Tajuk: Tanda-Tanda Bermulanya Kiamat

PENDAHULUAN

Hari kiamat merupakan hari yang amat ditakuti oleh semua umat yang menganut agama Islam. Sesungguhnya peristiwa kiamat ini semestinya akan terjadi pada suatu masa nanti. Meskipun hanya Allah sahaja yang mengetahui tarikh berlakunya peristiwa ini tetapi Allah itu Maha Adil kerana Allah telah mengaturkan beberapa peristiwa yang menandakan sampainya kita kepada hari kehancuran tersebut. Semua perkara ini diatur oleh Allah S.W.T supaya hambanya yang lalai akan bangkit dan sedar dengan dosa-dosa yang mereka telah lakukan selama ini dan segera bertaubat.

Manakala bagi orang yang beriman pula seharusnya mereka lebih mendekatkan diri kepada Allah agar tidak mudah terpesong ke jalan yang salah. Hal ini menunjukkan betapa kasih dan sayangnya Allah itu kepada hamba-hambanya supaya mereka dapat bertaubat dan memperbaiki kesilapan mereka seterusnya dapat bersama menghuni syurga. Dunia hari ini menyaksikan telah berlaku beberapa peristiwa yang menjurus kepada berlakunya kiamat.

Tanda-tanda ini masih lagi berada di peringkat awal yang menyaksikan keruntuhan akhlak dalam diri segelintir umat manusia di seluruh dunia. Selain daripada itu, banyak peristiwa-peristiwa ganjil yang sukar ditafsirkan dengan ketandusan akal manusia juga telah berlaku di segenap pelusuk negara. Kita hari ini merasakan berlakunya kemerosotan umat Islam dalam pelbagai aspek, contohnya seperti keruntuhan moral, pergaduhan, peperangan serta cabaran hebat dalam meningkatkan keimanan kepada Allah S.W.T.

Tanda-tanda kiamat hampir tiba ini sudah berlaku sehingga menghampiri seratus tanda. Apa yang lebih membimbangkan ialah makin hari semakin banyak peristiwa pelik yang menghampiri kepada tanda kiamat yang lebih besar. Menurut Rasulullah S.A.W apabila peristiwa besar kiamat telah berlaku maka akan diikuti oleh peristiwa-peristiwa besar yang lain. Seperti yang disebutkan dalam hadisnya yang menceritakan tentang para sahabat yang duduk berbincang tentang kiamat, lalu Rasulullah berkata tidak akan terjadi kiamat sehingga berlakunya tanda-tanda kiamat yang besar seperti turunnya Nabi Isa, Yajuj dan Majuj dan yan lain-lain lagi.

Antara tanda-tanda kiamat yang disebutkan oleh Rasululah S.A.W dalam hadis-hadisnya ialah
- Dukhan atau asap yang akan keluar dan menyebabkan penyakit yang seperti selesema yang hanya terkena pada orang-orang yang beriman dan asap itu juga akan masuk ke dalam rongga badan orang-orang kafir lalu mereka jadi menggelembung kemudian asap itu keluar semula dari badan mereka.
- Dajjal yang akan membawa fitnah besar yang akan meragut keimanan, hinggakan ramai orang yang akan terpedaya dengan seruannya.
- Binatang besar yang akan keluar berhampiran Bukit Shafa di Makkah yang akan bercakap bahawa manusia sudah tidak mahu beriman lagi kepada Allah s.w.t.
- Matahari akan terbit dari yempat tenggelamnya, maka pada saat itu Allah s.w.t tidak lagi menerima iman pada orang kafir dan tidak lagi menerima taubat daripada orang yang berdosa.
- Turunnya Nabi Isa a.s untuk mendukung pemerintahan Imam Mahadi yang berdaulat pada masa itu dan beliau akan mematahkan segala salib yang dibuat oleh orang-orang Kristian dan beliau juga yang akan membunuh Dajjal.
- Keluarnya bangsa Yajuj dan Majuj yang akan membuat kerosakan di muka Bumi ini.
- Gempa bumi di timur.
- Gempa bumi di barat.
- Gempa bumi di Semenanjung Arab.
- Api besar yang akan menghalau manusia menuju ke Padang Masyar. Api ini bermula dari arah negeri Yaman.

Antara perkara-perkara yang akan terjadi sebelum munculnya Dajjal ialah kemungkaran bermaharajalela dalam masyarakat dan akan berlakunya peperangan yang berturut-turut yang mana akan menyebabkan Islam kembali asing dari pandangan. Hal ini adalah disebabkan pengaruh dari pelbagai aspek seperti media elektronik, media cetak, pengaruh budaya barat dan salah faham manusia tentang ajaran Islam. Contohnya umat Islam kini lebih cenderung kepada ilmu fardhu kifayah seperti ilmu matematik, sains, bahasa dan lain-lain lagi manakala ilmu fardhu ain yang wajib dituntut tidak pula diambil peduli. Maka bila hal ini terjadi, banyaklah terjadi keruntuhan moral di kalangan umat Islam terutamanya golangan remaja yang melakukan maksiat tanpa segan silu.

Dalam suasana antarabangsa pula, kita dapat menyaksikan berlakunya inah penindasan, kezaliman, peperangan, gempa bumi demi gempa bumi, semakin maju teknologi semakin mundur sifat perikemanusiaan yang tertanam dalam jiwa masing-masing. Selain daripada itu, terjadinya pembangunan di kawasan Baitul Maqdis atau Jerussalam. Tanah-tanah orang Arab Palestin terus sahaja dibeli oleh orang-orang Yahudi dan mereka telah mendirikan bangunan yang besar-besar, terutama di bandar baru Quds. Pencerobohan Yahudi terhadap hak-hak orang Palestin merupakan satu perkara yang telah diketahui ramai oleh semua lapisan masyarakat maka ini sebagai petanda bahawa kiamat sudah hampir tiba.

Sementelah pula, bandar Madinah pula akan berdepan dengan kemunduran. meskipun pada awalnya bandar Madinah adalah sebuah tempat yang maju tetapi pada suatu masa nanti akan berlakunya perkara seperti kemarau dan pelbagai lagi ujian lain yang akan diturunkan oleh Allah s.w.t. Pada saat ini, yang tinggal hanyalah penduduk Madinah yang beragama Islam sahaja manakala yang kafir akan keluar dan berhijrah ke negeri yang lain kerana tidak sanggup menghadapi ujian kecil yang diturunkan oleh yang Maha Esa.

Pada zaman ini juga Imam Mahadi akan lahir dan beliau yang akan memimpin umat Islam. Terdapat satu Hadis yang menerangkan kepada kita bahawasanya tidak akan berlaku kiamat sehinggalah bangsa Arab dikuasai oleh seorang lelaki keturunan Rasulullah s.a.w iaitu Imam Mahadi. Ia akan melaksanakan keadilan di permukaan bumi ini diikuti oleh seluruh kaum Muslimin. Imam Mahadi akan memerintah selama mana tidak pula dapat dipastikan kerana banyak mengikut riwayat yang berbeza-beza. Tetapi yang pasti kehadirannya adalah untuk membantu umat Islam. Imam Mahadi akan mengumpulkan tenteranya dan berangkat ke Baitul Maqdis untuk memimpin umat Islam menentang tentera pimpinan Dajjal. Antara pertempuran yang sengit ialah pertempuran antara tentera Imam Mahadi dan tentera As Sufyani di suatu lembah yang berhampiran dengan Baitul Maqdis, di mana pertempuran ini dimenangi oleh Imam Mahadi dan beliau terus menguasai kebanyakan negara di Asia Barat. Selepas itu makin banyaklah kemenangan demi kemenangan yang dikuasai oleh Imam Mahadi kerana pertolongan dari Allah s.w.t.

SETELAH KEMUNCULAN DAJJAL

Ujian Allah s.w.t seterusnya pula adalah dengan menghantar makhluknya yang bernama Dajjal. Ini adalah ujian sebesar-besarnya yang ditimpakan kepada umat manusia yang beriman. Tidak akan ada ujian yang lebih besar daripada Dajjal. Dasyatnya Dajjal ini sehinggakan para nabi mengingatkan kepada umat-umatnya supaya berjaga-jaga dengan kehadiran Dajjal. Kehadiran Dajjal adalah kerana membawa fitnah yang boleh memesongkan akidah umat Nabi Muhammad s.a.w. Antara fitnah yang akan dibawa oleh Dajjal ialah kononnya ada bersama-samanya syurga dan neraka, tetapi yang sebenarnya apa yang dikatakan syurga itu adalah neraka dan juga sebaliknya. Hal ini bermakna Dajjal telah berjaya mengubah pandangan masyarakat sehingga amalan taat itu dikira sebagai kebodohan manakala amalan maksiat itu dianggap sebagai tanda kematangan dan kecerdikan pemikiran. Masyarakat kita hari ini dianggap sebagai menyokong kehadiran Dajjal kerana melakukan banyak perkara yang dibuat oleh Dajjal. Jadi manusia sekarang makin lupa dengan ajaran agama dan menjadi makin teruk dari sehari ke sehari. Sehingga apabila tiba kemuncaknya masyarakat akan menyunsung kedatangan Dajjal ini. Mengikut beberapa riwayat Dajjal akan hidup selama empat puluh hari sahaja. Namun begitu, hari pertama adalah ibarat satu tahun manakala hari kedua adalah ibarat satu bulan, hari ketiga seperti satu minggu dan hari-hari seterusnya adalah sama seperti hari-hari biasa. Jadi keseluruhan masa Dajjal membuat kerosakan adalah selama empat belas bulan dan empat belas hari.

MACAM-MACAM FITNAH DAJJAL

Allah telah mengurniakan kepada Dajjal ini beberapa kemampuan untuk menguji keimanan umat manusia. Antara kemampuan Dajjal ialah:
- Segala kesenangan hidup akan ada bersama dengannya. Semua akan mematuhinya.
- Pada saat tibanya kiamat, manusia akan diuji dengan pelbagai perkara seperti kemarau dan lain-lain lagi. Pada saat inilah Dajjal memainkan peranannya dalam menawarkan beberapa kesenangan kepada manusia. umat yang lalai akan mengikuti sahaja petunjuk Dajjal.
- Ada bersamanya syurga dan neraka.
- Dajjal akan kelihatan bersama dengannya syurga dan neraka dan juga sungai air dan sungai api. Dajjal akan menggunakan kedua-duanya untuk menguji keimanan orang Islam kerana hakikat yang sebenar adalah sebalik dari apa yang kelihatan.

- Perjalanannya yang cepat dari kebanyakan negeri di dunia ini.
- Dajjal akan berjalan dengan cepat sekali di atas muka bumi ini sehinggakan dalam masa yang singkat dia dapat sampai ke tempat-tempat di seluruh dunia. Tetapi Dajjal tidak boleh memasuki negeri Madinah dan Makkah kerana ia dijaga oleh malaikat. Penghuni tempat ini akan selamat dari Dajjal.
- Mendapat pertolongan syaitan untuk menjamin kedudukannya.
- Dajjal akan dibantu oleh satu-satunya musuh paling ketat orang Islam iaitu syaitan. Syaitan amat suka dengan kehadiran Dajjal kerana boleh membantunya merosakkan anak cucu Adam yang dibencinya sejak dari azali lagi.

CARA-CARA UNTUK SELAMAT DARI FITNAH DAJJAL

Rasulullah s.a.w juga telah meninggalkan kepada kita beberapa cara untuk menjauhi daripada fitnah Dajjal. Antaranya ialah dengan memahami bahawa Dajjal itu sebenarnya pendusta dan pembohong serta mempunyai beberapa kelemahan yang dia sendiri tidak dapat menghindarkannya. Dia mempunyai mata sebelah besar dan sebelah kecil. Dajjal sangat takut kalau orang sempat memerhatikan kelemahan ini. oleh itu dia akan segera beredar apabila telah menabur fitnah di suatu tempat.

Selain daripada itu, tertulis di dahinya perkataan “kafir” dimana tulisan ini akan dapat dibaca oleh setiap orang muslim sama ada dia dapat membaca ataupun tidak. Jadi orang Islam tidak perlulah terpedaya dengan godannya.

Yang ketiga pula, kita pergi ke negeri Makkah atau Madinah atau duduk rumah dan jangan bergaul langsung dengan masyarakat. Kebanyakan pengikut adalah dari kalangan wanita dan orang jahil. Dan ada juga disyorkan supaya membaca sepuluh ayat pertama surah Al Kahfi.

DAJJAL MENGEPUNG IMAM MAHADI DAN TENTERANYA DI BAITUL MAQDIS

Setelah gagal memasuki Bandar Madinah, Dajjal pergi ke Baitul Maqdis dan mengepung orang Islam bersama dengan Imam Mahadi. Di sana umat Islam diuji dengan kemarau, kekurangan bekalan makanan dan ketandusan keperluan hidup. Pada masa inilah Dajjal menjalankan strateginya untuk menggoda mereka. Dajjal datang dengan membawa godaan seperti makanan, air dan segalanya yang diperlukan oleh mereka. Tetapi tiada seorang pun yang terpengaruh kerana kekuatan iman yang tertanam dalam jiwa masing-masing hinggakan mereka lebih rela mati syahid daripada menyokong pimpinan Dajjal. Tidak lama selepas peristiwa ini turunlah Nabi Isa untuk mengembalikan semangat umat Islam dan membantu mengembalikan kegemilangan agama Islam yang makin pudar keseriannya.

NABI ISA TURUN DARI LANGIT

Nabi Isa akan turun dari langit dengan diapit oleh dua orang malaikat dan beliau akan turun di sisi menara putih sebelah timur Damascus(Syria). Pada waktu sahur malam itu tentera Imam Mahadi akan mendengar seruan suci dari atas langit yang mengatakan “Telah tiba pertolongan Allah s.w.t untuk kamu”. Setelah itu Nabi Isa mengajak tentera Imam Mahadi untuk menyerang Dajjal. Sebaik sahaja Dajjal melihat Nabi Isa maka luruhlah segala kekuatan dan kesaktiannya. Dajjal sendiri amat takut dengan kehadiran Nabi Isa kerana dia tahu hanya Nabi Isa yang akan membunuhnya. Namun begitu Dajjal masih sempat lagi untuk membuat helah lagi yang mana kononnya dia berpihak kepada Nabi Isa dengan mengajak Nabi Isa bersolat bersama dan sebagainya. Tetapi helah itu awal-awal lagi telah dapat dihidu oleh Nabi Isa, justeru, dia tidak mudah terpedaya dengan helah Dajjal itu. Nabi Isa mengenali Dajjal melalui sifat-sifatnya yang diterangkan oleh Allah s.w.t. Jadi memang suatu tindakan yang amat bodohlah apabila Dajjal membuat helah di depan Nabi Isa. Ketika itulah Dajjal cuba melarikan diri, namun usahanya itu hanya sia-sia belaka kerana Nabi Isa menikamnya menggunakan lembing yang tajam yang dibawa turun dari langit. Lembing itu akan mengena ulu hati Dajjal yang menjadikannya terus tersungkur mati dan luluh serta semua anggota badannya cair kerana sangat takutnya berhadapan dengan Nabi Isa a.s.

Apabila Dajjal mati, Nabi Isa meneruskan jihadnya dengan Imam Mahadi dan dibantu oleh tentera-tenteranya. Semua tentera yang setia kepada Dajjal yang terdiri daripada tujuh puluh ribu orang Yahudi dan bangsa-bangsa lain akan menjadi sasaran. Mereka semua akan dibunuh sehingga tiada seorang pun di kalangan mereka yang akan hidup.

NABI ISA a.s MEMATAHKAN SALIB, MEMBUNUH KHINZIR, MENGHAPUSKAN JIZYAH DAN MENINGGALKAN ZAKAT.

Selepas berakhirnya riwayat Dajjal, Nabi Isa as telah menjalankan beberapa misi pentingnya iaitu untuk mengembalikan agama Islam kepada zaman kebangkitannya. Antara beberapa perkara yang akan dilakukan oleh beliau ialah:

- Nabi Isa as akan menjadi pemimpin yang adil setelah menerima penyerahan kuasa dari Imam Mahadi dan beliau akan menyampaikan syariat Nabi Muhammad s.a.w bukannya menambah apa yang diangkat oleh Nabi Muhammad sebelum ini.
- Nabi Isa as juga akan mematahkan salib dan mendustakan orang-orang kristian yang mengatakan bahawa beliau itu anak tuhan yang telah disalib oleh orang-orangYahudi.
- Nabi Isa akan membunuh babi atau khinzir, untuk lebih mengesahkan bahawa khinzir itu adalah haram dalam syariat kerana ada sesetengah orang kristian yang menganggap daging kristian itu adalah daging yang halal. Dengan pemusnahan itu maka terbuktilah bahawa apa yang diperkatakan oleh orang kristian itu adalah salah sama sekali.
- Nabi Isa juga akan menghapuskan jizyah kerana sudah tidak ada lagi orang kafir yang tinggal dalam negara Islam yang akan dipimpin oleh Nabi Isa itu.
- Nabi Isa juga akan menghentikan sistem zakat, kerana pada masa itu sudah tidak ada lagi orang yang layak menerima zakat. Semua orang telah kaya dan cukup keperluan hidup. Semua orang akan hidup aman dan sejahtera.

Itulah antara beberapa peristiwa yang berlaku semasa kedatangan Dajjal. Seterusnya antara kekacauan yang dilakukan oleh Dajjal dan juga beberapa peristiwa yang mengangkat Nabi Isa sebagai pemimpin yang agung pada masa hadapan. Beliaulah yang akan menyelamatkan seluruh umat Islam di dunia ini.

PERISTIWA-PERISTIWA YANG AKAN TERJADI SETELAH PEMBUNUHAN DAJJAL SEHINGGA TERJADINYA HARI KIAMAT

Setelah kematian Dajjal, tidak bermakna terselamatnya kita daripada dugaan yang diturunkan oleh Allah. Akan ada beberapa lagi ujian yang harus ditempuhi oleh sekalian hambanya. Antaranya ialah:
- Keluarnya bangsa Yajuj dan Majuj.
- Bangsa Yajuj dan Majuj ini akan keluar dari tempat tahanan mereka iaitu apabila mereka berjaya menembusi dinding tembaga yang dibuat oleh Zul Qarnain bagi menghalang mereka dari keluar. Bangsa ini akan membuat kerosakan di atas muka bumi. mereka adalah bangsa yang kuat makan, minum dan tidak mempedulikan orang lain apatah lagi bangsa lain. Pertolongan Allah datang dalam bentuk binatang kecil yang akan menyengat bangsa Yajuj dan Majuj. Mereka akan mati bergelimpangan dan tidak ada seorang pun di antara mereka yang akan hidup.
- Matahari akan terbit dari tempat tenggelamnya.
- Tanda kiamat seterusnya ialah matahari akan terbit dari arah barat bukannya dari arah timur seperti kebiasaannya. Ini adalah permulaan kerosakan sistem cakerawala yang melibatkan matahari dan planet-planet lain. Pada masa ini, taubat manusia yang kufur tidak akan diterima lagi oleh Allah manakala bagi orang-orang kafir pula tidak akan diterima imannya lagi oleh Allah s.w.t.
- Binatang ganjil akan muncul di Makkah.
- Satu binatang ganjil akan muncul di Makkah, binatang ini boleh bercakap dengan manusia dan menjelaskan siapa manusia yang beriman atau tidak.
- Al-Quran akan diangkat.
- Apabila hampir tiba dengan kiamat, orang sudah tidak mahu mengamalkan Al Quran kerana pintu hati sudah tertutup. Mereka sudah tidak bersolat, puasa haji dan sebagainya. Disebabkan hal ini Al Quran akan diangkat.
- Kaabah akan diruntuhkan.
- f) Asap tebal akan memenuhi permukaan bumi.
- Asap ini akan mematikan orang-orang yang beriman walaupun imannya hanya sebesar zarah sahaja. Apabila orang-orang beriman telah mati maka yang tinggal hanyalah orang-orang kafir yang tidak tahu menahu tentang agama langsung. Dan ketika itu juga tiada sesiapa yang akan menyebut nama Allah s.w.t.
- g) Gempa bumi di timur, barat dan semenanjung Arab.
- h) Api besar yang akan menghalau manusia menuju ke padang masyhar.
- Api besar ini akan menghalau manusia kearah Padang Masyhar. Api ini akan bermula keluar dari kawasan Aden sebelah selatan Yaman dan api ini akan menghalau manusia ke arah utara negeri Syam yang disebutkan sebagai Padang Masyhar.

Setelah berlakunya semua peristiwa-peristiwa ini barulah berlakunya peristiwa besar yang paling dasyat sekali iaitu kiamat. Justeru semua manusia hendaklah bersiap sedia dalam menghadapi ujian Allah s.w.t yang maha hebat ini. Yang pastinya peristiwa kiamat ini pasti akan terjadi kerana itu adalah janji Allah kepada hamba-hambanya.

KESIMPULAN

Secara kesimpulannya, semua umat manusia perlulah menanamkan sikap cintakan ibadah kepada Allah s.w.t. Kita seharusnya tidak leka dengan kesenangan dunia yang makin hari makin kita mudah kecapinya. Seharusnya kita peka dengan keadaan sekeliling yang pastinya sudah berubah. Kita seharusnya menerapkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian kita supaya hidup kita lebih diberkati dan diredhai oleh Allah s.w.t. Jadi, semasa hayatnya kita, marilah kita menambah keimanan kita kepada Allah s.w.t supaya kita menjadi antara hamba-hambaNya yang ditempatkan di halaman syurga bersama-sama dengan nabi-nabi Allah dan para sahabat.

RUJUKAN

Rujukan; Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi (2001). EMPAT PULUH HADIS AKHIR ZAMAN, Khazanah Banjariah.

------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com