Tajuk: Siapakah Munafiq Yang Bergelar Munafiq

PENDAHULUAN

Istilah munafiq sering diperkatakan tetapi kita jarang sekali merenungkan tentang bahaya yang akan ditimbulkan dari sifat ini. Munafiq adalah sebutan bagi orang yang berbuat atau bersifat nifaq. Ada pun nifaq mulanya bermakna lubang tempat persembunyian di bawah tanah, lubang perlindungan dari udara, atau sejenisnya. Makna itu kemudian berkembang. Munafiq bermaksud orang yang menyembunyikan kenyataan untuk mengecoh.

Secara sederhana, munafiq adalah orang yang ucapannya (lisannya) bertentangan dengan hatinya. Di mulut memuji, di hatinya mencela. Lidahnya membenarkan, di hatinya menyalahkan. Antara zahir dan batin selalu bertolak belakang.

Menghadapi orang kafir lebih mudah jika dibandingkan orang munafiq. Golongan orang kafir menyatakan terang-terangan dengan tidak mengakui adanya Allah dan tidak menerima Muhammad itu rasullullah.

Menurut Al-Quran, orang munafiq itu mulutnya mengakui beriman, mengakui adanya Allah dan menerima bahawa Nabi Muhammad itu utusanNya. Namun hatinya tidak ikhlas, timbul keragu-raguan dan dalam diam-diam dia sebenarnya menolak pengakuan itu. Amalannya nampak baik, ibadahnya nampak rajin tetapi hatinya merasa berat.

Firman Allah SWT:Ertinya : “ Dan sebahagian dari manusia ada yang berkata: “ Kami percaya kepada Allah dan Hari Kemudian, padahal tidaklah mereka orang-orang yang beriman”(Al-Baqarah:8)

Kepura-puraan memang dapat menipu orang-orang beriman tetapi tidak mungkin dapat memperdayakan Allah. Ingat, Allah maha mengetahui apa yang kita lahirkan (ucapkan /kerjakan) dan apa yang kita sembunyikan didalam hati.

Terhadap orang-orang munafiq ini Allah menganggap hati mereka itu terdapat penyakit, dan Allah akn menambah penyakit itu. Kerananya orang-orang munafiq mendapat ancaman berupa azab yang sangat pedih (Al-Baqarah:10). Penyakit yang ada didalam hati orang munafiq ialah perasaan berbangga diri atau mengagumi dirinya sendiri, misalnya merasa lebih pintar dan sebagainya.

SIFAT-SIFAT ORANG MUNAFIK

1. KHIANAT
• Allah SWT berfirman:Bermaksud: “ Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Nabi Muhammad SAW) dan juga janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu sedang kamu mengetahui ” (Al-Anfal:27)

“ sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berkhianat ”(Al-Anfal:58)

• Tanda-tanda orang-orang munafiq :
I. Orang yang memungkiri janjinya.
II. Orang yang pecah amanah
III. Orang yang bercakap bohong.

2. KIKIR (BAKHIL)
Setiap orang memiliki naluri kikir. Kikir dapat dilemahkan dengan cara menanamkan kesedaran hati dan menjalankan syariat dengan penuh tegas. Seorang muslim yang taat tentu memiliki kesedaran untuk bersedekah, kerana dalam islam diajarkan tentang akhlak mulia itu. Dengan itu sifat kikir dapat dikalahkan. Allah SWT berfirman bahawa orang yang kikir itu disebut sebagai orang yang menggenggam tangan (orang yang sangat kikir). Sesungguhnya hati orang munafiq itu sudah terpecah antara keraguan dan keyakinan atas kekuasaan Allah. Hati mereka selalu bimbang, khuatir terhadap kemelaratan.

Menurut Prof Buya Hamka dalam tafsirnya Al-Azhar, kikir merupakan perangai orang-orang yang enggan mengeluarkan hartanya, merasa berat bercerai dengan wangnya, sangat sayang kepada wangnya terutamanya untuk membantu orang yang kesusahan dan fakir. Kerana kikirnya itu sehingga sanggup membiarkan orang yang meminta pertolongan pulang dengan hampa.

Menurut penyelidikan ilmu jiwa, bahawa penyakit syuhhah atau bakhil ini merupakan naluri manusia, yang dalam bahasa arabnya disebut ghariizah atau orang-orang barat menyebut instinct.

Keburukan sifat kikir banyak terdapat didalam Al-Quran. Sesungguhnya Allah sangat benci pada orang yang kikir dan sombong. Bahkan harta yang disayangi dan menyebabkan kikir kelak diakhirat akan menjadi seksaan baginya.

Rasulullah bersabda: “Dermawan itu laksana pohon yang tumbuh di syurga, kerana itu tidak akan masuk ke syurga kecuali orang yang beriman. Dan bakhil itu adalah pohon yang tumbuh di neraka, maka tidak akan masuk kedalam neraka kecuali orang yang bakhil. ”
Orang yang kikir selalu menganggap bahawa harta yang ada pada dirinya itu adalah semata-mata miliknya. Sehingga ia menganggap itu kerana hasil kepayahannya dalam bekerja. Mereka lupa bahawa harta kekayaan itu amanat, amanah dari Allah. Jika Allah ingin menariknya kembali, dia akan lenyap dengan sekelip mata.

Allah SWT berfirman yan bermaksud:“ Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingati Allah; dan barang siapa yang berbuat demikian, maka itulah orang yang rugi. ” (Al-Munafiqun:9)

3. BERHATI DENGKI
Salah satu dari sifat orang munafiq adalah dengki. Dalam dadanya tersimpan kebusukan. Ia suka apabila melihat orang lain menderita tetapi benci melihat kebahagiaan orang lain. Hatinya itu di penuhi dengan keinginan agar kebahagiaan itu dapat dinikmatinya sendiri.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Jika kamu mendapat sesuatu kebaikan, mereka menjadi tidak senang kerananya. Dan jika kamu ditimpa sesuatu bencana, mereka berkata:“ Sesungguhnya kami sebelumnya telah perhatikan urusan kami (tidak pergi berperang) dan mereka berpaling dengan rasa gembira” (At-Taubah:50)

Orang yang dengki itu akan dibenci Allah kerana dianggap menentang kehendakNya. Orang yang berhati dengki itu akan selalu merasa tidak senang. Imam ghazali mengatakan bahawa hasad (dengki) merupakan natijah dan sifat dendam yang terkutuk dan sangat tercela.

Sebab-sebab dengki adalah kerana mereka menganggap diri mereka hebat. Dia menganggap dirinya sebagai orang istimewa dan dirinya melebihi dari orang lain. Jika ada orang lain yang “mengalahkan” dirinya, maka dia akan sakit hati. Adalah ciri orang munafik itu senang apabila melihat orang lain gagal.

4. SUKA KEMUNGKARAN DAN MENCEGAH MAKRUF
Orang munafik itu hampir sama dengan orang kafir. Bezanya orang kafir itu nyata-nyata tidak mengakui kebenaran adanya Allah dan menentang ajaran nabi Muhammad S.A.W. menghadapi orang munafiq adalah lebih sulit. Lahiriah ia nampak muslim, tetapi hatinya sebaliknya.

Secara lisannya ia berikrar dan bersaksi dengan dua kalimah syahadah. Tetapi semua itu hanya sekadar di hujung lidah sahaja. Kalu ia melakukan ibadah pun hanya kerana takut dirinya disisihkan orang-orang yang soleh. Atau ibadah yang dikerjakan kerana ingin dianggap sebagai seorang yang taat.

Firman Allah:Ertinya; “Hendaklah ada diantara kamu manusia yang menyerukan kebaikan dan menyuruh yang makruf serta membasmikan Kemungkaran, itulah amalan manusia yang beruntung”. (Ali-Imran:104)

Seruan itu ditujukan kepada setiap muslim yang beriman. Jika manusia sama-sama menegakkan amar makruf nahi munkar, maka kehidupan di muka bumi akan berjalan dengan aman dan damai. Tetepi jika seorang muslim menutup matanya terhadap kemungkaran yang terjadi, padahal ia mampu meluruskannya, maka Allah menganggap mereka sebagai manusia yang buruk perangainya.

“ Mereka tidak saling melarang kemungkaran yang mereka lakukan, sungguh buruk perbuatan mereka” (Al-Maidah;79)

5. MALAS MELAKUKAN IBADAH
Bagi orang-orang munafiq, amalan-amalan ibadah yang dilakukan olehnya hanyalah sekadar menjalankan perintah Allah dan menghindarkan diri dari amalan seksa. Mereka menyedari bahawa meninggalkan perintah ibadah itu berdosa. Supaya mereka tidak mendapat dosa itu, mereka pun melakukan ibadah.
Mereka tidak pernah terfikir untuk mendapatkan lebih daripada pahala yang mereka dapati. Tiada dorongan yang mampu mengghairahkan amal ibadatnya.
Orang-orang seperti ini sering kali menganggap senang terhadap syarak. Meraka suka menjamakkan solat dengan alasan sebagai musafir. Padahal, kota yang di tempuh tidaklah sehingga 2 jam. Begitu juga dengan solat jumaat. Ada yang memberikan alasan bahawa mereka dalam perjalanan padahal setiap perhentian dan disediakan masjid. Beribadah kepada Allah adalah kewajipan. Seorang muslim harus melakukannya dengan rajin, senang hati dan ikhlas, maka imannya kepada Allah tidak diragukan lagi. Ketekunan ibadah merupakan kayu ukur, sejauh mana keimanan seseorang. Seorang munafiq tidaklah demikian. Kalu ibadahnya rajin, maka hal itu dilakukan dengan keterpaksaan. kerana takut di ejek sesama muslim.

Firman Allah SWT: Ertinya;“ Sesungguhnya orang-orang munafiq itu menipu Allah dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk solat, mereka akan berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riyak (dengan solat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali. ”(An-Nisa:142)

Orang-orang munafiq itu tidak hanya malas dalam menjalankan solat, tetapi begitu juga dalam menjalankan ibadah-ibadah lain. Ia enggan berzikir, baik secara lisannya mahupun berzikir setiap waktu.

Jikalau kita sulit untuk mengingati dosa bererti tidak takut kepada Allah. Rasulullah SAW bersabda” Kebekuan mata itu berasal dari gelapnya hati, gelapnya hati itu berasal dari banyaknya dosa, banyaknya dosa itu akibat daripada lupanya kematian, lupa kematian itu akibat dari angan- angan yang panjang, akibat dari kesenangan dunia. Sedangkan senang di dunia merupakan pangkal segala kesalahan. ”

Orang munafiq jarang sekali berdoa dan meresapi doanya. Semua itu disebabkan hatinya telah beku kerana ditutupi oleh nafsu. Selanjutnya, ia enggan menerima kebenaran dan tertutup hidayah. Suka berkhayal dan mempunyai rencana-rencana besar. Semuanya untuk kepentingan duniawi.

Agar orang muslim tidak terjebak dengan gejala munafiq, mereka hendaklah menyedari umur yang dikurniakan Allah itu harus dimanfaatkan untuk kepentingan-kepentingan utama. Yakni kepentingan dunia dan akhirat harus diselaraskan. Jika kita mendahulukan kepentingan duniawi, maka kepentinhan akhirat akan berkurang. Berlebih-lebihan mencari harta dan mencintai dunia akan membutakan hati. Hal ini perlu sentiasa diperingat agar kita tidak akan terjebak dalam kesibukan-kesibukan yang menyita waktu.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:“Memperbanyakkan harta itu telah melalaikan kamu. Kemudian anak adam berkata” hartaku, hartaku. Tidak ada bagimu hartamu itu kecuali harta yang engkau makan, lalu engkau rosakkan, atau harta yang engkau pakai, lalu engkau usangkan atau harta yang engkau sedekahkan lalu kemudian engkau kekalkan. ”

6. MENYAKITI DAN MENCACI SESAMA MUSLIM
Kecenderungan orang munafiq, diam-diam ia membenci seorang muslim, terutamanya muslim yang taat. Di belakang, ia akan mencaci dan mengumpatnya. Walaupun nampaknya ia sendiri sebagai seorang muslim, tetapi muslim yang munafiq. Padahal mencaci dan menyakiti sesama muslim itu besar dosanya kerana muslim itu saudara dan seperti 1 tubuh dengan kita.

Salah satu bahagian tubuh yang dicubit, maka yang lain ikut merasakan sakit. Persaudaraan muslim sudah diikat dengan dua kalimah syahadah. Ada keseragaman dan kesamaan pandangan hidup mahupun akidah. Kerana itu, sebenarnya muslim itu satu saudara. Tetapi umat islam seringkali berpecah belah. Ini adalah akibat daripada orang-orang munafiq yang tidak suka melihat kebaikan-kebaikan yang tumbuh subur di muka bumi. Sudah menjadi sifatnya, yang sering menimbulkan kerosakan dengan dalih perbaikan. Di hembuskan kata-kata dusta agar mereka terpecah dan bekelompok. Dtiupkan fitnah agar sesama muslim saling menzalimi, saling membenci dan puncaknya, saling membunuh.

Sebagai seorang muslim, kita hendaklah sedar bahawa mengumpat sesama muslim adalah sangat dilarang. Jika orang itu benar-benar melakukan dosa atau kesalahan besar, kita tidak boleh menceritakannya kepada orang lain. Orang muslim sentiasa menjaga kehormatan sesama saudara muslim lainnya.
Nabi bersabda: “ Setiap muslim terhadap muslim yang lainnya itu haram darah, harta dan harga dirinya. ”
Sikap caci-mencaci itu adalah haram. Mengungkap keburukan orang lain juga disebut ghibah. Ghaibah bermaksud apabila kita mengungkapkan keadaan kawan kita sedangkan kawan kita benci tentang pengungkapan hal itu.

7. SUKA MEMUNGKIRI JANJI
Salah satu tiga ciri utama orang munafiq ialah bila berjanji diingkari. Padahal mengingkari janji adalah dosa yg sangat besar. Janji merupakan sesuatu ketetapan yang dibuat dan untuk di laksanakan sendiri. Terhadap janji, sekalipun kita menyusunnya maka tidak akan boleh lepas darinya, tapi pasti kita akan dituntut untuk menepatinya.

Janji yang telah diucapkan harus benar-benar dilaksanakan secara sempurna. Seorang muslim dituntut untuk setia terhadap janjinya, baik ikrar kepada Allah berupa pengakuan dua kalimah syahadah mahupun sesama manusia. Setia menepati janji dan melaksanakan dengan sempurna merupakan bahagian daripada iman. Syariat islam menuntut dengan tegas kepada muslim untuk menunaikan janji yang telah disepakati. Menepati janji hukumnya wajib. Kerana itu jika mengingkarinya, maka berdosa besar. Sesungguhnya orang yang suka mengingkari janjinya itu adalah kerana hatinya rapuh dan imannya tipis. Sebahagian ulama’ juga ada mengatakan bahawa orang yang ingkar janji itu adlah kerana hatinya tertutup oleh kekufuran. Seringkali dengan senjata “insyaAllah” dijadikan alat untuk pengingkaran janji. Firman Allah SWT:Bermaksud; “ Dan penuhilah janji, sesungguhnya janji itu diminta pertanggungjawaban Israk: 34.

Akhlak yang mulia merupakan buah dari keimanan. Puncak akhlak adalah dapat dipercaya pada janjinya. Ertinya, seorang itu melaksanakan janji yang pernah diucapkan atau disepakati. Jadi, menunaikan janji termasuk dalam ketakwaan dan keimanan kepada Allah. Sedangkan, orang yang suka mengingkari janji bererti tidak amanah. Sebaliknya ia menyandang panggilan khianat.
Hilangnya sifat amanah dan tidak menepati janji tandanya kemerosotan iman dan jatuhnya diri dari ketaqwaan. Dari Abdullah bin Umar r. a bahawasanya Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barangsiapa yang melepaskan satu jengkal dari ketaatan (kepada Allah) maka di hari kiamat dia akan bertemu Allah tanpa membawa alasan. Dan barang siapa yang mati dan di lehernya tidak terdapat janji baiat kepada Allah, maka ia mati dalam keadaan jahiliah. ” Hadith riwayat muslim.

8. BERCAKAP BOHONG
Islam mengajar agar seorang muslim mampu menjaga, memelihara dan mengekang lisannya. Apa yang terucap dari lidah maka akan berkesan besar. Jika ucapan itu tidak benar, maka akan menimbulkan fitnah. Sebuah hadith menerangkan, diam itu emas, bicara itu perak. Ertinya diam itu lebih baik daripada bicara (yang tidak ada manfaatnya). Jika tidak dikendalikan, lidah cenderung untuk melontarkan ucapan yang kurang bermanfaat. Bahkan, jika dibiarkan, lidah akan cenderung pada dusta. Adapun dusta adalah menyatakan sesuatu yang tidak sesuai dengan kenyataan yang sebenarnya.

Salah satu ciri orang munafiq adalah bila bicara banyak bohongnya. Sedangkan mereka menonjolkan diri mereka sebagai seorang muslim. Tetapi kita seringkali berenang-renang dalam lautan kebohongan. Biasanya fakta yang ada kemudian ditambahi agar nampak manis dan sedap di dengar. Seorang muslim harus berusaha mempertahankan kejujuran. Benar dikatakan benar. Kejujuran seorang muslim merupakan kebenaran yang menjadi landasan iman dan kenyataan sehari-harian. Selama mana mereka memilih jalan kebenaran, yakni beriman dengan Allah, mengetahui rahsia kehidupan, maka ia harus merempuh jalan kejujuran. Bentuk kejujuran itu dapat direalisasikan melalui pengucapan dan perilaku sehari-hari.

Muslim sejati akan sedar bahawa pembohongan adalah bahaya yang merosak akidah dan amal soleh. Oleh itu, mengikuti sunnah Rasul itu adalah keharusan yang tidak boleh ditawar-menawar. Salah satu dari sifat mualia baginda adalah berkata jujur. Ingatlah sabda nabi, “setiap mukmin diciptakan dengan segala kelemahan, kecuali khianat dan dusta” Dusta atau bohong termasuk ke dalam dosa besar. Tetapi kita seringkali bermain-main dengan kebohongan, sekecil apapepun sudah menimbulkan dosa besar. Oleh itu, mereka meminta agar laknat Allah di timpa pada orang-orang yang berdusta.

PENUTUP.
Setiap umat islam perlulah menjauhkan diri mereka dari sifat-sifat munafiq kerana munafiq membolehkan iman kita goyah dan mungkin akan menyebabkan kita payah untuk mengawal tingkah laku. Munafiq juga merupakan dosa yang sangat besar kerana mereka hanya pandai berpura-pura menyorokkan kebenaran dan menzahirkan penipuan.


------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com