Tajuk: Beberapa Aspek Perbahasan Dalam Ekonomi Islam

0. PENDAHULUAN
Persoalan ekonomi adalah merupakan komponen penting dalam hidup Islam. Melaksanakan peraturan dan hukm- hakam ekonomi Islam adalah sama tarafnya dengan amalan- amalan lain yang terdapat dalam Islam. Bahkan dikira sebagai ibadat, akan mendapat pahala jika dilakukan dengan ikhlas. Oleh itu, ekonomi Islam adalah berasakan Al- Quran dan Al- Hadis dan kaedah feqah dan sains yang fleksibel serta mengikut perkembangan semasa. Berasal dari zaman Rasulullah S.A.W yang mudah ke arah yang lebih kompleks. Di samping mampu menggambarkan indahnya sistem Islam sesuai sepanjang zaman.

1. ASAS FALSAFAH EKONOMI.

Falsafah merupakan pengetahuan tentang pengertian satu konsep atau realiti yangdianggap sebagai dasar ilmu yang tertinggi. Falsafah inilah yang menggerakkan perlakuan setiap agen ekonomi dalam sesuatusistem serta menentukan asas ekonomi mikronya. Terdapat ahli- ahli ekonomi yang berusaha untuk memisahkan kajian ekonomi dengan pengaruh agama.

Suasana ini berbeza sekali dengan Islam yang meletakkan beberapa criteria penting dalam pembangunan falsafah dalam asas pembangunan ekonominya di antaranya:

Tauhid
Tauhid merupakan asas falsafah ekonomi Islam. Menurut Dr. Muhammad Nejatullah Siddiqi, perkara asas merupakan;
- Hubungan manusia dengan Allah.
- Hubungan manusia sesama manusia.
- Hubungan manusia dengan alam.
- Tujuan kehidupan manusia di dunia ini.

Istikhlaf
Bermaksud wakil. Manusia bertanggungjawab menjaga, mengolah, mengguna dan mengagihkan harta yang mereka miliki bagi memenuhi keperluan sesama mereka.

Ukhuwah
Memberi maksud ikatan persaudaraan. Umat Islam harus hidup dalam satu kumpulan social secara tersusun iaitu secara berjemaah sebagai satu ummah.

Tazkiyyah
Pengertiannya ialah pembersihan, dalam konteks ini ia merujuk kepada ketaatan perintah Allah S.W.T dan mengikuti petunjuknya dalam segala tindakan dan perlakuan mu’amalah.

2. PENGERTIAN EKONOMI DAN IQTISAD
Ekonomi ialah ilmu tentang perlakuan individu dan masyarakat dalam menggunakan faktor pengeluaran yang terbatas untuk menghasilkan barangan dan perkhidmatan yang diperlukan.
Ekonomi berasal daripada perkataan latin Oeconomicus, perkataan Greek Oikonomikos. Bermaksud kebijaksanaan dalam menguruskan rumahtangga. Manakala iqtisad dalam Lisan al- ‘Arab menyatakan iqtisad yang berasal dari bahasa Arab berasal daripada perkataan Qasadu/ Qasdu yang bermaksud lurus. Dalam pada lain, iqtisad datangnya dari kalimah Qasd memberi maksud jimat cermat iaitu di antara bakhil dan israf.

3. DISIPLIN DAN SKOP EKONOMI
Ekonomi merupakan satu disiplin ilmu yang berkait rapat dengan kemasyarakatan. Juga dikatogerikan sebagai Sains Kemasyarakatan yang menjurus kepada pelbagai kegiatan manusia di dalam kehidupan mereka sehari- hari.

Dari perspektif ekonomi moden ekonomi di takrif dengan berbagai pendekatan dan cara. Ada yang menyatakan ekonomi sebagai satu sains sosial yang mengkaji mengenai pengeluaran, pengagihan, dan penggunaan kekayaan.

Ekonomi Islam pula merupakan sistem Islam yang menyeluruh. Ini kerana Islam berkait dengan yang lain. Berhubungan dengan akidah, akhlak, dan praktis.

Pembersihan zahir dan batin atau al- Tazkiyyah juga menjadifalsafah hidup muslim yang berfungsi membebaskan unsur- unsur negative daripada aktiviti ekonomi. Sekiranya dihayati maka penipuan, rasuah, malas, riba’ dan sebagainya dapat dihindari.

Disiplin manusia secara kursus berkaitan dengan pelaburan manusia dalam mengeluar, mengagih, dan mengguna sumber yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T.

4. KONSEP MANUSIA EKONOMI (ECONOMIC MAN) DAN MANUSIA ISLAM (ISLAM MAN)
Konsep manusia di dalam ekonomi pasaran adalah dinilai sebagai manusia sosial, diciptakan bertujuan melaksanakan keperluan moral kemudiannya telah diubah kepada konsep manusia ekonomi.

Undang- undang Pasar Law of the Market yang dianjurkan oleh Adam Smith adalah ringkas. Sifat mementingkan diri sendiri yang terdapat dalam diri akan merangsang individu kearah persaingan.

Falsafah yang melihat manusia sebagai kejadian yang mementingkan diri, melahirkan konsep “manusia ekonomi”. Manusia akan bergantung kepada perhitungan dengan teliti dan berhati- hati kearah pencapaian kejayaan ekonomi. Pencapaian di dalam pemilikan harta berbentuk wang atau barangan adalah merupakan matlamat utama dalam kehidupan seseorang.

Sistem ekonomi Islam menjaga kepentingan yang lain tanpa melenyapkan kepentingan yang lain. Kebajikan individu dan masyarakat di jaga sebaik mungkin. Oleh itu, system ekonomi Islam semestinya berdasarkan kepada konsep keharmonian di antara kepentingan individu dan masyarakat.

Allah menyuruh hambaNya mengejar rezeki yang dilimpahkan. Segala bentuk perniagaan yang halal dan sah, termasuk jual beli, perindustrian, perdagangan dan sebagainya.
Oleh yang demikian, tebukti bahawa Islam bukanlah agama yang mementingkan hari akhirat sahaja malah mementingkan kebahagian duniawi juga. Prinsip manusia Islam sama sekali berbeza dengan konsep manusia ekonomi di antaranya:

4.1 Manusia makhluk ciptaan Allah S.W.T
Manusia dicipta mempunyai matlamat serta bersedia menerima perubahan, ekonomi Islam meletakkan manusia sebagai khalifah Allah S.W.T di bumi untuk mengabdikan diri kepada Allah S.W.T semata- mata.

Manusia mempunyai tanggungjawab dalam kehidupan, terutama bidang ekonomi dengan mengeksploitasi sumber alam sepenuhnya. Semakin giat seseorang itu dalam aktiviti ekonomi, maka lebih baik dan mulia serta mendapat tempat di sisi agama.

4.2 Manusia yang berakhlak
Dalam Islam manusia merupakan makhluk cintakan pergaulan, persahabatan, bekerjasama, tolong menolong, lindung melindungi sesame sendiri. Berbeza dengan konsep manusia ekonomi yang meletakkan kebebasan ekonomi untuk semua dan tinggalkan bersendirian bagi mencapai matlamatnya.

4.3 Manusia sebaik- baik kejadian
Manusia adalah makhluk ciptaan Allah S.W.T yang terbaik dan paling mulia. Tarafnya diangkat sebagai khalifah di bumi. Kedudukan manusia adalah penting dalam mana- mana sistem ekonomi. Manusia yang berilmu, berpengatahuan, kreatif serta berpandangan jauh sebenarnya mampu mengeksploitasi sumber alam kepada perkara yang bermanfaat dalam kehidupan.

5. KEKURANGAN RELATIF DALAM EKONOMI MODEN DAN ISLAM
Aspek ini dianggap penting kerana manusia mempunyai sifat kehendak yang tidak terbatas berhadapan dengan sumber yang terhad. Kekurangan (scarcity) bermaksud masalah atau kekurangan atau ketidakseimbangan.

Masalah asas ekonomi manusia berpunca dari hakikat bahawa kita mempunyai pelbagai kehendak yang pada umumnya tidak dapat dipenuhi melainkan jika kita membelanjakan sumber- sumber tenaga manusia dan peralatan material yang begitu terhad.

Masalah asas ekonomi Islam pula terangkum dalam aspek mikroekonomi, iaitu masalah peruntukan dan pengagihan. Masalah pilihan wujud kerana setiap pilihan mempunyai kos melepas. Secara ringkas masalah yang sering diajukan ialah:

Apakah jenis barangan dan perkhidmatan yang harus dikeluarkan dan berapa banyak?
a. Bagaimana hendak dikeluarkan?
b. Untuk siapa?
Masalah ini tidak dapat diselesaikan selagi terdapat kekurangan sumber. Penyelesaiannya, mereka memberi pilihan dengan cara membangunkan lagi sumber pengeluaran serta menyemak kembali sistem agihan tanpa mempersoalkan sama ada keperluan itu wajar bagi kehidupan manusia.

Bersaskan pandangan ekonomi konvesional, fenomena kekurangan yang wujud merupakan kekurangan secara mutlak iaitu ketidakcukupan factor pengeluaran yang tersedia di dunia.
Sekiranya sumber yang dilimpahkan Allah S.W.T mengalami kekusutan atau habis, sudah tentu keseimbangan alam akan terganggu dan memusnahkan alam.

6. KEDUDUKAN PENGGUNAAN DALAM MASALAH ASAS EKONOMI

Metodologi dan masalah asas ekonomi.
Merupakan asas penting dalam menentukan kaedah ekonomi Islam dikendalikan.
- Analisis positif
- Analisis normatif

Apakah jenis barangan dan perkhidmatan yang harus dikeluarkan
Barangan boleh didefinisikan sebagai sesuatu yang memiliki citarasa serta nilai ekonomi. Manakala perkhidmatan, melaksanakan sebarang urusan utama bagi memudahkan aktiviti pengeluaran dan pengagihan. Kehendak manusia dalam ekonomi hanya tertumpu kepada barangan ekonomi iaitu sesuatu yang melibatkan kos serta nilai dalam pasaran.

Pemilihan jenis barangan dan perkhidmatan adalah berdasarkan:
- Memenuhi keperluan hidup secara sederhana.
- Penghindaran penggunaan barangan yang dilarang.
- Penggunaan barangan ekonomi yang tidak boros, berlebihan dan membazir.
Klasifikasi keperluan manusia dalam perspektif konvensional terbahagi kepada keperluan asas, keperluan untuk keselesaan dan kemewahan.

Berapa banyak barangan dan perkhidmatan dikeluarkan
Berdasarkan penyeliaan kerajaan supaya pencapaian permintaan dan penawaran sentiasa berasaskan kepentingan.

Bagaimana barangan dan perkhidmatan dikeluarkan
Dipengaruhi oleh corak penggunaan dan juga kehendak pengguna sebagai contoh:
- Barangan dan perkhidmatan terlarang atau membahayakan tidak diminta oleh pengguna, maka pengeluaran dan peruntukan sumber akan dikurangkan.
- Disebabkan faktor harga, permintaan barangan mewah turut berkurangan menyebabkan pengeluarannya dikurangkan.
- Pengeluaran barang keperluan bertambah disebabkan barangan ini diperlukan oleh semua.

Bagaimana barangan dan perkhidmatan digunakan
Islam mengutamakan kesederhanaan. Sikap boros dan membazirkan ditentang keras oleh Islam. Antara langkah mewujudkan kesederhanaan:
- Pendidikan akhlak.
- Meyakini rezeki Allah.
- Menentukan matlamat hidup.
- Budaya kendiri.
- Pendidikan infaq

Implikasi kesederhanaan dalam penggunaan:
- Penggunaan secara sistematik.
- Keberkesanan pengagihan.
- Mengawal inflasi.
- Meningkatan tabungan
- Membantu golongan daif.
- Meningkatkan persamaan sosial.

Untuk siapa barangan dan perkhidmatan dikeluarkan
- Membantu diri sendiri dan tanggungjawab serta keluarga terdekat.
- Dipengaruhi oleh etika, norma dan perundangan yang berasaskan penghayatan falsafah tauhid kepada Allah mempengaruhi kepenggunaan individu berasa tanggunglawab memenuhi keperluan diri serta keluarga terdekat.
- Membantu masyarakat.
- Mengeluarkan belanja untuk kepentingan masyarakat yang dilakukan ke atas dasar kemanusiaan dan persaudaraan seaagama.

7. KONSEP PENGGUNAAN

Kegiatan ekonomi bergerak mengikut matlamat individu ekonomi yang telah ditetapkan. Kesemuanya bermatlamatkan kesejahteraan. Penggunaan pula berkait rapat dengan permintaan seperti juga pengeluaran dan penawaran. Pendorong utama ialah kehendaknya, sama ada masa kini mahupun masa depan. Penggunaan bukan sahaja menggalakkan individu membelanjakan pendapatannya tetapi juga mendorongnya untuk meningkatkan lagi pendapatannya.

Definisi penggunaan
Dari segi bahasa memberi maksud guna atau pakai. Dari segi istilah, perlakuan mengguna barangan dan perkhidmatan bagi keperluan semasa. Dalam Islam penggunaan atau ‘istihlaq’ boleh dinyatakan sebagai ‘itlaf ain’, iaitu melenyapkan zat dan menghilang faedahnya, denganerti mengguna pakai sesuatu benda atau barangan yang boleh memberi faedah bagi menghasilkan manfaat yang dikehendaki.

Falsafah penggunaan
Merupakan peringkat terakhir selepas aktiviti pengeluaran dan pengagihan. Pengeluaran bertujuan penggunaan. Beberapa falsafah telah dibentuk iaitu:
- KemaslahatanKeperluan: manusia bukan semata- mata berasakan kehendak yang tidak terbatas tetapi lebih kepada keperluan sebenar berasakan maslahah. Lima perkara asas iaitu nyawa, agama, akal, harta dan keturunan.
- Pemilikan Penggunaan boleh dilakukan sekiranya ada milikan: Pengabdian Penggunaan adalah aktiviti kehidupan yang tidak terlepas daripada rangka tujuan akhir kehidupan. Pengabdian diri kepada Allah S.W.T, semua harta benda yang dimiliki akan menjadipersoalan di hari akhirat.
- Amanah: Penggunaan merupakan amanah Allah S.W.T.

Prinsip kepenggunaan
Kepenggunaan dalam Islam berpandukan prinsip- prinsip berikut:
- Kebenaran/ hak: Membenarkan manusia menggunakan hanya perkara yang mendapat keizinan dari Allah, baik dari segi zat, cara, tujuan penggunaan tersebut. Yang halal akan menjadi haram sekiranya bukan kerana Allah.
- Kebersihan dan suci : Barangan yang digunakan mestilah bersih dan suci, baik, berguna dan sesuai untuk di makan. Barangan yang haram, kotor, bercampur najis, buruk atau busuk adalah barangan yang memudaratkan.
- Kesederhanaan: Islam menganjurkan pnggunaan setakat tingkat yang minimum, supaya dapat mengawal dan menahan kehendak nafsu dan tidak berlebih- lebihan.
- Kemanfaatan dan kemaslahatan:Anugerah Allah yang halal tidak salah untuk digunakan selagi ia boleh memberikan manfaat dalam bentuk ketahanan hidup, pemulihan dan pembentukan kesihatan, serta kesempurnaan dalam usaha mengabdikan diri kepada Allah.
- Kerohanian dan akhlak:Penggunaan msti dapat memenuhi etika, adat kesopanan dan kelakuan yang terpuji dengan mengenepikan sifat- sifat tercela.

Kepentingan penggunaan
Dapat meningkatkan ekonomi, manakala dalam ekonomi Islam pula mewujudkan beberapa kepentingan tertentu serta galakan pertumbuhan ekonomi antaranya:

- Bertepatan dengan kehendak Allah S.W.T : Memenohi kehendak semulajadi manusia yang sememangnya telah ditentukan oleh Allah.
- Sederhana :Penggunaan secara sederhana turut merangsangkan tabungan serta meningkatkan pengeluaran barangan kepada masyarakat.
- Etika:Mereka tidak menggunakan sumber untuk aktiviti haram seperti zina atau arak. Diminta menunjukkan kesederhanaan dalam penggunaan dan dengan itu terhindarlah daripada perangai menunjuk- nunjuk atau sombong.
- Matlamat:Menentukan matlamatnya serta mengatur pilihan terhadap barangan dan perkhidmatan secara konsisten.
- Sistematik:Menentukan agihan kekayaan Negara secara sistematik berasaskan dasar syariah.

KESIMPULAN

Islam merupakan agama yang meliputi semua aspek. Bukan sahaja dari rohani hinggakan ke jasmani, bahkan merangkumi aspek ekonomi yang mana ia merupakan salah satu teras dalam kehidupan. Islam turut mementingkan kebahagiaan bersama dalam apa jua keadaan, penindasan dan penipuan bukanlah ciri- ciri Islam sebaliknya konsep “welfare” adalah keutamaan yang dipegang dan diamalkan dalam Islam. Ini kerana, setiap apa yang dilimpahkan oleh Allah S.W.T adalah untuk perkongsian bersama dan bukanlah milikan seorang sahaja.

Oleh itu, kita sebagai khalifah dibumi perlulah bersama- sama mengkaji, mengolah, dan mengeksploitasi dalam setiap sumber yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. Dengan cara inilah manusia dapat memajukan diri, masyarakat dan juga ekonomi sejajar dengan seruan Nabi Muhammad S.A.W dan juga firman Allah S.W.T.

------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com