Tajuk: Halatuju Dan Peranan Wanita Islam

PENDAHULUAN

Penglibatan kaum wanita di dalam perjuangan Islam bukanlah suatu perkara yang baru. Bahkan, kejayaan, kemenangan dan keunggulan kaum wanita yang menjadi sayap kiri perjuangan Islam telah tercatat di dada Sejarah semenjak dari wujudnya ‘alam maya ini. Wanita juga merupakan kaum yang penting dalam membentuk sesebuah tamadun. Al-Quran telah merakamkan banyak perjuangan wanita-wanita Islam. Contohnya perjuangan Siti Sarah, seorang wanita yang gigih dalam mengharungi perjuangan menegakkan tauhid dan kebenaran bersama-sama suaminya, Nabi Ibrahim a.s. Seluruh kudrat wanitanya telah dicurahkan untuk perjuangan tersebut. Siti Sarah telah melahirkan Nabi Ishak yang seterusnya mewarisi perjuangan Nabi Ibrahim untuk menegakkan tauhid dan akidah ynag sahih. Bangunlah tamadun besar selepasnya yang berlatarkan kegigihan wanita unggul Siti Sarah. Isteri Nabi Ibrahim yang kedua, Siti Hajar juga telah banyak berkorban demi Islam. Allah telah memerintahkan Nabi Ibrahim untuk menghantar Siti Hajar dan anaknya ke Lembah Bakkah yang kering kontang. Siti Hajar telah berjuang demi memastikan anaknya dapat meneruskan hidup. Allah telah memberkati Siti Hajar dengan air zam-zam yang tidak pernah kering.

Jika Siti Sarah dan Siti Hajar telah membuktikan wanita berupaya menegakkan perjuangan dalam keadaan daif dari segi kuasa dan kebendaan, Aisya pula membuktikan bahawa wanita juga sanggup mengetepikan kuasa dan kemewahan hidup demi menegakkan perjuanga menegakkan tauhid.

Wanita dan Perjuangan : Panduan-panduan Daripada Al-Quran dan Al-Sunnah
Lelaki dan wanita masing-masing mempunyai hak yang sama dalam menegakkan syariat Islam. Allah telah berfirman dalam surah An-Nisa’ ayat 124: “ Barang siapa yang mengerjakan amal soleh baik lelaki ataupun perempuan sedang ia orang beriman, maka mereka masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikitpun ”Ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah:“ Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang beragama Islam, laki-laki dan perempuan yang beriman, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatan, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, laki-laki dan perempuan yang menjaga kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang menyebut nama-nama Allah, maka Allah telah menyediakan keampunan dan pahala yang besar”

Wanita juga hamba Allah yang perlu menunaikan tanggungjawab yang telah digariskan oleh Allah. Hanya keimanan dan ketaqwaan kepada Allah menjadi bekalan di hari Akhirat nanti.
Berbeza dengan agama lain, Islam tidak memburuk-burukkan kaum wanita. Islam memerintahkan supaya kita memuliakan kaum wanita. Islam sangat melarang kita bersedih di atas kelahiran bayi perempuan dan menanam bayi perempuan hidup-hidup seperti yang dilakukan oleh agama-agama lain.

Islam memuliakan wanita sebagai anak kecil. Sabda Rasulullah:“Barangsiapa yang mempunyai anak perempuan lalu ia mengajar dan mendidiknya dengan baik maka anak itu kelak akan menjadi tabir yang melindunginya dari api neraka”Islam memuliakan wanita sebagai ibu:“Seorang lelaki datang menghadap Rasulullah dan bertanya: Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak untuk saya berbuat baik kepadanya?Rasulullah menjawab: “ ibumu ”Orang itu bertanya lagi: “kemudian siapa lagi?”Rasulullah menjawab: “ ibumu ”Orang itu bertanya lagi: “kemudian siapa lagi?”Rasulullah menjawab: “ ibumu ”Orang itu bertanya lagi: “kemudian siapa lagi?”Rasulullah menjawab: “ayahmu” (Bukhari, Muslim)

Islam juga memuliakan wanita sebagai isteri. Selain itu, Islam juga menganjurkan supaya wanita diberikan peluang untuk mendapatkan pelajaran sama seperti kaum lelaki. Ilmu-imu yang diutamakan adalah ilmu fardhu ain dan kemudian baru diikuti dengan ilmu fardhu kifayah. Oleh itu Islam membenarkan wanita mendalami ilmu pengetahuan sesuai dengan sifat dan fitrahnya serta bertepatan dengan ajaran Islam. Pendidikan yang baik akan menjadikan wanita Islam berperanan sebagai pembantu yang penting dalam mebangunkan ummah bersama-sama kaum lelaki. Islam juga menetapkan asa-asas intitusi keluarga untuk menjamin kepentingan wanita. Dalam system ini wanita yang belum dewasa dilindungi di bawah walinya.

Islam mengatur undang-undang rumah tangga: hak-hak suami dan hak-hak isteri diterangkan secara jelas. Poligami dibenarkan agar tidak berlaku kecurangan suami di belakang isteri. Selain itu Islam juga mengatur masalah talak demi mencegah perbuatan sewenang-wenangnya dari pihak lelaki. Wanita diberi hak menuntut penceraian sekiranya rumah tangga yang dibina tidak bahagia melalui khulu’ dan fasakh. Islam juga memberi hak kepada wanita dalam harta warisan, baik sebagai ibu, anak, baik sudah dewasa atau masih kecil malahan masih dalam rahim ibunya. Islam juga mengiktiraf hak wanita untuk mewarisi harta dalam apa bentuk sekalipun. Wanita juga diizinkan syara’ untuk melaburkan hartanya kepada jalan Allah. Menurut undang-undang Islam tiada sesiapa berhak melarang wanita untu melabur atau mengembangkan hartanya.

Wanita dan Perjuangan: Tanggungjawab dan Kewajipan Wanita menurut syariat Islam

(1) Tanggungjawab sebagai hamba Allah
Dalam menjalankan ibadat, perempuan dan lelaki mempunyai tanggungjawab yang sama. Tugas-tugas ini hanya berbeza dari beberapa segi bersesuaian dengan kudrat wanita. Contohnya tugas berjihad di medan perang hanya diserahkan kepada kaum lelaki tetapi wanita juga boleh turut serta ke medan perang untuk merawat orang yang sakit serta menyediakan makanan.

(2) Tanggungjawab sebagai isteri
Wanita yang telah berumah tangga wajib mentaati suaminya. Seorang isteri wajib mentaati dan menunaikan hak suami mereka, sesuai dengan sabda Rasulullah: “Kalau seandainya aku menyuruh seseorang sujud kepada seseorang nescaya aku perintahkan seorang isteri bersujud kepada suaminya”(Al-Hakim)

Sekiranya seorang isteri dapat mentaati suami mereka dengan baik maka ini bererti mereka telah menunaikan hak suami mereka dan mereka termasuk dalam golongan wanita-wanita yang solehah.

(3) Tanggungjawab sebagai pemimpin urusan rumah tangga
Mengurus rumah tangga bukanlah mudah. Tugas ini hanya boleh dilaksanakan dengan sempurna oleh wanita sahaja. Wanita bertanggungjawab terhadap pengurusan rumah tangga dan sentiasa berusaha menunaikan tugas dan kewajipan ini dengan sebaik-baiknya. Rasulullah telah bersabda: “Semua kamu pengembala dan semua kamu akan bertanggungjawab terhadap yang digembalanya…Wanita adalah pengembala (pemimpin) dalam rumah tangga suaminya dan bertanggungjawab atas pengurusannya”

(4) Tanggungjawab sebagai pendidik generasi akan datang
Allah telah menciptakan makhluk dengan tujuan agar masing-masing dapat menunaikan fungsi kejadiannya mengikut ketentuan yang ditetapkan. Wanita telah dikurniakan kemampuan dan kesabaran yang tinggi untuk mendidik anak-anak. Oleh sebab itu, memberikan pendidikan kepada anak-anak adalah salah satu tanggungjawab terbesar bagi wanita. Pendidikan anak-anak bermula dari rumah. Islam telah memberikan kesempatan yang secukupnya kepada wanita untuk menunaikan tanggungjawabnya.

Wanita dan Perjuangan: Beberapa Model dari Sejarah Islam
(1) Khadijah Khuwailid
Khadijah adalah salah seorang tokoh wanita Islam yang unggul. Keunggulan beliau adalah kesetiaan dan ketaatannya yang penuh terhadap kebenaran yang diperjuangkan oleh suaminya, Rasulullah s.a.w. Khadijah juga seorang wanita yang meletakkan masa depannya hanya kepada perjuangan tauhid dan kebenaran. Beliau menggunakan segala-gala yang ada padanya untuk menbantu dan mendorong perjuangan Rasulullah s.a.w. Khadijah juga tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu. Beliau menjaga dan mendidik anak-anaknya sehinggakan mereka tidak terlibat dengan amalan syirik walaupun waktu itu adalah zaman jahiliah. Dalam pada masa yang sama, Khadijah juga membelanjakan seluruh harta kekayaannya untuk mengembangkan perjuangan suaminya, Rasulullah s.a.w.

(2) Aisyah As-Siddiqah
Aisyah merupakan golongan generasi kedua pengasas perjuangan Islam dan merupakan orang yang dipilih oleh Allah menjadi isteri dan murid Rasulullah s.a.w. Aisyah adalah seorang yang pintar, tangkas dan berkemampuan serta memperoleh banyak ilmu dari Rasulullah s.a.w. Pada masa itu, Aisyah telah menjadi salah seorang wanita yang menyebarkan ilmu al-Quran untuk generasi akan datang. Berbekalkan usianya yang muda, Aisyah sangat pantas memahami ilmu yang dipelajarinya. Daripada Rasulullah s.a.w. Di atas rasa cinta kepada Allah, Aisyah mempelajari segala ilmu dan pengertian hikmah daripada Rasulullah s.a.w. agar ketika ketiadannya, beliau sendiri akan menghalang kebimbangan suaminya menjadi kenyataan. Ilmu yang dipelajarinya telah diturunkan kepada seluruh umat dan telah berjaya membincangkan masalah-masalah hukum yang sukar serta telah melakukan penafsiran bersama-sama para ulama’. Aisyah merupakan contoh wanita yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi. Ilmu yang dimilikinya ajuh lebih tinggi daripada isteri-isteri Rasulullah s.a.w. yang lain malah lebih tinggi daripada sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. Imam Zuhri menambah: “Jika ilmu semua kaum lelaki dan isteri-isteri Rasulullah s.a.w. disatukan maka ilmu Aisyah akan melebihi kesemua ilmu yang dikumpulkan tadi”

(3) Asma’ binti Abu Bakar
Asma’ merupakan anakanda kepada Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Asma’ dikenali sebagai seorang wanita muda yang tngkas, seorang isteri yang taat dan solehah dan seorang ibu yang berjiwa kental. Sebagaimana ayahandanya, Asma’ juga sentiasa berada di barisan paling hadapan dalam memperjuangkan Islam. Menurut Ibn Ishaq, Asma’ adalah orang kelapan belas menganut Islam. Oleh kerana beliau adalah orang yang paling mengetahui dan berpengalaman tentang selok belok jalan menuju ke tempat persembunyian Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar di Bukit Thur, maka tugas untuk membekalkan makanan dan mengirim maklumat telah diserahkan kepadanya. Ahli-ahli Sejarah Islah telah menonjolkan Asma’ sebagai salah seorang isteri teladan yang perlu dijadikan contoh kerana kesanggupannya hidup bersama suaminya dalam keadaan sederhana.

Beberapa Agenda Peranan Wanita Islam
Dalam pembangunan Negara yang begitu pesat pada masa sekarang, masyarakat terdedah dengan pelbagai gejala yang akan menghalang pencapaian wawasan murni Negara. Di antara agenda-agenda yang mesti ditangani secara berkesan adalah:
1. Mengukuhkan Kesejahteraan Keluarga
2. Mengekalkan dan Mengembangkan Nilai-Nilai Kasih Sayang
3. Menggariskan Agenda Masa Depan yang Berfaedah bagi Golongan Remaja
4. Mengukuhkan Pendidikan Agama di Kalangan Generasi Baru

Halatuju Masyarakat dan Peranan Wanita Islam
Prinsip Islam dalam Membina Masyarakat
Menegakkan kebenaran adalah asas dalam perjuangan Islam. Sejak mula-mula manusia diutuskan ke dunia tugas asas yang diamanahkan kepadanya adalah untuk menjadi khalifah Allah. Prinsip Islam dalam membina masyarakat adalah diasaskan kepada pembentukan akidah yang jelas, perlaksanaan syariah yang meluas, penghayatan ibadah yang hakiki dan pencernaan akhlak. Matlamat Islam adalah untuk menggerakkan seluruh umat Islam kearah kebaikan. Seluruh umat Islam sama ada lelaki mahupun wanita perlu bekerjasama untuk merealisasikan matlamat ini. Oleh itu, wanita juga berperanan dalam pembinaan masyarakat dan menegakkan kebenaran.

Pengislahan Masyarakat : Dasar Perjuangan Kini
Konsep pengislahan masyarakat yang digariskan dalam Al-Quran mengandungi dua aspek yang penting. Pertama adaklah untuk mewujudkan pembaikan dan mengelakkan kerosakan. Dalam konteks halatuju masyarakat Malaysia, segala gejala-gejala tidak sihat dan maksiat harus dibendung kerana gejala-gejala ini akan menular dengan pantasnya. Masyarakat Malaysia zaman ini khususnya umat Islam sangat mudah terpengaruh dengan budaya yang tidak sihat. Kedua islah juga bererti membawa pembaharuan, perubahan pembangunan serta mewujudkan kedamaian di kalangan masyarakat. Pengislahan dengan segala kesungguhan bererti ia perlu menggabung dan menggunakan seluruh kekuatan dan sumber yang ada. Oleh sebab itu, semua masyarakat tidak kira lelaki ataupun wanita hendaklah berkerjasama untuk mencapai wawasan dan objektif masa depan. Ini bererti wanita hendakalah menggunakan seluruh bakat, kebolehan, kemahiran, kekuatan dan potensi yang ada dalam melaksanakan proses pengislahan ini. Medan ibadah wanita jug seluas medan ibadah lelaki di samping kedua-duanya mempunyai fungsi dan saling bergantung serta saling melengkapi dalam membina intitusi rumah tangga yang merupakan asas masyarakat sejahtera. Walaubagaimanapun Al-Quran hendaklah dijadikan panduan yang utama dalam merealisasikan pegislahan ini.

Beberapa pendekatan berikut perlu ditanggapi secara objektif dalam membincangkan peranan wanita dalam perjuangan untuk mengislahkan masyarakat kini. Pertama bekerja di luar rumah sebagai memenuhi peranan wanita islam dalam pengislahan masyarakat.

Di antara kebaikan wanita bekerja di luar rumah ialah:
1. keluarnya wanita bekerja sebagai satu langkah untuk berhubung dengan masyarakat dan melaluinya pendidikan Islam yang berterusan akan dapat dilakukan
2. keluarnya wanita bekerja sebagai langkah menghalang jawatan-jawatan yang penting masyarakat daripada dipenuhi oleh orang-orang bukan Islam
Yang kedua, bertugas sepenuh masa sebagai suri rumah bagi memenuhi peranan wanita Islam dalam pengislahan masyarakat kini. Peranan wanita sebagai suri rumah tidak dapat dipertikaikan oleh sesiapa pun. Islam meletakkan nilai yang amat tinggi bagi kerja-kerja urusan rumah tangga yang dilakukan oleh wanita. Apabila pengurusan rumah tangga berjalan lancar, maka suami dapat menumpukan perhatian kepada pekerjaannya. Dengan itu konsep pengislahan atau pembangunan rumah tangga akan sempurna.

Medan-Medan Tugas Kerjaya Wanita
Dalam konteks arus pembangunan masyarakat Malaysia hari ini, berikut adalah medan-medan penting yang harus diceburi oleh kaum wanita:
1. Mengukuhkan Sektor Awam Negara
2. Mengukuhkan Penglibatan Orang Islam dlam Sektor Swasta dan Korporat
3. Menyumbangkan tenaga dalam Bidang-bidang yang memerlukan pengkhususan
4. Memperluaskan keupayaan wanita dalam seluruh kegiatan masyarakat

Muslimah Pendakwah dalam Dunia Yang Semakin Canggih
Peranan wanita tidak hanya terhad kepada menjadi ibu dan isteri sahaja namun kini wanita juga boleh menjadi pendakwah. Agama tidak melarang wanita untuk menyeru umat Islam yang lain ke arah kebaikan. Namun begitu, wanita perlulah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Fitrah wanita dan bilangannya yang ramai haruslah dimanfaatkan oleh dakwah Islam. Oleh itu gunakanlah kekuatan yang ada pada wanita solehah untuk membangunkan Islam. Wanita solehah akan menjadi teladan kepada masyarakat yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w. : “Dunia ini semuanya perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah”

KESIMPULAN
Dewasa ini ramai umat Islam yang lalai kerana terpengaruh dengan budaya barat serta kemewahan dunia yang sedia ada. Oleh sebab itu usaha perlu dilipat gandakan supaya masyarakat Islam tidak lagi terpesong daripada landasan Islam yang sebenar. . Penyertaan kaum wanita dalam gerakan Islam adalah suatu keperluan yang dimestikan memandangkan peranan kaum wanita adalah penting dalam usaha menyeru ke arah kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Wanita yang juga merupakan isteri bagi para suami dan ibu kepada anak-anak perlu memahami kewajipan, bijaksana dalam membuat pembahagian masa, memiliki kekuatan, kecekapan berfikir dan bertindak dalam melakukan tugas kepada keluarga, masyarakat, agama dan Negara.

------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com