Tajuk: Kenapa Masih Sesat

PENDAHULUAN

Masalah dasar yang berhubung dengan soal akidah Islam telah dijelaskan oleh Allah di dalam kitab suci Al-Quran bahawa Allah S.W.T tidak akan menerima sebarang penyembahan yang dilakukan oleh umat manusia, selain dari menerima dan mengakui kebenaran serta keagungan kekuasaan Allah.

Allah telah memerintahkan umat manusia supaya menyembah serta patuh kepada suruhanNya dengan penuh kejujuran dan keikhlasan. Oleh kerana itu, segala rupa bentuk kepercayaan yang tergelincir dari asas – asas keimanan Islam adalah merupakan tindakan yang menyeleweng dari akidah Islam yang sebenar. Penekanan Islam dalam soal akidah atau keimanan adalah bertujuan untuk memelihara kesucian ajaran Islam serta untuk menyelamatkan umat Islam dari terpengaruh dengan berbagai ajaran dan amalan ciptaan atau rekaan manusia yang disadurkan dengan berbagai kepercayaan asing yang tidak secucuk dengan asas – asas keimanan di dalam Islam.

Dalam konteks masyarakat Islam di negara ini, masih kedapatan berbagai kepercayaan atau amalan – amalan yang hanya berbeda dari segi nama, tetapi mempunyai beberapa persamaan di segi ciri – ciri atau fenomena ajaran sesat.

ADAT DAN KEPERCAYAAN WARISAN HINDU

Berdasarkan kepada pengkajian mengenai sejarah kedatangan Islam ke Tanah Melayu, jelas menunjukkan bahawa setelah Islam mula bertapak dan berkembang di daerah kepulauan Melayu, ianya telah membawa beberapa perubahan dan pembaharuan di dalam tata cara kehidupan orang – orang Melayu sama ada dari segi pemikiran, kemasyarakatan, kepercayaan dan kebudayaan.

Perkembangan ajaran Islam dewasa itu telah bersaingan hebat dengan berbagai kepercayaan dan amalan yang berbentuk warisan atau kepercayaan mendatang, khususnya pengaruh Hinduisma dan Anamisma yang juga telah bertapak dengan kuatnya di dalam masyarakat orang Melayu.

Pengaruh – pengaruh ini juga telah berjaya menjajahi pemikiran dan juga cara hidup orang – orang Melayu melalui proses sosialisasi dan penyelinapan secara halus dan tidak disedari hingga menjadikannya bersebati dengan kehidupan orang – orang Melayu.

Dengan demikian, telah lahir bebagai bentuk kepercayaan dan dapt istiadat yang berunsurkan pengaruh Hinduisma dan Anamisma. Antaranya dapt memuja pantai, kepercayaan kepada penunggu, memuja kubur – kubur yang dianggap keramat mempercayai beberapa jenis binatang tertentu yang dianggap membawa sial, mengubati pesakit dengan memanggil jin, memuja roh, mempercayai dapt tolak bala dan sebagainya.

ILMU ATAU AJARAN YANG BARU MUNCUL

Perkembangan ilmu pengetahuan di dunia hari ini, khususnya ilmu – ilmu yang tidak bernafas atau berpandukan kepada ajaran Al-Quran dan Hadis Rasulullah telah mulai menular dan meresap ke dalam masyarakat Islam di negara ini. Ilmu – ilmu seumpama ini cuba memperalatkan ayat suci Al-Quran serta berselindung di sebalik tabir Islam dengan mempunyai motif yang licin yang boleh mengancam perpaduan umat Islam serta memesongkan akidah umat Islam dari pegangan serta keyakinan terhadap kekuasaan Allah yang Maha Esa.

Situasi seumpama ini menyebabkan lahirnya berbagai ajaran dan amalan yang mengelirukan dan meragukan umat – umat Islam dihari ini. Antaranya ialah ajaran sesat Taslim, ajaran sesat Qadiani, ajaran sesat Bahai dan Tarikat Mufarridiah. Pada umumnya, terdapat perkara – perkara yang menjadi isu dalam mana – mana ajaran sesat. Antaranya mereka mendakwa menjadi Nabi Isa, Nabi Khidir, Imam Mahdi dan sebagainya. Selain itu, mereka mendakwa mendapat kasyaf dari Allah, mendakwa menjadi wali, mendakwa memperolehi maunah (pertolongan) dari Allah melalui kaedah zikir yang tertentu dan mendakwa bahawa dengan menggunakan ayat suci Al-Quran akan memperolehi kekuatan batin yang luar biasa.

PUNCA LAHIRNYA AJARAN SESAT

Jika diteliti dan dikaji latarbelakang masyarakat Islam di negara ini dapat dikatakan bahawa punca yang membawa kepada lahirnya pelbagai jenis ajaran dan amalan sesat pada umumnya adalah berpunca dari dua faktorutama iaitu faktor dalaman dan faktor luaran.

Apabila kita membincangkan faktor dalaman, ada beberapa perkara yang boleh kita ketahui. Pada kebiasaannya, jenis ajaran seumpama ini telah bertapak dan tersebar secara sulit dan tersembunyi di daerah – daerah pedalaman di negara ini. Golongan yang mempelopori ajaran ini adalah juga terdiri dari tokoh – tokoh tempatan (kampong) yang terpengaruh dan disegani oleh masyarakat sekitar. Golongan ini mempunyai beberapa kebolehan dan keistimewaan yang luar biasa yang dipergunakan sebagai sakti dan daya tarikan utama untuk mempengaruhi masyarakat umum. Orang – orang biasa tidak dapat mengetahui secara mendalam bagaimana bentuk ajaran ini, kerana ianya diperkembangkan secara sulit dan rahsia.

Oleh kerana itu setiap pengikut ilmu – ilmu ini dikehendaki mengikat perjanjian dengan gurunya bahawa ilmu ini tidak boleh diberitahu kepada orang lain. Sebaliknya mestilah dirahsiakan. Jika diberitahu juga kononnya ilmu ini tidak mujarab. Untuk menguatkan lagi ikatan perjanjian tadi, maka setiap pengikutnya dikehendaki mengangkat sumpah dengan menyebutkan nama Allah dan mengangkat Al-Quran sebagai saksinya. Disamping penggunaan ayat – ayat suci Al-Quran sebagai menambahkan lagi keyakinan terhadap ilmu ini, maka akan ditambah dengan bacaan – bacaan lain yang dianggapkan sebagai kunci terhadap mujarabnya ilmu tersebut. Tetapi bacaan – bacaan tambahan tu dirahsiakan kepada umum.

Manakala penganjur ilmu – ilmu batin atau kebal telah membawa suatu fahaman kepada masyarakat umum bahawa ayat –ayat suci Al-Quran boleh digunakan untuk mendapatkan kekuatan batin dan kebal. Oleh kerana itu, jenis –jenis ilmu kebatinan pada keseluruhannya menggunakan ayat – ayat suci Al-Quran dan petikan hadis yang ada kaitannya dengan perkara mengingatkan Allah, kerana apa yang ditekankan di dalam ilmu ini ialah konsep pendekatan serta penyerahan diri secara total (keseluruhan) kepada kekuasaan Allah untuk mendapatkan perlindungan atau pertolongan dari Allah.

Masyarakat Islam di Negara ini adalah merupakan masyarakat yang terbuka. Dengan hal demikian, pelbagai pengaruh luar begitu senang sekali mempengaruhi keadaan sekitar masyarakat Islam. Guru –guru yang menganjurkan sesuatu ilmu atau amalan ini selain dari anak tempatan adalah juga datang dari luar negeri. Mereka ini menggelarkan diri mereka sebagai tokoh – tokoh ugama serta mempunyai ciri – ciri Negara lity yang agak berbeda dari orang awam, samaada dari segi rupa paras, bentuk pakaian dan tingkah laku.

Bagi penganjur ilmu kebatinan yang berunsurkan seni mempertahankan diri, seringkali golongan ini mengambil kesempatan dengan melatik pemimpin – pemimpin tertentu sebagai Mahaguru. Oleh kerana itu manifesto ilmu yang dikembangkan itu disesuaikan dengan kehendak masa dan negara.

Dengan cara ini pihak penganjur ilmu – ilmu ini dapat meyakinkan masyarakat bahawa ilmu yang dikembangkan itu telah direstui oleh pemimpin negara. Mahaguru acap kali mendakwa diri mereka sebagai seorang yang benar – benar beriman dan bertaqwa kepada Allah. Tetapi hakikat sebenar mereka tidak mempunyai pengetahuan Islam yang luas dan mendalam. Mereka hanya bijak berbicara dan bercakap kosong. Pada umumnya jenis –jenis ilmu ini adalah berpandukan kepada sesebuah kitab tertentu. Segala isi kandungan kitab tersebut dimuatkan dengan pelbagai bentuk amalan zikir yang dikaitkan dengan petikan ayat suci Al-Quran dan Hadis Rasulullah. Ayat – ayat suci Al-Quran telah diekspliotasikan bagi menunjukkan bahawa penjelmaan “ kuasa luar biasa” itu datangnya dari Allah. Kebanyakan pengikut – pengikut yang terlibat dengan ajaran sesat adalah terdiri daripada golongan yang tidak mempunyai asas yang kuat di dalam aspek akidah Islam, di samping tidak mempunyai pengatahuan yang luas dan mendalam mengenai ajaran Islam yang sebenarnya.

Oleh kerana itu, demonstrasi – demonstrasi yang dipamerkan sebagai suatu ujian terhadap kesan amalan ilmu batin itu adalah faktor utama yang menyebabkan golongan belia ingin mencuba di dalam ilmu tersebut. Mereka sanggup mematuhi dan mentaati setiap syarat dan pantang larang yang dikenakan ke atas mereka, asalkan ilmu yang dipelajari itu dapat memberi manfaat kepada diri mereka. Bahkan mereka sanggup bersumpah dengan menyebut perkataan “demi Allah” dengan sewenang – wenangnya, tanpa memikirkan apakah implikasi disebalik sumpah yang dilafazkan. Belia – belia yang ingin mempelajari ilmu yang mempunyai unsure “ketahanan diri” kerana pada anggapan mereka ilmu ini boleh digunakan di dalam keadaan tertentu.

Pihak penganjur ilmu –ilmu seumpama ini mempunyai hujah serta alasan masing – masing bahawa ilmu yang dikembangkan itu tdak bertentangan dengan ajaran Islam. Oleh kerana itu, golongan ini sedaya upaya mendakwa tentang kelebihan dan kebaikan yang terdapat di dalam amalan tersebut dari segi ajaran Islam.

PERKARA LUAR BIASA YANG BERLAKU YANG DIAKUI OLEH ISLAM

Jika dikaji, perkara luar biasa yang diakui kebenarannya oleh Islam hanya tujuh jenis sahaja. Antaranya mukjizat, iaitu perkara luar biasa yang berlaku pada para Rasul, contohnya bulan berbelah dua, binatang dapat bercakap, menghidupkan orang yang telah mati dan sebagainya. Keramat, darjat keimanan dan ketaqwaannya kepada Allah, contohnya singgahsana putri Balkis dari Yaman dapat dibawa oleh Asif ke Palastin dengan sekelip mata sahaja. Maunah pula, iaitu perkara luar biasa kepada orang – orang mukmin umumnya. Ianya tidak perlu berusaha atau mempelajariuntuk mendapatkannya, contohnya di dalam satu kemalangan yang dashyat dimana seorang penumpang sahaja yang terselamat. Irhas pula, iaitu perkara luar biasa yang berlaku kepada seseorang yang bakal menjadi Nabi dan Rasul. Contohnya apa yang berlaku kepada Nabi Isa dapat bercakap di dalam buaian. Istidraj pula, iaitu perkara luar biasa yang berlaku kepada orang – orang yang menderhaka kepada Allah atau orang kafir yang mendorong ke arah kesesatan, contohnya apa yang berlaku pada orang – orang Hindu, Budhha dan sebagainya. Sihir adalah perkara yang luar biasa yang berlaku kepada seseorang dengan cara yang dipelajari. Berlakunya perkara luar biasa dengan menggunakan kuasa jin atau syaitan. Contohnya seperti tukang sihir yang dapat memotong leher dan disambung semula dalam masa sekelip mata. Inanah pula, iaitu perkara luar biasa yang berlaku kepada seseorang yang mengakui dirinya menjadi Nabi. Contohnya, seperti Musailamatul Kazzab yang mengakui dirinya sebagai nabi yang cuba mengubati orang yang buta sebelah matanya tetapi akhirnya kedua mata orang itu menjadi buta.

Jika dikaji sejarah perjuangan umat – umat Islam di zaman Rasulullah dan sahabat, didapati bahawa maunah dari Allah itu pernah diberikan oleh Allah kepada sahabat – sahabat Rasul, itu pun hanya di dalam beberapa ketika sahaja. Dan maunah Allah itu hanya diberikan kepada orang tertentu sahaja di dalam keadaan yang paling genting sekali. Orang – orang yang layak menerima maunah Allah itu ternyata keimanan dan ketaqwaannya zahir dan batin. Oleh itu, maunah tidak mungkin berlaku berzikir sahaja. Sebenarnya maunah Allah itu tidak perlu dipelajari atau melakukan sesuatu latihan tertentu untuk mendapatkannya, kerana ianya akan diberikan oleh Allah bila – bila masa sahaja yang dikehendaki oleh Allah tanpa pengetahuan atau dugaan manusia. Dan kepada siapa maunah Allah akan diberikan tidak siapa yang dapat mengetahui dan mempastikannya.

Oleh itu maunah tidak mungkin berlaku hanya sekadar berzikir sahaja. Sebenarnya maunah Allah itu tidak perlu dipelajari atau melakukan sesuatu latihan tertentu untuk mendapatkannya, kerana ianya akan diberikan oleh Allah bila – bila masa sahaja yang dikehendaki oleh Allah tanpa pengetahuan atau dugaan manusia. Dan kepada siapa maunah Allah akan diberikan tidak siapa yang dapat mengetahui dan mempastikannya. Oleh kerana itu perkara luar biasa yang berlaku secara belajar atau melalui latihan tertentu bukan lagi maunah dari Allah. Sebenarnya ianya adalah ilmu sihir. Untuk mendapatkan ilmu sihir tidak semestinya dengan memanggil jin atau syaitan, tetapi pernah juga berlaku dengan menggunakan nama Allah atau ayat – ayat Al-Quran sebagai selindung sahaja. Peristiwa Iblis hendak menipu nabi Adam di Syurga juga menyebut nama Allah sehingga nabi Adam terpedaya, kerana disangkanya itu adalah perintah atau kehendak Allah.

KONSEP ILMU DI DALAM ISLAM

Menurut ajaran Islam, ilmu atau amalan yang diakui oleh Islam ialah ilmu – ilmu atau amalan yang berpandukan kepada kitab suci Al-Quran dan Sunnah Rasulullah. Segala ilmu di dalam Islam adalah jelas dan setiap umat Islam berhak mempelajari dan mengamali ilmu tersebut. Tidak ada syarat bersumpah untuk mempelajari sesuatu ilmu di dalam ajaran Islam.

Oleh kerana itu setiap ilmu atau sesuatu amalan yang diadakan dan tidak diketahui asal-usul atau pengasasnya dan tidak juga dapat dicontohi dari Sunnah Rasulullah, para sahabat, ulamak tabe’ien dan ulamak salaf, maka ilmu atau amalan tersebut adalah ditolak dan tidak diakui oleh Islam. Dapat difahamkan bahawa sesuatu amalan ciptaan manusia yang tidak berlandaskan kepada kehendak Al-Quran dan Sunnah Rasulullah, maka ia adalah suatu perkara yang diharamkan oleh Islam.

Sabda Rasulullah :
Sesiapa yang mengamalkan sesuatu amalan yang tidak ada di dalam ugama kami(Islam) maka ianya ditolak Mengenai amalan zikir telah dijelaskan oleh Allah bahawa zikir atau mengingatkan Allah di dalam hati adalah sangat digalakkan oleh Islam. Tetapi zikir yang diamalkan itu adalah semata – mata sebagai suatu ibadat untuk mendapatkan keredhaan dari Allah.

Sepertimana firman Allah : Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (siang dan malam) dan tumpukanlah (amal ibadat) kepadanya dengan sepenuh tumpuan.

Pertumbuhan serta perkembangan ilmu atau amalan sesat di dalam masyarakat Islam di negara ini, bukan sahaja boleh menyebabkan akidah umat Islam menyeleweng dari tuntutan Allah, bahkan ianya juga adalah sebahagian dari unsur - unsur yang membawa kepada perpecahan di kalangan umat Islam sendiri. Akan timbul di dalam masyarakat Islam beberapa jenis ilmu atau amalan yang hanya berbeda di segi nama tetapi mempunyai motif yang hampir – hampir sama. Masing – masing kumpulan akan berusaha mencari pengikut seberapa banyak yang mungkin. Implikasi dari keadaan seumpama ini akan membawa kepada lenyapnya perasaan persaudaraan sesama Islam yang sangat – sangat dititikberatkan oleh Allah sebagai senjata kekuatan dan keutuhan umat Islam.

Dan yang lebih membimbangkan lagi sepertimana yang dibayangkan oleh Rasulullah bahawa disuatu masa kelak umatnya akan berpecah kepada 73 puak. Umat – umat Islam yang benar – benar beriman dengan Allah haruslah memahami bahawa sesungguhnya tidak ada ilmu kebal di dalam Islam, kerana Rasulullah telah menyatakan bahawa mukmin yang kuat (bukan kebal) ialah mukmin yang mempunyai kekuatan iman yang lahir hasil peningkatan ketaqwaan kepada Allah, iaitu mukmin yang mempunyai pengetahuan yang luas dan mendalam mengenai aspek akidah dan syariah Islam.

Untuk mendekat atau menghampirkan diri kepada Allah, orang – orangIslam tidak perlu patuh atau tunduk kepada golongan tertentu, kerana apa yang dibawa dan ditunjukkan oleh Rasulullah sudah cukup untuk menjadikan seseorang itu benar – benar beriman dan bertaqwa kepada Allah.

KESIMPULAN

Oleh itu untuk mengatasi dan membasmikan segala ajaran atau amalan sesat yang terdapat di dalam masyarakat Islam, maka setiap umat Islam haruslah bertanggungjawap serta mengkaji sesuatu ajaran atau amalan itu secara terperinci dengan berlandaskan kepada ajaran Islam yang mah suci sebelum menyertainya, supaya dengan ini keimanan serta keyakinan umat Islam terhadap kebesaran kekuasaan Allah tetap terpelihara dan juga dapat mengelakkan umat – umat Islam di egara ini daripada terpedaya dan terperangkap dengan golongan – golongan yang mencari pengaruh disebalik tabir Islam.

------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com