Tajuk: Syurga Al-Jannah Menurut Perspektif Al-Quran Dan As-Sunnah

NAMA-NAMA SYURGA

Syurga mempunyai banyak nama. Antaranya ialah:

a. Al-Jannatu
Al-Jannatu adalah nama am yang meliputi keseluruhan kediaman syuga Allah (dar). Terdapat pelbagai jenis kenikmatan dan kelazatan, keseronokan, kegembiraan dan terdapat juga bidadari yang dipanggil Qurratul-a’yun. Nama ini juga disebut di dalam Al-Qur’an sebanyak143 kali.

b. Darussalam
Syurga ini dinamakan Darussalam kerana syurga adalah tempat yang selamat daripada ujian dan keburukan kepada ahli-ahlinya. Nama Darussalam telah dinyatakan oleh Allah S.W.T. di dalam Al-Qur’an. Di dalam firmannya: Ertinya:Allah S.W.T. menjemput ke syurga Darussalam. (Surah Yunus:25) Dan firman-Nya lagi: Ertinya:Bagi merekadisediakan syurga Darussalam di sisi Allah S.W.T. (Tuhan mereka) (Surah al-An’am:127)

Nama al-Salam adalah antara nama-nama Allah S.W.T. Sesungguhnya Allah S.W.T. telah memberikan keamanan dan keselamatan kepada ahli-ahli syurga dan memberi salam kepada mereka. Hal ini terkandung di dalam hadith daripada Jabir yang diriwayatkan oleh Ibn Majah yang bermaksud: Ertinya:Daripada Jabir dia berkata:Rasulullah s.a.w bersabda, semasa ahli syurga menikmati segala nikmat-nikmat yang ada pada mereka di syurga dengan demikian akan memencar sinar cahaya, maka mereka akan pandang ke arah sinaran cahaya itu. Dengan tiba-tiba Allah S.W.T. berada meninjau(melihat) ahli syurga daripada atas dan mengucapkan salam kepada ahli syurga.

Ucapan salam yang diucapkan oleh ahli-ahli syurga dengan perkataan al-Salamu. Ini dinyatakan oleh Allah S.W.T. di dalam firman-Nya: Maksudnya: Ucapan penghormatan mereka antara satu sama lain di syurga itu ialal Salam. (Surah Ibrahim:23) Dan Allah S.W.T juga berfirman di dalam surah lain: Ertinya:Dan malaikat masuk ke tempat mereka melalui semua pintu (syurga) sambil mengucapkan salamualaikum (salam sejahtera kepada kamu) dengan apa yang kamu bersabar (di dunia). (Surah al-Ra’ad:23-24)

c. Darul Kluldi
Ia bermaksud kediaman yang kekal. Ini menunjukkan ahli syurga akan mendiaminya selama-lamanya. di dalam firman AllahS.W.T. : Ertinya:Adakah itu yang baik atau syurga yang kekal yang telah dijanjikan Kepada orang-orang yang bertaqwa.

d. Darul Maqam(Syurga al-Maqam)
Allah S.W.T. telah menyebut nama ini di dalam Al-Qur’an dan menceritakan tentang keadaan ahli syurga. Firman-Nya yang bermaksud:Dan mereka berkata:segala pujian adalah bagi Allah yang telah menghilangkan kesedihan daripada kami, sesungguhnya Tuhan kami adalah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri yang menempatkan kami dalam kediaman yang kekal(syurga)dan kurnia-Nya dan di dalamnya kami tidak merasa lelah dan tidak pula di dalamnya merasa letih lesu. (Surah Fatir:34-35)

e. Jannatul Makwa(Syurga Makwa)
Nama syurga ini bermaksud syurga yang menjadi tempat tinggal orang yang bertaqwa. seperti di dalam firman-Nya: Ertinya:Dan adapun orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan mencegah dirinya daripada mengikut hawa nafsu maka sesungguhnya syurga ialah tempat perlindungan mereka.  (Surah al-Nazi’at:40-41)

f. Jannatu ‘Adnin(Syurga ‘Adnin)
Makna ‘Adnin bermaksud tinggal di sesuatu tempat yang berterusan. Oleh itu, ahli Syurga juga menetap selamanya di dalam syurga. Allah S.W.T telah menyebut nama ini beberapa kali di dalam Al-Qur’an. Antaranya: Firman-Nya: Maksudnya:Syurga ‘Adnin yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T. yang Maha Pemurah kepada hamba-hamba-Nya, walaupun (syurga itu) mereka tidak nampak.  (Surah Maryam:61)

g. Darul-Hayawan
Firman Allah S.W.T: Maksudnya:Dan sesungguhnya kediaman (syurga) itu ialah kehidupan yang sebenar-benarya, kalaulah mereka mengetahuinya. (Surah al-‘Ankabut:64) Maksud al-Hayawan dalam ayat ini mengikut ahli tafsir ialah syurga. Ertinya syurga itu kekal dan tidak akan ada kematian da dalamnya.

h. Al-Firdaus
Dalam firman Allah S.W.T. Ertinya:Mereka itulah orang yang akan mewarisi (yakni) syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya. (Surah al-Mu’minun:10-11) Ertinya:Sesungguhnya orang-orang beriman dan beramal soleh bagi mereka adalah syurga Firdaus. (Surah al-Kahfi:107)

Dalam hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, al-Hakim, dan al-Baihaqi, baginda bersabda: Ertinya:Apabila kamu meminta (memohon) syurga daripada Allah S.W.T. maka kamu mintalah syurga al-Firdaus, sesungguhnya al-Firdaus adalah syurga yang paling tinggi dan pertengahan syurga, dandaripadanya memancarsemua sungai-sungai di syurga. i. Jannatul Naim Nama ini adalah nama am syurga dan ia mengandungi semua jenis nikmat sama ada ia zahir atau batin. Dalam firman Allah S.W.T. : Maksudnya:Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh mereka akan memperolehi syurga-syurga yang penuh kenikmatan. (Surah Luqman:8)

Maksudnya: Di bawah mereka mengalir sungai-sungai di dalam syurga yang penuh kenikmatan. (Surah Yunus:9)

j. Al-Muqamul-Amin(Tempat yang selamat)
Firman Allah S.W.T. : Ertinya:Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa berada di tempat yang aman. (Surah al-Dukhan:51)

k. Maq’adu Sidqi
Maksud maq’adu sidqin yang diberikan oleh Allah S.W.T. ialah kerana maksud Tuhan daripada maq’ad(kursi)ialah kesenangan dan kecantikan, dan ia dapat dinikmati di syurga. Firman Allah S.W.T. : Maksudnya:Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ditempatkan di dalam syurga-syurga dan (berhampiran)sungai-sungai, di tempat yang benar di sisi Tuhan yang Maha Berkuasa. (Surah al-Qamar:54-55)

SIFAT AHLI SYURGA DI DUNIA

Ketika berada di dunia, ahli-ahli syurga mempunyai perasaan takut kepada Allah S.W.T. Mereka sentiasa takut kepada pembalasan di hari akhirat. Oleh itu, mereka sentiasa berasa sedih dan sentiasa beribadat kepada Allah. Ibn Wahab berkata:”Saya telah mendengar daripada Ibn Zaid berkata:”Allah S.W.T. menyifatkan ahli syurga dengan sifat takut (daripada AllahS.W.T.) dan bersifat sedih dan menangis dan meneruskan silaturrahim di dunia, maka mereka akan diikuti (diberi ganjaran)denga nikmat dan kegembiraan di akhirat, dan dia membaca Al-Quran: Dalam firman Allah: Ertinya:Mereka berkata sesungguhnya kami dahulu sewaktu berada di tengah-tengah keluarga kami, merasa takut (akan diazab). (Surah al-Thur:26) Allah S.W.T juga menerangkan tentang keadaan ahli-ahli neraka yang sentiasa berseronok di dunia dan melakukan perkara yang dimurkai Allah S.W.T. Ini dibuktikan dalam firman Allah S.W.T: Ertinya:Sesungguhnya dia dahulu (di dunia)bergembira di kalangan kaum keluarganya(yang sama-sama kafir), sesungguhnya ia menyangka bahawa dia sekali-kali tidak akan kembali hidup(kepada Tuhannya). (Surah al-Insyiaqaq:13-14)

SIFAT SYURGA DAN NIKMATNYA YANG DISEDIAKAN ALLAH KEPADA AHLINYA

Terdapat beberapa sunnah Rasullah s.a.w. yang menerangkan tentang sifat-sifat syurga dan nikmatnya. Antaranya: Ertinya:Daripada Abi Hurairah dia berkata:Rasulullah s.a.w. bersabda:Allah S.W.T berfirman:Aku sudah menyediakan kepada hamba-hambaKu yang soleh. Apa yang mata tidak melihatnya dan telinga tidak mendengar dan tidak terlintas di hati manusia itu adalah simpanan (masih rahsia). Ada yang lain Aku masih belum maklumkan kepada kamu. Diriwayatkan oleh Muslim Dalam sunnah Rasulullah yang lain, baginda ada menyatakan syurga itu adalah cahaya yang berkilat, wangian yang bergerak, istana yang dihias, sungai yang mengalir bersambung-sambung, buah-buahan yang sudah masak, isteri yang cantik dan menawan, barang-barang yang banyak, kekal dalam keadaan yang baru dan bersinar-sinar, dan ia berada di kediaman yang tinggi dan bercahaya. (Diriwayatkan oleh Ibn Majah)

Dalam sunnah Rasulullah yang diriwatkan oleh Abu Daud al-Tiyalisi pula, Abu Hurairah bertanya kepada Rasulullah, apa itu syurga?Bagaimana bentuk binaannya?Baginda menjawab bahawa syurga itu batu-batanya daripada emas dan perak dan lantainya daripada misk yang harum, anak batu(di tanah dan pasirnya) daripada batu permata dan tanahnya daripada batu zafran. Sesiapa yang memasukinya tidak akan mengalami malang dan sentiasa dalam keadaan muda.

SUNGAI-SUNGAI DAN BUKIT-BUKIT DI SYURGA

Sungai-sungai di syurga adalah daripada air yang tidak akan berubah rasa dan baunya, susu yang tidak akan berubah warnanya, arak yang lazat rasanya bagi peminumnya, dan madu yang bersih dan jernih. Hal ini diberitahu oleh Allah S.W.T dalam Surah Muhammad ayat 15. Dalam hadith Rasulullah yang diriwayatkan oleh al-‘Aqili menyatakan: Ertinya:Diriwayatkan daripada Abu Hurairah daripada Nabi S.A.W. bersabda: sungai-sungai yang ada di syurga keluar daripada timbunan tanah atau bukit-bukit adalah seperti misk. Al-Bukhari pula menyebut tentang sungai di dalam Hadith al-Israk melalui riwayat Syarik daripada Anas : Ertinya:Sesudah dia (Rasulullah)berada di langit dunia, maka baginda berhadapan dengan dua sungai yang mengalir berterusan dan teratur, maka baginda bertanya Jibril, ”Apakah dua sungai itu wahai Jibril?”Jibril menjawab, ”Nil dan Furat adalah unsurnya(sebahagian atau permulaanya)”, kemudian dia berjalan di langit maka jadi satu sungai lagi yang ada sebuah istana daripada mutiara dan permata zubarjat berhampirannya(atau di atasnya). Maka baginda sentuh dengan tangan (sungai itu), maka ia adalah misk yang wangi lagi harum. Baginda berkata: “Apakah ini wahai Jibril?”Dia berkata”Inilah kausar yang Allah S.W.T simpan(sembunyikan) khas kepada engkau.

DARI MANA KELUAR SUNGAI-SUNGAI SYURGA

Sungai-sungai di syurga mengalir dari syurga Firdaus. Ini dibuktikan oleh hadith Rasulullah yang diriwayatkan oleh al-Bukhari: Ertinya:Daripada Abu Hurairah berkata:Rasulullah bersabda:”Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan menunaikan sembahyang dan dia berpuasa pada bulan Ramadhan, dia berhak dimasukkan ke dalam syurga oleh Allah sama ada dia telah berhijrah kerana Allah atau ia duduk di buminya (tanah airnya yang dia dilahirkan di situ)”. Mereka berkata:Wahai Rasulullah tak bolehkah kami beritahukhabar gembira ini kepada orang ramai?” Rasulullah berkata:”Sesungguhnya ada seratus darjat di dalam syurga yang disediakan oleh Allah S.W.Tuntuk mujahidin(orang-orang yang berjihad) di jalan Allah, diantara dua darjat itu jauhnya seperti antara langit dengan bumi. Maka apabila kamu minta daripada Tuhan(memohon), maka kamu mintalah syurga Firdaus. Sesungguhnya ia adalah syurga di pertengahan, dan syurga yang paling tinggi dan di atasnya terletaknya arshur-rahman dan daripadanya terkeluar (mengalir)sungai-sungai syurga. ”

MINUMAN DAN PAKAIAN AHLI SYURGA

Ahli-ahli syurga memakai pakaian sutera, minumannya pula arak dan menggunakan bekas emas dan perak sebagai bekas minumannya. Ia merupakan salah satu hadith Rasulullah. Ia diriwayatkan oleh al-Nasa’i. Dalam hadith-hadithnya lagi, Baginda bersabda: Ertinya:Barangsiapa meminum arak di dunia kemudian dia tidak bertaubat daripadanya maka diharamkan kepadanya di akhirat. (dan juga orang yang memakai sutera dan sesiapa yang makan dalam bekas emas dan perak atau menggunakan untuk minuman, kerana dia mempercepatkan apa yang Allah S.W.T. lambatkan untuk dia di akhirat dan apa yang Allah haramkan di dunia, dia sudah melakukan). (Diriwayatkan oleh Malik) Ertinya:Daripada Abu Said al-Khudri dia berkata:Rasulullah bersabda, “Barangsiapa yangmemekai pakaian sutera di dunia, dia tidak akan memakainya di akhirat walaupun dia masuk syurga. Ahli syurga yang lain akan memakainya tetapi dia tidak akan dapat memakainya. ” (Diriwayatkan oleh Abu Daud al-Tiyalisi)

POKOK-POKOK DAN BUAH-BUAHAN DI SYURGA

Pokok-pokok di syurga digambarkan sangat besar hingga diibaratkan jika seorang penunggang muda berjalan mengililinginya sehingga tua, dia tidak akan sampai ke tempat permulaannya. Dalam salah satu hadith Rasulullah yang diriwayatkan oleh Ibn Wahab: Ertinya:Dan Abu Hurairah meriwayat daripada Nabi S.A.W. baginda bersabda: “Sepohon pokokyang ada di syurga seorang penunggang akan berjalan di bawah naungannya selama seratus tahun dan baginda berkata:kamu bacalah (wadzillin mah’duudi)[maka berita itu telah sampai kepada Kaab dia berkata: “Benar, demi yang telah menurunkan Taurat kepada Musa a.s bin Imran dan menurunkan al-Quran kepada Muhammad S.A.W. ]sekiranya seorang lelaki menunggang pada muda sahaja dan berjalan keliling di bawah pokok itu dia tidak akan sampai balik ke tempat permulaannya sehingga dia menjadi tua. Sesungguhnya Allah S.W.T telah menanam pokok itu dengan Tangan-Nya (Kuasa-Nya sendiri) dan menghidupkannya. Sesungguhnya dahan-dahannya sampai hingga ke belakang pagar syurga dan tidak ada sungai di syurga melainkan ia keluar dari bawah pokok itu. Dalam satu lagi hadith Rasulullah yang lain yang diriwayatkan oleh ‘Abd. al- Razzaq ada menceritakan tentang pokok di syurga ketika baginda dinaikkan ke sadrat al-Muntaha di langit ketujuh. Baginda menceritakan bahawa buah-buah di syurga seperti batu gunung, dahannya seperti telinga gajah, dan dari betisnya (badan bawah pokok) keluar dua sungai zahir, dan dua sungai batin. Baginda bertanya kepada Jibril “apakah ini?”Jibril memberitahu bahawa dua sungai batin itu di syurga manakala dua sungai zahir itu ialah sungai Nil dan sungai Furat. (seperti Nil dan Furat)

Di dalam syurga juga terdapat pokok sidru(bidara) yang tidak berduri, malahan durinya juga dijadikan sebagai buah. Setiap buah itu mempunyai tujuh puluh dua warna dan rasa yang berlainan.

PAKAIAN DI SYURGA DAN PAKAIAN AHLINYA

Pakaian yang dipakai di syurga ialah dari sutera. Dalam firman Allah S.W.T. : Maksudnya:Dan mereka akan memakai pakaian hijau daripada sutera halus dan sutera tebal. (Surah al-Kaft:31)

Hanad Assiri berkata:Khusaibah menceritakan kepada kami daripada Hamad bin Salamah daripada Muhammad bin Abdul Rahman bin Amru bin Saad bin Maaz bahawa Atarud bin Hajib telah menghadiahkan satu pakaian daripada sutera yang diberikan kepadanya oleh Kisra(raja Parsi) maka orang ramai berkumpul melihat dan menyentuh kain itu dan menakjubkan mereka(tertarik dengannya). Mereka berkata:“Wahai Rasulullah s.a.w. adakah ini turun kepadamu dari langit?” Baginda berkata:“Apa yang menakjubkan kamu!”Demi Allah dan jiwaku ditangan- Nya sapu tangan Saad bin Maaz di syurga adalah baik daripada ini. Wahai ghulam (budak atau hamba abdi), “bawalah ini kepada Abu Jahmin dan bawa kain dia kepada kami. ”

SYURGA DAN POKOKNYA PENUH DARIPADA PAKAIAN DI SYURGA

Dalam hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh al-Nasa’i ada menceritakan ada seorang lelaki yang datang bertanya kepada baginda tentang pakaian di syurga. Baginda memberitahu bahawa pakaian di syurga terlalu banyak. Hadith Rasullullah s.a.w. juga menceritakan bahawa batang pokok di syurga adalah dari emas. Hadith ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi.

POKOK TAMAR DI SYURGA DAN BUAH-BUAHANNYA

Dahan-dahan pokok tamar di syurga diperbuat daripada batu permata zamrud, batangnya daripada emas merah dan kulitnya adalah untuk pakaian ahli syurga dan daripada pokok tamar itu juga dijadikan barang perhiasan dan barang kemas untuk ahli syurga. Buah tamar di syurga seperti (alqilaalu)dan terang, lebih putih daripada susu, lebih manis daripada madu dan lebih lembut daripada marjerin. Buah tamar ini juga tidak mempunyai biji. hal ini diberitahu dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn al- Mubarak.

TANAMAN DI SYURGA

Dalam hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari: Ertinya:Abu Hurairah berkata:pada suatu hari Rasulullah s.a.w. sedang bercakap (menceritakan) dan ada pula seorang Badwi disitu. Baginda berkata, ”Sesungguhnya seorang lelaki daripada ahli syurga minta izin daripada Allah S.W.T. untuk bertanam-tanam. Allah akan berkata padanya adakah tidak ada padamu segala nikmat yang kamu mahukannya. Dia jawab:Ya!Wahai Allah tapi saya suka bertanam-tanaman, maka dia bertindak segera menanam biji-bijian, dengan cepat tumbuhannya membesar dan masak dan menunainya, dan hasilnya menjadi seperti bukit. Maka Allah akan katakan kepadanya apa yang ada pada kamu (kamu tanam), wahai ibn Adam (anak Adam)tidak ada sesuatu yang menyenangkan kamu”. Orang Badwi itu berkata, ”Wahai Rasulullah orang itu tidak lain(melainkan)orang Quraisy atau orang Ansar(orang Madinah)merekalah mempunyai tabiat suka tanaman. Adapun kami tidak mempunyai(kami bukan orang) tanaman, maka Rasulullah s.a.w. pun ketawa.

PINTU-PINTU SYURGA

Sekumpulan daripada ahlul-ilmi berkata syurga mempunyai 8 pintu. Ia berdasarkan hadith Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muslim yang mengatakan sesiapa yang sentiasa dalam berkeadaan wuduk dan sentiasa mengucap dua kalimah syahadah akan dibuka kepedanya kelapan-lapan pintu syurga. Dia akan masuk melalui mana-mana pintu yang dia suka. Ada di antara ahli ulama menentukan bilangan pintu syurga berdasarkan al-Sihah. Ia juga berdasarkan dari hadith Rasulullah. Ia mengatakan bahawa syurga mempunyai 11 buah pintu. Antaranya ialah pintu-pintu yang terbahagi kepada kebaikan amal ibadat iaitu pintu solat, pintu puasa, pintu zakat, pintu sedekah, pintu haji, pintu umrah, pintu jihad, pintu silaturrahimdan pintu rumah. Selain daripada pintu-pintu ini, terdapat juga pintu Muhammad. Ia juga dipanggil babur-rahmat dan babur taubat. Pintu ini sentiasa terbuka semenjak dijadikan Allah S.W.T. Apabila terbitnya matahari dari arah barat, pintu ini akan tertutup dan tidak akan dibuka sehingga hari Kiamat.

DARJAT DI SYURGA

Dalam hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Tarmizi mengatakan bahawa syurga mempunyai seratus darjat, dan jarak di antara darjat itu jauhnya antara langit dan bumi. Di setiap darjat itu jika dimuatkan seluruh manusia dan jin ternyata cukup. Rasulullah juga bersabda:Akan dikatakan kepada penghafal al- Quran apabila dia masuk syurga:Bacalah dan naik(darjat). Maka dia akan naik satu darjat dengan setiap ayat yang dibacanya dan darjatnya ialah terletak pada ayat terakhir yang dibacanya. Hadith ini diriwayatkan oleh Ibn Majah.

BILIK DI SYURGA

Dalam sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh al-Tarmizi dan al-Hakim mengatakan bahawa al-Ghurfatu(bilik)dibina daripada batu permata yaqut merah, atau batu permata zabarjat hijau atau mutiara putih yang tidak ada kesan pecahan kesan sambungan. Bilik itu dilihat seperti melihat bintang di kaki langit sama ada di sebelah timur atau barat. Ada bilik-bilik yang bahagian luarnya boleh dilihat dari dalam dan bahagian dalamnya juga boleh dilihat dari luar. Bilik-bilik ini disediakan untuk sesiapa yang membaiki percakapannya, membelanjakan makanannya, sentiasa berpuasa dan bersembahyang di malam hari kerana Allah S.W.T.

ISTANA-ISTANA DI SYURGA

Dalam sebuah hadith Rasulullah s.a.w. , baginda ada bertanya kepada Bilal bin Rabah apakah amalan yang dilakukannya sehingga dia mendahului baginda masuk ke syurga. Dia menjawab bahawa sentiasa menunaikan solat dua rakaat. Rasulullah juga menceritakan bahawa dia telah masuk ke syurga dan melihat sebuah istana yang berbentuk empat segi yang dibina daripada emas. Istana itu dibina untuk Umar al-Khattab. Hadith ini diriwayatkan oleh al-Tarmizi. Baginda juga bersabda dalam hadith lain bahawa sesiapa yang membaca surah Al-Ikhlas sebanyak sepuluh kali, Allah akan membina sebuah istana kepadanya di syurga, sesiapa yang membaca surah yang sama sebanyak dua puluh kali, akan dibina kepadanya dua buah istana di syurga dan seterusnya.

KHEMAH DAN PASAR DI SYURGA

Rasulullah telah bersabda: Ertinya:Daripada Abu Musa al-Asy’ari bahawa Rasulullah bersabda: Di syurga ada khemah daripada mutiara, bahagian dalamnya kosong, lebarnya 60 batu dan pada setiap hujungnya ada ahli keluarga isteri-isteri kepada orang mukmin, tidak nampak satu sama lain dan orang-orang mukmin akan berjalan pusing di keliling mereka. Hadith ini diriwayatkan oleh Muslim. Dari hadith baginda lagi, beliau bersabda: Ertinya:Daripada Anas bin Malik sesungguhnya Rasulullah pernah bersabda: Sesungguhnya sebuah pasar yang ada di syurga akan dikunjungi ahli keluarga pada tiap-tiap hari Jumaat. maka akan bertiup angina dari arah utara akan menyembur minyak atas misk pada muka dan pakaian mereka. Mereka akan bertambah cantik dan lawa. Maka ahli keluarga mereka akan berkata kepada kepadanya, demi Allah S.W.T kamu sudah bertambah cantik dan lawa, selepas kamu keluar(daripada kami). (diriwayatkan oeh Muslim)

TIADA SIAPA MASUK SYURGA TANPA PASPORT

Dalam sabda Rasulullah: Ertinya:Daripada Salaman al-Farisi berkata:Rasulullah s.a.w. bersabda:tiada siapa yang masuk syurga melainkan dengan permit “Bismillahirrahmanirrahim”, inilah buku daripada Allah(permit masuk)kepada fulan bin fulan masukkanlah dia ke dalam syurga yang tinggi yang buah-buahan yang berdekatan(tebal bunga). (diriwayatkan oleh Ahmad)

ORANG MISKIN MENDAHULUI MASUK SYURGA

Rasulullah s.a.w. ada bersabda bahawa orang fakir miskin akan masuk syurga lima ratus lebih awal daripada orang-orang kaya.

SIFAT AHLI SYURGA

Dalam sabda Rasulullah, “kumpulan pertama yang akan masuk ke syurga akan bercahaya seperti bulan purnama, kumpulan yang kedua bercahaya seperti bintang yang berkilat di langit dan terang. Mereka tidak membuang air kecil, tidak berak, tidak meludah dan tidak ada tahi hidung. Sikat mereka daripada emas, perak dan merenjis mereka adalah daripada minyak wangi misk, anak batu di situ adalah daripada permata. Isteri mereka adalah bidadari, tiap mereka mempunyai dua orang isteri yang isi tulang betisnya boleh menampakkan kecantikannya. Mereka tidak membenci satu sama lain, dan sentiasa bertasbih kepada Allah S.W.T. Perempuan dari ahli syurga dilihat betisnya putih di bawah tujuh puluh kain sehingga tulangnya dapat dilihat. Sekiranya mereka turun ke bumi, ia akan mencahayakan seluruh langit dan bumi, mereka sangat harum dan tudung mereka adalah lebih baik daripada di dunia. Ahli syurga tidak akan sakit, tidak akan mati, sentiasa dalam keadaan muda, dan tidak akan pernah berputus asa, tidak pernah susah dan sentiasa berasa gembira. Pakaian mereka juga tidak pernah kotor.

BIDADARI

Bidadari memiliki dahi seperti anak bulan sepanjang bulan purnama. di kepalanya terpasang seratus biji zafira dan di antara satu itu terpasang tujuh puluh ribu permata yang lebih bercahaya daripada bulan purnama dan terdapat mahkota daripada mutiara dan permata. Di dahinya tertulis “sesiapa yang inginkanku maka dia beramal pada tuhanku”. Ia ditulis daripada permata. Sifat mereka sangat lemah lembut, tidak berkeras, tidak garang, mempesonakan dan tidak mati

MAKANAN, MINUMAN DAN KAHWIN SEBENAR DI SYURGA

Ahli syurga tidak akan kencing dan tidak berak, makanan yang mereka makan akhirnya menjadi peluh seperti minyak wangi misk dan menjadi tasbih dan tahmid. Dalam sabda Rasulullah: “Akan dikurniakan kepada seorang mukmin kekuatan seratus orang mengenai jimak”. Ahli syurga tidak tidur kerana tidur dan mati adalah adik-beradik dan di syurga tidak ada kematian. Sekiranya seorang mukmin ingin mempunyai anak, kandunannya, kelahiran dan usianya ditentukan seperti yang dia inginkan.


BINATANG DI SYURGA

Burung-burung di syurga bernama Naima. Leher mereka seperti al-Jazar (lobak merah). Kuda di syurga adalah daripada batu permata yaqut merah dan ia berupaya untuk terbang dan membawa ahli syurga ke mana yang dikehendaki mereka. Rasulullah juga mengingatkan umatnya supaya membuat kabaikan kepada kambing kerana kambing adalah binatang dari syurga.


PENUTUP

Kesimpulan yang dapat dibuat berdasarkan tajuk Syurga Al-Jannah ini ialah kita dapat mengetahui dengan lebih mendalam tentang keistimewaan- keistimewaan yang terdapat di dalam syurga. Kita juga dapat mengetahui kenikmatan-kenikmatan syurga yang telah dikurniakan oleh Allah kepada hambanya yang beriman. Ciri-ciri untuk seseorang itu masuk ke syurga juga ada dimuatkan di dalam tajuk ini. Oleh itu, bolehlah kita mengambil kesempatan untuk melakukan yang terbaik untuk menempatkan diri kita di dalam syurga. Ini kerana syurga adalah salah satu nikmat yang paling besar yang dikurniakan kepada kita sebagai hambanya. Kita patut bersyukur kerana dilahirkan di dalam agama Islam yang sangat indah. Kita patut mengambil dan menggunakan peluang ini untuk ke syurga.


------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com