Tajuk: Malaikat Dan Tugas-Tugas Mereka

PENDAHULUAN

Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah. Kami berlindung kepada Allah dari segala kejahatan dan keburukan perbuatan kami. Barang siapa dianugerahi hidayah, tidak akan ada orang yang mampu menyesatkannya. Dan barang siapa disesatkan Allah, tidak akan ada orang yang mampu memberinya petunjuk. Orang mukmin hendaklah berusaha mempertahankan keberadaan malaikat di rumahnya serta berusaha menjalankan pelbagai amal yang menyebabkan malaikat rahmat senang memasuki rumahnya. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:“… dan malaikat-malaikat bertasbih serta memuji Tuhannya dan memohon ampun bagi orang-orang yang ada di bumi…” (asy-Syura:5)“Kami tidak menurunkan malaikat, melainkan dengan benar(al-Hijr:8)

Antara beberapa jenis rumah yang tidak dimasuki malaikat ialah:
1) Rumah orang yang terkutuk
2) Rumah yang di dalamnya terdapat patung
3) Rumah orang yang memakan harta anak yatim
4) Rumah orang yang menderhakai orang tua
5) Rumah orang yang memutuskan tali silaturahim
6) Rumah yang di dalamnya terdengar nyanyian dan alat muzik
7) Rumah yang penuh ratapan menangisi mayat

MALAIKAT DAN TUGAS-TUGASNYA

Beriman kepada malaikat adalah salah satu rukun iman. Setiap malaikat telah ditugaskan oleh Allah SWT untuk kepentingan manusia. Antaranya meniupkan roh kepada janin, memelihara seluruh manusia, menyampaikan wahyu, mengawasi dan mencatat amal perbuatan manusia serta mencabut roh manusia atas perintah Allah. Tetapi malaikat juga mempunyai tugas khusus terhadap orang-orang beriman dan tugas terhadap manusia pada umumnya. Di antara tugas-tugas malaikat terhadap orang beriman ialah:
• Mengaminkan doa-doa orang beriman
• Meluruskan jalan kehidupan orang-orang yang beriman
• Menyampaikan salam kepada Rasul dari umatnya
• Memelihara dan melindungi Rasulullah s.a.w
• Memelihara orang beriman
• Melawat jenazah orang soleh
• Memberikan khabar gembira kepada orang-orang beriman

Manakala tugas-tugas malaikat terhadap manusia pada umumnya ialah:
• Mengawasi dan memberi perhatian kepada manusia ketika diciptakan
• Memelihara manusia ketika dilahirkan
• Mengawasi gerak-geri dan amal perbuatan manusia
• Mengambil roh manusia ketika ajal datang

JENIS RUMAH YANG TIDAK DIMASUKI MALAIKAT
A-Rumah Orang Yang Terkutuk
Terdapat beberapa golongan yang dikategorikan sebagai orang yang terkutuk. Antaranya ialah:
I. Wanita yang mengubah ciptaan Allah
II. Orang yang meninggalkan solat
III. Muhallil dan muhallal-lahu
IV. Perasuah

I. Wanita yang mengubah ciptaan Allah
Allah melaknat wanita yang menipiskan alis matanya, wanita yang meratakan giginya agar kelihatan cantik, wanita yang menyambung rambutnya dengan rambut palsu dan wanita yang mengubah segala ciptaan Allah. Rasulullah s.a.w memerintahkan agar para wanita memelihara bentuk keaslian kewanitaannya.

II. Orang yang meninggalkan solat
Seperti yang kita tahu, solat itu adalah tiang agama. Menunaikannya adalah satu kewajipan bagi orang Islam. Meninggalkan solat dengan sengaja adalah satu dosa besar, malah lebih besar dari dosa membunuh. Meninggalkan solat juga akan mendatangkan kemurkaan dan kebencian Allah SWT.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Yang membezakan seorang lelaki (muslim) dengan yang syirik dan kufur adalah solatnya. ”

III. Muhallil dan muhallal-lahu
Apabila seorang suami menjatuhkan talak tiga ke atas isterinya, maka tidak halal baginya untuk rujuk atau menikahi isterinya semula. Kecuali apabila bekas isterinya itu telah dinikahi oleh lelaki lain berlandaskan syariat. Jika ditakdirkan kedua-duanya bercerai maka suami pertama tadi boleh menikahi isterinya kembali.

Apabila suami membayar lelaki tersebut untuk menikahi isterinya dan kemudian menceraikan wanita tersebut agar suami dapat kembali bersama isterinya, maka suami itu dikatakan sebagai muhallal-lahu dan lelaki yang dibayar itu sebagai muhallil. Sesungguhnya perbuatan mereka itu akan mendapat laknat dari Allah SWT.

IV. Perasuah
Dalam Islam rasuah adalah haram. Perbuatan ini sama sekali dilarang demi memelihara kesucian masyarakat Islam. Allah melaknat orang yang memberi rasuah dan orang yang menerima rasuah. Lafaz Ibnu Majah disebutkan :
“Laknat Allah berlaku bagi orang yang menyuap dan yang dirasuah!”

B-Rumah Yang Di Dalamnya Terdapat Patung
Allah SWT sangat mencela patung dan manusia yang berlutut menyembah patung, seperti firman-Nya:“…Patung-patung apakah ini yang kamu tekun beribadat kepadanya?”(al-Anbiyak:52)

Syariat Islam telah mengharamkan patung kerana patung merupakan jalan pembuka kepada penyembahan berhala. Patung diharamkan kerana dianggap telah menyerupai ciptaan Allah SWT. Hukuman dan azab bagi pembuat patung ialah:
Akan ditimpa azab secara berterusan melalui seksaan yang amat pedih.
Pelaku digolongkan ke dalam pelaku kezaliman yang paling besar.
Pada hari kiamat mereka akan dipaksa mengerjakan sesuatu yang tidak mungkin dapat mereka lakukan.

Digolongkan sebagai orang yang kafir terhadap Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.
Rumah pembuat dan pemilik patung tidak akan dimasuki malaikat rahmat.
Allah akan menghina dan mencela mereka yang membuat patung.

C-Rumah Orang Yang Memakan Harta Anak Yatim
Malaikat tidak akan memasuki rumah yang dihuni oleh orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim. Di dalam Al-Quran, telah dinyatakan bahawa ancaman terhadap pemakan harta anak yatim ialah perutnya penuh dengan api dan dimasukkan ke dalam api neraka.

Sekiranya kita tidak mampu untuk mengurus harta anak yatim, sebaiknya kita tidak menerima tanggungjawab tersebut sebagai langkah menyelamatkan diri kita dari melakukan dosa. Doa orang yang memakan harta anak yatim tidak akan diperkenankan oleh Allah SWT. Perbuatan itu merupakan suatu bentuk kezaliman terhadap orang yang tidak memiliki kekuatan kecuali hanya pasrah kepada Allah. Doa orang yang dizalimi itu akan dimakbulkan sebagaimana sabda Nabi s.a.w:

Tiga orang yang doanya diperkenankan iaitu orang tua, musafir dan orang yang dizalimi. ”Doa orang yang dizalimi itu dikabulkan. kalaupun dia berbuat dosa, dosanya hanya untuk dirinya sendiri. ”

rang yang memberikan kasih sayang terhadap anak yatim akan memperolehi kurniaan-Nya kerana kebaikan perbuatannya akan kembali kepadanya dari sisi Allah, baik di dunia mahupun di akhirat. Jika kita mengharapkan keredhaan Allah SWT dan menginginkan rumah kita dimasuki malaikat rahmat maka hendaklah kita berbuat ihsan kepada anak yatim.

D-Rumah Orang Yang Menderhakai Orang Tua
Di dalam Al-Quran, Allah telah berwasiat agar kita berbuat baik dan berbakti kepada orang tua. Seperti firman-Nya:“…dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu bapa…” (an-Nisak:36)

Seperti yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w menderhakai orang tua termasuk dalam hal-hal berikut ini:
- Perbuatan yang diharamkan dan dibenci oleh Allah SWT.
- Merupakan salah satu dosa besar yang akan membawa ke neraka Jahannam.
- Mencegah pelakunya dari menghidu bau syurga.
- Mengakibatkan amal soleh pelakunya tidak diterima oleh Allah.
- Membawa pelakunya pada laknat Allah, Rasulullah serta manusia.
- Mengakibatkan pelakunya ditimpa balasan buruk di dunia seperti ditimpa pelbagai penyakit, jatuh miskin serta dibenci atau disingkirkan oleh keluarga dan orang lain.
- Mengheret pelakunya kepada akibat yang tidak baik, dibutakan mata hatinya, dicabut keimanannya serta sukar untuk mengucapkan dua kalimah syahadah.

Jadi, hormatilah kedua ibu bapa dan orang tua agar kita tidak tergolong dalam golongan orang yang menderhakai orang tua. Pahala bagi orang yang memuliakan kedua orang tua dan mentaati keduanya dalam mencari keredhaan Allah SWT sangat besar, baik di dunia mahupun di akhirat. Sebaliknya orang yang derhaka terhadap orang tua tidak akan memberi apa-apa pun selain kerugian dan kesenggaraan.

-Rumah Orang Memutuskan Tali Silaturahim

alaikat tidak akan turun kepada suatu kaum yang gemar memutuskan tali silaturahim. Allah SWT akan menyambungkan silaturahim orang yang menyambung silaturahim dan sebaliknya akan memutuskan silaturahim orang yang memutuskannya.

Di dalam pelbagai hadis disebutkan bahawa orang yang memutuskan tali silaturahim diharamkan memasuki syurga. Rasulullah s.a.w pernah bersabda:
“Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan tali silaturahim. ”

Jika kita sangat mengharapkan malaikat memasuki rumah kita, hendaklah kita menyambungkan tali silaturahim dengan orang yang memutuskannya. Rasulullah telah menjelaskan bahawa yang termasuk dalam golongan orang yang menyambungkan tali silaturahim bukan orang yang membalas kebaikan orang lain dengan kebaikan lagi, melainkan orang yang menaburkan perbuatan ma’ruf di tengah-tengah keluarganya dan orang lain. Oleh itu, janganlah kita menjauhkan diri dari keberkatan malaikat yang memasuki rumah kita.

F-Rumah Yang Di Dalamnya Terdengar Nyanyian Dan Alat Muzik
Menurut para ulama, memang sudah semestinya kita menghibur jiwa dengan nyanyian atau lagu yang menyenangkan kerana manusia memiliki kecenderungan seperti itu. Islam merupakan agama yang suci, Islam sangat memelihara jiwa manusia kerana itulah Islam membolehkan nyanyian yang bukan nyanyian batil yang penuh perasaan cinta dan diiringi muzik.

Telah banyak nas dari Rasulullah s.a.w yang berisi anjuran agar seorang muslim menjadikan Al-Quran sebagai nyanyian yang didendangkan melalui bacaan yang diperindahkan dan dipelihara kaedah tajwidnya. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Hiasilah Al-Quran dengan suaramu…”

Nyanyian dan muzik merupakan dua pintu yang dilalui syaitan untuk merosakkan hak dan jiwa. Nyanyian pun dapat dikatakan seperti perbuatan zina kerana dengan nyanyian itu syaitan menipu jiwa yang tengah mengerjakan pekerjaan yang sia-sia itu.

Zikir kita kepada Allah merupakan sumber keberkatan dan kebaikan di dunia dan di akhirat. Kerana itu kita hendaklah menjadi hamba Allah yang selalu membersihkan pendengaran dan ucapan dari sesuatu yang diharamkan Allah. Mudah-mudahan Allah menjadikan kita sebagai orang-orang yang memperolehi keberuntungan.

G-Rumah Yang Penuh Ratapan Menangisi Mayat
Meraung-raung apabila berlakunya kematian adalah satu dosa kerana kita seolah-olah tidak rela atas takdir Allah. Rasulullah s.a.w melarang kita meraung-raung kerana meratapi mayat. Dalam hal ini, Allah SWT telah berfirman:“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka…” (at-Tahrim:6)

Dalam hadis Nabi s.a.w ada dinyatakan kerugian dan azab bagi orang yang meratapi mayat. Antaranya ialah:
- Malaikat tidak akan membaca selawat untuknya.
- Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w :“Malaikat tidak akan membaca selawat kepada wanita yang meratapi mayat dan menagisinya dengan cara meraung-raung. ”
- Pada hari akhirat dia akan dibangkitkan dengan mengenakan baju dari bahan tar dan kain dari kotoran besi yang gatal. Rasulullah s.a.w bersabda:“Wanita yang meratapi mayat, jika tidak bertaubat sebelum ia meninggal dunia, pada hari kiamat dia akan dibangkitkan dengan mengenakan baju dari tar dan kain yang akan menimbulkan penyakit gatal-gatal. ”
- Perbuatan yang dilakukannya merupakan perbuatan kaum jahiliah.
- Pelakunya akan dijauhi dari rahmat Allah SWT.
- Nabi s.a.w lepas tangan darinya.

a) Keburukan yang sangat nyata adalah dia tidak akan didampingi oleh malaikat rahmat.
Apabila berlaku kematian atau musibah, semestinya kita bersabar dan ikhlas menerima ketetapan Allah kerana sabar merupakan sifat yang paling mulia. Kesabaran merupakan akhlak yang agung. Dengan kesabaran seseorang itu akan tampil lebih baik dan jika kesabaran tidak ada pada diri seseorang, akan buruklah keadaan orang berkenaan. Mudah-mudahan Allah SWT menjadikan kita sebagai orang-orang yang sabar ketika suka mahupun duka, bersyukur atas limpahan rahmat Allah serta redha atas qadha dan takdir Allah SWT.

PENUTUP
Rahmat Allah sentiasa ada pada hati yang suci dan bersih. Ketenangan dan kedamaian memancarkan nur makrifat dalam keyakinan dan keimanan yang kukuh. Jauhilah perkara-perkara yang boleh menjauhkan malaikat dari rumah kita.

Bagi mereka yang ingkar, mereka akan selalu berada dalam kegelisahan. Pemikiran mereka telah dikuasai oleh syaitan, rumah-rumah mereka pula dipenuhi iblis yang menggantikan kedudukan malaikat rahmat.

Oleh itu, tinggallah perkara-perkara bidaah yang boleh menyesatkan kita. Semoga setiap rumah orang-orang muslim sentiasa dikunjungi malaikat rahmat dan semoga Allah menganugerahi kita taufik dan hidayah dalam menjalankan amal yang dicintai dan diredhai-Nya. Insyallah.


------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com