Tajuk: Amalan-Amalan Yang Merosakkan Akidah

PENDAHULUAN

Kehidupan manusia di dunia mempunyai hubungan dengan Allah yang diikat oleh akidah melalui kalimah tauhid dan juga hubungan manusia sesama manusia yang diikat dua kalimah syahadah.

Akidah menjadi asas agama dan Allah menjadikan manusia untuk menyembah dan beribadat kepada Nya dan menghubungkan di antara manusia dengan Allah.

Mereka yang mengakui akan kewujudan tuhan yang disembah dan Nabi Muhammad utusan Allah dan sama-sama beragama Islam dan sama-sama mendapat petunjuk serta hidayah daripada Allah ke jalan yang benar, hubungan mereka adalah hubungan keimanan dan keagamaan.

Tertakluk di bawah akidah itu adalah iman dan Islam. Iman membentuk manusia mempercayai Allah, malaikat-malaikat, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, hari akhirat, qadar baik dan buruk serta juga solat, zakat, haji dan lain-lainnya.

AMALAN-AMALAN YANG MEROSAKKAN AKIDAH

Terdapat beberapa amalan manusia yang boleh membatalkan keimanannya pada syahadah dan menjerumuskan mereka untuk menjadi murtad.

Bertawakkal dan bergantung pada selain dari Allah. Berdasarkan kepada firman Allah, ertinya, ‘ Dan hanya kepada Allah hakNya kamu bertawakkal jika kamu benar-benar beriman’ (Al-Maidah: 23)

Barangsiapa yang bekerja, berusaha dan berikhtiar dengan tidak bertawakkal dan bergantung kepada Allah S.W.T. , ia telah merosak syariat tadi dan orang yang bertawakkal dan bergantung kepada Allah S.W.T semata-mata tanpa daya usaha juga telah merosakkan syariat tersebut.

i. Bergantung dengan sebab dan melupakan bahawa yang mengizinkan sebab itu berlaku adalah Allah S.W.T adalah maksiat.
ii. Bergantung pelbagai sebab dan disertai keyakinan bahawa sebab-sebab itu tiada hubungan dengan Allah adalah syirik yang dapat menghancurkan syahadah. Dalam Al Quran banyak disebut tentang masalah ini sepertimana firman Allah S.W.T. yang bermaksud; ‘Maka bukanlah kamu bunuh mereka tapi Allah yang bunuh mereka; dan tidak engkau melempar waktu engkau melempar, tetapi Allah yang melempar’ (Al-Anfal:17)

Kita harus yakin bahawa Allah S.W.T menjadikan sebab musabab di dunia ini ada fungsinya dan perancangannya. Sepertimana firman Allah S.W.T yang bermaksud; ‘Allah itu Pembuat tiap-tiap sesuatu dan Dia Pemelihara atas tiap-tiap sesuatu) (Al-Zumar:62)

Sesiapa yang mengingkari sebab-sebab dan menganggap tidak ada gunanya adalah kafir, sebaliknya yang meyakini bahawa sebab-sebab itu memiliki pengaruh sendiri adalah syirik.

Mengingkari nikmat Allah, baik yang kelihatan atau yang tidak kelihatan, baik yang mudah difikirkan atau yang memerlukan pengkajian secara mendalam.

Segala nikmat dan bencana yang menimpa datangnya dari Allah S.W.T. Dialah pemberi nikmat dan penghalangnya dan bukannya urusan manusia tetapi sepenuhnya hak Allah S.W.T. Sepertimana firmanNya yang bermaksud; ‘ Dan dia beri kepada kamu tiap-tiap apa yang kamu minta dan jika kamu hitung nikmat-nikmat Allah, kamu tidak boleh jumlahkan dia tetapi manusia itu zalim dan tidak berterima kasih’ (Ibrahim:34)

Bekerja atau berkhidmat dengan tujuan selain kerana Allah S.W.T Perkara ini yang amat tidak disukai oleh Allah berdasarkan firmanNya yang bermaksud; ‘Katakanlah : Sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku dan hidupku dan matiku adalah kerana Allah, tuhan bagi sekelian alam’(Al-An’am:162)

Sesuatu pekerjaan atau apa saja yang dibuat atas dasar kepentingan meninggikan cita-cita atau syiar negara, kesatuan negara atau berjuang habis-habisan untuk kepentingan negara adalah syirik.

Berhukum dengan hukum manusia, bukan dengan hukum Allah. Perbuatan ini melawan Allah S.W.T kerana Allah S.W.T yang mempunyai hak menentukan undang-undang bagi kehidupan manusia, halal, haram, peraturan hidup, kehakiman dan segala perintah dan larangan. Contohnya dalam menggubal undang-undang oleh anggota parlimen di mana undang-undang berada di tangan manusia, (pada hal hak membuat undang-undang adalah hak Allah semata-mata), di sinilah letak kesyirikannya.

Untuk menyelamatkan umat Islam agar tidak terjerumus dalam perangkap syirik, masyarakat Islam haruslah menanamkan pemahaman Syura dalam Islam (yang bertujuan untuk menyusun undang-undang dalam pengelolaan negara Islam) berlandaskan Al-Quran dan as-Sunnah.

Memfokuskan segala kekuatan kepada selain Allah dengan cara tidak dikehendakiNya. Taat yang dibenarkan dan dikehendaki oleh Allah S.W.T adalah taat kepada RasulNya kerana bila seseorang mentaati Rasulullah ia bererti mentaati Allah. Taat kepada pemimpin atau pemerintah hanya dibenarkan selagi mereka tetap menjalankan Kitabullah dan Sunah Rasulullah. Jika mereka keluar dari kerangka Al-Quran dan as-Sunnah maka kita tidak boleh taat kepada mereka kerana mereka tergolong di dalam pembuat maksiat dan tidak wajib ditaati.

Menjalankan hukum selain dari hukum Allah atau tidak menggunakan hukum Allah sebagai rujukan dalam semua masalah. Larangan melaksanakan sebarang hukum melainkan hukum Allah atau tidak menjadikan hukum Allah sebagai rujukan dalam mengatasi masalah berhubung kait dengan kehidupan manusia di atas muka bumi ini jelas dinyatakan dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah yang bermaksud; ‘Kerana barangsiapa tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka (adalah) mereka itu orang-orang yang kafir’ (Al-Maidah: 44)

Benci atau menentang salah satu kandungan ajaran Islam atau membenci seluruh ajaran Islam.
Apa saja corak kebencian atau penentangan terhadap yang terkandung dalam Al-Quran atau al-Hadis yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W samada dalam bentuk kata-kata, perbuatan, pengakuan atau sifat-sifatnya, maka ia adalah terkeluar dari Islam dan syahadah yang pernah diucapkannya menjadi batal.

Mencintai kehidupan dunia melebihi kecintaan kepada akhirat (gila dunia).
Segala apa yang terdapat di muka bumi ini adalah kepunyaan Allah dan Allah menghalalkan manusia menikmati kehidupan ini selagi mana ianya tidak melepasi batasan sehingga lupa kepada keperluan akhirat. Selain daripada itu Allah juga melaknati manusia yang menghalang manusia lain yang ingin beribadat bagi mencapai kebahagian di akhirat.

Menghina salah satu isi dari Al-Quran atau as-Sunnah atau orang-orang alim yang menegakkan atau memperolok-olokkan hukum-hukum Allah atau syiar-syiar Islam.

Memperolok-olokkan atau menghina atau mengejek hukum-hukum Allah termasuk dalam kategori yang membatalkan syahadah. Ungkapan-ungkapan seperti menganggap hukum-hukum Allah itu ‘lapuk’ atau kenyataan-kenyataan seperti ‘Apa kita hendak kembali pada undang-undang qisas yang kejam’ atau ‘Apa kita hendak kembali ke zaman primitif’ boleh membatalkan aqidah kita.

Menghalalkan apa yang diharamkan Allah atau sebaliknya. Antara pembohongan yang paling besar adalah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah. Ini dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam Al-Quran yang bermaksud: ‘Dan janganlah kamu ucapkan dusta yang disifatkan oleh lidah-lidah kamu: Ini halal dan itu haram, untuk kamu ada-adakan dusta atas nama Allah, sesunguhnya orang yang mengada-adakan dusta atas nama Allah, tidak akan berbahagia. (Iaitu) perhiasan yang sedikit, tapi mereka ada azab yang pedih. (An-Nahl:116-117)

Tidak beriman dengan seluruh sumber-sumber dari Al-Quran dan as-Sunnah. Orang yang tidak beriman pada nas-nas Al-Quran dikatakan gugur syahadahnya kerana bertindak mendustakan Rasulullah S.A.W yang membawa kepada kekafiran. Termasuk juga dalam kategori ini adalah orang yang menambah Al-Quran dan Al-Hadis.

Mengangkat orang-orang kafir dan munafik sebagai pemimpin serta tidak mencintai orang-orang berakidah Islam dan orang-orang mukmin.

Sebagai orang Islam adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengangkat orang-orang Islam dan mempunyai pengetahuan tentang Islam sebagai pemimpin atau pemerintah. Mengangkat dan menjadikan orang kafir sebagai pemimpin boleh merosakkan akidah sepertimana firman Allah S.W.T dalam Al-Quran yang bermaksud: ‘ Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu ambil mereka yang jadikan Agama kamu ejekan dan permainan, daripada Ahli Kitab yang sebelum kamu dan orang-orang kafir itu sebagai ketua-ketua; dan takutlah kepada Allah, jika (betul) kamu orang-orang yang beriman’ (Al-Maidah: 57)

Rasa takut dan lemah hati dalam menegakkan Tauhid dan merasa senang dan terbuka di dalam menegakkan syirik. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: Dan apabila disebut (nama) Allah semata-mata tidak senang hati orang-orang yang tidak beriman kepada Akhirat; tetapi apabila disebut (nama-nama) mereka yang lain dari Allah lantas mereka bergembira’ (Al-Zumar:45)

Ayat ini jelas merujuk kepada fenomena masakini yang kebiasaannya terjadi di mana apabila kita menyeru kepada mereka supaya mengembalikan segala urusannya kepada Allah dan RasulNya, mereka tidak gembira tetapi apabila segala urusan dan kejadian dikembalikan kepada alam (nature) atau oleh sebab-sebab biasa, maka mereka akan merasa lapang dan dengan cepat menerimanya.

Mengkafirkan orang yang mengucapkan dua kalimah syahadah serta tidak mengkafirkan orang yang telah ingkar kepadaNya.

Mengkafirkan orang-orang mukmin dikatakan menjadi kafir kerana ia merupakan kemunduran konsep atau pengertiannya dalam keimanan, begitu juga ragu tentang kekafiran orang kafir atau membenarkan pendapatnya (teori) yang kafir atau tidak mengkafirkannya, ia dianggap kafir kerana merupakan satu pendustaan terhadap Allah dan RasulNya.

Melakukan sesuatu dengan riak (ingin pujian manusia). Pada umumnya melakukan sesuatu dengan mengharapkan pujian terutama pujian manusia adalah syirik walau pun ianya dikategorikan sebagai syirik kecil. Contoh-contoh perbuatan tersebut adalah seperti mengerjakan solat kerana ingin dipuji, bersedekah kerana sungutan orang atau agar orang datang kepadanya dan berjihad kerana ingin dipuji orang serta dikenang jasanya.

KESIMPULANNYA
Terdapat banyak sekali amalan-amalan yang dilakukan oleh manusia yang tidak disedari dibimbangi akan membatalkan akidah. Kadang-kadang ada di kalangan kita sudah menjadikan amalan itu sebagai sebahagian daripada kehidupan sehari-hari dan ini cukup membimbangkan. Ini kerana apabila syahadah sudah terbatal maka ia dianggap sudah keluar daripada agama Islam. Kegagalan mengambil sesuatu tindakan akan membahayakan ketahanan akidah umat Islam sekarang dan yang lebih penting lagi generasi akan dating.

Usaha mengenalpasti tanda-tanda yang boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada ajaran Islam adalah perkara penting yang perlu diberi perhatian serius oleh setiap lapisan masyarakat Islam. Mudah-mudahan dengan kefahaman ini akan dapat memandu kita memiliki akidah yang sempurna.

------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com