Tajuk: Rahmat Di sebalik Dugaan

PENDAHULUAN

Kedamaian dan ketenanagan hidup merupakan harapan setiap insan, bahkan jiwa manusia menginginkan agar kesenangan itu abadi dalam kehidupannya. Tidak selamanya langit itu cerah,kadang-kadang mendung mewarnai perjalanan hari, kerana ia merupakan permintaan suatu ketentuan. Begitu juga dalam kehidupan insan bahawa setiap penderitaan, dugaan dan kesengsaraan merupakan ketentuan Ilahi yang harus diterima dengan hati yang jernih.

Tidak ramai yang tahan dalam menerima ujian Allah SWT..mungkin kerana dorongan hawa nafsu yang cintakan kehidupan didunia ini. Sesungguhnya sangat besar rahmat yang tersimpan disebalik dugaan bagi insan yang sabar. Umar bin Abdul Aziz pernah berkata, ”tidak ada suatu nikmat yang dikurniakan Allah SWT..kepada seseorang, lalu diambil kembali nikmat tersebut sedangkan orang itu menerima takdir yang menimpa dirinya dengan sabar, melainkan Allah akan mengganti yang lebih baik bagi dirinya”.

Oleh itu, hiasilah peribadi kita dengan sifat kesabaran.Insyaallah, segala dugaan dapat diatasi..

HAKIKAT MUSIBAH MENURUT AL-QURAN

Berdasarkan surah al-Baqarah:156-157 “Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan ‘sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali.Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka ialah orang-orang yang mendapat petunjuk”.

Ujian yang datang dari Allah seperti nikmat harta kekayaan dan kesenangan, sebenarnya adalah satu ujian yang lebih berat berbanding ujian bencana,seksaan dan lain-lain.Alangkah ramainya orang-orang yang memperoleh kekayaan,tetapi dengan kekayaannya itulah yang menyebabkan kecelakaan bagi dirinya,kerana mereka tidak dapat menggunakan harta itu dengan sebaik-baiknya.Justeru,kekayaan menjadi satu ujian bagi dirinya.

Allah SWT menurunkan ujian kepada hambanya bertujuan untuk : 1.Untuk membersihkan dan memilih,mana orang mukmin yang sejati dan mana yang munafik
2.Untuk mengangkat darjat serta menghapuskan dosa
3.Untuk melihat sejauh mana kesabaran dan ketaatan seorang hamba
4.Untuk membentuk dan mendidik keperibadian manusia sehingga menjadi umat berbudi tinggi
5.Sebagai latihan supaya manusia terbiasa menerima berbagai ujian,oleh itu akan bertambahlah kesabaran,kuat cita-cita dan tetap pendirian.

UBAT BAGI ORANG YANG TERKENA MUSIBAH

Orang yang terkena musibah hendaklah selalu memperhatikan Al-Quran dan Sunnah.Melalui cara ini, kita dapat menemukan penjelasan dari Allah SWT yang akan memberikan pahala yang sangat besar terhadap orang yang sabar dan rela menerima cubaan dari-Nya.Disamping itu pula,orang yang terkena musibah hendaklah memadamkan api musibahnya dengan memandang orang yang senasib dengannya,dan hendaklah sedar bahawa disetiap kota,kampong,bahkan disetiap rumah sentiasa ada orang yang ditimpa musibah.Musibah yang menimpa mereka itu ada yang sudah berulang kali bahkan ada yang terus- menerus sehingga ada yang mengorbankan nyawa.

Selalu melihat dengan mata hati,bermaksud hendaklah selalu yakin sesungguhnya kepahitan yang dialami didunia ini adalah kemanisan diakhirat,manakala kemanisan didunia adalah kepahitan diakhirat.Kebanyakan manusia tidak suka hidup hina sebentar,demi kemuliaan yang abadi.Mereka tidak suka untuk sakit sementara,demi untuk kesihatan yang selamanya.

Selalu memohon kepada Allah dan bertawakal kepadaNya.Bagi orang yang terkena musibah,handaklah kita memohon pertolongan dari Allah SWT dan bertawakal kepadaNya dengan melaksanakan perintah-Nya,termasuk juga memohon pertolongan dalam menghadapi musibah dengan penuh kesabaran dan sentiasa mengerjakan solat.3 perkara dari gudang-gudang syurga ialah:
1.Menyembunyikan perasaan duka pada saat ditimpa musibah.
2. Menyembunyikan penyakit.
3. Menyembunyikan sedekah

Hendaklah selalu membezakan dua macam kenikmatan,iaitu antara kenikmatan didunia yang fana’ ini dengan kenikmatan akhirat yang kekal dan abadi.Disamping itu,perhatikanlah mana diantara kedua nikmat itu yang paling lama dirasakan,adakah musibah atau keredhaan Allah atas ketabahannya dalam menghadapi musibah tersebut.

Hendaklah selalu menguatkan keyakinan diri dan menyedari bahawa semua musibah yang menimpa diri seseorang itu adalah merupakan kehendak dari AllahSWT.Allah berbuat demikian bukan bertujuan untuk membinasakan dan menyeksa manusia, tetapi adalah untuk menguji ketabahan serta kerelaan hati seseorang.Disamping itu juga adalah untuk mendengar permohonan seseorang dengan dengan penuh rasa kerendahan diri kehadratNya.

Menyedari keluh kesah akan menambah musibah.Hal ini kerana,jika kita berkeluh kesah ketika ditimpa musibah akan membuatkan musuh-musuh kita merasa gembira,begitu juga dengan syaitan-syaitan akan segera menggoda kita.Ketika itu,Allah akan murka kepada kita bahkan pahala kita akan terhapus.

TITISAN AIR MATA KETIKA MUSIBAH DATANG MELANDA

Tangisan adalah titisan air mata disebabkan oleh perasaan belas kasihan dari hati seorang hamba.Ketika ditimpa musibah hendaklah berhati-hati dalam menangis dan juga dalam mengucapkan kata-kata.Ucapan yang dapat menghapuskan pahala musibabnya serta yang akan membuatkan Allah murka kepada kita hendaklah dijauhi.Ucapan yang dimaksudkan ialah seperti mengatakan Allah berbuat zalim kepada kita dan sebagainya.

Menyedari bahawa kesedihan yang berpanjangan tidak ada gunanya.Perasaan susah dan sedih berpanjangan memang tidak ada gunanya,tetapi perasaan sedih yang tidak keterlaluan adalah merupakan fitrah dari hati nurani seorang insan.Menangis kerana rasa sedih atas meninggalnya seseorang sebagai ungkapan dari rasa belas kasihan adalah baik,dengan syarat harus menerima semuanya itu dengan penuh kerelaan dan kesabaran.Orang yang bersedih kerana musibah yang menimpa agamanya,menimpa diri kaum muslimin, maka perasaan sedih demikian akan mendapat pahala kerana orang yang demikian tergolong dalam orang yang mencintai kebaikan dan membenci keburukan.

Tetapi jika bersedih sehingga meninggalkan perintah Allah, serta mengerjakan larangan-Nya seperti tidak rela dan tidak sabar, maka perbuatan itu termasuk perbuatan yang dilarang, bahkan ia akan memperoleh dosa dari kesedihannya.

ARANGAN ATAS TANGISAN YANG MELAMPAUI BATAS

Orang yang ditimpa musibah hendaklah sedar bahawa tangisannya tidak ada sedikit manfaat pun bagi orang yang telah meninggal dunia, tetapi yang bermanfaat baginya adalah amal.Rasulullah pernah bersabda “Apabila mati anak Adam maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, Ilmu yang bermanfaat dan Anak yang soleh yang akan mendoakannya.”

Ada 3 perkara yang mengikuti orang yang meninggal dunia, iaitu;
a. Keluarganya
b. Hartanya
c. Amalanya

Maka yang akan kembali pulang ada 2 perkara, iaitu keluarga dan hartanya sedangkan yang akan tetap tinggal bersamanya adalah amalnya.

Perkara-perkara yang tidak diingini oleh agama ketika ditimpa musibah adalah seperti mengoyak-ngoyak baju,memukul-mukul muka, memekik-mekik,mencakar pipi, menghuraikan rambut,mengucapkan kata-kata celaka dan sebagainya.

Selaku hamba, kita hendaklah mengaku bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah, hendaklah sentiasa mensucikan Allah dan meyakini bahawa Allah berbuat mengikut apa yang dikehendakiNya.Dia Maha Bijaksana menentukan kehidupan dan kematian seorang hamba, seperti kematian dengan cara terbakar, lemas dan sebagainya.Semua ini sesuai dengan takdir yang telah ditentukan.Apa yang dilakukanNya tidak boleh dipertikaikan.

BERHATI-HATI TERHADAP GODAAN SYAITAN

Syaitan akan berusaha menganggu dan membisikkan dengan berbagai macam godaan.Tujuan syaitan berbuat demikian supaya seseorang berasa marah kepada Allah dan enggan untuk bertemu dengan-Nya.

Bagi orang yang tidak dapat membentengi diri dari godaan syaitan, maka mereka akan melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh agama, sedangkan orang yang dalam keadaan sakit akan timbul perasaan berat untuk meninggalkan dunia.

Dalam menghadapi musibah kematian,ada dua golongan manusia.Golongan pertama,ialah orang yang selama hidupnya hanya berusaha mengumpulkan harta sehingga berasa sayang untuk meninggalkan dunia ini,bahkan setelah ia meninggal dunia,disebabkan terlalu sedikit amalannya, ia masih memohon kepada Allah untuk kembali lagi kedunia walaupun hanya seketika.

Golongan yang kedua ialah orang-orang yang beriman, yang mengharap untuk bertemu dengan Allah,Zat yang dirindui dan dicintainya selama ini melebihi dari mencintai dirinya sendiri.Bagi golongan ini, tidak ada seorangpun yang mati lalu ingin kembali kedunia lagi walaupun seluruh dunia dan isinya akan diserahkan kepadanya.

ANTARA MUSIBAH DENGAN TAKDIR

Takdir mubram bermaksud takdir yang tidak dapat dielakkan.Contohnya jantina seseorang, terjadi hari kiamat,bila seseorang itu meninggal dunia dan sebagainya. Contoh lain seperti, seseorang sudah berjalan ditepi jalan dengan berhati-hati.Dengan tidak disangkakan,tiba-tiba ada kereta yang merempuhnya sehingga tidak ada kesempatan untuk menghindarkan diri.Hal ini tergolong dalam takdir mubram kerana tidak ada kesempatan bagi manusia berikhtiar untuk mengelak diri dari bahaya tersebut.

Takdir mu’allaq ialah qadha dan qadar yang bergantung kepada ikhtiar seseorang,atau usaha menurut kemampuan yang ada pada manusia.Contohnya bangsa yang dijajah akan berusaha untuk merdeka.Orang yang termasuk dalam lumpur berusaha naik ketempat kering.Orang yang sakit pergi berubat supaya cepat sembuh.Kesemuanya sempurna.

PETUA MENGHADAPI RINTANGAN

Jangan berputus asa dalam berdoa.Tidak semua doa akan dikabulkan Tuhan.Ada yang cepat dikabulkan dan ada pula yang lambat.Jika lambatnya doa itu dikabulkan,maka janganlah berputus asa kerana Allah lebih mengetahui apa yang paling baik untuk hambaNya.Kadang kala Allah tidak mengabulkan doa hambaNya bukan sererti ia menolak,tetapi ada kemungkinan ada kemudaratan yang terkandung didalamnya yang akan mencelakakan hamba-Nya,justeru itu penolakan juga bererti pemberian.
Tiga jenis permohonan hamba ialah;

- Memohon rezeki kepada Allah agar dapat menolong dirinya beribadah.Permohonan seperti ini termasuk tuduhan bahawa Allah tidak member rezeki kepadanya.Padahal Allah memberi rezeki kepada hamba-Nya.
- Permohonan agar dapat dekat dengan Allah.Permohonan seperti ini menunjukkan bahawa orang yang bermohon itu jauh dari Allah.Padahal Allah itu hadir dimana saja ia berada.
- Bermohon kepada selain Allah.Permohonan seperti ini menunjukkan bahawa orang yang bermohon itu sangat sedikit perasaan malunya kepada Allah.

• Ada dua perkara yang menyebabkan orang menghadap kepada Allah dan menjalankan berbagai ketaatan dan merendahkan diri kepadaNya,iaitu;
• Datangnya nikmat seperti sihat walafiat atau diberi rezeki yang melimpah ruah.Maka orang akan bersyukur kepada Allah atas nikmat-nikmat yang diterimanya, dengan menjalankan ketaatan kepada-Nya.
• Datangnya cubaan atau bencana, seperti bencana yang menimpa pada badan dan harta benda. Maka orang akan kembali ingat kepada Allah serta memohon kepada-Nya agar bencana sedang menimpa dirinya itu cepat berlalu.
Demikianlah kehendak Allah kepada hamba-Nya supaya mereka selalu ingat dan kembali kepada-Nya walaupun kembalinya dengan cara paksa.Misalnya orang yang sakit pada waktu sihatnya dia lupa kepada Allah, akan tetapi kerana sifat kasih-sayang-Nya,maka dia diingatkan dengan datangnya berbagai cubaan seperti sakit.Akhirnya dengan sakitnya itu dia terpaksa kembali ingat kepada-Nya.

Begitulah diantara cara Allah dalam melimpahkan kasih sayangNya kepada sekalian hamba-Nya.Sehingga manusia patut selalu bersyukur kepada-Nya.Dengan rasa syukur itu,bererti seseorang itu telah mengikat nikmat yang diberikan Allah agar jangan sampai terlepas dan hilang.

Allah akan menambahkan nikmat kepada kita sekiranya kita sentiasa bersyukur.Syukur terbahagi kepada tiga iaitu;-
1. Syukur dengan hati, iaitu mengerti bahawa segala nikmat itu semuanya dari AllahSWT
2. Syukur dengan lisan, iaitu dengan memperbanyakkan pujian kepada-Nya dan selalu memperbaharui nikmat yang diterima-Nya.
3. Syukur dengan anggota badan, iaitu semua anggota menjalankan amal-amal soleh.Semua anggota badan bermula dari hujung rambut hingga kehujung kaki tidak digunakan untuk mengerjakan maksiat, akan tetapi hendaklah digunakan untuk menjalankan berbagai amal kebajikan.

Jangan menuntut Allah atas terlambatnya permohonan dikabulkan.

Apabila berdoa,lalu dikabulkan doanya,maka janganlah beranggapan bahawa diterima doanya itu semata-mata kerana permohonannya,kerana mustahil Allah itu mahu dipaksa.Sebenarnya,seandainya Allah member kepadanya,pemberian-Nya itu adalah anugerah dan kurniaan-Nya,bukan kerana amal orang yang berdoa.

Oleh itu,cepat atau lambatnya Allah mengabulkan sesuatu permohonan dari hamba-Nya bergantung kepada sikap orang yang berdoa itu sendiri.Mungkin dalam berdoa sangat kurang sopan santunnya, seperti meminta agar doanya cepat dikabulkan.Ada kemungkinan kerana ia berdoa menganggap bahawa amal ibadat yang dikerjakannya telah banyak.Ini bererti bahawa ia meminta balasan dari amal yang dikerjakannya,bukan kerana perintah Allah.

MAKNA HIDUP

Apa makna hidup? Untuk apa hidup ini? Apa erti hidup? Apa yang diharapkan dari hidup? Dan apa tujuan hidup???

Dunia adalah tempat perantauan, kita tinggal disini hanya sementara, akhirnya kita akan kembali ke negeri asal,disana kita akan menikmati hasil dari perantauan kita itu kerana kita semua berasal dari Tuhan, maka kepada Tuhan-lah kita akan kembali, sebab itulah kembali kepada Allah disebut pulang ke Rahmatullah.

Maksud daripada hidup manusia adalah mengabdi kepada Allah, maka tujuan hidup kita adalah akhirat.Diakhiratlah kita akan menikmati hasil usaha dari perantauan didunia, atau penderitaan dari usaha perantauan didunia.Justeru itu wajarlah sekiranya ketika merantau kita bersakit-sakit dahulu, untuk bersenang-senang nanti setelah pulang ke kampung akhirat.

Maka dalam melaksanakan kehidupan dunia,hendaklah kita ingat bahawa pada suatu ketika nanti kita pasti akan mati dan seterusnya akan berlakulah kepada kita kehidupan akhirat, dan semua ini bergantung kepada amal ibadah kita selama hidup didunua ini.

Jadi,sebagai jawapan dari pertanyaan diatas dapatlah disimpulkan bahawa;

Hidup bermaksud mengabdikan diri kepada Allah,tidak kepada manusia, tidak kepada material dan sesuatu selain Allah.

Guna hidup ialah menggunakan akal yang dituntut oleh wahyu dalam memuaskan keperluan jasmani dan rohani.

Erti hidup ialah menerima kenyataan dunia,menikmati apa yang dapat diberikannya, namun tidak boleh berlebih-lebihan kerana ia akan merosakkan kehidupan itu sendiri.

Yang diharapkan dari hidup adalah sangat terbatas.Kesenangan, kemewahan, kebahagiaan, dan juga kesusahan sifatnya adalah sementara.Sebuah ungkapan ada mengatakan, apa yang ada didunia ini bagaikan bayang-bayang, setiap kali dipegang dia menghilang.

Tujuan hidup.Tujuan hidup adalah akhirat, dimana setiap amal perbuatan yang dilakukan di dunia ini akan diminta tanggungjawabnya.Pengabdian kepada Allah dalam dunia ini akan mendapat kesenangan yang abadi, sedangkan pengingkaran kepada Allah akan mendapat azab yang pedih.

PENUTUP

Jadi, jelaslah disini bahawa sebaik-baik ubat bagi orang yang ditimpa musibah adalah menerima musibah tersebut dengan pasrah kepada kehendak Allah SWT dan pada keredhaan-Nya,kerana bukti cinta ialah menuruti kemahuan orang yang dicintai.Jika sebaliknya, ia boleh dianggap pembohongan.Sesungguhnya apabila Allah memutuskan sesuatu, maka Ia amat suka kepada hamba-Nya yang menerima pemberian-Nya dengan senang.Oleh itu,berhati-hatilah dalam menentukan jalan hidup kita masing-masing, dan pilihlah jalan yang terbaik.Semoga kita mendapat pertolongan dari AllahSWT dan sentiasa tergolong dalam golongan orang-orang yang dicintai-Nya.

------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com