Tajuk: Dosa-Dosa Yang Diremehkan

PENDAHULUAN
Segala puji-puji bagi Allah. Kami memuji-Nya, minta ampun dan juga minta tolong kepada-Nya. Kami berlindung kepda Allah daripda segala kejahatan nafsu kami dan keburukan amal kami. Sesiapa yang diberi petunjuk Allah tidak ada orang yang dapat menyesatkannya dan sesiapa yang disesatkan Allah tiada siapa yang dapat menunjuknya.

Allah SWT telah mewajibkan yang wajib dan tidak boleh meninggalkannya, telah membuat batasan yang tidak boleh dilampaui dan mengharamkan yang haram dan tidak boleh mengerjakannya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”apa yang dihalalkan Allah dalam kitab-Nya, maka itu adalah halal, yang diharamkan Allah bererti haram, dan apa yang didiamkan Allah, maka itu adalah kemaafan. Maka terimalah kemaafan daripada Allah itu. ” Hukum-hukum Allah terbit daripada pengetahuan-Nya. Tidak ada yang sia-sia dan semuanya baik untuk kita. Firman Allah dalam surah Al-An’am ayat 115 yang bermaksud:“Telah sempurnalah kalimah Tuhanmu(Al-Quran), sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat merubah kalimat-kalimat-Nya dan dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. ”

Di sini saya akan membincangkan sebahagian dari dosa-dosa yang diremehkan oleh umat Islam pada hari ini.

DOSA-DOSA YANG DIREMEHKAN

1. Menyekutukan Allah
Menyekutukan Allah adalah dosa yang paling besar. Segala jenis dosa akan diampun oleh Allah jika seseorang itu betul-betul meminta ampun dari-Nya. Tetapi, dosa menyekutukan Allah tidak akan diampun atau memerlukan cara yang khusus untuk bertaubat. Dalam Surah An-Nisa’ ayat 48 ada menyatakan bahawa “sesungguhnya Allah tidak akan mengampun dosa syirik dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari syirik itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh dia telah berbuat dosa yang besar”. Keburukan syirik adalah tidak diampun, keluar dari agama islam dan kekal dalam neraka. Antara contoh amalan syirik adalah amalan syirik di kuburan dan sembelihan kerana selain dari Allah.

2. Riak dalam beribadat
Syarat ibadat supaya diterima oleh Allah adalah ikhlas kerana Allah. Orang yang beramal kerana selain Allah tidak akan mendapat pahala dan perbuatannya itu boleh tergolong dalam syirik kecil. Firman Allah dalam surah An-Nisa’ ayat 142 yang bermaksud “sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riak, yakni solat di hadapan manusia. ”

3. Mengerjakan zina
Syariat Islam ingin menjaga nama baik seseorang dan ingin menjaga kesucian manusia, yakni supaya keturunannya jelas dan tidak jelas dan tidak bercampur-gaul, maka diharamkanlah zina. Firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 32 yang bermaksud: “janganlah kamu menghampiri zina, kerana yang demikian itu adalah perbuatan terkutuk dan seburuk-buruk jalan. ”
Hukuman bagi orang yang berzina adalah:
a) jika sudah berkahwin: rejam
b) jika belum berkahwin: dilempar seratus kali dan dibuang daerah selama setahun.
Hukuman yang dijalankan adalah dikhalayak ramai. Pada masa kini zina bebas dilakukan dan tidak ada yang melarang serta tidak ada yang ditakuti.

4. Wanita memakai wangi-wangian
Ramai wanita yang keluar dari rumah memakai wangi-wangian. Hal ini tidak boleh berlaku kerana jika kaum lelaki mencium wangian tersebut maka ianya adalah berzina. Wanita tidak boleh memakai wangi-wangian kalau ingin keluar walaupun dia ingin ke masjid sekalipun. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “mana-mana perempuan yang memakai minyak wangi kemudian dia keluar ke masjid supaya dicium orang wanginya, maka tidak diterima solatnya sehingga dia mandi seperti junub. ”

5. Memakan riba
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan tinggalkanlah sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Jika kamu tidak mengerjakan (tidak meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangi kamu. Dan jika kamu bertaubat, maka bagi kamu adalah pokok harta kamu; kamu tidak menganiaya dan tidak pula dianiaya. ”Riba memeberi keburukan kepada kehidupan di dunia mahupun di akhirat. Banyak syarikat mengalami kerugian kerana mengamalkan sistem riba. Apabila terjadi kemerosotan ekonomi sesebuah negara, hutang luar tidak dapat dibayar, kilang-kilang banyak ditutup dan membawa kepada pengangguran. Masyarakat akan mengalami kemiskinan dan duit hanya ada pada orang tertentu sahaja.

Sesiapa yang mengamalkan riba akan dilaknat. “Rasulullah saw melaknat orang yang memakan riba, orang yang memberi makan, jurutulis dan juga dua orang yang menjadi saksinya” riwayat yang diterima dari Jabir r. a.

Riba akna menyebabkan kerugian dan hilang keberkatan. Rasulullah ada bersabda yang bermaksud : “riba walaupun ia nampak banyak, tetapi akan kembali menjadi sedikit. ”. Hal ini menyebabkan sesuatu perniagaan akan merosot kerana tidak adanya keberkatan dari urusniaganya yang mengamalkan sistem riba. Semua mukmin wajib membebaskan dirinya daripada amalan riba dan seharusnya menyedari keburukan riba.

Contoh amalan riba adalah di bank. Kebanyakkan bank mengamalkan sistem riba tetapi ada juga yang tidak mengamalkan riba. Jika kita terpaksa menyimpan wang di bank yang mengamalkan riba, kita tidak boleh mengambil wang faedahnya atau bunga itu. Ianya tidak boleh digunakan untuk membayar zakat, cukai, membeli makanan dan pakaian. Tetapi wang itu boleh diberi kepada individu yang memerlukan tetapi tidak dianggap sebagai sedekah.

6. Menerima dan memberi rasuah
Memberi rasuah kepada pihak berkuasa sering berlaku pada masa kini. Hukum memberi rasuah adalah haram dan bayak keburukannya. Firman Allah yang bermaksud: “dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa urusan harta itu kepada hakim supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui. ” (Al-Baqarah-188)

Ada sesetengah perkara yang membenarkan rasuah iaitu rasuah yang diberikan untuk mendapat hak kita atau menghindari kezaliman orang lain. Contohnya; kita dituduh melakukan jenayah dan akan dipenjara. Kalau bersedia membayar wang, kita akan lepas. Jadi kita tidak berdosa memberikan rasuah kerana terpaksa.

Negara yang mengamalkan rasuah tidak akan maju dan berjaya. Contohnya; dengan budaya rasuah, orang yang masuk ke pusat pengajian tinggi bukan lagi orang yang pintar. Orang yang naik pangkat atau menduduki tempat tertentu bukan lagi orang yang berkebolehan tetapi siapa yang memberikan wang. Beerti segalanya tidak lancar dan tidak seperti yang diharapkan. Ini akan menyebabkan sesebuah negara akan tergadai atau jatuh ketangan orang lain jika orang diberi amanah tidak amanah. Contohnya orang yang memegang rahsia negara memberikannya kepada pihak luar kerana disogok dengan wang. Mungkin kerana keburukan rasuah Allah melaknat sesiapa yang terlibat dengan gejala rasuah ini.

7. Memakan makanan yang haram
Orang yang tidak takut kepada Allah tidak peduli dari mana sumber wang yang diperolehinya untuk kegunaan hariannya. Malahan selalu memikirkan bagaiman untuk menambah hartanya. Seseorang itu tidak peduli dari mana datangnya, sama ada hasil penipuan, curian, riba, harta anak yatim dan sebagainya.

Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: “setiap daging yang tumbuh dari yang haram, maka nerakalah yang lebih layak baginya. ”

Daging yang tumbuh dari yang haram bermaksud oramg yang dibesarkan dengan memakan makanan yang haram. Orang yang memakan makanan yang haram nerakalah baginya. Bahkan pintu hati mereka tertutup untuk melakukan kabaikan dan mudahlah untuk terhumban ke dalam neraka jahanam. Di akhirat kelak, mereka akan ditanya dari mana harta yang diperolehinya dan bagaimana ia digunakan. Dan sungguh celakalah orang yang mendapatkan harta secara haram atau menggunakannya kepada perkara yang haram.

Orang yang melibatkan diri dengan perkara haram hendaklah segera bertaubat kerana Allah sentiasa membuka pintu taubat kepada hambanya. Mereka ini hendaklah mengembalikan harta yang diambil secara tidak sah tersebut.

8. Minum arak
Firman Allah yamg bermaksud:“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya meminum khamar, berjudi, menyembah berhala, menilik nasib adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu supaya kamu beruntung” (Al-Ma’idah:90)

Menurut ayat diatas khamar atau arak adalah perbuatan keji yang perlu dijauhi. Dalam ayat itu khamar disamakan dengan berhala yang menjadi tuhan kepada orang-orang kafir. Ini jelas ianya bertentangan dengan pendapat orang yang menagatakan ayat ini tidak menyebut haramnya khamar atau arak. Perintah menjauhi sudah jelas menandakan perbuatan itu haram. Pada hari ini pelbagai jenis minuman yang memabukkan. Banyak negara pengeluar dan macam-macam pula nama yang diberikan dan nama –nama itu sangat menarik malah seolah-olah ia bukan seperti yang digambarkan dalam Al-Quran. Rasulullah ada bersabda yang bermaksud:“orang-orang dari golongan umatku akan meminum khamar dan mereka menamakannya dengan istilah yang lain. ”Mereka membuat nama-nama yang menarik untuk memperdayakan dan mempengaruhi orang ramai. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 9 yang bermaksud : “mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri tetapi mereka tidak sedar. ”

Banyak helah yang digunakan untuk menghalalkan arak. Tetapi Islam telah menjelaskan bahawa semua benda yang memabukkan dianggap khamar dan setiap yang memabukkan haram hukumnya.

Pengajaran dari Rasulullah kepada peminum khamar: sabda Rasulullah yang bermaksud: “ sesiapa yang meminum khamar dan dia mabuk, tidak diterima soaltnya selama 40 solat subuh, kalau dia mati akan masuk neraka, kalau dia bertaubat Allah akan mengampuninya. Kalau dia kembali minum dan mabuk, tidak diterima solatnya 40 subuh, kalau mati masuk neraka dan kalau bertaubat Allah mengampuninya. Kalau kembali lagi Allah akan memberinya minum Rasdhatul Khabal itu, kata Rasulullah adalah peluh penghuni neraka. ”

9. Mengumpat
Tabiat manusia adalah suka mengumpat atau menceritakan keburukan orang lain. Allah melarangnya dan menyamakan perbuatan itu dengan memakan bangkai orang yang diumpat. Firman Allah yang bermaksud: “dan janganlah sebahagian kamu mengunjungi sebahagian yang lain. Sukalah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah amti. Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. ” (Al-Hujurat:12)

Rasulullah saw pernah bertanya kepada para sahabatnya : “tahukah kamu apa yang dimaksudkan dengan mengumpat?”. Para sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahuinya”. Rasulullah berkata: “engkau menceritakan saudaramu yang mana dia marah sekiranya dia mendengarnya. ”Ini beerti mengumpat adalah menceritakan orang lain ketika dia tidak ada, dan sekiranya dia dengar dia akan marah atau tidak suka. Kita sebagai umat Islam wajib menghalang orang yang mengumpat maksudnya kalau sanggup melarangnya. Jika tidak sanggup hendaklah mencari helah untuk menghentikannya, contoh dialihkan perbualan kepada tajuk yang lain. Dan jika tidak sanggup mendengarnya hendaklah meninggalkan tempat tersebut.

10. Wanita berpakaian nipis dan ketat
Dewasa ini fesyen adalah musuh kepada wanita. Ertinya dengan gaya pakaian yang dicipta itu menjadi umat Islam hari ini makin jauh dengan agamanya. Reka bentuk yang dicipta oleh orang kafir beraneka jenis tetapi keseluruhannya tidak mengikuti pakaian yang ditetapkan oleh Islam. Kebanyakkan pakaian yang direka menampakkan aurat atau bentuk badan. Ada yang terlalu singkat, nipis, dibelah, dan terlalu ketat.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: “ ada dua golongan daripada penghuni neraka yang aku tidak sempat melihat mereka: suatu kaum yang memiliki cambuk seperti ekor unta dan mereka pukulkan kepada orang lain. Kemudian golongan wanita yang berpakaian tetapi telanjang, yang condong kepala mereka seperti ponok unta. Mereka itu tidak masuk syurga dan tidak mencium baunya. Sedangkan bau syurga itu sudah terasa perjalanan sekian dan sekian. ”

11. Tidak membayar hutang
Ramai orang suka membuat pinjaman untuk membeli barang yang bukan asasi. Contohnya membeli kereta mewah. Orang yang terlalu mudah membuat pinjaman pastinya banyak hutangnya dan sudah pasti susah untuk melangsaikannya. Rasulullah bersabda yang bermaksud:“ sesiapa yang mengambil harta orang lain sedangkan dia ingin memeulangkannya, maka Allah menolong dia untuk memulangkannya. Sesiapa yang mengambil harta orang lain sedangkan dia bermaksud menghabiskannya, maka Allah pun menghabiskannya. ”Ramai orang menganggap hal ini adalah kecil tetapi pandangan Allah adalah sungguh besar. Di padang Mahsyar nanti orang yang tidak membayar hutang boleh saja terhalang masuk syurga disebabkan hutangnya. Sehingga orang yang mati syahid pun terhalang masuk syurga kerana hutang.

Rasulullah bersabda yang bermaksud:“Subhanallah, apakah kehebatan yang diturunkan Allah tentang hutang? Demi diriku ini berada dalam kekuasaan-Nya, seandainay seseorang terbunuh dalam perang Sabilillah, kemudian dia dihidupkan dan kemudian terbunuh lagi, kemudian dihidupkan kemudian terbunuh (syahid) lagi tetapi dia ada meninggalkan hutang, maka dia tidak akan masuk syurga sebalum hutangnya itu dilangsaikan. ”

PENUTUP

Menjauhi perkara-perkara yang haram itu wajib hukumnya. Kita sebagai hamba Allah yang beriman seharusnya menjauhi perkara-perkara yang diharamkan oleh-Nya. Hal ini kerana setiap perkara yang ditetapkan oleh-Nya ada kebaikannya, Cuma kita sahaja yang selalu mengambil remeh tentang semua itu. Malah ada segelintir dari kita yang tidak menyedari perbuatan yang mereka lakukan selama ini menyalahi hukum syarak. Kepada individu tersebut, diharap segeralah bertaubat kerana pintu taubat selalu terbuka untuk hamba-Nya. Semoga Allah menerima taubat kita dan membersihkan segala dosa kita, kerana Dia maha mendengar dan Maha Pengampun.

------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com