Tajuk: Iman, Jalan Menuju Syurga

PENDAHULUAN

Di antara banyak-banyak nikmat yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada kita, ada satu nikmat yang paling bernilai berbanding nikmat-nikmat yang lain. Tetapi ramai yang tidak sedar dan bersyukur dengan adanya nikmat ini malahan ada yang menolaknya dari kehidupan mereka kerana beranggapan nikmat ini tidak selari dengan peredaran masa. Ketahuilah bahawa nikmat tersebut ialah iman. Hakikatnya iman merupakan satu persoalan yang sangat penting dalam kehidupan setiap insan. Ianya mencakupi seluruh kegiatan manusia dan menjadi faktor penentu bagi kejayaan seseorang itu di dunia dan akhirat.

Jika kita lihat kehidupan umat Islam pada hari ini, kita dapati bahawa kepatuhan kepada perintah dan larangan Allah S.W.T tidak dilaksanakan dengan sempurnanya. Perkara-perkara yang boleh menyebabkan gugurnya seseorang itu iman terus berlaku. Masalah ini berlaku kerana jahilnya seseorang itu akan hakikat iman, tuntutan dan implikasinya di dalam kehidupan harian seorang mu’min.

Firman Allah S.W.T: “Orang-orang Arab Badwi itu berkata, ‘Kami telah beriman’. Katakanlah kepada mereka: Kamu belum beriman, tetapi katakan ‘Kami telah tunduk’, kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu dan jika kamu taat kepada Allah dan rasul-Nya, Dia(Allah) tidak akan mengurangkan sedikit pun (pahala) amalanmu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (Al Hujurat:14)

Ayat di atas menerangkan bahawa persoalan iman itu sebenarnya tidak semudah apa yang diucapkan dengan lidah sahaja tanpa ianya tersemat di dalam hati dan di benarkan dengan amal.

Oleh itu di dalam usaha untuk kembali menghayati Islam sepenuhnya, maka perlulah kita memahami secara mendalam apakah hakikat iman yang sebenarnya, syarat-syarat dan tuntutannya serta perkara-perkara yang boleh menggugurkan iman dan bagaimana hendak meningkatkan iman tersebut.

IMAN Dan HAKIKATNYA

Kalimah iman merupakan salah satu kalimah yang tidak harus ditafsirkan kecuali menurut penafsiran yang dikehendaki oleh Allah S.W.T dan rasul-Nya.

Al-Quran menerangkan pengunaan perkataan iman di sekitar dua pengertian asasi.
1. Iman dalam pengertian MEMBENARKAN.
2. Iman dalam pengertian AMAL.

DALIL-DALIL UNTUK PENGERTIAN ‘MEMBENARKAN’
1. Nabi Ibrahim a.s meminta agar Allah S.W.T menunjukkkan kepadanya bagaimana bagaimana Allah S.W.T berkuasa menghidupkan sesuatu yang telah mati. Firman-Nya: “Allah berfirman: Tidakkah kamu membenarkan?. Jawab Nabi Ibrahim; Bahkan (saya membenarkan) tetapi supaya hati saya tenang. ” (Al-Baqarah:260)
2. Sabda Rasulullah S.A.W: “Yang dikatakan iman itu ialah dengan engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, Rasul-Rasul-Nya, Hari Qiamat dan engkau beriman qadar baik dan jahat adalah daripada Allah S.W.T”. (Riwayat Muslim)

DALIL-DALIL PENGERTIAN UNTUK ‘AMAL’

Sesungguhnya iman bukan semata-mata pernyataan dengan lidah bahawa dia seorang yang beriman. Ini kerana orang-orang munafiq mengatakan mereka beriman sedangkan hati mereka tidak beriman. Dan bukanlah juga iman itu hanya mengetahui erti dan hakikatnya sahaja tetapi keimanan itu perlulah dapat diterima akal sampai kepada tingkat keyakinan yang teguh serta tidak tergoncang oleh bimbang dan ragu.

Firman Allah S.W.T: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar”. (Al-Hujurat:15)

Sabda Rasulullah S.A.W: “Iman itu terbahagi kepada 60 bahagian, yang paling tinggi ialah mengucap dua kalimah syahadah dan yang paling rendah ialah membuang benda-benda yang boleh menyakitkan orang di jalan”.

Dalam hadis di atas Rasulullah S.A.W telah menamakan semua amal-amal Islami sebagai iman.

Seandainya Rasulullah S.A.W menuntut supaya manusia hanya menuturkan kalimah iman tanpa diikuti kepatuhan menjunjung perintah nescaya manusia akan bersegera melakukan demikian. Tetapi sirah telah membuktikan bahawa Rasulullah S.A.W telah membuat perjanjian dengan golongan Muhajirin agar berkorban dengan harta dan jiwa mereka serta berhijrah. Persaudaraan dengan golongan Ansar diikat untuk sama-sama berjihad di jalan Allah. Syurga sebagai janji dari-Nya.

Tangga-tangga iman

Sesungguhnya lain orang, lain taraf keimanan yang dicapainya di sisi Allah S.W.T. Kerana itu Islam membezakan iman kepada lima peringkat. Seseorang yang beragama Islam itu tidak akan terlepas dari salah satu peringkat tersebut.
1. Iman Taqlid
2. Iman Ilmu
3. Iman Ayyan
4. Iman Haq
5. Iman Hakikat

IMAN TAQLID

Iman ini ialah iman ikut-ikut. Maknanya orang yang memiliki iman ini ialah orang yang beriman dengan semua rukun iman hanya kerana mengikut orang lain, bukan kerana keyakinan sendiri. Pegangan Islamnya tidak kuat, prinsip Islamnya tidak kukuh. Siapakah yang memiliki iman taqlid ini?. Mungkinkah orang-orang bodoh, tidak berpelajaran dan tidak ada kepentingan dalam masyarakat?. Tidak! Majoriti umat Islam hari ini, baik ada pangkat atau tidak, miskin atau kaya, bodoh atau bijak adalah orang-orang yang beriman taqlid. Akibatnya majoriti umat Islam hari ini tidak sayang dengan Islam. Tidak cinta kepada Allah S.W.T dan tidak taat dengan hukum-hukum-Nya. Malah secara terus terang dan membabi buta memusuhi agama mereka sendiri. Jika umat Islam dibiarkan terus dalam keadaan demikian, umat Islam akan rendah dan hina di mata musuh. Jadi mudahlah untuk dimanipulasikan oleh pihak musuh untuk mencapai cita-cita dan ideologi mereka.

IMAN ILMU

Merupakan iman yang berdasarkan ilmu. Ilmu di sini adalah ilmu keimanan yang ada digariskan dalam agama Islam. Jadi seseorang yang beriman ilmu ialah seseorang yang telah mempelajari secara rasmi tentang Allah, malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi, hari qiamat dan lain-lain yang diwajibkan dalam Islam. Apabila ilmunya dipelajari dan difahami dengan betul dan diyakini dengan sungguh-sungguh, jadilah dia seorang yang mencapai taraf iman ilmu.

Kebanyakkan mereka yang beriman dengan iman ilmu ialah golongan yang berasal dari pengajian agama dan ketuhanan dan bersumberkan Al-Quran dan hadis. Seseorang yang beriman dengan iman ilmu, imannya hanya berada dalam fikiran tidak di dalam hatinya. Dia belum betul-betul kenal Allah. Kerana itu dia tidak merasai adanya Allah dan tidak takut pada Allah, tidak terpaut hatinya pada Allah serta tidak merasai kebesaran Allah. Jadi dia tidak kasih dan rindu pada Allah. Kalau ada ingatan pada Allah hanya sekali-sekala atau waktu terpaksa. Mereka masih berani melanggar batas-batas syariat kerana kekuatan iman yang dimiliki tidak mampu melawan kekuatan nafsu dan syaitan yang merajai hati mereka.

Sesungguhnya orang-orang yang mengetahui tentang agama, tahu tanggungjawabnya sebagai seorang muslim, sedar pula tentang akibat yang akan menimpa jika tanggungjawab itu diabaikan, tapi terus berdiam diri tanpa melaksanakan tanggungjawab tersebut akan sentiasa mendapat kemurkaan Allah S.W.T. Orang yang alim tapi tidak beramal dengan ilmunya, akan diazab lebih dahulu dari penyembah berhala.

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: Akan berlaku ke atas kamu di akhir zaman ahli ibadah jahil dan alim ulama’ fasik.

IMAN AYYAN

Taraf iman lebih tinggi dari taraf iman ilmu. Iman ayyan boleh dicapai bila orang yang mempunyai iman ilmu, kemudian rajin mengerjakan ibadah-ibadah yang boleh menambahkan iman.

Orang beginilah yang dimaksudkan oleh Allah dalam firman-Nya: Mereka yang sentiasa mengingati Allah dalam waktu berdiri, waktu duduk dan waktu berbaring dan mereka sentiasa memikirkan tentang kejadian langit dan bumi, seraya mereka berkata, “wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau jadikan semua itu dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, jauhkanlah kami dari azab api neraka”. (Al Imran:191)

Di peringkat iman ayyan, tidaklah seseorang itu mengingati Allah dua puluh empat jam. Ada waktu mereka lalai dan terbuat dosa kecil. Tapi setiap kali terbuat dosa kecil, mereka rasa menyesal dan malu dengan Allah. Ini memaksa mereka bertaubat dengan segera dan dengan sebenar-benarnya, di samping berjanji sungguh-sungguh tidak akan mengulangi perbuatan tersebut. Orang yang beriman dengan iman ini sangat membenarkan janji Allah bahawa hari qiamat akan tiba. Mereka cemas memikirkan nasib diri, apakah semua amalan mereka diterima dengan baik atau sebaiknya. Mereka juga sentiasa merasakan diawasi oleh Allah.

Golongan yang beriman ayyan adalah golongan yang sudah layak untuk membangunkan kehidupan beragama dalam diri, keluarga dan masyarakat. Mereka tidak takut pada cemuhan, ejekan, fitnah dan penghinaan.

Satu hakikat yang mesti kita akui, bahawa hari ini telah bangun orang-orang yang sedar pentingnya Islam itu diamalkan dan diperjuangkan. Mereka ini majoritinya bukan terdidik dengan didikan dan ilmu agama. Keimanan mereka kalau dikaji, baru diperingkat takliq tapi semangat mereka berkobar-kobar. Jadi, adalah menjadi tanggungjawab orang-orang yang beriman dengan iman ayyan untuk menyatukan mereka bagi menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.

IMAN HAQ

Iman haq merupakan iman yang sebenar. Seseorang yang mencapai iman haq adalah seorang yang dapat melihat Allah dengan mata hati. Ianya bukan dibuat-buat, tetapi ia datang sendiri bersama dengan rasa takut, gerun, hebat, kagum sanjung dan kasihkan Allah.

Bagi golongan ini, nafsu sudah dapat ditundukkan, syaitan tidak lagi berani menghampirinya. Mereka tidak sedikit pun terbuat dosa. Mereka digelar Allah sebagai orang Muqarrobin, orang-orang yang hampir dengan Allah.

Lebih kurang 1400 tahun dulu umat Islam kebanyakkannya berada diperingkat iman haq. Dalam sejarah itu, umat Islam telah menguasai dunia untuk berbakti kepada Allah dan mereka berjaya. Faktor terpenting kejayaan mereka ialah kekuatan iman yang mereka miliki.

Sekiranya kita bercita-cita untuk mengulangi sejarah agung itu, langkah pertama yang perlu diambil ialah tingkatkan iman setiap individu masyarakat. Apabila hati dipenuhi iman, kita akan bebas dari kongkongan nafsu, syaitan, manusia dan dunia dan Allah juga akan kasih pada kita. Barulah dapat merancang dan mentadbir masyarakat. Dan dari situlah Islam akan dapat kita tegakkan secara syumul dan sempurna.

IMAN HAKIKAT

Merupakan peringkat iman tertinggi yang boleh dicapai oleh manusia. Inilah taraf iman yang dicapai oleh Rasul-Rasul, nabi-nabi dan wali-wali besar.

Dalam kehidupan seharian mereka, golongan ini tenggelam dalam rindu, asyik dan mabuk dengan Allah. Hati mereka kekal dengan Allah dalam tidur atau jaga.

Sesungguhnya di akhirat Allah tempatkan mereka di syurga tertinggi tanpa melalui sebarang hisab. Hidup di dalam syurga yang maha indah dan maha lazat. Allah kurniakan sebagai membalas cinta dan pengorbanan mereka yang sungguh besar.

Cara mendapatkan iman

Setelah kita tahu apa itu iman dan peringkat-peringkatnya, tentulah timbul di hati keinginan dihati untuk meningkatkan iman yang sedia ada. Harus disedari kita dan majoriti umat Islam yang lain, bukanlah golongan Muqarrobin. Iman kita paling tinggi baru berada di peringkat iman ilmu. Kita baru setakat tahu akan Allah, tapi masih belum kenal akan Allah.

Firman Allah S.W.T: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah sendiri apa yang ada dalam diri mereka”. (Ar-Rad:11)

Iman boleh dicapai dengan cara mujahadatunnafsi iaitu melawan hawa nafsu.

Firman Allah S.W.T: “Orang-orang yang bermujahadah pada jalan kami, nescaya kami tunjuk jalan kami. Sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang baik”. (Al-Ankabut:69)

“Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang menyucikan nafsunya itu. Dan sesungguhnya rugilah (celakalah) orang yang mengotorinya”. (As-Syams:8-10)

Untuk mendapatkan iman, Allah S.W.T memerintahkan kita melawan hawa nafsu kerana nafsu yang bersarang di hati kita itu sentiasa mengajak kita supaya menderhakai Allah S.W.T.

Firman-Nya: “Sesungguhnya nafsu (amarah) itu sangat menyuruh berbuat jahat”. (Yusuf:53)

Dalam usaha melawan hawa nafsu itu kita mestilah menempuh tiga peringkat:
1. Mengosongkan atau membuang
2. Mengisi atau menghiasi
3. Terasa kebesaran dan kehebatan Allah S.W.T

MENGOSONG ATAU MEMBUANG
Untuk membuang nafsu dalam diri, kita perlu tahu kelemahan-kelemahan kita. Oleh itu, kita bolehlah:
1. Duduk di hadapan guru (syaikh)  guru dapat melihat kelemahan-kelemahan kita dan memberi nasihat dan petunjuk untuk bermujahadah.
2. Mencari teman yang benar  dapat menegur salah dan silap serta memberi nasihat.
3. Ambil pelajaran dari lidah musuh  orang yang mengambil manfaat dari lidah musuh yang marah dapat mengetahui kekurangan dirinya, kerana tabiat musuh suka menyebut keburukan orang yang dimusuhinya.
4. Bercampur gaul dengan manusia  Sesungguhnya orang mu’min itu cermin orang mu’min.

MENGHIAS (TAHALLI)
Setelah mengosongkan hati dari sifat mazmumah, segeralah hiasinya dengan sifat-sifat mahmudah. Untuk menghiasi hati dengan sifat mahmudah, kita perlu sekali lagi bermujahadah. Pada peringkat ini, kita akan merasa berat dan susah sekali. Jika kita bersungguh-sungguh kita akan merasai kelazatan bila ia sudah sebati dengan hati.

TERASA KEBESARAN DAN KEHEBATAN ALLAH (TAJALLI)
Tajalli secara ringkasnya ialah perasaan lapang dada, tenang dan bahagia. Hati seakan-akan hidup, celik, nampak dan terasa kebesaran Allah. Ingatan dan rindu penuh tertuju kepada Allah. Kalau begitu yang dirasai oleh orang-orang beriman, dunia ini terasa bagai syurga. Kebahagiaan mereka adalah kebahagiaan sejati dan abadi, iaitu kebahagiaan hati.

PERKARA YANG MEROSAKKAN IMAN
Terdapat tiga cara bagaimana iman itu boleh terbatal:
1. Iktiqad
2. Perkataan
3. Perbuatan

KTIQAD
Melalui iktiqad iman boleh rosak dengan sebab-sebab berikut:
1. Ragu-ragu dengan sifat-sifat wajib bagi Allah
2. Ragu dengan perkara-perkara ghaib seperti wujudnya malaikat, hari qiamat dan alam barzakh.
3. Ragu dengan sifat-sifat rasul
4. Ragu tentang kemampuan Al-Quran(Islam) sebagai pembawa keselamatan
Secara ringkasnya iman seseorang itu boleh rosak sekiranya timbul perasaan ragu dalam hati, perkataan dan perbuatan apabila disuruh beriman kepada Allah S.W.T.

PERKATAAN
Antara perkataan-perkataan yang boleh merosakkan iman ialah:
1. Mengatakan sesuatu yang boleh mencacatkan kesempurnaan sifat Allah.
2. Mengata dan mencaci Rasulullah tentang perkataan, perbuatan dan seluruh ajaran Rasulullah.
3. Mengatakan agama Islam tidak sesuai dengan peredaran zaman.
4. Menghalalkan yang haram dan sebaliknya.
Ringkasnya, sebarang perkataan yang berbentuk cacian dan penghinaan terhadap Islam secara sedar atau tidak adalah merosakkan iman.

PERBUATAN
Antara perbuatan-perbuatan yang boleh merosakkan iman ialah:
1. Sujud pada selain dari Allah iaitu menyekutukan Allah dengan makhluk yang lain.
2. Merai dan membesarkan hari agama bangsa lain.
Seseorang yang telah melakukan salah satu dari perkara di atas dalam sedar dan yakin, adalah seorang yang telah rosak imannya.

Firman-Nya: Sesungguhnya Allah tidak mengampun dosa syirik dan Dia mengampunkan dosa-dosa selainnya.

Seseorang yang telah murtad, wajiblah bertaubat. Syarat-syarat taubat:
1. Mengucap dua kalimah syahadah.
2. Memperbaharui dan membetulkan keyakinan tentang apa yang telah diragui, dikatakan dan dilakukan.

Hanya dengan memenuhi dua syarat di atas, barulah dosa akan diampunkan dan amal ibadah akan dinilai oleh Allah S.W.T.

Pertahanan iman
Sebagai seorang muslim, kita bukan sahaja disuruh untuk beribadah dan bermujahadah untuk mendapatkan iman. Sebaliknya, kita telah diwajibkan beribadah untuk memelihara dan mengawal iman. Ibadah dapat mengawal iman dengan mendirikan benteng-benteng iman. Benteng-benteng iman itu ialah:
1. Yakin.
2. Ikhlas.
3. Mengerjakan amalan sunat.
4. Istiqamah beramal.
5. Berdisiplin.

YAKIN

Kenapakah yakin itu perlu mendahului ikhlas dan lain-lain?. Kerana keyakinanlah yang menjamin sahnya iman seseorang.

Firman Allah S.W.T: Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, maka Allah akan melepaskannya dari kesusahan hidup dan memberikannya rezeki dari sumber yang tidak diduga. (At-Thalaq:2-3)

IKHLAS

Tanpa ikhlas, sesuatu amalan akan tertolak. Ikhlas itu meniatkan apa yang dibuat dan apa yang ditinggalkan semata-mata kerana Allah S.W.T. Kalau amalan itu tidak diniatkan kerana Allah, amalan itu dikira tidak ikhlas.
Untuk mendapat hati yang ikhlas bukanlah sesuatu mudah. Tanpa usaha yang sungguh-sungguh kita akan tewas di tangan syaitan yang nekad untuk menjatuhkan kita.

AMALAN SUNAT

Ibadah sunat dilakukan untuk menampung ibadah-ibadah fardhu yang tidak lengkap.

ISTIQAMAH BERAMAL

Istiqamah bermaksud berterusan. Setiap amalan yang dilakukan hendaklah dilakukan secara berterusan.

Sabda Rasulullah S.A.W: Sebaik-baik amal ialah amalan yang kekal walaupun sedikit.

Hadis di atas menjelaskan bahawa amalan yang dilakukan secara terus walaupun dalam kuantiti yang sedikit adalah lebih baik daripada amalan yang dilakukan dalam kuantiti yang banyak tapi tidak berterusan.

BERTERTIB
Setiap amalan yang dilakukan mestilah mengikut tertib untuk mendapat hasilnya. Jika sesuatu amalan itu tidak mematuhi tertib-tertib yang telah ditetapkan, pekerjaan yang dilakukan adalah sia-sia kerana amalan-amalan itu tidak diterima oleh Allah S.W.T.


Sifat-sifat orang mu’min Antara sifat-sifat orang mu’min ialah:
1. Beriman. Iman yang dimaksudkan ialah iman yang sempurna.
2. Khusyuk dalam sembahyang.
3. Menunaikan zakat. Kekayaan yang kita miliki adalah pinjaman dari Allah. Janganlah kita Mencintai harta melebihi cinta kita kepada Allah S.W.T.
4. Menjaga kemaluan.
5. Memelihara amanah dan janji.

Selain amanah sesama manusia, kita juga sedang memegang amanah dan janji dengan Allah.

Setiap kali selepas solat kita berjanji dengan Allah: Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah (Al-An’am:162)

6. Memelihara sembahyang.
Merupakan kewajipan yang telah ditetapkan, hendaklah disempurnakan sesempurna yang boleh. Firman Allah: Tidaklah dianggap orang mu’min sebenar sama ada lelaki atau perempuan apabila Allah dan rasul-Nya mendatangkan suatu perintah, bahawa mereka mahu memilih pada urusan mereka dan siapa yang derhaka, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dengan amat nyata.

PENUTUP

Masa beredar detik demi detik, tidak pernah berhenti. Satu detik yang ditinggalkan bererti satu detik umur kita hilang. Satu detik umur yang berlalu bermakna satu langkah kita menghampiri kematian.

Seandainya kita memilih kehidupan beriman di dunia maka di alam barzakh kita akan menerima ganjaran kebaikan. Begitulah jika sebaliknya.

Firman Allah S.W.T: Apabila langit digulung. Apabila bintang-bintang berjatuhan. Dan apabila gunung-gunung dihancurkan. Dan apabila unta-unta bunting ditinggalkan. Dan apabila binatang-binatang liar dikumpulkan. Dan apabila laut dijadikan meluap. Dan apabila roh-roh ditemukan jasad. Dan apabila bayi-bayi perempuan yang dikuburkan hidup-hidup ditanya, tentang dosa apakah dia dibunuh. Dan apabila catitan dosa amal manusia dibuka. Dan apabila langit dilenyapkan. Dan apabila Neraka Jahim didekatkan. Maka tiap-tiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dikerjakannya. (At-Takwiir:1-14)

Di akhirat kelak hanya terdapat dua kelas manusia iaitu iman atau kafir. Tidak ada kelas yang ketiga. Sanggupkah kita berada dalam kelas yang kedua? Diuji dengan sedikit kesusahan di dunia ini pun kita sudah resah dan tidak dapat bersabar, apa lagi berada di dalam neraka. Sudah tentu kita tidak mahu. Oleh yang demikian, kita tidak ada pilihan lain selain daripada beriman. Peluang yang masih ada ini janganlah kita sia-siakan.

Allah telah tegaskan dalam firman-Nya: Adapun orang-orang yang takut pada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya. (An-Naazi’at:40-41)

Sudah menjadi sunnatullah bahawa jalan-Nya itu adalah susah dan berhalangan. Untuk menempuhinya memerlukan pengorbanan yang besar. Tapi harus kita sedar kesukaran yang kita tanggung sekarang adalah harga bagi kebahagiaan yang akan kita terima di akhirat kelak.

Firman Allah S.W.T: Semulia-mulia manusia di sisi Allah ialah orang yang bertaqwa. (Al-Hujurat:13)

------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com