Tajuk: Godaan Syaitan Semasa Syakaratul Maut

PENDAHULUAN

Peristiwa akhirat pasti terjadi. Setiap yang beriman harus mempercayainya. Sebelum menempuhi alam akhirat, setiap orang akan menghadapi alam kubur atau pun alam baka. Akhirat adalah alam ghaib di luar kemampuan fikiran manusia dan kita hendaklah yakin dan beriman dengannya namun begitu telah diterangkan dengan luas dan jelas tentang hari akhirat di dalam Al-Quran dan hadis S.A.W. Kiamat terbahagi kepada dua, kiamat yang pertama adalah apabila nyawa terpisah dari badan, maka roh akan ditempatkan di Luhil Mafuz, jasad pula akan bersemadi di dalam kubur, ketika sangkakala ditiup, berterbanglah manusia bangkit dari kubur masing-masing menuju ke Padang Mahsyar, di sinilah amalan akan dihitung dengan seadil-adilnya.


MENGINGATI MATI

Manusia yang hidup ini boleh diibaratkan dengan orang yang berlayar di lautan yang luas. Mereka menumpang sebuah kapal menuju ke daratan yang jauh. Setelah sekian lama di lautan maka kapal tersebut singgah di sebuah pulau dan terbahagi kepada tiga golongan yang turun.

Golongan Pertama: Mereka tahu dan sentiasa ingat bahawa mereka dalam perjalanan. Setelah melihat sebentar lalu mereka kembali ke kapal. Mereka ingat bahawa bukan pulau itu bukan menjadi tujuan utama.

Golongan kedua: Mereka terpengaruh dengan keindahan pulau, dengan pohon kelapa yang melambai-lambai semua keindahan itu, namun mereka tersedar dan kembali ke kapal tetapi tempat duduk mereka sudah diduduki orang lain.
Golongan ketiga: Golongan paling malang kerana setelah siren kapal di bunyikan sebanyak tiga kali namun mereka msih tidak mempedulikan dan masih leka setelah itu kapal tersebut berangkat pergi, setelah jauh barulah mereka sedar dan memanggil kapal tersebut namun kapal tersebut telah pergi jauh, dan golongan ini adalah golongan paling rugi sekali.

Kematian akan datang bagi setiap orang yang hidup, namun masih terdapat manusia yang tidak mahu mati ini kerana mereka ingin hidup selama-lamanya, mereka tidak mahu berpisah dengan keluarga, mereka sayangkan harta benda yang melimpah. Selain itu mereka juga ingin menikmati kesenangan hidup dengan mengumpul kekayaan dan kandang-kadang sampai terlupa untuk membayar zakat. Sebab yang berikutnya mereka takut menghadapi kematian kerana mereka tahu mereka banyak dosa namun tidak mahu bertaubat tetapi terus mengulanginya. Cara untuk mengatasi masalah ini seseorang itu harus mengingati mati kerana dengan mengingati mati akan menimbulkan sifat-sifat baik dari dalam diri iaitu Abia ialah rajin beribadat, Sakinah iaitu perasaan tenang dan tidak penah gelisah, Warak iaitu tidak mahu melakukan maksiat dan Zuhud iaitu tidak melekat hati kepada harta. Tubuh kita sendiri memberi tanda bahawa usia kita telah lanjut dan sedang mendekati pintu kubur antara contoh tanda-tanda tersebut uban di kepala, kulit mulai berkedut, gigi-gigi telah tanggal dan patah, pendengaran dan penglihatan sudah berkurang selain kaki dan tangan menjadi lema

GODAAN-GODAAN DALAM SAKARATUL MAUT

Mati bermaksud terpisah nyawa dengan tubuh, namun nyawa tetap akan terus hidup sampai hari kiamat, manakala tubuh akan menjadi bentuk asal iaitu tanah. Sewaktu sakaratul maut datang, ruas-ruas persendian itu mengucapkan selamat berpisah antara satu sama lain sampai berjumpa di hari kiamat kelak, namun tetapi tulang-tulang yang berselerak dan hancur didalam kubur akan berkumpul semula menjadi satu badan semasa hari kiamat. Ketika dalam sakaratul maut ada orang yang susah, huru-hara, godaan-godaan hinggalah mati.

Orang yang senang mati adalah para syuhada, syahid muta’arikah iaitu mati salib, berperang dalam mempertahankan agama Allah. Manakala bagi mereka yang tidak terasa sakit mati, luka pedang hanya terasa bagai digigit semut. Bagi orang mati biasa, ada yang senang dan ada yang susah, godaan semasa sakaratul maut menyebabkan roh keluar dari tubuh dengan payah. Semua akan mengalami godaan termasuk juga nabi dan orang yang beriman, namun godaan itu bergantung kepada amalan seseorang, jika banyak amalan jahat maka kuatlah godaan yang akan diterima.

Apabila melakukan dosa besar seperti perbuatan syirik, tukang sihir yang meminta pertolongan daripada syaitan untuk menyakitkan orang lain, derhaka kepada ibu bapa, menggugurkan anak dalam kandungan atau perbuatan lain yang sama dengan kesalahan dosa besar akan menghadapi godaan yang teramat kuat ketika sakaratul maut. Huru-hara yang dialami berbentuk dalam berbagai keadaan, ada yang nampak bayangan berupa tangga biru yang turun dari langit dan ada godaan-godaan yang berasa haus dan lapar. Keadaan ini juga akan menyebabkan seseorang itu boleh lupa akan pada Tuhan.

ROH KELUAR

Roh tidak akan keluar dengan sendirinya melainkan dengan perintah Allah melalui Malaikat maut. Malaikat maut mencabut nyawa manusia bukanlah dengan kehendak hatinya tetapi hanya menjalankan perintah Tuhan. Ajal seseorang telah ditentukan menurut apa yang telah dijanjikan dengan Tuhan semasa di dalam rahim ibu. Janji yang telah diikrarkan tidak boleh diubah lagi. Janji manusia kepada Tuhan adalah rezeki, musibah, ajal, di bumi mana dikuburkan, dan nasib baik dan nasib buruk selama mereka hidup di alam dunia.

Ketika mencabut nyawa bentuk malaikat boleh berubah-ubah mengikut amalan seseorang itu, bagi mencabut nyawa orang yang beriman dan beramal soleh, maka bentuk malaikat adalah baik dan menyenangkan hati akan sebaliknya berlaku iaitu bentuk yang mengerikan dan menakutkan apabila mencabut roh orang yang kafir atau berdosa. Kalau seseorang tu beriman dan beramal soleh maka malaikat maut akan datang menyerupai apa yang dicintai selama ini. Jika anak yang drindui berada jauh diperantauan maka malaikat akan datang menyerupai anaknya. Malaikat maut tidak mencabut nyawa seseorang bukanlah dengan menggunakan tangan tetapi hanya menggunakan yang manis, sopan dan tenang. Akan tetapi bagi roh yang kafir atau berdosa, malaikat maut akan datang dalam bentuk yang amat mengerikan dan bengis, malaikat maut juga akan berkata dengan kasar.

Setelah malaikat berkata maka keluarlah roh dari badan perlahan-lahan naik, dari kaki naik ke betis, dari betis naik ke paha, terus ke perut dan sampai ke halkum dan tengkorak dan pada masa inilah batas taubat. Taubat yang dilakukan tidak akan diterima lagi. Roh yang keluar adalah sama seperti bentuk asalnya semasa masih hidup. Roh juga akan melihat segala yang berlaku termasuk tubuhnya yang terbaring, melihat anak dan isterinya menangis, selain melihat dengan jelas mayatnya dimandikan, disembahyangkan dan sebagainya.

ALAM BARZAKH

Alam barzakh adalah masa antara sejak roh berpisah dari tubuh sampai hari kiamat. Kubur merupakan pintu gerbang akhirat. ‘Barzakh’ bermaksud meliputi seluruh perkuburan, ada yang berkubur di tanah, di dasar laut, di dalam perut ikan, binatang buas dan sebagainya. Ketika mayat dimasuk ke dalam kubur, maka kubur menyambut dengan ucapan “Assalamualaikum”, kemudian berkata bahawa akulah kuburmu, rumah gelap, sempit dan dingin. Di liang lahad didalam pangkuannya engkau berbaring di mana cacing akan makan mata dan telinga manakala ulat akan makan seluruh anggota tubuh. Bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh baginya lahat tersebut bagaikan tilam sutera yang sedap dan nyaman dan tekanan kubur itu baginya terasa seperti pangkuan ibu.

Orang mukmin itu di dalam kebun yang hijau. Kuburnya terasa lapang 70 hasta persegi, terang benderang seperti cahaya bulan purnama. Terdapat 99 ekor ular yang mempunyai tujuh kepala yang akan melilit dan menyemburkan tubuhnya itu sampai hari kiamat untuk orang kafir dan yang berdosa. Penderitaaan dan kesengsaraan yang dialami oleh orang-orang kafir di alam barzakh tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Orang-orang yang berdosa itu setelah selesai soal jawab dengan Munkar dan Nankir di kubur maka arwahnya akan dibawa ke langit, sampai di langit pertama maka tertutup pintu langit oleh malaikat penjaga langit, maka roh itu dipukul dan tunggang-langgang jatuh ke bumi. Arwah sama ada yang mukmin mahu pun kafir selalu berulang-alik ke kubur dan rumah anak-anaknya. Kehidupan mereka di Barzakh menunggu hari kiamat. Setelah kiamat mereka akan dibangkitkan dan kembali dengan tubuh atau jasadnya.

DOA

Sedekah jariah ialah segala apa yang disedekahkan kerana Allah guna untuk menegakkan masjid, madrasah atau untuk membantu perang sabil. Amal jariah dapat meringankan penderitaan di akhirat. Pahalanya di bangkit sebagai harta yang akan dipergunakan menutupi keperluan-keperluan di akhirat kelak. Semakin banyak sedekah jariah semakin banyak hartanya di sana.

Anak yang mendoakan ibu bapanya adalah perkara yang wajar. Semasa ibu mengandung, bermacam penderitaan yang dilaluinya, dan sewaktu melahirkan rasa sakitnya tidak terhingga dan membesarkan anak hingga dewasa bermacam pula dugaan yang harus ditempuhi dengan tabah. Seharusnya kita mendoakan kesejahteraan ke atas kedua ibu bapa kita. Malaikat ikut mengaminkan doa orang yang mendoakan saudaranya. Sementara orang yang berdosa setelah berada di dalam kubur, mereka adalah orang-orang yang malang. Taubat mereka tidak diterima lagi. Di barzakh roh mereka itu tidak bertempat dan berkeliaran.

TEMPOH DI ALAM BARKZAKH

Setelah Kiamat selesai, ditukar alam ini dengan alam lain. Ketika itu manusia dibangkitkan kembali dari kuburnya. Kalau dimisalkan sejuta tahun lagi baru kiamat, maka bererti sejuta tahun lagi lamanya arwah itu berada di barzakh. Orang yang tidak beriman dan tidak menjalankan perintah Allah di waktu hidup yang sebentar ini akan menderita disiksa terus menerus sehinga hari kiamat.
Kisah Orang Gua

Pada zaman purbakala terdapat tujuh orang pemuda yang teguh imannya kepada Allah, raja negerinya bernama Dalianus, raja tersebut memaksa seluruh rakyatnya menyembah berhala, dan menghukum bunuh bagi mereka yang ingkar akan arahan itu. Namun ketujuh-tujuh pemuda tersebut telah melarikan diri ke sebuah gua yang jauh dari negeri tersebut, dan semasa dalam perjalanan mereka telah diikuti oleh seekor anjing, walaupun diusir anjing tersebut tetap mengikuti mereka. Setelah sampai, mereka masuk ke dalam gua tersebut dan anjing tadi berjaga di pintu gua tersebut. Tujuh orang pemuda tersebut mengabdikan diri mereka sehingga akhir sekali mereka tertidur dengan nyenyak sehingga bertahun-tahun lamanya iaitu selama 309 tahun. Raja Dalianus telah mangkat pada masa tersebut dan telah diganti oleh raja yang beriman, adil lagi bijaksana. Pada masa yang sama terjadi perbezaan pendapat dikalangan ulamak di negeri terbabit mengenai Allah menghidupkan kembali sesudah mati, kemudian raja tersebut berdoa kepada Tuhan supaya diberi petunjuk bagi kenyataan terbabit untuk bagi rakyatnya.
Tidak lama selepas itu, seorang pengembala kambing telah merobohkan lubang yang telah menutup gua tempat ketujuh-tujuh pemuda itu tidur nyenyak, untuk tempat kambingnya, kesemua pemuda tersebut terjaga dari tidur, kemudian bertanya salah seorang dari mereka berapa lama meeka telah tertidur, lantas dijawab oleh pemuda yang lain bahawa mereka mungkin sehari atau setengah hari, Allah lebih mengetahui. Setelah itu mereka telah mengutuskan seorang dari mereka untuk membeli makanan dikota dengan menggunakan wang yang dibawa mereka dulu. Setelah sampai di kota pemuda tersebut membayar makanan yang dibelinya menggunakan wang perak yang bergambar raja Dalianus, dan penjual tersebut menuduh pemuda tersebut telah mendapatkan wang simpanan raja purbakala, lantas dihadapkan kepada raja.

Raja tersebut menyoal pemuda tersebut dan pemuda tersebut telah membawa raja ke gua tempat mereka tertidur, setelah sampai raja terbabit telah menjelaskan bahawa raja Dalianus telah meninggal dunia 300 tahun lalu, setelah itu kesemua pemuda itu mengucapkan selamat tinggal pada raja dan kembali tidur di tempat masing-masing dan Allah mematikan mereka semula. Raja terbabit rasa terharu dan mengkafani mereka dengan kainnya sendiri. Setelah dimasukkan kedalam peti dan dikuburkan raja tersebut membina masjid di pintu gua tersebut sebagai tanda memperingati mereka.

KIAMAT

Kiamat adalah hancurnya dunia ini dan diganti dengan alam yang baru. Semua makhluk yang hidup akan mati kecuali Allah dan alam ini kosong. Setelah alam baru dicipta maka barulah manusia dibangkitkan dari kubur. Kiamat pasti akan datang dan tidak perlu disangkal lagi. Bumi sedang menuju kearah kehancuran, bermula dengan perubahan yang terjadi kepada manusia, lahir, membesar, tua, dan mati. Bila terjadinya kiamat? Itu adalah rahsia Allah.

Terdapat tanda-tanda kiamat seperti terjadi perang yang dahsyat antara dua pihak yang bertentangan dan mempunyai kekuasaaan yang kuat, munculnya dajal, Al-Quran hilang dan di angkat ke langit, banyak berlaku gempa bumi, fitnah bermahajalela, banyak terjadi pembunuhan, harta banyak bertimbunan, orang akan lebih mencintai mati dari hidup dan terbit matahari dari tempat terbenam.

Dajal ialah orang yang menyatakan bahawasanya dia adalah Rasul utusan Tuhan dan dia juga seorang pembohong kerana rasul yang terakhir adalah Nabi Muhammad S.A.W. selain itu juga bila sudah hampir kiamat maka turunlah Ibnu Maryam itu ialah Nabi Isa a.s. Nabi Isa bukanlah mati di tiang salib tapi diangkat ke langit dan akan turun apabila kiamat hampir. Namun begitu ada pendapat yang menyatakan bahawa bukan Nabi Isa yang turun tapi lahir seseorang yang menyerupai sifat-sifat Nabi Isa a.s. , dan kedudukannya bukan sebagai nabi tapi hanya sebagai seorang mujadid atau kalifah, dan dia juga yang akan membunuh dajal dan mematahkan tiang salib.

Di dalam hadis yang lain juga disebut tanda-tanda hampir kiamat itu banyak sekali hal-hal aneh, diantaranya batu pandai berkata-kata, anak gembala yang biasa hidup susah akan mendirikan gedung-gedung yang besar dan bertingkat-tingkat, seorang hamba perempuan akan melahirkan seorang raja yang memerintah negeri yang besar dan sebagainya.

SANGKAKALA

Sangkakala akan ditiup dua kali, pada tiupan pertama terjadinya kiamat, mati sekalian makhluk, kecuali orang-orang yang dikehendaki Allah, mereka yang tidak mati ketika itu ialah para nabi-nabi, arwah para syuhada, Malaikat Syurga, Hunul Aini(Bidadari di syurga), Malaikat Neraka, Malaikat yang memikul Arasy, Malaikat Jibrail, Mikail, Israfil dan Malaikat Maut. Malaikat Maut akan mati terakhir sekali, dan pada tiupan kedua mereka semua akan dibangkitkan kembali.

Namun trdapat hadis yang menyatakan bahawa Malaikat Israfil meniup sangkakala sebanyak tiga kali, iaitu tiupan pertama bernama tiupan fazi’ ertinya baru terkejut makhluk di langit dan bumi, tiupan kedua bernama tiupan sa’iqah ertinya mati segala makhluk dan tiupan ketiga bernama tiupan kiamu lirabbil alamin iaitu dibangkitkan kembali dari kuburnya untuk mempertanggungjawabkan amal perbuatan kepada Tuhan. Jarak tiap-tiap itu empat puluh tahun. Jadi lamanya kiamat ialah 120 tahun.

Malaikat Israfil meniup sangkakala itu berdiri di antara langit dan bumi, dan bunyinya bergemuruh terdengar ke seluruh alam, dan bentuk sangkakala adalah seperti tanduk.

AKHIRAT

Mula dibangkitkan dari kubur. Makhluk yang mula-mula dihidupkan kembali ialah Malaikat Israfil, setelah itu Malaikat Israfil akan meniup sangkakala, maka akan hidup sekalian makhluk, matahari bumi malaikat jin iblis dan syaitan juga manusia dan binatang. Manusia dibangkitkan kembali dengan tubuh yang sekarang, manusia di bangkitkan seperti Nabi Adam, kejadian manusia yang pertama iaitu tingginya 60 hasta, sekali pun tidak hancur bercerai, walaupun tubuh tersebut didalam tanah, di dasar laut, di dalam perut ikan, di dalam perut binatang buas, menjadi abu diterbangkan angin dan sebagainya. Namun semua akan bersatu dan berkumpul menjadi tubuh di hari kiamat. Amal dan perbuatan mereka selama ini akan ditunjukkan oleh tubuh mereka pada waktu itu. Bentuk tubuh akan membuka rahsia mereka sendiri. Contohnya ialah mereka yang berbentuk kera ialah orang yang suka mengadu domba sesama manusia. Orang yang berbentuk babi adalah orang yang suka memakan makanan haram. Orang yang terbalik iaitu kaki ke atas dan kepala ke bawah iaitu orang yang memakan riba, orang yang buta adalah orang yang zalim dalam menjatuhkan hukum, orang yang tuli itu ialah orang yang melihat dirinya itu berlebih-lebihan, orang yang memanah lidahnya itu ialah orang yang menyakitkan orang sekampungnya, orang yang disula itu ialah ulamak-ulamak penjilat kepada orang yang berkuasa, dan orang yang busuk ialah orang yang memperturutkan nafsu syaitan. Di sini Tuhan memperlihatkan keadilanNya, segala amal perbuatan yang buruk itu sekalipun ditutup rapat selama hidup di dunia namun di hari Kiamat akan terbuka semua rahsia.

Para nabi dibangkitkan dari kubur dengan pakaian sutera dari syurga iaitu pakaian yang paling indah yang belum pernah kita lihat, para syuhada yang gugur di dalam perang menegakkan kalimatullah, mati dalam perang sabil, mereka dibangkitkan dengan pakaiannya yang berdarah. Itulah sebabnya orang-orang yang mati dalam perang sabil tidak boleh dimandikan, tidak boleh dikafani. Mereka dikuburkan dengan pakaian yang berdarah, kerana darah dari lukanya itu nanti waktu dibangkitkan dari kubur akan berbau wangi seperti bau minyak wangi dan pakaiannya yang berdarah itu akan turut menjadi saksi di Mahkamah Rabbul Jalil.

MAHSYAR
Setelah makhluk dibangkitkan semuanya dari kuburnya, setelah semuanya dihidupkan kembali, maka mereka akan dikumpulkan di suatu tempat yang luas, padang pasir yang tiada berair, tidak bergunung, tidak berbukit dan berlurah. . Tiada sehelai rumput dan sepohon tidak berkayu untuk tempat bernaung dari kepanasan matahari yang terik menunggu hukuman Tuhan. Mereka belum dipisahkan antara yang beriman dan yang kafir, belum diadili belum ditanya apa-apa, mereka hanya dibakar buat sementara waktu sahaja. Di Padang Mahsyar itu ada mereka yang berjalan berkenderaan, ada yang berjalan kaki di padang yang panas membara dan bermacam-macam lagi. Mereka yang berkenderaan adalah para nabi, para syuhada, para muttaqun dan salihun. Amal ibadah di dunia ini nanti dibangkitkan menjadi harta benda. Semakin banyak amal ibadah dan amal soleh semakin banyak hartanya di akhirat.

Malaikat berkeliaran di semua sudut dan penjuru sibuk menjalankan tugas yang diperintahkan Tuhan kepadanya. Di Padang Mahsyar semua akan berjemur di bawah terik matahari, tubuh mereka tidak berpakaian, dan masing-masing saling melihat aurat. Orang mukmin biasanya biasahari amatnya berjalan kaki, semua bergantung kepada tebal dan nipisnya iman mereka dan banyaknya amal soleh yang diperbuat selama hidup di dunia, orang munafik berjalan dengan kepala di bawah kaki ke atas. Selain itu mereka yang kafir ini akann merasa haus dan lapar yang tidak terhingga, lapar dan haus yang tidak pernah dirasai selama ini. Putus kerongkong mereka menahan haus dan pedih perut menanggung lapar namun tiada seorang pun yang memberi makan. Ketika itu matahari amat rendah tidak jauh jaraknya dari bumi sehingga bercurah keringat umat manusia pada hari itu.

SYAFAAT

Nabi Isa menyatakan kepada sekalian yang hadir bahawa pada hari tersebut Tuhan sangat marah kepada mereka yang berdosa, dan tidak ada yang menolong, memohon kepada Tuhan supaya penderitaan umat dibakar oleh umat yang dibakar terik matahari. Nabi Isa menasihatkan supaya pergi kepada Nabi Muhammad. Tiada seorang jua yang dapat memohan kepada Tuhan, untuk keringanan penderitaan yang mereka alami selain dari Nabi Khatamun Nabiyi. Sewaktu dibangkitkan setiap nabi- nabi memakan beribu tahun lamanya, setelah tiba giliran Nabi Muhammad s.a.w dihidupkan kembali maka baginda serta isteri, keluarga dan sahabatnya yang terdekat di pindahkan ke padang ‘Mauruf’. Sejak dibangkitkan baginda lupa akan umatnya dan hal duniawi. Pada suatu hari maka datang seorang Malaikat mengingatkan baginda tentang umatnya.

Maka naiklah baginda ke Arasy dan sujud kepada tuhan, namun Tuhan melarang kerana sujud hanya di dunia, namun Tuhan menyuruh Nabi mengangkat kepala dan meminta baginda menyatakan permintaannya. Syafaat Nabi terdapat di tiga tempat iaitu di waktu melenyapkan panas matahari, kedua terdapat di Mizan iaitu ketika ditimbangkan dosa dan pahala. Kalau dosanya lebih berat maka daun neraca di tambah Nabi s.a.w. sehingga beratnya kembali seimbang, dan yang ketiga terdapat pada waktu meniti Titian Sirotul Mustakim, barangsiapa umatnya yang terjatuh ke dalam neraka itu maka disyafaatkan olehnya Nabi s.a.w

KESIMPULAN

Semasa hidup di dunia ini tidak ada seorang pun yang dapat melihat Tuhan, malah para nabi sekalipun. Sekalian yang berada di akhirat akan nampak wajah Tuhan. Dari Tuhan kita datang dan kepadanya jua kita kembali. Pintu taubat masih terbuka bagi mereka yang ingin bertaubat. Segeralah bertaubat sebelum datang yang kiamat yang pertama iaitu mati. Bila masa nyawa sudah terpisah dari badan maka taubat sudah tidak berguna lagi. Janji Tuhan kepada orang yang beriman bukanlah kosong semata-mata semuanya akan terbukti di akhirat kelak. Kiamat adalah rahsia Allah dan tiada siapa mengetahuinya jadi bersedialah untuk menghadapinya. Akhir sekali selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. , para sahabat dan umat muslimin dan muslimat.

------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com