Tajuk: Abu Bakar Al Siddiq

LATAR BELAKANG SAIDINA ABU BAKAR AS-SIDDIQ

Nama sebenar beliau Abdullah bin Usman bin Amir bin Amr bin Ka’ab bin Taim bin Murrah bin Ka’ab bin lu’ai At-Tamimi al-Quraisyi. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Abu Bakar as-Siddiq dalam sejarah Islam. Rangkaian jurai keturunan beliau bertemu dengan rangkaian jurai keturunan Nabi Muhammad s.a.w pada Murrah bin Ka’ab sehingga keduanya sekeduanya seketurunan.

Ibu beliau iaitu Salma binti Shakhar bin Amir bin Ka’ab bin Saad bi Taim bin Murrah. Beliau dilahirkan selepas dua tahun enam bulan Nabi Muhammad s.a.w dillahirkan iaitu pada tahun Gajah. Ini bererti beliau lebih muda dua tahun lebih dari Nabi Muhammad s.a.w. Beliau dilahirkan di Mekah. Dari kecil lagi beliau terkenal dengan sifat yang terpuji antaranya budi pekerti yang baik, mulia, dan banyak lagi.

Abu Bakar mempunyai pelbagai gelaran tetapi beliau lebih terkenal dengan gelaran as-Siddiq yang bererti ‘orang yang benar’ kerana Abu Bakar adalah seorang yang mempercayai setiap apa yang disampaikan oleh Rasulullah. Abu Bakar mempunyai bakat dalam bidang perniagaan. Beliau menjalankan perniagaan beliau di dalam dan luar negeri dengan sifat-sifat yang terpuji seperti benar, jujur, setia dan peramah dengan pelanggannya.

Abu Bakar adalah antara yang terawal memeluk Islam. Pelbagai pendapat bercanggahan mengenai siapa yang terlebih dahulu yanh memeluk Islam. Perbezaan pendapat itu akhirnya dapat dirumuskan oleh Imam Abu Hanifah sebagai berikut:
1. Abu Bakar as-Siddiq daripada golongan lelaki dewasa

. Ali bin Abu Talib daripada kalangan lelaki kanak-kanak
3. Khadijah dari kalangan wanita dewasa

. Zaid bin Haritsah Maula Nabi Muhammad s.a.w. daripada golongan hamba lelaki
5. Ummu Aiman isteri Zaid daripada golongan hamba wanita.

Saidina Abu Bakar as-Siddiq meninggal dunia pada tanggal 7 Jamadilakhir tahun 13 Hijrah selepas memimpin umat Islam sebagai Khalifah al-Rasyidin pertama selama 2 tahun 3 bulan 10 hari. Beliau meninggal ketika berusia 63 tahun dan jenazahnya dimakamkan di samping makam Nabi Muhammad s.a.w.

PERJUANGAN SAIDINA ABU BAKAR AS-SIDDIQ

umbangan dan jasa-jasa Abu Bakar di zaman permulaan Islam di kota Mekah sebenarnya sangat sangat tinggi nilainya yang perlu dikenang dan dihayati oleh umat Islam masa kini dan seterusnya. Jasa dan sumbangan beliau terutama ketika bersama Nabi Muhammad s.a.w. ada tercatat dalam al-Quran oleh Yang Maha Kuasa.

Firman-firman Allah berikut menjadi bukti betapa hebat dan mulianya beliau sehinggakan nama beliau diabadikan didalam al-Quran:

“Dia adalah salah seorang daripada dua orang ketika keduanya beada dalam gua, di waktu dia berkata krpada temannya; “Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah berserta kita. ”(At-Taubah: 40).

“Dan orang yang membawa kebenaran(Muhammad) dan membenarkannya, mereka itulah orang-orang yang bertakwa. ”(Az-Zumar: 33).

Hubungan Abu Bakar dan Nabi Muhammad s.a.w. ketika memperjuangkan Islam adalah begitu rapat sekali. Ibarat kuku dan isi. Sehingga akhir hayat Nabi Muhammad s.a.w. hubungan Abu Bakar dengan baginda kian erat dan sememangnya beliaulah orang yang paling layak meneruskan perjuangan baginda sebagai khalifah Islam pertama. Beberapa contoh menunjukkan ketekunan dan keikhlasan Saidina Abu Bakar dalam dalam berjuang menegakkan agama Islam. Antaranya ialah:

a) Hijrah ke Madinah

Abu Bakar memainkan peranan yang penting dalam peristiwa hijrah ini. Abu Bakarlah yang menemani Nabi Muhammad s.a.w. pada waktu berlakunya pengepungan di rumah baginda yang dilakukan oleh pemuda-pemuda Quraisy dengan tujuan untuk membunuh baginda. Mereka berharap dapat membunuh baginda beramai-ramai ketika baginda keluar rumah. Rancangan jahat kaum Quraisy itu diberitahu Allah kepada Rasul-Nya dan memerintahkan berhijrah ke Yathrib. Peristiwa itu digamberkan didalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan ingatlah ketika orang-orang Quraisy memikirkan tipu daya untuk menangkap, memenjarakan, membunuh ataupun mengusir kamu maka Allah menggagalkan tipu daya mereka. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya. ”(Surah al-Anfal ayat 30).

Cara baginda berhijrah diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam seperti katanya, “Bahawa Rasulullah datang dengan bersembunyi-sembunyi ke rumah Abu Bakar, kemudian mereka berdua terus ke gua Thur yang letaknya di selatan Mekah. Mereka bersembunyi di gua itu beberapa hari untuk mengelakkan dari kepungan dan halangan yang akan dilakukan oleh pihak Quraisy. ”

Selepas orang-orang Quraisy mengetahui Nabi dan Abu Bakar telah tiada dan sedang dalam perjalanan menuju ke Yathrib, mereka mengeluarkan tawaran hadiah seratus ekor unta kepada sesiapa saja yang berhasil menangkap Muhammad hidup ataupun mati. Akhirnya mereka mengetahui juga nabi dan Abu Bakar bersembunyi dalam gua Thur.

Abu Bakar berasa cemas dan bimbang akan keselamatan Nabi bila orang-orang Quraisy itu sampai ke pintu gua Thur. Beliau merasakan perlu untuk mempertahankan Nabi junjungan umat Islam itu sepenuh jiwa dan raga beliau. Perasaan cemas baginda itu sentiasa ditenteramkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. Peristiwa bersejarah ini diabadikan Allah dalam al-Quran yang bermaksud:

“Jika kamu tidak mahu menolong dia (Muhammad) sesungguhnya Allah telah menolongnya, iaitu ketika orang-orang kafir mengusirkannya, semasa mereka berdua di gua itu ia berkata kepada temannya: Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama-sama kita. ”(surah at-Taubah ayat 40).

Pada akhirnya meraka pun tiba di Quba’ pada hari Isnin 8 Rabiulawal tahun 1 hijrah(20 September 622 M) yang mana jaraknya dengan Madinah kira-kira 10 kilometer. Baginda berada di Quba’ selama 4 hari dan di situlah baginda membina masjid yang pertama dalam Islam, kemudian memasuki Madinah pada 12 Rabiulawal tahun 1 Hijrah.

b) Ikut bertempur bersama Nabi dalam Peperangan

Abu Bakar selalu mengikuti Nabi bertempur dalam segala peperangan semasa hayatnya. Seluruh hidupnya disumbangkan dan dikorbankan untuk membela Nabi dalam menegakkan agama Allah yanh maha suci. Beliau bertempur dengan gagah berani di bawah kibaran panji-panji kebenaran Nabi Muhammad s.a.w. Ketika Rasullah merancang Perang Badar, baginda meminta persetujuan dan pendapat daripada para sahabatnya. Sementara itu Abu Bakar bersetuju dan menyampaikan isyarat agar peperangan ini dilaksanakan dan maju untuk menyerang.

Di dalam perang Badar ini Abu Bakarlah menjadi pagar pelindung yang selalu tetap bersama Rasulullah s.a.w. untuk menjadi tebusannya. Setelah pertempuran mulai sengit dan hebat, Rasulullah mengalihkan perhatiannya dan berdoa kepada Allah sehingga kain serbannya terjatuh daripada kepalanya. Abu Bakar berkata kepadanya, “Wahai Rasulullah! Yang engkau minta adalah Allah, dan sesungguhya Allah sajalah yang akan melaksanakan kepadamu apa-apa yang telah dijanjikan. ”

Ketika itu Allah s.w.t. telah mengkabulkan doa Nabi-Nya iaitu memberi kekuatan dan bantuan malaikat, diberikan iman dan semangat serta kemenangan. Sebagaimana Allah berfirman:

“Ingatlah, ketika kamu memohon pertongan kepada tuhanmu, lalu diperkenankannya bagimu, “Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala tentera kepada kamu dengan seribu malaikat yang dating berturut-turut. ” (Surah al-Nafaal: 9)

Dalam perang Badar ini kaum muslimin Berjaya memperolehi kemenangan yang besar. Mereka kembali ke Madinah dengan membawa tujuh puluh orang tahanan perang daripada kaum Quraisy. Dalam masalah tawanan perang tersebut Rasulullah s.a.w. telah mengadakan musyawarah dengan para sahabatnya. Abu Bakar berpendapat mereka patut diberikan kesempatan hidup. Ini berlainan dengan pendapat Saidina Umar yang mencadangkan mereka dibunuh kerana mereka adalah orang kafir selalu memusuhi orang Islam. Dalam hal ini Abu Bakar berkata, “Wahai Nabi Allah, mereka adalah keturunan bapa saudara dan keluarga, saya menganggap baik bila mereka disuruh membayar denda atau tebusan dan hal itu dapat dibuat untuk memperkuatkan sahabat Nabi, dan mudah-mudahan mereka mendapat petunjuk dariupada Allah kepada agama Islam. ”

Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda, “Perumpamaan Abu Bakar r. a. adalah seperti Nabi Ibrahim ketika dia berkata; “Maka barang siapa yang mengiukutiku, maka sesungguhnya orang itu termasuk golonganku, dan barang siapa yang menderhakai aku, maka sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. ”

Setelah Nabi mengembalikan masalah tawaran perang tadi kepada seluruh sahabatnya, beliau bersama majority sahabat lebih cenderung kepada pendapat Abu Bakar r. a. kerana tiada sesuatu tindakan yang menyamaiu menberikan keampunan dan kemaafan dalam usaha mengetuk dan membuka hati yang terkunci. Setelah selesai bermesyuarat diumumkan bahawa tiap tahanan yang mampu menebus dirinya dengan wang dan harta, dia akan dibebaskan. Manakala orang tawanan sanggup mengajar menulis dan menulis kepada sepuluh orang anak muslim hingga pandai, mereka akan dibebaskan. Sementara itu Rasulullah s.a.w. juga membebaskan tahanan yang ternyata lemah, kerana meraka tidak mampu menebus dirinya sendiri, atau untuk melindungi hak mereka

c) Bantuan Kewangan dan Sikap Dermawannya

Saidina Abu Bakar memang terkenal dengan sifat pemurahnya. Beliau sanggup memderma keseluruhan hartanya demi menegakkan agama Allah. Sebelum memeluk Islam beliau memang dikenali sebagai seorang bangsawan yang kaya lagi dihormati oleh masyarakatnya. Tetapi setelah memeluk Islam, beliau merupakan tokoh Islam yang utama sekali yang telah mengorbankan seluruh harta bendanya bagi kepentingan agama Islam. Di kalangan para sahabat dia tergolong orang yang paling murah hati dan dermawan sekali.

Dalam menyambut datangnya agama Islam, beliau menyumbangkan wang tunai 40, 000 dirham kerana memperjuangkan agama Allah dengan penuh rasa ikhlas dan kerelaan. Bantuan kewangan Abu Bakar itu dicurahkan dengan berbagai cara. Yang pertama adalah untuk membeli hamba abdi sahaya yang telahg memeluk Islam dan selalu diseksa oleh tuannya. Jumlah abdi yang telah dibeli oleh beliau adalah tujuh orang. Antaranya ialah Bilal bin Rabbah dan Amir bin Fahirah.

Setelah itu beliau meneruskan bantuannya untuk membantu kaum muslimin yang fakir miskin, membantu membekalkan angkatan perang dan menjamu para tamu serta untuk amal sosial yang lain. Yang paling banyak adalah bantuannya mengadakan bekalan perang dalam perang Tabuk pada tahun 9 Hijrah. Sewajarnya beliau mendapat daripada Allah s.w.t. dalam firman-Nya yang bererti;

“Dan kelak akan dijauhkan orang yang paling takwa daripada mereka itu, yang menafkahkan hartanya(di jalan Allah) untuk membersihkannya, padahal tidak ada seorang pun memberikan suatu nikmat kepadanya yang harus dibalasnya. Tetapi(dia memberikan itu semata-mata) kerana mencari keredhaan Tuhannya Yang maha Tinggi. Dan kelak dia benar-benar mendapat kepuasan. ”(Surah al-Lail: 17-21)

Dengan kedermawan Abu Bakar itu Nabi Muhammad s.a.w. memujinya sehingga baginda bersabda, “Sesungguhnya manusia yang paling banyak memberikan kesentosaan kepadaku dalam persahabatannya dan hartanya adalah Abu Bakar. Seandainya saya (diperintahkan) menjadikan kekasih, tentulah saya menjadikan Abu Bakar sebagai kekasih, tetapi (yang ada) hanyalah persaudaraan dalam Islam. ”

Dalam perang Tabuk, Rasulullah s.a.w. telah meminta kepada sekalian kaum muslimin agar mengorbankan harta mereka kepada jalan Allah. Tiba-tiba datang Abu Bakar membawa kesemua harta bendanya lalu meletakkannya di antara dua tangan Rasulullah s.a.w. Melihat banyaknya harta yang dibawa oleh beliau bagi tujuan perjuangkan agama Islam, Nabi Muhammad s.a.w. menjadi terkejut lalu bertanya kepada beliau, “Hai sahabatku yang budiman, kalau sudah semua harta bendamu kau korbankan apa lagi yang engkau tinggalkan buat anak-anak serta isterimu?”. Pertanyaan Rasulullah itu dijawab oleh beliau sambil tersenyum, katanya; “Saya tinggalkan buat mereka Allah dan Rasul-Nya!”.

Demikianlah kehebatan jiwa Saidina Abu Bakar as-Siddiq, suatu contoh kemurahan hati yang tidak dijumpai bandingannya di dunia hingga hari ini. Sikap dan tingkah laku Abu Bakar wajar menjadi contoh tauladan kpada semua umat Islam dalam memperjuangkan agama Isalm di dunia hari ini.

KEUTAMAAN SAIDINA ABU BAKAR AS-SIDDIQ

leh kerana keistimewaan-keistimewaan yang begitu banyak yang dilakukan oleh Abu Bakar semasa hayatnya dengan penuh keikhlasan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. serta agama Islam dan kaum muslimin, maka seluruh ahli Sunnah Waljamaah secara ijmak mengakui bahawa Abu Bakar Siddiq adalah orang yang paling utama ataupun yang paling afdal sesudah Nabi Muhammad s.a.w.

Liku-liku hidup Saidina Abu Bakar menunjukkan beliau adalah orang utama yang mengatasi dan mendahului para sahabat yang lain dalam segala hal, baik dalam urusan ibadat mahupun dan urusan menegakkan agama Allah s.w.t. Tidak ada suatu hari pun yang dilalui oleh beliau tanpa mengerjakan seruan untuk berbuat baik dan curahan bakti sama ada di minta ataupun tidak.

Kebiasaannya Nabi Muhammad s.a.w. bertanya kepada sahabatnya tentang kebaikan yang dikerjakan oleh mereka. Mereka selalunya memberikan penjelasan kerana Nabi Muhammad s.a.w. akan mendesak mereka memberi penjelasan apa yang ditanya. Sesudah itu biasanya Nabi Muhammad s.a.w. akan memberikan pelajan kepada mereka ataupun mengucapkan hadis yang akan diriwayatkan mereka.

Pada suatu hari sesudah sembahyang subuh, Nabi Muhammad s.a.w. bertanya; “Siapa di antara kamu berpuasa hari ini?” Abu Bakar berkata, “Saya. Ya, Rasulullah memang saya tidur tadi malam dan saya berniat untuk berpuasa, maka saya berpuasa hari ini. ”

Kemudian Nabi Muhammad s.a.w. bertanya pula; “Siapa di antara kamu yang telah mengunjungi orang sakit hari ini?” Abu Bakar menjawab; “Adapun saya ya Rasulullah, merekamemberitahu kepada saya bahawa saudara saya Abdul Rahman bin Auf sakit. Lalu saya pergi ke rumahnya menanyakan keadaannya dan kemudian saya datang ke masjid. ”

Nabi Muhammad s.a.w. bertanya lagi; “Siapa di antara kamu telah bersedekah hari ini?” Abu Bakar menjawab; “Saya ya Rasulullah, ketika saya masuk masjid, tiba-tiba ada seorang peminta sedekah meminta sesuatu sedang seorang putera Abdul Rahman bin Abu Bakar mempunyai roti. Saya ambil roti itu dan saya berikan kepada peminta sedekah itu. ”

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda; “Bergembiralah engkau dengan syurga, bergembiralah engkau dengan syurga. ”

Tidaklah aneh kalau Saidina Umar berkata; “Tidak saya mendahului Abu Bakar membuat kebaikan, dialah yang selalu mendahului saya membuat kebaikan. ” Dan tidaklah aneh kalau Saidina berkata; “Demi Allah, tidaklah sekali-kali kami berlumba-lumba untuk membuat kebaikan kecuali Abu Bakar mendahului kami membuatnya. ”

Tentang kisah keutamaan Abu Bakar lagi, sejarah menceritakan: Nabi Muhammad s.a.w. pernah ditanya orang, “Ya Rasulullah, manusia manakah yang paling engkau cintai?”

Nabi Muhammad s.a.w. menjawab; “Aisyah”
Mereka berkata; “Yang kami maksudkan daripada kalangan laki-laki?”

Nabi Muhammad s.a.w. menjawab; “Bapanya”

Dan Nabi Muhammad s.a.w. bersabda; “Tidak ada seseorang yang berjasa di antara kita melainkan kami tlah membalasinya kecuaili Abu Bakar, sesungguihnya dia mempunyai jasa yang akan dibalasi oleh Allah pada hari kiamat. ”

Hal ini dijelaskan oleh kata-kata beliau, “Tidak ada seorang pun yang lebih besar jasanya kepada saya selain Abu Bakar, dia telah membantu saya dengan dirinya dan hartanya serta mengahwinkan puterinya kepada saya. ”

Saidina Umar berkata; “Abu Bakar itu penghulu kami, orang yang terbaik di antara kami dan orng paling di cintai oleh Rasulullah di antara kami. ”

Sekelompok orang-orang Muhajirin dan Ansar berbicara tentang keutamaan orang-orang besar dekat pintu Nabi Muhammad s.a.w. Lalu Nabi Muhammad s.a.w. pun keluar dan bertanya kepada mereka, “Sedang mengapa kalian?” Mereka menjawab; “Kami membicarakan tentang keutamaan. . . . . . . . ” Nabi Muhammad s.a.w. bersabda; “Janganlah kamu utamakan seorang pun atas Abu Bakar kerana sesungguhnya dia adalah orang yang paling utama di antara kamu di dunia dan akhirat. ”

KEBERANIAN SAIDINA ABU BAKAR AS-SIDDIQ

eberanian Abu Bakar dikatakan sepadan dengan kebenarannya dan kesetianya menepati janji, baik di dalam memberi pendapat mahupun keberanian di medan perang. Ketika dia telah masuk Islam, beliau berani menyatakan keislamannya dan mengerjakan sembahyang serta berdoa secara terang-terangan tanpa mempedulikan apa yang akan menimpa beliau.

Ketika perang diwajibkan ke atas umat Islam, beliaulah perajurit yang paling dekat kepada Rasulullah dalam setiap peperangan dan setiap ada kesulitan atau bahaya. Dalam sebahagian pertempuran yang sengit banyak perajurit-perajurit yang lari mundur, tetapi beliau tidak pernah mundur walau bagaimana sulit dan gentingnya keadaan.

Daripada Baizar daripada Ali bin Abu Talib; “Hai kaum muslimin sekalian, siapakah orang yang paling berani?”
Jawab para sahabatnya; “Engkaulah orang paling berani?

Kata Ali; “Aku hanya dapat mengalahkan setiap orang yang berhadapan dengan aku, namun katakan padaku siapakah orang yang paling berani?”

Setelah mereka tidak dapat menjawab beliau berkata; “Orang yang paling berani di antara kita adalah Abu Bakar. Ketika di hari Badar setelah kami mendirikan sebuah gubuk untuk tempat diamnya Nabi Muhammad s.a.w. , kami tanya siapakah yang akan menjaga Nabi Muhammad s.a.w. di dalam gubuk ini, di saat itu tiada seorang pun yang menjawab dan bersedia selain Abu Bakar yang menhunus pedangnya dan setiap musuh berusaha untuk mendekati tempat Nabi Muhammad s.a.w. , Abu Bakar menghentam orang itu dengan pedangnya, itulah orang yang paling berani. ”

Demikianlah keberanian Saidina Abu Bakar as-Siddiq yang patut menjadi tauladan dan ikutan kepada seluruh umat Islam masa kini.

KETAKWAAN SAIDINA ABU BAKAR AS-SIDDIQ

halifah Abu Bakar terkenal sebagai orang yang kuat pegangan agama ketakwaannya dalam menjalani proses hidup seharian di pentas dunia yang cuma sementara ini. Sebagai seorang khalifah yang sangat takwa dan seorang pemimpin yang adil amanah, beliau bersungguh-sungguh menjaga diri agar benar-benar bersih badan, pakaian, rumah tangga, akal fikirannya, hati, batin dan darah dagingnya agar sedikit pun jangan sampai dicampuri sesuatu barang yang diharamkan oleh Allah.

Sebagai contoh, pada suatu hari beliau sedang makan makanan yang dihidangkan sebagai hasil usaha seorang budaknya. Baru saja satu dua suap, beliau bertanya kepada hambanya; “Daripada mana engkau mendapat makanan ini?”

Kemudian ia menjawab; “Saya melakukan tujuman atau tenung nasib untuk seseorang pada waktu jahiliah, alangkah indahnya tenungan itu tapi sebenarnya saya hanya menipunya saja. Pada suatu hari dia menemui saya dan memberikan makanan yang tuan sedang makan itu. ”

Apabila mendengar saja kata-kata hamba abdinya yang terakhir, dia segera keluar dan menjolokkan jarinya kedalam mulutnya untuk memuntahkan isi perutnya agar yang dianggap haram itu keluar sebelum menjadi darah daging beliau. Demikianlah betapa waraknya dan demikianlah cara beliau menjaga diri daripada semua yang diharamkan oleh Allah s.w.t. Cerita itu dipetik daripada riwayat Bukhari yang bersumber daripada Aisyah r. a.

Di samping terkenal dengan takwanya, Khalifah Abu Bakar dikenali sebagai seorang tokoh Islam yang paling dicintai oleh seluruh umat Islam di zamannya. Walaupun telah dipilih sebagai khalifah namun kehidupannya amatlah sederhana sekali. Sikapnya ramah, penyantun serta suka berkorban apa saja demi kepentingan umat Islam.

------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com