Tajuk: Rumah Yang Tidak Dimasuki Malaikat

PENDAHULUAN

Hubungan malaikat dengan manusia sangat erat. Mereka mengawasi dan memberikan perhatian kepada manusia ketika diciptakan. , memelihara manusia ketika dilahirkan, megawasi gerak geri dan amal perbuatan manusia, serta mengambil roh manusia ketika ajal datang. Malaikat pun bertugas membawa wahyu dari Allah s.w.t bagi manusia. Tugas malaikat dapat kita lihat menerusi firman Allah s.w.t yang berikut:

“sama sahaja (bagi Tuhan), sesiapa di antaramu yang merahsiakan ucapannya, dan sesiapa yang berterus terang dengan ucapan itu, dan sesiapa yang bersembunyi di malam hari dan yang berjalan (menampakkan diri) di siang hari. Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah…” (Ar-Ra’d:10-11)

Dapat dikatakan bahawa malaikat yang menjadi pendamping manusia itu adalah malaikat yang ditugaskan untuk memelihara amal manusia. Semantara itu, dua pendamping manusia yang terdiri dari jin dan malaikat sentiasa berada dalam keadaan bertentangan. Jin mengajak manusia untuk berbuat kejahatan, sedangkan malaikat mengajak manusia untuk berbuat kebaikan. Bisikan syaitan selain menyeru pada keburukan dan pendustaan atas sesuatu yang hak, sedangkan bisikan malaikat selalu berisi ajakan pada kebaikan dan pembenaran atas sesuatu yang hak. Oleh itu, kita haruslah bersama mendekat diri kepada Allah s.w.t dengan memperbanyakkan ibadah dan menghindarkan diri dari pelbagai keinginan hawa nafsu haiwani agar malaikat sentiasa berada di samping kita sebagai teman setia. Selain itu, kita juga harus mengetahui sebab-sebab pelbagai jenis rumah yang tidak dimasuki malaikat.

Di antara jenis rumah yang tidak dimasuki malaikat ialah:

a) Rumah orang yang memutuskan silaturahim
b) Rumah orang yang menderhakai orang tua
c) Rumah yang penghuninya terbiasa mencaci maki
d) Rumah yang di dalamnya terdapat gambar (patung)
e) Rumah yang di dalamnya terdapat loceng
f) Rumah pelaku dosa besar

a) RUMAH ORANG YANG MEMUTUSKAN SILATURAHIM

Malaikat tidak akan turun kepada suatu kaum yang gemar memutuskan tali silaturahim. Allah s.w.t akan menyambungkan silaturahim orang yang menyambung silaturahim dan sebaliknya akan memutuskan silaturahim orang yang memutuskannya. Dengan demikian, hendaklah kita menjadi orang yang memiliki kesungguhan untuk menyambung tali silaturahim dengan cara mengunjungi kerabat dan sanak saudara, memelihara mereka dengan hal-hal yang dapat memperbaiki urusan dan keadaan mereka, serta memenuhi keperluan mereka sehingga kita akan memperolehi keredhaan, rahmat Allah dan doa para malaikat.

Di dalam pelbagai hadith disebutkan bahawa orang yang memutuskan tali silaturahim diharamkan masuk syurga. Antara hadith yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

Abu Musa al-Asy’ari r. a mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:“ Terdapat tiga orang yang tiak akan masuk syurga, iaitu orang yang suka minum khamar, orang yang memutuskan tali silaturahim, dan orang yang membenarkan perbuatan sihir. ”

Jika kita sangat mengharapkan malaikat memasuki rumah kita, hendaklah menyambungkan tali silaturahim dengan orang yang memutuskannya. Rasulullah s.a.w telah menjelaskan bahawa yang termasuk golongan washil (orang yang menyambungkan tali silaturahim) bukan orang yang membalas kebaikan orang lain dengan kebaikan lagi, melainkan orang yang menaburkan perbuatan ma’ruf di tengah-tengah keluarganya dan orang lain. Kerana itu, kita mesti menjadikan perbuatan ma’ruf sebagai prinsip atau dasar sebagaimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Selain itu, janganlah kita menjauhkan diri dari keberkatan malaikat yang memasuki rumah kita dan mendapatkan doa darinya.

b) RUMAH ORANG YANG MENDERHAKAI ORANG TUA

Malaikat rahmat tidak akan memasuki rumah tempat terjadinya dosa besar, iaitu terjadinya dosa besar, seperti derhaka kepada orang tua (uquuq al-walidain). Di dalam Al-Quran, Allah s.w.t telah berwasiat agar kita berbuat baik dan berbakti kepada orang tua kita. Perintah berbuat baik itu disertai dengan perintah untuk beribadat kepada-Nya, seperti yang dapat kita baca pada ayat berkut :“…dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu bapa…” (An-nisak:36)

“ Dan kami perintahkan kepada manusia(berbuat baik) kepada dua orang ibu bapa; ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah…” (Luqman:14)

Rasulullah s.a.w juga menggandingkan perbuatan jahat dan menderhakai orang tua dengan perbuatan menyekutukan Allah s.w.t. Orang yang menderhakai orang tua pun akan tercegah dari nikmat besar dipandang dan dilihat Allah dengan kemuliaan dan ampunan-Nya pada hari kiamat kelak.

Keuntungan dan manfaat berbuat baik kepada ibu bapa ialah:

- Merupakan amal soleh yang disenangi oleh Allah s.w.t dan pahalanya sama dengan pahala jihad fi sabilillah.
- Merupakan peluang dan kesempatan besar yang membawa pelakunya ke syurga.
- Menghilangkan kesusahan, mendatangkan kemudahan dalam pelbagai urusan, serta memberikan jaminan keselamatan.
- Membawa pelakunya menuju kepada keredhaan Allah s.w.t.

Dengan demikian jelaslah bahawa pahala bagi orang yang memuliakan kedua orang tua dan mentaati keduanya dalam rangka mencari keredhaan Allah sangat besar, baik di dunia mahupun di akhirat. Sebaliknya, peilaku derhaka kepada orang tua tidak akan menghasilkan apapun selain kerugian dan kesengsaraan, di antaranya malaikat tidak akan memasuki rumahnya. Oleh itu, berbaktilah kepada kedua orang tua agar kita memperolehi kebahagiaan di akhirat kelak.

c) RUMAH ORANG YANG PENGHUNINYA TERBIASA MENCACI MAKI

Jika kita mengharapkan malaikat rahmat selalu mengunjungi rumah dan keluarga kita, peliharalah lidah. Akibat lidah seseorang itu masuk syurga atau diseret ke neraka. Jika kata-kata yang lembut dan baik ini sedekah, senyum kita kepada saudara seiman pun dikatakan sedekah. Sebaliknya perbuatan sia-sia, seperti ghibah, namimah(mengadu domba), caci maki serta ucapan keji dan kasar yang penuh dengan dendam dan kedengkian merupakan jalan menuju kerugian, mendatangkan seksa, dan menyingkirkan kita dari rahmat Allah s.w.t. Kerana itu kita mestilah bersungguh-sungguh memelihara lidah. Basahilah lidah kita dengan zikrullah. Allah s.w.t telah menjadikan orang yang mampu mengendalikan hawa nafsu dan emosi sebagai orang-orang yang bertakwa sebagaimana firman-Nya ini:

Terjemahan “ Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi dan disediakannya untuk orang-orang yang bertakwa(iaitu) orang-orang yang menafkahkan(hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. ” (Ali Imran:133-134)

Kita pun mesti mengiringi perbuatan menahan marah itu dengan tutur kata yang baik. Selain itu, mencaci dan mengutuk itu merupakan perbuatan dosa yang sangat besar, sama dengan membunuh sesama mukmin. Rasulullah s.a.w menafikan kesempurnaan iman seseorang mukmin itu jika dia sering mencaci, mengutuk dan menyerang orang lain dengan makian, celaan, ghibah dan lain-lain.
Antara contoh mencaci maki atau mengutuk ialah:

- Mencaci maki para sahabat Rasulullah s.a.w
- Mencaci maki orang yang telah meninggal dunia
- Mengutuk zaman atau kejadian alam
- Mencaci maki angin
- Mencaci maki ayam jantan
- Mencaci atau mengutuk penyakit yang menimpa

Jelaslah bahawa malaikat akan menghindari tempat yang sering terdengar kutukan atau caci maki, baik terhadap orang lain, kejadian alam, haiwan, mahupun penyakit. Kerana itu, jika kita meniginkan agar malaikat selalu bersama kita, hendaklah kita meninggalkan perbuatan mengutuk atau mencaci maki.

d) RUMAH YANG DI DALAMNYA TERDAPAT GAMBAR (PATUNG)

Allah s.w.t sangat mencela patung dan manusia yang berlutut menyembah patung, seperti firman-Nya dalam ayat berikut:“ Ibrahim berkata: ‘Apakah kamu menyembah patung-patung yang kamu pahat itu?’Padahal Allah s.w.t lah yang menciptakan kamu dan apa yang kamu perbuat itu. ” (ash-shaffat:95-96)

Syariat Islam yang cemerlang telah mengharamkan keberadaan patung kerana patung merupakan jambatan pembuka penyembahan terhadap berhala. Di dalam sunnah Nabi pun kita menemukan sejumlah celaan terhadap gambar(patung) beserta penggambar atau pemahatnya. Kaitannya dengan hal ini, Rasulullah s.a.w telah menyeru kita untuk menjauhi gambar dan patung.

Sebab pengharaman gambar (patung) adalah kerana patung di anggap telah menyerupai ciptaan Allah s.w.t. Bahkan ada sebuah hadith yang menyatakan bahawa tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mendakwa dirinya mampu membuat sesuatu yang dapat menyaingi ciptaan Allah, baik itu melalui gambar haiwan mahupun makhluk bernyawa lainnya.

Gambar (patung) yang diperbolehkan:
- Setiap gambar atau patung yang tidak bernyawa, seperti gambar benda-benda mati, sungai dan pepohonan, atau pemandangan alam. Gambar-gambar itu dibolehkan atas dasar hadith Ibnu Abbas r. a: “Jika kamu mesti menggambar juga, hendaklah kamu menggambar pepohonan dan benda yang tidak bernyawa. ”
- Gambar bernyawa yang terpaksa dibuat, seperti foto untuk Identity Card(IC) atau alat peraga yang berkaitan dengan ilmu kedoktoran, dan hal lain yang bersifat darurat.
- Permainan untuk anak-anak, seperti boneka.

Namun, memasang benda yang bergambar haiwan, atau benda hidup yang lain, baik yang dipasangnya dengan cara menggantungkannya di dinding mahupun dipasang pada kain, dan sebagainya dengan tujuan tidak memuliakan gambar-gambar tersebut, hukumnya adalah tidak haram. Oleh itu, patung atau berhala dan gambar yang diagung-agungkan, boleh menjauhkan pemiliknya dari rahmat Allah s.w.t.

e) RUMAH YANG DI DALAMNYA TERDAPAT LOCENG

Abi Hurairah r. a mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: “ Loceng itu adalah seruling syaitan. ”

Seruling syaitan di sini mencakupi suara, alunan dan kesesatan yang ditimbulkannya. Berkaitan dengan hal ini, Abu Bakar Shiddiq pernah menegur seseorang yang memainkan seruling di rumah Rasulullah s.a.w. Abi Hurairah r. a mengatakan bahaw Rasulullah s.a.w bersabda:

“ Malaikat tidak akan menemani sekelompok manusia di tempat yang di dalamnya terdapat anjing atau loceng. ”

Melalui Hadith di atas, Rasulullah s.a.w melarang kewujudan loceng di rumah-rumah, juga loceng yang di gantungkan pada leher anak-anak dan haiwan.
Gereja merupakan salah satu tempat penyekutuan Allah, tempat mendakwahkan hal-hal yang syirik dan di dalamnya terdapat loceng sehingga merupakan tempat yang paling jauh dari keredhaan Allah s.w.t serta tempat yang paling dijauhi malaikat, serta syaitan datang menguasai kabatilan yang mereka ciptakan.

Malaikat selalu menjauhi suara loceng kerana loceng itu mirip dengan gong. Selain itu, ada yang berpendapat kerana loceng merupakan seruling syaitan seperti yang dijelaskan dalam hadith di atas. Pendapat yang membenci sekaligus memakruhkan loceng secara mutlak keluar dari kalangan mazhab Malik dan imam lainnya.

Terdapat riwayat yang mengisahkan bahawa Umar bun Khattab r. a pernah memotong (memecahkan) loceng-loceng yang digantungkan pada kenderaan puteri Zubeir. Ketika itu, Umar berkata: “ Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya bersama setiap loceng ini terdapat syaitan. ” Dalam riwayat dikatakan bahawa seorang wanita bertamu kepada Aisyah r. a dengan memakai gelang yang mengeluarkan bunyi (semacam gelang keroncong) di kakinya. Aisyah berkata: “ keluarkan dari rumah ku, si pengusir malaikat” Kerana itu marilah kita menjauhi larangan Allah s.w.t dan RasulNya agar berbahagia di dunia dan di akhirat.

f) RUMAH PELAKU DOSA BESAR

Di antara dosa besar yang sering dilakukan manusia, di antaranya, adalah seperti berikut:

1) Menolak membayar zakat. Allah s.w.t berfirman: “Janganlah sesekali oran-orang bakhil dengan harta yang Allah s.w.t berikan kepada mereka dari kurniaNya menyangka bahawa kebakhilan itu adalah baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat. Dan kepunyaan Allah lah segala warisan yang ada di langit dan di bumi dan Allah s.w.t mengetahui paa yang kamu kerjakan. ” (Ali Imran:180)

2) Meninggalkan haji padahal dirinya mampu.

3) Berbuka puasa di siang Ramadhan tanpa uzur syar’i.

4) Takabur dan sombong, sebagaimana firman-Nya: “ Sesungguhnya Allah s.w.t tidak menyukai orang-orang yang sombong” (an-Nahl:23)

5) Menuduh zina wanita mukmin dan suci. Allah s.w.t berfirman: “ Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik, yang taat lagi beriman berbuat zina, mereka kena laknat di dunia dan akhirat, dan bagi mereka azab yang besar. ” (an-Nur :23)

Demikianlah beberapa dosa besar yang mesti kita hindari, kita memohon kepada Allah s.w.t semoga dilindungi dari melakukan dosa besar tersebut. Semoga kitapun menjadi golongan orang yang beriman dan membenci kekufuran dan kemaksiatan. Semoga kita juga menjadi golongan orang yang selalu didampingi dan dilawati oleh malaikat.

KESIMPULAN

Allah s.w.t menabur rezeki yang melimpah ruah, kesejahteraan nurani dan keturunan yang menyejukkan perasaan bagi insan yang patuh dengan perintahNya. Insan yang ingkar akan merasa kegelisahan jiwa, kekurangan berkah serta mementingkan unsure material dalam kehidupan. Pemikiran mereka telah di kuasai oleh syaitan, rumah mereka di penuhi iblis yang meggantikan kedudukan malaikat rahmat. Hanya umat yang menjalankan sunnah akan menikmati rahmat Allah s.w.t yang tidak terhitung. Tinggalkanlah perkara bidaah, kerana setiap perkara bidaah adalah sesat dan setiap kesesatan itu berakhir di neraka. Semoga setiap rumah muslim sentiasa dikunjungi malaikat rahmat. Insya Allah.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206, 011-1070-4212, 011-1078-4731 (H)
04-988-2701 (P), 04-988-2597 (R)