Tajuk: Rahsia Ketenangan Jiwa

PENDAHULUAN

Jiwa adalah hakikat diri seseorang. Manusia terdiri daripada dua bahagian, iaitu zahir dan batin. Ketenangan jiwa adalah perkara yang sangat penting bagi kehidupan seseorang dimuka bumi ini. Dengan ketenangan jiwa, timbulah perasaan tenteram, puas dengan apa yang diperolehi, tidak kecewa dengan diri sendiri serta selalu menaruh harapan terhadap masa depan. Memperolehi ketenangan jiwa adalah ibarat kebahagiaan dan kejayaan sudah dapat dicapai. Oleh yang demikian, kita semua perlu mendapatkan kebahagiaan dan kejayaan melalui ketenangan jiwa. Oleh itu, ketenangan jiwa haruslah dicari. Usaha-usaha dalam mencari ketenangan jiwa adalah sia-sia jika ketenangan jiwa yang sebenarnya tidak akan diperolehi. Ketenangan yang dibawa oleh Islam adalah ketenangan yang sebenar-benarnya iaitu ketenangan jiwa yang abadi.

SEBAB - SEBAB JIWA TIDAK TENANG
1. Banyak menzalimi orang

2. Banyak membuat dosa

3. Menghina dan menzalimi ibu atau bapa

4. Menzalimi dan menghina guru terutama guru yang menunjukkan kita ke jalan kebaikan

5. Tidak percaya wujudnya Allah SWT

7. Orang yang diuji bila imannya lemah atau tidak beriman

8. Orang yang pemarah

9. Bersifat pendendam

10. Hasad dengki terhadap orang lain

11. Bakhil dan kedekut

12. Orang yang tamak

13. Tidak sabar dalam hidupnya

14. Orang yang egonya tinggi

16. Cinta kepada dunia sahaja

RAHSIA KETENANGAN JIWA

1. HIDUPKAN MALAM DENGAN BERIBADAH KEPADA ALLAH

Malam adalah waktu yang sunyi dan tenang. Sesuai untuk beribadat kepada Allah SWT dan mendekatkan diri kepadaNya. Antara ibadat-ibadat yang boleh dilakukan pada waktu malam ialah solat malam, solat tahajud, membaca Al-Quran, berzikir dan sebagainya. Ada 4 keistimewaan yang kita akan dapat daripada solat pada waktu malam :

i. Merapatkan diri kita kepada Allah, apabila kita bangun solat pada waktu malam dan berdoa kepada Allah, jiwa kita akan semakin dekat dengan Allah.

ii. Mencegah diri daripada melakukan maksiat. Bila jiwa kita bersih, kita tidak akan buat benda-benda yang tidak elok dan dilarang oleh Allah.

iii. Menghapuskan dosa kepada Allah SWT. Dosa-dosa yang kita lakukan akan diampunkan oleh Allah.

iv. Menghapuskan penyakit dalam badan. Jika kita sakit, kita makan ubat tapi tak sembuh penyakit yang kita hidapi. Oleh itu kita bangun dan solat pada waktu malam dan berdoa kepada Allah supaya sembuhkan penyakit dalam badan kita.

Selain keistimewaan yang kita akan dapat daripada solat pada waktu malam, ada 9 kelebihan yang Allah berikan kepada orang-orang yang bangun solat Tahajud. Daripada 9 kelebihan itu, 5 kelebihan kita akan dapat di dunia manakala 4 kelebihan lagi kita akan dapat di Akhirat.

5 kelebihan di dunia 4 kelebihan di Akhirat

i. Selamatkan diri daripada bencana.

ii. Keberkatan akan nampak di muka.

iii. Akan disukai oleh hamba-hamba Allah yang lain.

iv. Jika bercakap, ucapannya penuh hikmah.

v. Dikurniakan kebijaksanaan kepadanya.

i. Dipimpin tangan keluar dari kubur dengan wajah yang berseri-seri.

ii. Menerima buku catatan amalanya dari tangan kanan.

iii. Diringankan perhitungan.

iv. Mudah meniti titian Siratalmustakim seperti kilat menyambar.

2. MENYEDARI WAKTU YANG ALLAH BERIKAN TIDAK BOLEH DIGANTI BALIK
Empat waktu yang kita kena manfaatkan sebaik mungkin supaya tidak timbul penyesalan di hari kemudian.
a) Waktu terima nikmat
Waktu kita diberi nikmat, kita wajib bersyukur di atas nikmat yg diberikan oleh Allah SWT kepada kita. Jika kita tidak bersyukur, Allah akan tarik balik nikmat yg diberikanNya kepada kita.
b) Waktu ditimpa bencana
Kita haruslah sabar dan reda di atas dugaan yang Allah berikan kepada kita. Banyakkan beribadat dan berdoa kepada Allah. Setiap yang berlaku ada hikmahnya dan Allah tidak akan memberi ujian dan dugaan kepada umatnya jika kita tidak mampu menghadapi dugaan yang diberikanNya kepada kita.

Doa menghadapi musibah : Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uuna. Allaahumma ajirnii fii mushiibatii wakhluf lii khairan minhaa. Ertinya : Sesungguhnya kami milik Allah dan sesungguhnya kami kembali kepada-Nya. Ya Allah berilah kami pahala dalam musibahku ini dan berilah pengganti yang lebih baik.

c) Waktu taat
Ketika kita beribadat kepada Allah, kita haruslah menunaikannya dengan bersungguh-sungguh. Jangan melengah-lengahkan solat dan jangan meninggalkan puasa. Setiap ibadat yang wajib dan sunat haruslah dilakukan segera dan bersungguh-sungguh.

d) Waktu melakukan dosa
Kita haruslah bertaubat kepada Allah dan memohon keampunan daripadaNya. Tanamkan keazaman dalam diri untuk berubah dan tidak mengulangi kesalahan yang sama.

3. MEMAHAMI KEISTIMEWAAN ZIKRULLAH
Jika kita rasa jiwa kita tak tenang, maknanya hati kita kosong, kita tak berzikir kepada Allah, kita tidak memuji Allah. Banyakkan berzikir kepada Allah dan kurangkan mengumpat serta mengeluh. Basahkan lidah kita dengan berzikir kepada Allah. InsyaAllah kita akan mendapat ketenangan di dunia dan di Akhirat.

4) SENTIASA BERTEMAN DENGAN ORANG-ORANG YANG SOLEH
Kita haruslah pandai memilih kawan dan berkawan dengan orang yang baik-baik sebagaimana sabda Rasulullah :
“ Jangan kamu berkawan melainkan dengan orang yang baik-baik sahaja ”
Pengaruh kawan adalah pengaruh yang paling kuat dalam hidup seseorang. Kawan yang baik akan membawa kita ke arah kebaikan manakala kawan yang jahat akan membawa kita ke arah kejahatan. Kejahatan diibaratkan seperti penyakit, ia cepat berjangkit dan merebak dalam tubuh badan manusia. Jika kita berkawan dengan orang yang jahat, kita juga akan terarah untuk melakukan kejahatan. Kawan yang baik akan bersama dengan kita di waktu susah dan senang.

5) MEMBERSIHKAN JIWA DARI SIFAT YANG TERCELA

Dalam hidup kita, ada 2 jenis penyakit iaitu penyakit jasmani dan penyakit rohani.
i. Sakit gigi, sakit perut, demam dan sebagainya adalah penykit jasmani. Jika ingin sembuh, kita perlukan dapatkan rawatan doktor dan makan ubat yang diberikan oleh doktor.
ii. Sombong, riak, takbur dan kedekut adalah contoh penyakit rohani. Ubatnya adalah bertaubat dan tanamkan keazaman untuk berubah. Kita kena bersihkan hati kita dari sifat-sifat yang tidak elok supaya jiwa kita akan sentiasa tenang.

6) SENTIASA MUHASABAH DIRI
Sebelum melakukan sesuatu, kita seharusnya berfikir baik dan buruknya terlebih dahulu. Bila dah melakukan sesuatu yang tidak baik, timbul penyesalan dah tak berguna. Bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak berguna. Fikir dulu sebelum bercakap, jangan sampai tersalah cakap dan mengguris hati orang yang mendengar. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Jika kita melakukan kesalahan pada seseorang, kita haruslah memohon maaf daripada orang yang terlibat supaya hati kita tenang tenteram untuk menjalani kehidupan seharian kita.

7) MERASAKAN ALLAH SENTIASA DI SISI DI MANA PUN KITA BERADA
Sebagai umat Islam, kita haruslah menjauhkan diri daripada melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah SWT. Allah Maha Melihat dan sentiasa nampak apa yang kita lakukan. Jika kita di dalam kesusahan, Allah akan sentiasa bersama dengan kita dan membantu kita. Allah tidak akan membiarkan umatnya menghadapi kesusahan sendirian. Untuk menjadi muslim yang sejati, kita haruslah cinta melakukan ibadat dan takut melakukan maksiat.

8) MELAKUKAN SESUATU DENGAN BERSUNGGUH-SUNGGUH
Setiap perkara yang kita lakukan mestilah dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Jika kita belajar, kita haruslah belajar dengan bersungguh dan jika kita bekerja, kita haruslah bekerja dengan bersungguh-sungguh. Ibadat yang wajib tidak ditinggalkan dan dilakukan dengan betol. Ibadat yang sunat pula, kita lakukan dengan bersungguh-sungguh. Bila kita mempunyai jiwa yang tenang kerana kita rapat dengan Allah, semua masalah kita akan dimudahkan oleh Allah. Setiap cubaan dan dugaan yang Allah berikan kepada kita dapat dihadapi dengan tenang.

9) BERSEGERA MELAKUKAN AMAL SOLEH
Umat Islam digalakkan bersegera melakukan amal soleh. Jangan tanamkan sifat suka bertangguh dalam diri. Rasulullah berpesan :
“ Rebutlah 5 perkara sebelum 5 keadaan”

i) Masa muda sebelum tua
Sewaktu kita muda, kita dikurniakan kesihatan yang baik, kita dapat melakukan ibadat kepada Allah dengan sempurna. Apabila masa berlalu tanpa kita sedari, badan kita dah tak sihat, umur sudah meningkat, kita tak mampu untuk menunaikan ibadat kita dengan sempurna.

ii) Masa kaya sebelum miskin
Harta boleh membuatkan manusia lalai dan lupa kepada Allah SWT. Apabila Allah menarik balik nikmat yang dikurniakan, barulah kita ingat kepada Allah. Kita haruslah membantu orang-orang di sekeliling kita yang memerlukan bantuan selagi kita mampu menghulurkan bantuan.

iii) Masa lapang sebelum sibuk
Masa lapang yang kita ada haruslah digunakan dengan sebaik mungkin. Banyakkan beribadat kepada Allah dan melakukan kebaikan. InsyaAllah masa itu akan terisi dengan baik dan kita tidak akan menyesal di kemudian hari.

iv) Masa sihat sebelum sakit
Selagi kita mampu melakukan ibadat, lakukanlah dengan sebaiknya. Apabila dah terlantar sakit dan tak mampu untuk melakukan ibadat dengan baik, baru timbul penyesalan dalam diri dan menyesal.

v) Masa hidup sebelum mati
Ajal maut di tangan Tuhan. Sebagai manusia, kita tidak dapat menjangka bila ajal kita akan tiba. Oleh itu, beribadatlah kepada Allah SWT selagi bernyawa.

10) SEGERA BERTAUBAT KEPADA ALLAH
Jika kita melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah, kita haruslah segera bertaubat kepadaNya. Jiwa kita akan merasa tidak tenang dan resah jika kita tidak bertaubat. Terdapat 2 kelebihan orang yang bertaubat iaitu mendapat perlindungan daripada Allah SWT dan dimurahkan rezeki serta dikurniakan kebahagiaan hidup di dunia dan di Akhirat.

DOA KETENANGAN JIWA

Rabhanaa afrigh 'alaynaa shabran wa tsabbit aqdaamanaa wahshurnaa 'alal qawmil kaafirina.

Rabbanaa laa tuzigh quluubanaa ba'da idz hadaytana wa hablanaa min ladunka rahmatan innaka antal wahhaabu.

Allaahumma tsabbitnii an azilla wahdinii an adhilla. Allahumma kamaa hulta baynii wa bayna qalbii, fahul baynii wa baynasy syaythaani wa 'amalihi.

Allaahumma innii as-aluka nafsan muthma 'innatan tu'minu biliqaa'ika wa tardhaa biqadhaa'ika wa taqna'u bi'athaa'ika

Ertinya : Ya Tuhan kami, curahkanlah kesabaran ke atas kami dan teguhkanlah pendirian kami serta tolonglah kami terhadap golongan yang kafir.

Ya Tuhan kami, janganlah kau palingkan hati kami setelah Engkau tunjuki dan berilah kami dari hadhirat-Mu rahmat kerana Engkau adalah Yang Maha Pemberi.

Ya Allah kukuhkanlah aku dari kemungkinan terpelesetnya iman, dan berilah aku petunjuk dari kemungkinan sesat.

Ya Allah sebagaimana Engkau telah memberi penghalang antara aku dan hatiku, maka berilah penghalang antaraku dan syaitan serta perbuatannya.

Ya Allah aku mohonkan pada-Mu jiwa yang tenang tenteram, yang percaya pada pertemuan dengan-Mu dan redha atas keputusan-Mu serta merasa cukup puas dengan pemberian-Mu.

------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com