Tajuk: Wanita Solehah Sebagai Isteri

PENDAHULUAN

MENCARI calon isteri bukanlah suatu perkara mudah seperti membeli barang di pasar atau pasar raya. Setiap orang inginkan bakal isteri yang sempurna dalam banyak perkara. Islam sendiri menggariskan beberapa ciri dalam memilih calon isteri bagi kebahagiaan yang berkekalan.

Nabi Muhammad SAW ketika ditanya oleh para sahabat mengenai ciri wanita idaman yang diperlukan oleh seorang suami, Baginda menjawab, “Wanita yang menyenangkannya ketika dilihat. Wanita yang mentaatinya ketika disuruh dan wanita yang tidak mengkhianatinya (tiada curang). “Dan, wanita yang tidak mengkhianati hartanya pada perkara yang dibenci. ” (Riwayat Abu Daud dan Nasaii)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Sebaik-baik wanita ialah sesiapa yang dapat menggembirakanmu apabila dilihat, mentaatimu apabila disuruh dan menjaga dirinya serta hartamu apabila kamu tiada. ” (Riwayat A-Tabrani)

Sifat yang perlu diberi keutamaan mencakupi raut wajah yang menyenangkan, akhlak baik terhadap suami, amanah dan setia. Raut wajah yang menyenangkan meliputi dari semua segi iaitu kecantikan, senyuman dan tutur kata ketika berbicara. Faktor sedemikian kerapnya sangat dititikberatkan oleh kebanyakan lelaki dalam soal memilih pasangan hidup.

Dalam satu hadis lain, Rasulullah SAW bersabda, “Nikahilah wanita dalam empat kategori: Hartanya, keturunannya, kecantikannya, agamanya. Pilihlah wanita yang mempunyai agama kerana dia akan menjagamu. ” (Riwayat Shaihan). Hadis ini menggalakkan seseorang itu memilih isteri dari kalangan wanita yang mempunyai agama iaitu yang beragama Islam dan mengamalkannya.

Perkahwinan yang berdasarkan kepada kecantikan semata-mata tidak digalakkan oleh Islam. Seseorang itu perlu mengambil kira semua faktor sebagaimana maksud hadis diatas.

Kecantikan seseorang wanita tanpa disertai dengan akhlak baik, tidak akan menepati ciri-ciri wanita solehah. Hasil perkahwinan yang dilangsungkan atas dasar kecantikan paras rupa semata-mata berkemungkinan tidak mendatangkan kebahagiaan dan kegembiraan.

Dalam Islam, kecantikan tidak bermaksud hanya keelokan paras rupa saja, malah meliputi semua perkara. Kecantikan juga termasuk dalam soal akhlak, budi pekerti, kasih sayang dan persefahaman. Inilah yang dimaksudkan sebagai kecantikan sebenarnya, malah faktor inilah juga yang perlu diambilkira dalam memilih calon isteri.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Apabila Allah Taala mewujudkan dalam jiwa salah seorang dari kamu seorang wanita, maka lihatlah kepadanya. Sesungguhnya, dengan melihat akan memberi kebebasan kepada kamu berdua untuk berkasih sayang. ”

Dalam riwayat lain pula daripada Mughairah bin Su’bah ketika dia ingin meminang seorang wanita dan dikhabarkannya kepada Rasulullah SAW, Baginda bersabda bermaksud, “Lihatlah dia! Sesungguhnya, dengan melihat akan memberi kepada kamu berdua kebebasan untuk berkasih sayang. ” (Riwayat At-Tarmizi, Nasaii dan Ibnu Majah).

Hadis di atas, bersesuaian dengan kehendak Islam, kerana Islam menggalakkan seorang lelaki melihat muka dan dua tapak tangan seorang wanita sebelum memilihnya sebagai isteri. Dengan melihat sendiri barulah boleh dibuat penentuan sama ada berkenan atau sebaliknya dengan calon itu.

Sehubungan itu, wajah memainkan fungsi penting dalam pemilihan calon isteri. Ia boleh merangsangkan hubungan kasih sayang di antara suami dan isteri. Dengan cara ini, kekesalan pada kemudian hari tidak akan timbul. Kita juga perlu maklum, akhlak agama dan harta tidak dapat dinilai dengan pandangan, melainkan kecantikan saja yang dapat dinilai ketika itu. Justeru, dalam memperkatakan mengenai status wanita idaman, agama sepatutnya menduduki tempat pertama, selepas itu barulah diikuti oleh kecantikan paras rupa.

Pada prinsipnya, Islam amat menitikberatkan kecantikan dalam pemilihan calon isteri. Namun begitu, ia dinilai selepas wanita itu memiliki agama dan mentaatinya. Menilai erti kecantikan ini barangkali ada perbezaan di antara seorang dengan seorang yang lain. Oleh itu, jalan yang dikira mudah ialah terserah kepada individu itu sendiri. Jika mereka tertarik dan cukup berkenan dengan raut muka, tingkah laku dan budi pekerti, wanita itu sewajarnya memadai dinilai di segi kecantikan dirinya.

Kecantikan isteri sebagaimana penilaian sendiri, dapat menambahkan kebahagiaan rumahtangga dan menambat hati suami. Kasih sayang di antara suami isteri akan menimbulkan kemesraan. Wanita yang mempunyai paras rupa baik dan menarik dianggap sebagai wanita mempunyai keberkatan. Ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, “Sesungguhnya, sebesar-besar keberkatan bagi seorang wanita ialah mereka yang mempunyai paras rupa dan rendah maharnya (mas kahwin). ”

Sungguhpun demikian, perlu juga ditegaskan paras rupa yang menarik tiada bernilai jika tidak disertakan dengan agama dan akhlak.

Sebagai kesimpulan dapatlah dikatakan, jika wanita yang dikahwini mempunyai ciri-ciri wanita solehah, sementara suami pula ialah lelaki beragama dan benar-benar mengamalkannya, insya Allah, rumahtangga yang dibina tiada banyak halangan untuk memperolehi kebahagiaan dan keberkatan dalam kehidupan berkeluarga.

CIRI-CIRI WANITA SOLEHAH SEBAGAI ISTERI

AL WALUUD (SUBUR TIDAK MANDUL)

Wanita yang boleh melahirkan zuriat adalah menjadi wanita idaman oleh hampir setiap lelaki, walaupun tidak dapat dikatakan secara keseluruhannya. Wanita yang dapat melahirkan zuriat juga tergolong dalam kelompok wanita mendapat keberkatan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Kahwinilah wanita yang manja dan tidak mandul!” (Riwayat Abu Daud dan Nasaii).

Wanita yang boleh melahirkan zuriat adalah wanita yang menjadi pilihan untuk dijadikan isteri, kerana dalam sesebuah perkahwinan anak yang dilahirkan itu dapat menjadi pengikat atau penambat kasih sayang dan kerukunan rumahtangga.

Rasulullah SAW juga berbangga mempunyai umat ramai. Justeru, adalah perlu lelaki Muslim memilih calon isteri yang berketurunan boleh melahirkan zuriat, kerana dengan adanya anak boleh menambahkan ikatan kasih sayang di antara suami isteri.

AL WADUUD (RASA CINTA)
Iaitu yang besar cintanya kepada suami. Perkara ini telah dapat kita ketahui pada saat ia menentukan mas kahwin ataupun hantaran. Dalam Islam, wanita yang meminta mahar atau mas kahwin rendah (berpatutan) adalah dianggap wanita yang mendapat keberkatan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Sesungguhnya, sebesar-besar keberkatan bagi seorang wanita ialah mereka yang mempunyai paras rupa dan rendah mahar (mas kahwinnya). ”

Wanita yang meminta mas kahwin berpatutan menjadi wanita idaman kepada kebanyakan lelaki. Ini kerana secara simboliknya ia memperjelaskan sikap wanita yang tidak mementingkan harta, malah lebih penting lagi mencerminkan sikap wanita itu sendiri tidak tamak, sebaliknya pandai berjimat cermat dalam urusan rumah tangga.

Bagi wanita yang meminta mas kahwin tinggi, mereka akan sentiasa mementingkan harta dan kedudukan. Pada mereka, wang adalah kesayangan mereka yang utama berbanding suami sendiri. Oleh kerana mementingkan harta, mungkin suaminya akan sentiasa didesak untuk menyediakan setiap kemudahan dan kesenangan tanpa memikirkan keupayaan suami. Jika keadaan seperti ini berlaku, si suami pasti akan tertekan dan kecewa oleh sikap isteri yang tidak mahu memahami hakikat keupayaan suami.

AS SITTIRAH (MENYIMPAN RAHSIA)

Iaitu pendiam atau menyimpan rahsia dengan kuat. Kerana isteri merupakan tempat tertumpahnya perasaan dan keluh kesah suami, maka seorang lelaki akan melihat apakah pasangannya seorang wanita yang suka bebicara dan membuka rahsia orang. Atau seorang pasangan yang sentiasa mulutnya dari berkata yang tidak bermanfaat.

Wanita yang senang membincangkan perkara yang kecil-kecil pun merupakan gambaran bahawa ia seorang yang senang membuka rahsia suaminya. Seorang isteri yang baik hendaklah menjaga rahsia dan masalah-masalah suaminya, jangan mudah menceritakan kepada sesiapapun tentang keperibadian suaminya. Jika ia ingin menceritakan juga, maka sampaikanlah perkara yang baik-baik.

Seorang isteri hendaklah tinggal diam di rumah suaminya, jika ingin keluar rumah hendaklah dengan izin suaminya, atau dalam keadaan yang terpaksa seperti ke klinik, hospital dan perkara yang penting lainnya. Janganlah kaum wanita suka berkunjung ke rumah tetangga kemudian membuka aib dan rahsia keluarga sendiri atau mengumpat orang lain. Itulah sebabnya Islam menyuruh agar memilih calon isteri yang mampu menyimpan rahsia dengan baik.

AL ZIIZH FIIL AHLIHA (TEGUH PENDIRIAN)
Sifat ini iaitu teguh dalam menghadapi bencana rumahtangga. Ia tidak suka mengadu kepada orang lain atas segala penderitaan yang dialaminya, walaupun kepada orang tuanya sendiri. Segala penderitaan yang dirasakannya di dalam rumahtangga dihadapinya dengan ketabahan dan sentiasa menyerah diri kepada Allah SWT.

Hanya kepada suaminya ia membincangkan sesuatu yang sukar untuk dihadapi dan diselesaikan. Kemudian hanya kepada Allah SWT dia berdoa untuk memohon rahmat dan mengharapkan rezeki yang luas. Wanita semacam ini tidak akan mendorong kepada suaminya untuk melakukan dosa dalam menghadapi kesukaran rumahtangga. Tetapi ia berusaha mengajak suaminya untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT, agar segala aktiviti kehidupan yang mereka kerjakan dinilai sebagai suatu ibadah.

Seorang wanita muslimah harus memahami bahawa ketabahan seorang isteri dalam menghadapi penderitaan dalam rumahtangga merupakan motivasi dan modal asas bagi suami untuk menguatkan semangatnya dalam mencapai cita-cita. Oleh sebab itu di saat menghadapi kesukaran, isteri hendaklah banyak memberikan nasihat kepada suaminya agar tetap ingat kepada Allah SWT dan bekerja untuk mencari rezeki yang halal.

Ramai di kalangan wanita di zaman ini, ketika menghadapi kesukaran dalam rumahtangga malah ia mendorong suaminya untuk membuat sesuatu yang haram, ataupun mengeluarkan kata-kata yang menyakiti hati suaminya. Mungkin ia menyuruh suaminya mengambil wang di tempat kerja dengan cara rasuah, atau ia mengucapkan kata-kata menyinggung perasaan suami seperti “Semenjak aku berkahwin denganmu, aku tidak pernah merasakan kebahagiaan”. Banyak ungkapan lain lagi yang dapat mengguris perasaan suami.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya

“Aku pernah melihat neraka, tiba-tiba di kalangan penghuninya adalah kaum wanita, iaitu mereka yang tidak pandai berterima kasih kepada suaminya. Jika suaminya berbuat baik kepada seseorang di antara mereka setahun kemudian ia melihat cela padamu maka ia berkata : “Saya tidak pernah melihat sedikitpun kebaikan dari dirimu…”
(Riwayat Bukhari)
Isteri yang pandai berterima kasih terhadap suaminya iaitu isteri yang mengerti tentang keadaan dan kemampuan suaminya. Jika sudah mempunyai kelebihan rezeki, maka isteri mengajak suami agar membantu kaum kerabat serta ahli keluarga yang masih dalam kekurangan. Kemudian mengajak suami agar lebih banyak bersedekah.

Seorang isteri juga menyedari bahawa tugasnya untuk meluruskan akhlak dan agama suaminya, bukan sahaja memberatkan suaminya dengan berbagai tuntutan untuk kesenangan duniawi. Kesenangan yang berlebihan itu kadangkala hanya membawa ke jalan dosa. Sedikit sekali isteri yang mempunyai akhlak yang mulia semacam ini.

AZ ZALIILAH MA’A BA’LIHAA (MERENDAHKAN DIRI)

Sifat ini iaitu yang merendahkan diri atau patuh kepada suami. Ini merupakan sifat yang paling sukar dan berat untuk dilakukan oleh wanita. Ramai di kalangan isteri ingin masuk campur segala urusan suaminya. Mereka berasa berhak untuk mengendalikan gerak-geri suaminya. Keperibadian isteri semacam ini akan mempengaruhi keharmonian rumahtangga. Kerana ramai di kalangan wanita hanya menonjolkan perasaan cemburunya tetapi jika dibincangkan dengan baik itu dianjurkan.

Isteri yang baik bukan mengendalikan segala gerak-geri suaminya kemudian membenci dan memarahinya. Tetapi isteri yang baik itu ia sebagai penasihat suaminya jika suaminya melakukan perkara yang tidak baik ataupun membiarkan keadaan rumahtangga menjadi tidak harmoni. Jika suami telah melakukan kewajipannya terhadap anak dan isteri dengan baik dan sesuai dengan tuntutan Islam, maka isteri tidak boleh mencemburuinya dengan tanpa alas an.

MUTABARIYYAH (SUKA BERHIAS)

Mutabarriyah ertinya wanita yang suka berhias atau yang suka bersolek. Yang dimaksudkan wanita yang pandai bersolek dalam Islam iaitu mereka yang berhias dan mencantikkan diri di hadapan suaminya. Kerana isteri seorang muslimah mempunyai hasrat dan berusaha untuk menyenangkan hati suaminya.

Salah satu cara untuk menggembirakan hati suami, isteri yang solehah berpakaian dengan pakaian yang menarik dan dandanan yang menawan di hadapan suaminya. Ertinya seorang isteri telah berusaha untuk berbakti kepada suaminya, sehingga suami merasa rindu dan menaruh harapan terhadap isterinya.

Seandainya isteri di zaman moden ini bersolek untuk diitunjukkan di hadapan orangramai, maka ini merupakan keperibadian yang tercela. Mereka hanya mempunyai keinginan untuk menunjukkan nafsu keinginan mereka, bahkan mereka merasakan bahawa bersolek merupakan kekuatan yang dapat menarik perhatian lelaki.

Islam membatasi keinginan wanita bersolek dan berhias diri hanyalah di lingkungan rumah suaminya dan di hadapan suami sahaja. Wanita muslimah janganlah bersolek ketika keluar dari rumah kerana Islam hanya membenarkan wanita bersolek di dalam rumah suaminya dan di hadapan suaminya sahaja.

Tidak diizinkan bersolek di luar rumah tidak bererti seorang isteri muslimah tidak boleh memakai yang baik dan bersih ketika di luar rumah. Di manapun di hadapan sesiapapun seorang wanita harus berpakaian rapi dan bersih. Tetapi kita harus membezakan antara bersolek dengan berpakaian rapi dan bersih. Kerana di dalam bersolek sudah ada niat untuk memberikan pelayanan kepada seseorang. Oleh sebab itu perkara ini hanya dibolehkan seorang isteri kepada suami.

Memang secara fitrah bahawa niat mempunyai keinginan untuk menampilkan diri secara lebih menarik di hadapan oranglain, baik sesama kaum wanita mahupun dengan lelaki. Oleh sebab itu Islam memberikan jalan yang terbaik bagi seseorang wanita yang mengisi fitrahnya itu. Ia boleh melakukan di hadapan suaminya sendiri, dengan cara ini segala fitnah akan terhindar sebab wanita yang bersolek itu akan menimbulkan semangat berahi dan ransangan bagi kaum lelaki.

Ramai di kalangan wanita di zaman ini merasa bahawa dirinya selalu di ganggu, kadangkala ada yang di rogol. Itu semua terjadi kerana kaum wanita di abad ini apabila keluar rumah selalu bersolek yang akan menimbulkan ransangan nafsu lelaki. Maka cara yang terbaik untuk menghindarkan daripada gangguan tersebut, wanita muslimah hendaklah meninggalkan bersolek apabila keluar rumah. Memadailah dengan berpakaian bersih, rapi dan menutup aurat.

AL HASHAANU (MEMBATASI DIRI)

Al Hashaanu ertinya pembenteng atau pembatas. Kerana isteri muslimah wajib membatasi dirinya dalam bergaul dengan orang lain. Ia hanya boleh menunjukkan dirinya secara bebas di hadapan suaminya sahaja. Walaupun ia berada di dalam rumah, tetapi jika ada orang lain yang bukan muhrimnya, namun ia tetap harus menutup dirinya dengan pakaian muslimah.

Seorang wanita muslimah walaupun terhadap anak kandungnya sendiri tidaklah dibenarkan menampakkan auratnya yang dapat menimbulkan rangsangan. Oleh sebab itu seorang isteri yang baik walaupun berada di rumah, jika keluar dari kamarnya tidak hanya memakai baju tidur, kerana ia harus menjaga dirinya dari menutup aurat.

Menutup aurat dengan baik supaya dapat menjaga diri daripada timbulnya fitnah sehingga mengganggu hubungan antara suami isteri. Kerana jika seorang suami penuh keyakinan bahawa aurat isterinya hanya semata-mata diperlihatkan untuknya, maka suami akan merasakan cemburu dengan isterinya. Dengan demikian kecintaannya terhadap isterinya semakin mendalam. Jika ini dapat dilaksanakan maka rumahtangga akan menjadi aman dan damai.

MENDENGAR DAN MENTAATI PERINTAH SUAMI

Akhlak yang baik terhadap suami turut dititikberatkan dalam Islam ketika memilih calon isteri. Faktor ini bagi menjamin kerukunan rumah tangga. Isteri yang baik ialah isteri yang mentaati perintah dan suruhan suami sejauh mana ia tidak bertentangan dengan apa yang digariskan oleh Islam. Dengan demikian suami merasa redha dan puas atas bantuan isteri, begitu juga isteri merasa puas dengan layanan dan tanggungjawab suami terhadapnya.

MENYERAHKAN DIRI KEPADA SUAMI SECARA BAIK

Seorang isteri yang solehah bersedia secara keseluruhan untuk melayani suaminya tatkala mereka berdua. Ia dengan penuh kemesraan dan keikhlasan memenuhi keinginan suaminya. Kerana apabila isteri bersikap acuh tak acuh atau bersikap dingin terhadap suaminya akan menimbulkan prasangka buruk dari pihak suami terhadap isteri. Jika ini terjadi maka ini merupakan langkah awal menuju keruntuhan rumahtangga.

Banyak kekecohan rumahtangga terjadi pada masa ini kerana sikap dingin isteri terhadap suaminya baik dalam menjalin hubungan batin mahupun keperluan lainnya. Isteri yang menceburi bidang kerjaya yang ditekuninya selalunya akan menganggap bahawa kehadiran suami hanyalah merupakan faktor sampingan sahaja. Mungkin kerana merasa malu jika dikatakan bahawa dia seorang yang tidak laku dan sebagainya.

Wanita yang bekerja bahkan telah tergolong dalam usahawan, tidak akan mengharapkan bantuan ekonomi daripada suaminya, sehingga tidak merasa ketergantungan terhadap pasangan hidupnya itu. Sehingga ia merasa berhak untuk mengatur suaminya baik dalam kehendak hubungan intim mahupun keperluan yang bersifat keperluan hidup. Isteri yang seperti ini telah mendorong kepada suaminya untuk melakukan penyimpangan dan berakhlak buruk di luar rumah.

Maka isteri yang baik harus memahami keperluan suaminya kerana hubungan batin antara suami isteri itu merupakan bunga-bunga yang mewarnai kehidupan agar tidak sepi dan gersang. Kerana jika hubungan ini terganggu akan menyebabkan jiwa dan segala aktiviti terganggu.

KESIMPULAN

Wanita merupakan salah satu kelompok dari makhluk Allah SWT yang paling banyak mendapat sorotan dan perhatian. Oleh sebab itu, terdapat pelbagai buku yang telah ditulis oleh para ulama tentang wanita, bahkan di dalam Al-Quran ada satu surah yang dinamai dengan An-Nisa yang ertinya wanita.

Wanita solehah adalah wanita beriman serta beristiqomah dalam melakukan amal-amal kebajikan manakala isteri solehah merupakan suatu anugerah Allah s.w.t. kepada manusia. Di mana mereka sanggup berkorban apa saja dan menganggap suami mereka adalah segala-galanya.

Kesimpulannya, wanita dan isteri solehah adalah impian yang patut dikejar oleh kaum hawa masa kini dalam menjamin keindahan Syurga kelak.

------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com