Tajuk: Konsep Iman dan Kufur Dalam Teologi Islam.

Pendahuluan;

Teologi Islam merupakan suatu aspek yang membincangkan tentang ajaran-ajaran dasar dalam agama Islam. Dalam teologi islam ini juga membincangkan tentang soal ketuhanan, kerasulan, kenabian dan akhirat juga perkara yang menjadi rukun Iman. Oleh itu, setiap orang Islam haruslah memahami dan mempelajari dengan lebih mendalam berkenaan Islam supaya dapat menguatkan lagi keimanan kepada Allah s.w.t serta menghilangkan keraguan yang ada dihati atau sengaja dilakukan oleh orang-orang yang iri hati dan kurang senang terhadap agama Islam.

Selain daripada apa yang dibincangkan di atas, perkara lain dibincangkan adalah berkaitan iman dan kufur serta mukmin dan kafir juga turut dibincangkan dalam teologi Islam. Ini adalah untuk membetulkan dan menjelaskan dengan lebih terperinci berkenaan perkara tersebut.

Dengan adanya teologi Islam ini, kita akan lebih mudah memahami dan membuat tafsiran yang sebenar dalam membuat sesuatu perkara yang telah dan akan kita lakukan dalam kehidupan kita seharian. Contohnya, apabila kita ingin melakukan sesuatu perkara, kita haruslah memikirkan dan menilai terlebih dahulu baik dan buruk perkara tersebut bagi mengelakan perkara yang tidak di ingini berlaku sehingga boleh memesongkan akidah kita sebagai seorang muslim.

Pengertian Iman dan Kufur.
Iman bermaksud percaya atau yakin akan Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari kiamat/akhirat dan kepada qada’ dan qadarNya.
Perkara yang paling penting dalam iman adalah percaya akan kewujudan Allah serta percaya akan para UtusanNya yang diberikan tugas oleh Allah untuk menyampaikan amanat dariNya kepada manusia. Ini dapat di lihat dari ayat kalimah syahadat yang pertama yang diucapkan oleh setiap muslim dan setiap seseorang yang ingin memeluk agama Islam.

Firman Allah yang bermaksud:“Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah ornag-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu. ”

Keimanan kepada Allah adalah percaya akan adanya yang telah menjadikan ala mini dan pengutuskan para utusanNya untuk memberi petunjuk kepada manusia ke jalan yang benar dan diredhai olehNya. Perkara ini haruslah mengandungi tiga cara untuk mengakuinya iaitu diucapkan dengan lisan, diakui akan kebenarannya di dalam hati dan perlulah dilakukan dengan perbuatan barulah ianya sempurna.
Iman merupakan tunjang utama bagi setiap muslim yang beragama Islam. Seperti dinyatakan oleh ulama Islam mengenainya, iman itu ibarat urat(akar) pada pokok tumbuh-tumbuhan. Ini bermaksud, hubungan Islam dengan iman adalah ibarat hubungan antara pokok dengan akarnya, samalah juga dengan manusia, seseorang itu tidak akan menjadi muslim andai tanpa Iman.

Iman dapat membentuk sifat dan perwatakan seseorang manusia agar menjadi mulia dan terpuji. Ini adalah kerana Allah s.w.t amat menyayangi seseorang yang mempunyai akhlak yang terpuji dan indah dipandangan mata manusia lain dan beriman padaNya dengan melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan laranganNya.
Beriman kepada Allah adalah hubungan yang amat mulia disisi Allah s.w.t iaitu semulia-mulia hubungan antara manusia dengan Allah. Oleh itu, jika seseorang itu mendapat petunjuk dariNya hinggalah ianya taat dan patuh pada suruhanNya serta meninggalkan laranganNya merupakan suatu hidayat terbesar yang diperolehi oleh seseorang itu.
Iman bukan sekadar ucapan semata-mata yang dikeluarkan dari mulut dan lidah atau keyakinan dalam hati. Tetapi iman yang sebenar-benarnya adalah akidah dan kepercayaan yang mengisi ruang isi nurani muslim yang beriman padaNya.

Firman Allah yang bermaksud:“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka adalah syurga Firdaus menjadi tempat tinggal (nya). Mereka kekal di dalamnya, mereka tidak ingin berpindah dari padanya. ” (surah Al kahfi ayat 107-108)

Kufur ialah mengingkari Allah dalam pelbagai aspek seperti menafikan kewujudanNya serta keesaanNya, mengingkari segala nikmat yang telah diberikanNya kepada manusia. Selain daripada itu, kufur ini juga adalah mengingkari para utusanNya dan menolak seala yang dibawa oleh mereka yang datangnya dari Allah. Oleh itu, nama Kafir adalah gelaran bagi golongan yang melakukan apa yang dinyatakan diatas.
Kafir terdapat dalam enam jenis iaitu kafir Inkar, kafir Inad, kafir Junud, kafir Nifaq, kafir Harbi dan kafir Zimmi.
Kafir Inkar ialah orang yang ingkar pada kebenaran ajaran Al Quran.

Firman Allah yang bermaksud:“Mereka mengetahui nikmat Allah, kemudian mereka mengingkarinya dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang kafir. ” (surah An Nahl ayat 83)

Kafir Inad pula ialah orang yang enggan menerima kebenaran walaupun ia tahu itu adalah benar. Ini terjadi kerana hati yang keras atau degil, dan sombong hingga tidak mahu terima petunjuk dari Allah s.w.t. .
Firman Allah yang bermaksud:“Lemparkanlah olehmu berdua ke dalam neraka semua orang yang sangat ingkar dank eras kepala yang sangat menghalangi kebajikan melanggar batas lagi ragu-ragu. ” (surah khof ayat 24-25)

Selain itu, kafir Junud mempunyai maksud yang sama dengan kafir inad. Disamping itu, kafir Nifaq ialah orang berpura-pura melakukan kebaikan, tetapi hakikatnya di dalam hatinya mempunyai niat jahat. Ini bermaksud, secara luaran Nampak Islam, tetapi sebenarnya dalam hati mengingkari kebenaran ajaran Islam.
Firman Allah yang bermaksud:
“Orang-orang munafik laki-laki dan perempuan yang sebahagian dengan yang lain adalah sama, mereka menyuruh membuat yang mungkar dan melarang berbuat yang makruf. ” (surah At Taubah ayat 67)
Kafir Harbi, kata harbi berlaku dalam hukum perang. Ini terjadi jika musuh orang kafir yang dihadapi belum menyerah diri atau tidak mahu menerima perdamaian atau perjanjian dengan kaum muslim. Kafir Zimmi, kata Zimmi bermaksud beban kaum muslimin. Ini berlaku dalam wilayah yang dikuasai oleh kaum muslimin, terdapat orang kafir yang bersedia menerima perdamaian atau perjanjian yang ditawarkan oleh kaum muslimin.

Beberapa konsep tentang Iman Dan Kufur Dalam Teologi Islam.
1. Konsep kaum Khawarij.
Kaum Khawarij merupakan para pengikut Saidina Ali bin Abi Thalib yang telah keluar dari menjadi pengikut beliau. Ini adalah kerana tidak setuju akan kebijaksanaan Ali bin Abi Thalib yang telah menerima tahkim/ arbiterase (judge between two parties to a dispute). Ini adalah sebagai jalan penyelesaian sengketa tentang pimpinan pemerintahan Ali dan Mu’awiyah bin Abi Sufyan.

Perkataan khawarij ini berasal dari kata kharaja yang bermaksud keluar, kerana mereka telah pun keluar dari pimpinan Saidina Ali bin Abi Thalib.
Persoalan tentang konsep kufur dalam golongan kaum khawarij terdapat percanggahan pendapat sehingga menyebabkan berpecah kepada beberapa golongan.
Menurut golongan Khawarij al Muhakkimah, Ali, Muawiyah, menyetujui arbitrase bersalah dan telah menjadi kafir. Mereka menyatakan bahawa sesiapa yang berdosa besar hukumnya adalah kafir. Contoh perbuatan tersebut ialah seperti berzina, membunuh sesame manusia tanpa alasan yang kukuh dan sebagainya.
Golongan Khawarij Al Azariqah pula tidak menggunakan perkataan kafir tapi musyrik. Dalam Islam, musyrik ialah dosa yang amat besar, malah lebih besar dosanya dari kufur. Menurut Al Azariqah, sesiapa yang tidak sefahaman dengan mereka dianggap musyrik. Selain itu, sesiapa yang sefahaman dengan beliau tapi enggan pindah ke kawasan mereka juga akan dianggap musyrik. Ini adalah kerana, mereka berpendapat hanya kawasan mereka adalah Islam.
Bagi golongan Khawarij Al Ajaridah yang merupakan pengikut Abdul Karim bin Ajrad, mereka menyatakan bahawa ibu bapa yang telah menjadi musyrik tidak akan mengakibatkan anak-anak mereka yang tidak berdosa juga menjadi musyrik.

Pada pandangan golongan Khawarij Al Ibadiah yang merupakan pengikut Abdullah bin Ibad, orang yang tidak sefahaman dengan mereka akan dianggap bukan mukmin dan bukan musyrik, tetapi kafir. Dengan ini mereka boleh mengadakan hubungan perkahwinan dan warisan. Mereka tetap akan diterima dan haram jika dibunuh. Menurut mereka, orang Islan yang melakukan dosa besar adalah seorang Muwahhid (orang yang mengesakan Tuhan), tapi tidak termasuk mukmin. Jika ianya termasuk kafir, mereka akan mengingkari nikmat yang dikurniakan oleh Allah.

Terdapat juga pendapat kaum Khawarij yang berbentuk ekstrem dan moden. Malah ada juga yang tidak berperikemanusiaan yang disebabkan oleh kejahilannya hingga membolehkan anak-anak orang musyrik dibunuh.

2. Konsep Asyariah.
Nama Asyariah ini adalah diambil dari nama pengasasnya sendiri iaitu, Abu Hasan Ali bin Ismail al Asyari. Beliau menjadi tokoh Ahli As Sunnah wal Jamaah bersama Abu Mansur al Maturidi dalam bidang teologi Islam. Ini ada dinyatakan dalam keterangan yang dikemukaan oleh Prof. Dr. Harun Nasution iaitu:
“Apa yang dimaksudkan dengan Ahli Sunnah dan jemaah dalm teologi Islam ialah kaum Asyariah dan kaum Maturidi”.
Al Asyari membuat pernyataan mengenai konsep Iman ialah pengakuan dalam hati tehadap keesaan Allah s.w.t dan kebenaran utusan-utusanNya serta apa yang dibawa oleh mereka. Melaksakan rukun-rukun Islam adalah sebahagian daripada syarat untuk kita menyatakan bahawa iman kita telah lengkap. Seseorang yang bergelar Islam yang melakukan dosa besar dan apabila mati tanpa bertaubat kepada Allah s.w.t, maka ini adalah bergantung pada kehendakNya untuk mengampunkan dosanya atau tidak. Kemudian itu Allah akan menyiksnya sesesuai dengan dosa yang telah dilakukannya. Setelah semua dosanya terhapus barulah ia dimasukan ke dalam syurga, kerana pastinya ia mempunyai kebaikan dan tidak kekal di neraka sahaja.
Menurut Al Asyari, segala perbuatan manusia bukannya diwujudkan oleh manusia itu sendiri tapi ianya adalah diciptakan oleh Tuhan. Selain itu orang Islam yang melakukan dosa besar tetap seorang muslim kerana imannya masih ada, namun disebabkan dosa besar yang dilakukannya ia menjadi fasik.

3. Konsep Al Maturidiah.
Nama Al Maturidiah adalah berasal dari pengasasnya iaitu Abu Mansur al Maturidi yang merupakan pengikut kepada Abu Hanifah. Ini adalah kerana kebanyakan dari fahaman dan ajarannya mempunyai persamaan dengan Abu Hanifah.
Menurut pandangan al Maturidi, iman merupakan kepercayaan di dalam hati yang dinyatakan secara lisan. Manakala ketaatan pada perintah-perintah Allah adalah dating dari iman. Maka mereka yang melanggar perintahNya dan tidsak taat padaNya bukan menjadi kafir.
Dalam hal ini, al Maturidiah adalah sefahaman dengan al Asyariah, yang mengatakan bahawa orang yang melakukan dosa besar masih lagi bergelar mukmin dan dosa besar yang dilakukannya itu akan ditentukan balasannya oleh Allah s.w.t di akhirat kelak.

Kesimpualan:
Iman merupakan percaya akan tuhan yang bersifat maha esa, kepada para utusanNya dan percaya serta membenarkan dalam hati akan segala apa yang dibawa oleh mereka (utusan Allah). Iman dan amalan baik atau akidah dan syariat, adalah saling berkaitan antara satu sama lain dan ianya tidak boleh dipisahkan.
Kufur pula adalah mengingkari Allah s.w.t, sama ada dari segi kewujudanNya, nikmat yang diberikanNya, mengingkari utusan Allah s.w.t serta segala yang dibawa oleh utusanNya dan menolak atau menafikan segala kebenaran dan suruhan dari Allah s.w.t yang disampaikan kepada manusia.
Kaum Khawarij al Muhakkimah menyatakan orang Islam yang melakukan dosa besar adalah kafir. Bagi Al Najdat mereka masih dibezakan antara pengikutnya sendiri atau bukan. Al Najdat mendefinisikan kafir sebagi orang yang tidak mengetahui Allah, para utusanNya dan segala apa yang mereka bawa. Al Sufriah lebih keras sikapnya kepada orang Islam yang melakukan dosa besar dinyatakan sebagai musyrik. Syirik adalah dosa yang terbesar dalam Islam yang tidak akan dapat diampuni oleh Tuhan.
Kaum Murjiah mengertikan iman itu sebagai tasdik yang ada dalam hati sahaja, sedang amal perbuatan sebagai hakikatnya adalah sebagai refleksi iman seseorang tidak dipentingkan. Amal perbuatan baik atau buruk menurut anggapan Murjiah tidak ada pengaruhnya terhadap iman seseorang.
Muktazilah memendang orang Islam yang berbuat dosa tidak kafir dan tik mukmin, tetapi fasik yang kedudukannya di atas orang kafir dan berada di bawah orang mukmin. Menurut Muktazilah, iman itu mengandungi tiga unsure iaitu, diucapakn dengan lisan, diakui dalam hati dan dilaksanakan dengan amal perbuatan. Seseorang yang mengakui bahawa ada sesuatu yang menyamai Tuhan seperti ketuhanannya maka orang itu menjadi musyrik.
Menurut Asyariah dan Maturidiah, iman juga harus mengandungi tiga unsur, iaitu iman yang dinyatakan dengan lisan, diakui dalam hati, dan disempurnakan dengan melaksanakan rukun-rukun Islam. Orang Islam yang berbuat dosa tidak sampai menjadi kafir dan tidak akan keluar dari iman.

------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com