaat dan tidak akan menjadi saksi pada hari kiamat.” Kita dilarang sama sekali mencaci maki para sahabat, orang yang telah meninggal dunia, syaitan, mengutuk zaman atau kejadian alam, mencaci maki penyakit dan sebagainya.

7) Rumah Yang Di Dalamnya Terdapat Gambar Patung:-
Allah s.w.t. sangat mencela patung dan manusia yang berlutut menyembah patung. Di dalam kisah Nabi Ibrahim a.s. ketika menghancurkan berhala, kita dapat lihat bahawa Al-Quran sangat mencela berhala dan patung. Hal yang sama juga dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. ketika menghancurkan berhala-berhala yang ada di dalam Kaabah serta yang terdapat di antara Safa dan Marwah. Islam adalah agama tauhid iaitu agama yang tidak mengakui syirik kerana bagi Islam syirik adalah perbuatan yang menimbulkan perkara yang paling besar. Islam adalah agama yang membawa konsep anti berhala dan menyatakan perang terhadap penyembahan berhala. Islam telah mengharamkan keberadaan patung kerana patung merupakan jambatan pembuka penyembahan terhadap berhala. Patung diharamkan kerana telah menyerupai ciptaan Allah s.w.t. Rasulullah pernah bersabda: “Manusia yang paling pedih seksanya pada hari kiamat adalah mereka yang meniru (menyerupakan) makhluk ciptaan Allah. Kepada mereka akan dikatakan: ‘Hidupkanlah apa yang telah kamu ciptakan itu….”

Bukan semua gambar atau patung yang diharamkan oleh Islam. Gambar atau patung yang dibenarkan berada dalam rumah kita adalah gambar atau patung yang tidak bernyawa seperti gambar benda-benda mati,sungai atau perpohonan atau pemandangan alam. Gambar bernyawa yeng terpaksa dibuat seperti foto untuk kad identiti dan patung untuk permainan kanak-kanak seperti boneka juga dibenarkan. Pembuat gambar atau patung akan menerima azab yang pedih daripada Allah. Azab akan ditimpakan secara terus-menerus melalui siksaan yang amat pedih. Pada hari kiamat dia akan dipaksa mengerjakan sesuatu yang tidak mungkin dapat dia lakukan. Dia juga tidak akan memperolehi doa dan permohonan ampun malaikat rahmat kepada Allah s.w.t.

8) Rumah yang di dalamnya terdengar nyanyian dan alat muzik:-

Menurut para ulama memang sudah semestinya kita menghibur jiwa dengan nyanyian atau lagu yang menyenangkan kerana manusia memiliki kecenderungan seperti itu. Kerana Islam merupakan agama yang suci, Islam sangat memelihara jiwa manusia, menjaga kecenderungan yang dimilikinya serta menghormati fitrahnya dengan tetap menjaga kesucian Islam. Kerana itulah Islam membolehkan nyanyian tetapi bukan nyanyian batil yang penuh dengan perasaan cinta atau diiringi dengan muzik. Bahkan, Islam menganjurkan nyanyian yang diambil dari Al-Quran untuk menggantikan nyanyian yang diharamkan. Nyanyian dan muzik merupakan dua pintu yang dilalui syaitan untuk merosak hak dan jiwa manusia. Nyanyian dan muzik dapat menghalangi manusia dari Al-Quran sehingga tekun pada kemaksiatan dan kefasikan. Nyanyian dan muzik juga adalah pedoman syaitan dan menciptakan dinding yang tebal antara jiwanya dengan Allah. Nyanyian juga dapat menjadi semacam perbuatan zina yang dengannya syaitan menipu jiwa yang sedang mengerjakan perkerjaan sia-sia. Menerusi nyanyian juga syaitan memperindahkan tipu dayanya sehingga di mata manusia semua itu kelihatan indah. Seruan syaitan adalah nyanyian seruling dan alat-alat muzik yang membuat kita mensia-siakan waktu. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Akan muncul dari kalangan umatku sekelompok orang yang menghalalkan farj (perzinaan), sutera, khamar dan alat-alat muzik (seperti: gitar, biola dan sebagainya)…” Dengan demikian, jelaslah keburukan dan keharaman nyanyian itu. Nyanyian merupakan saranan syaitan untuk mengiringi hamba Allah ke lembah kemaksiatan dan kefasikan serta memalingkan manusia dari ketaatan beribadah kepada Allah.

PENUTUP
Rahmat Allah melimpah menaburkan keberkatan pada hati yang bersih. Ketenangan dan kedamaian memancarkan cahaya di dalam keyakinan dan keimanan yang kukuh yang dibawa bersama malaikat rahmat dalam kehidupan manusia yang patuh pada perintah Allah. Bagi insan yang ingkar akan merasa kegelisahan jiwa, kekurangan berkah dan mementingkan material dalam kehidupannya. Pemikiran mereka telah dikuasai syaitan dan rumah-rumah mereka juga dipenuhi iblis menggantikan kedudukan malaikat rahmat.Oleh itu, tinggalkanlah perkara-perkara yang dilarang oleh Allah,perkara bidaah yang menyesatkan kerana setiap kesesatan itu berakhir di neraka. Semoga setiap rumah muslim sentiasa dikunjungi malaikat rahmat. Insya-Allah.

------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com