Tajuk: Kepimpinan Dalam Islam

PENDAHULUAN.

Islam tidak merelakan ummahnya menyerah kepada keadaan dan realiti serta terus lemah dan berdiam diri, akan tetapi ianya mengarahkan ummahnya untuk terus bangun, bergerak dan mengorbankan seluruh jiwa, harta dan masa untuk memastikan agama Allah ini berterusan kekal di muka bumi bahkan lebih dari itu iaitu menegakkan daulah Islamiyyah yang melaksanakan syariatnya serta mengembalikan khilafah Islamiyyah di bumi ini di atas asas yang teguh mengikut proses penyatuan pemikiran, amal dan gerakan melalui harakah Islamiyyah.

Dalam memperkatakan tentang qiadah atau pimpinan, khususnya kepimpinan dalam gerakan atau jemaah Islam, maka unsur-unsur yang berkait rapat dengan pemimpin Islam iaitu bentuk pemilihan, tanggungjawab, sifat-sifat dan pengarahan yang perlu ada kepada seorang pemimpin mestilah jelas dan bertepatan. Tidak boleh sebenarnya sebarang pemilihan terhadap pemimpin dilakukan secara sambil lewa dan tidak serius tanpa melalui pemerhatian yang mendalam. Apatah lagi jika berlakunya rasuah atau penyelewengan dalam menentukan pemimpin yang akan mencorakkan masa depan pasti akan menjadi hijab kepada keberkatan dan akan mengundang kemurkaan Allah SWT.

Pemimpin dalam sesebuah organisasi adalah umpama kepala kepada badan, akan menentukan tujuan, menghimpunkan di sisinya segala maklumat, mengkaji dan berfikir dengan bantuan keupayaan yang khusus, juga memberi penerangan serta mengawasi perlaksanaan sehingga semua kerja berjalan dalam bentuk yang betul.

Setakat mana kepimpinan itu kuat dan mempunyai kesedaran serta berada di peringkat yang baik dari segi kebolehannya maka setakat itulah pergerakan, pekerjaan, pengeluaran dan selamatnya pejalanan sesebuah organisasi. Begitulah sebaliknya, kerana sejauhmana kelemahan pemimpin, kekurangan kebolehannya akan menyebabkan lambat, lemah atau kekurangan dalam menghasilkan matlamat. Kesimpulnnya, semuanya berbalik kepada sejauhmana kesatuan organisasi dan keteguhan pegangan kepada Allah SWT seperti mana firmanNya:

“Dan berpegang teguhlah kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai berai” (Surah Al- Imran:103)

PENGERTIAN PEMIMPIN DAN KEPIMPINAN DALAM ISLAM

Pemimpin pada pandangan Islam adalah bukan sahaja mereka yang bertanggungjawab menjalankan urusan pentadbiran seharian dengan baik dan cemerlang tetapi ia adalah manusia contoh kepada orang lain serta symbol kepada jemaah di dalam semua gerak-gerinya, perkataan, perbuatan dan tindakan sentiasa menjadi perhatian kepada pengikut dan lawannya.

Kepimpinan pula adalah seni muamalah yang bertabiatkan kemanusiaan yang mampu mempengaruhi manusia kea rah matlamat yang dihalakan, oleh yang demikian ianya boleh membentuk serta mewarnakan suatu kepatuhan, kepercayaan dan penghormatan yang sejati terhadap kepimpinan. Namun begitu, potensi-potensi yang lain mestilah diambil kira untuk melengkapkan dan menyempurnakan lagi sifat-sifat kepimpinan yang telah tersedia seumpama kelengkapan dan persediaan kerohanian, jasmani, akhlak, peribadi serta berkemampuan dari sudut tanzim dan organisasi.

Kepimpinan dalam jemaah juga merupakan lambing kesatuan dan kerapian saf (barisan). Telah menjadi perkara yang dimaklumi bahawa kesatuan adalah lambang kekuatan. Oleh kerana itu kepimpinan dalam jemaah mempunyai kepentingan serta kedudukan tersendiri. Kepimpinan tidak harus menjadi bentuk lambang sahaja tanpa mempunyai budibicara atau kekesanan, sebagaimana juga tidak boleh diberi budibicara yang bebas tanpa sekatan dan batasan dari jamaah.

Ada berbagai-bagai pendapat mengenai bentuk kepimpinan iaitu sama ada ia secara individu atau berkumpulan. Boleh jadi setiap pendapat ada kebaikan dan keburukannya. Malah ada syarat-syarat dan jaminan-jaminan yang tertentu.

Apabila kita bentangkan dalam perbincangan mengenai kepimpinan dan amanahnya, kita tidak membataskannya kepada pemimpin tertinggi sahaja. Bahkan juga kita maksudkan setiap ahli dalaman yang mempunyai tanggungjawab. Walau bagaimanapun, tidaklah keterlaluan sekiranya dikatakan bahawa setiap ahli dalam jamaah dianggap berada di atas satu lubang yang dapat dimasuki musuh dan dia bertanggungjawab terhadapnya. Dengan ini ia bersama dengan kepimpinan umum dalam tanggungjawabnya.

TUGAS DAN MATLAMAT PEMIMPIN ISLAM

- Tugas dan matlamat utama setiap pemimpin di dalam jemaah Islamiyyah adalah mendokong amanah khalifah di muka bumi selepas kewafatan Rasulullah SAW dan lenyapnya sistem khalifah di kalangan umat Islam.
- Berusaha mengembalikan khilafah dan daulah Islamiyyah melalui sistem gerakan dan jemaah untuk menaungi ummah di bawah naungan khilafah kerajaan Islam yang adil.
- Berjihad menyebarkan keadilan yang hakiki kepada ummah manusia yang masih piatu di sistem kemanusiaan yang sebenar tanpa bergantung kepada sistem-sistem ciptaan.
- Matlamat kepimpinan gerakan Islam ialah untuk mewujudkan kesatuan sof Islami yang telah dikelarpisahkan oleh musuh-musuh Islam yang mempunyai rantaian perancangan yang berterusan untuk meleburkan Islam dan ummahnya.
- Tugas kepimpinan Islam adalah memberi kebebasan kepada umatnya untuk melaksana kehidupannya di bawah naungan Islam berlandaskan undang-undang dan syariat.

TANGGUNGJAWAB DAN AMANAH PEMIMPIN DALAM ISLAM

Kepimpinan membawa erti bebanan dan amanah bukan kemegahan dan kemuliaan. Kepimpinan dalam bidang amal Islami merupakan tanggungjawab dan seberat-berat amanah kerana ianya merupakan tanggungjawab yang paling penting dan besar, di mana manusia dicipta kerana ianya agama yang diredhai oleh Allah untuk hambanya yang akan disusuli ke atasnya natijah yang penting dan besar sama ada di dunia atau di akhirat. Bukankah Allah akan menyoal setiap penjaga tentang jagaanya dan akan dihitung setiap amalan walaupun sebesar zarah. Beban kepimpinan akan bertambah setiap kali meluasnya medan kerja serta bertambah bilangan orang yang dilindungi oleh pemimpin berkenaan.

Terdapat sebahagian hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan tentang bebanan dan amanah ini. Dari Ibnu ‘Umar Radiyallahu’anhu katanya:

Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: Semua kamu adalah penjaga (pengawal) dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap jagaanmu. Imam penjaga dan bertanggungjawab terhadap jagaannya. Seorang lelaki penjaga terhadap keluarganya dan bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang isteri pengawal di rumah suaminya dan bertanggungjawab ke atas kawalannya. Hamba adalah penjaga kepada harta tuannya dan bertanggungjawab terhadap jagaanya. Setiap kamu penjaga dan bertanggungjawab terhadap jagaannya. (Muttafaq ‘alaih)

Dari Abi Ya’la Maqal bin Yasar Radhiyallahu’anhu, katanya:Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidak ada seorang pun dari hamba Allah yang diberikannya (amanah) mengawal rakyat kemudian ia meninggal dunia di mana di hari kematian itu ia menipu (mengkhianati) rakyatnya kecuali Allah haramkan ke atasnya syurga. (Muttafaq’alaih)

Dalam satu riwayat lain:Jika tidak dapat ia menjaga rakyatnya dengan nasihatnya, ia tidak akan mendapati bau syurga.

Dalam riwayat Muslim:Tidak ada seorang pemimpin pun yang dilantik untuk urusan Muslimin kemudian ia tidak bersusah payah untuk mereka dan menasihati mereka, kecuali tidak dimasukkanya ke syurga bersama-sama mereka.

Daripada Abu Zarr Radiyallahu’anhu, katanya:Aku berkata: “ Wahai Rasulullah SAW, kenapa engkau tidak melantik aku bekerja. “ Lalu Baginda meletakkan kedua tangannya ke atas bahuku sambil berkata: “Wahai Abu Zarr, sesungguhnya engkau lemah dan sesungguhnya ia satu amanah dan sesungguhnya ia di hari kiamat satu kehinaan dan penyesalan kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan secara haq dan menunaikan perkara yang diwajibkan ke atasnya di dalam amanah ini. ” (Riwayat Muslim)

Kepimpinan dalam jamaah Islam, natijahnya besar dan amanahnya berat oleh kerana beberapa sebab yang akan kita sebut setengah darinya. Menjadi kemestian kepada setiap individu dan pemimpin untuk sama-sama merasakan natijah yang besar serta amanahnya yang berat itu untuk menghasilkan kerjasama dalam memikul bebanan tersebut secara bersama.

Natijah yang besar disebabkan luasnya bidang kerja beserta berbagai cabangnya, kerana Islam adalah agama yang menyeluruh dan sempurna.
- Tanggungjawab pemimpin besar dan berat disebabkan besarnya matlamat dan tujuan yang kita berusaha ke arahnya.
- Amanah kepimpinan berta kerana luasnya medan kerja yang terus bertambah sehinnga hampir merangkumi seluruh keluasan dunia.
- Tanggunjawab pemimpin besar kerana besarnya jumlah bilangan orang yang termasuk ke dalam tanggungjawabnya.
- Amanah kepimpinan berat kerana tanggunjawab pemimpin mengarahkan setiap anggota jamaah dan memudahkan punca-punca kerja dan hasilnya dalam bidang dakwah mereka.
- Amanah kepimpinan berat kerana besar natijahnya yang akan menyusul hasil pencapaian tujuan yang diusahakan oleh jamaah.
- Amanah kepimpinan berat kerana banyaknya permasalahan dunia Islam yang mendesak dan saling berkaitan serta setiap permasalahn memerlukan kepada usaha dan jihad, memerlukan sumbangan dan pengorbanan.
- Amanah kepimpinan berat kerana orang Islam di medan sedang memerhatikan jamaah kita sebagai tempat diletakkan cita-cita yang diharapkan untuk menyelamatkan mereka terhadap apa yang dialami dari suasana yang amat buruk.
- Amanah kepimpinan berat kerana panjangnya jalan dakwah di samping banyak halangan, banyak tepat kegilinciran serta liku-liku.
- Amanah kepimpinan berat kerana kerana besarnya cabaran yang dihadapi oleh harakah yang mengawalnya dari musuh-musuh Allah di Timur dan Barat serta konco-konco mereka di negara Islam.
Allah SWT telah meggesa telah menggesa kita supaya meminta pertolonganNya dalam memikul amanah ini dengan kesabaran dan sembahyang sepertimana firmanNya:

“Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu; sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. ” (Surah Al-Baqarah, ayat 153)
Allah juga telah menawarkan kita kepada pahalaNya sebagai balasan kepada sabar. Firman Allah:

“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas. ” (Surah Az-Zumar, ayat 10)

AKHLAK & SIFAT-SIFAT SEORANG PEMIMPIN ISLAM

Pemimpin atau orang yang bertanggungjawab dalam mana-mana kedudukan dianggap sebagai contoh kepada orang lain yang menggambarkan jamaah dalam semua perkara sama ada dari segi perkataan atau perbuatan. Di sini dibentangkan setengah dari sifat-sifat dan akhlaq yang mesti ada secara sempurna di sisi pemimpin dan orang yang bertanggungjawab.
- Pemimpin mestilah dari orang yang mengharapkan akhirat, ikhlas kepada Allah, mempunyai hati yang sejahtera dan sunyi dari penyakit-penyakit hati yang meruntuhkan amalan seperti riya’.
- Mempunyai akal yang waras, kebijaksanaan, pengalaman dan luas pemerhatian, berupaya menganalisa berbagai persoalan serta dapat memahami dan bertindak dengan baik terhadapnya.
- Mesti bersifat dan berakhlak lemah-lembut, kasihan belas dan mudah berurusan. Orang yang bertanggungjawab akan terdedah kepada berbagai ragam manusia. Oleh itu, hendaklah ia melapangkan untuk mereka semua dengan kelembutannya dan berusaha untuk menarik mereka, atau sekurang-kurangnya tidak bermusuhan dengan mereka. Firman Allah SWT:
- Oleh kerana rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. (Surah Ali-‘Imran, ayat 159)
- Lembut adalah akhlak yang mesti bagi orang yang ingin menduduki kepimpinan. Terdapat hadis Rasulullah SAW mengenai sifat ini:
- Sesungguhnya Allah itu lembut dan suka kepada sikap lembut dan memberikan ke atas sifat ini perkara yang tidak diberi ke atas sikap kasar dan perkara yang tidak diberi ke atas selainnya.
- Berani dan bermaruah dan tidak penakut atau membuta tuli. Sebaik-baik keberanian ialah berterus-terang dalam kebenaran, menyembunyikan rahsia dan mengakui kesalahan.
- Benar adalah akhlaq asasi yang lazim dan setiap anggota mesti sentiasa bersifat benar. Ini lebih dituntut dan dimestikan ke atas orang yang bertanggungjawab.
- Tawadhu’ dan tidak meninggi diri ke atas orang lain. Dengan tawadhu’ akan menghimpunkan hati-hati di sekeliling pemimpin, dan meninggi diri akan menjauhkan hati-hati (orang ramai) darinya. Firman Allah SWT:

“Dan berendah dirilah kamu terhadap orang-orang yang beriman. ” (Surah Asy-Syu’ara’, ayat 215)
Di antara sifat orang yang beriman yang dikasihi Allah serta mereka mengasihi Allah ialah:

“Mereka bersikap lemah-lembut terhadap orang yang beriman, dan bersikap keras terhadap orang-orang kafir. ” (Surah Al-Ma’idah, ayat 54)

Di tempat lain pula Allah SWT berfirman: “Keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. ” (Surah Al-Fath, ayat 29)

Dari Abi Hurairah Radiyallahu ‘anhu, katanya; bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Bersedekah tidak akan mengurangkan harta dan Allah menambah kemuliaan kepada seseorang kerana member kemaafan. Allah akan mengangkat darjat seseorang kerana sifat tawadhu. (Riwayat Muslim)

Kemaafan dan dapat menahan kemarahan adalah juga akhlak yang harus ada pada pemimpin apatah lagi orang yang berada di peringkat pimpinan. Firman Allah SWT:

“Dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. ” (Surah Ali-‘Imran, ayat 134)

Kemudian arahan keTuhanan yang berkesan ini: “Hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu?” (Surah An-Nur, ayat 22)


------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com