Tajuk: Kewajipan Zakat Dalam Islam

PENDAHULUAN
Zakat merupakan rukun Islam yang ke-3 dan wajib dilaksanakan oleh umat Islam yang memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak. Zakat telah difardhukan pada tahun ke-2 Hijrah dan ia telah disebut di dalam kitab suci Al-Quran sendiri. Sebagaimana sudah dimaklumi, zakat juga merupakan ibadah yang paling tinggi darjat dan kedudukannya berbanding ibadah-ibadah yang lain. Nabi Muhammad s.a.w. seorang Nabi yang amat menekankan perihal zakat ini, dan wajarlah baginda menjadi teladan dan ikutan bagi seluruh umatnya yang bertakwa, kerana pengutusannya membawa rahmat kepada seluruh alam. Maka, perincian tentang kewajipan zakat haruslah difahami dengan jelas dan jitu selari dengan akidah umat Islam.

TAKRIF
Pengertian zakat dari segi bahasa ialah keberkatan, kesucian, perkembangan dan kebaikan. Sebab dinamakan zakat ialah kerana ia dapat mengembangkan harta yang telah dikeluarkan zakatnya dan menjauhkannya dari segala kerosakan. Hal ini jelas dapat diketahui kerana Allah s.w.t. berfirman:
“ Pungutlah zakat dari sebahagian kekayaan mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka. ”(Surah At-Taubah: 103)

Seterusnya, menurut istilah syarak, ‘zakat’ bererti kewajipan atas harta atau kewajipan atas sejumlah harta tertentu untuk kelompok tertentu dan dalam waktu tertentu. Sebagaimana telah disentuh tadi, zakat mempunyai dua pengertian dari segi bahasa (fil Lughah) dan pengertian dari segi istilah (syarak).

HUKUM BERZAKAT
Zakat merupakan rukun ketiga dari lima rukun islam dan ia juga merupakan salah satu di antara panji-panji Islam di mana Islam tidak boleh ditegakkan tanpanya. Orang yang enggan membayar zakat boleh diperangi dan orang yang menolak kewajipan zakat adalah dianggap kafir. Dan firman Allah: “ Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta). (Surah al-Ma’arij:23-24)

PERATURAN MENGELUARKAN ZAKAT
Zakat harta wajib dikeluarkan kepada empat golongan pertama yang berhak menerima zakat iaitu: Orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil zakat dan mualaf. Manakala, empat golongan kedua yang berhak menerima zakat ialah: Hamba sahaya (hamba yang di benarkan untuk memerdekakan dirinya), orang yang berhutang, pejuang fisabilillah dan ibnu sabil, boleh diserahkan harta zakat kepada mereka dengan apa cara sekalipun.

MASA MENGELUARKAN ZAKAT
1) Zakat wajib dikeluarkan segera sebaik sahaja ia memenuhi syarat-syarat wajib mengeluarkan zakat malah tidak harus ditangguhkan mengeluarkannya selepas ia diwajibkan dan selepas memiliki keupayaan dan kemampuan untuk menunaikannya.
2) Kewajipan mengeluarkan zakat tidak akan gugur atau terhapus dengan kematian pemilik harta dan ia dikira sebagai hutang yang wajib dijelaskan di dalam harta pusaka sama ada ia diwasiatkan ataupun tidak.
3) Kewajipan mengeluarkan zakat juga tidak akan gugur atau terhapus dengan berlalu masa. Jika pembayar zakat terlewat membayar zakat hartanya pada akhir tahun dan telah memasuki tahun yang baru, maka dia wajib menjelaskan juga zakat pada tahun pertama kerana ia dianggap sebagai hutang yang wajib dijelaskan.
4) Apabila harta yang ingin dikeluarkan zakat itu rosak selepas cukup haul, kewajipan mengeluarkan zakat akan digugurkan dengan dua syarat:
a. Harta tersebut rosak sebelum mampu membayar zakatnya
b. Bukan kerana kecuaian pemilik harta di dalam menjaga hartanya.

ORANG-ORANG YANG BERHAK MENERIMA ZAKAT

Fakir
Fakir ialah orang yang memerlukan bantuan di mana mereka tidak memperolehi hasil pendapatan yang cukup untuk menampung keperluan asas mereka sesuai mengikut kebiasaan masyarakat tertentu. Mereka adalah orang yang tidak memiliki harta dan sumber pendapatan yang halal mengikut pendapat jumhur ulama fiqah, atau orang yang memiliki harta kurangdari kadar nisab syar’ie zakat mengikut pendapat mazhab Hanafi.

Miskin
Miskin ialah orang yang memerlukan bantuan di mana mereka tidak memperolehi hasil pendapatan yang cukup untuk menampung keperluan asas mereka sesuai mengikut kebiasaan masyarakat tertentu. Mereka adalah orang yang memiliki harta atau mempunyai sumber pendapatan yang sesuai untuk menampung sebahagian dari keperluannya tetapi masih lagi tidak mencukupi mengikut pendapat jumhur ulama.

Amil Zakat
Amil Zakat ialah semua pihak yang bertugas melakukan kerja-kerja yang berkaitan dengan pengumpulan, penyimpanan, penjagaan, pencatatan dan pengagihan harta zakat. Mereka dilantik oleh pemerintah di dalam negara Islam atau mereka di beri kebenaran atau dipilih oleh institusi yang diiktiraf oleh kerajaan.

Golongan Muallaf
Golongan ini adalah merupakan salah satu dari lapan golongan yang berhak menerima zakat dan ia merupakan salah satu syariat yang masih tetap berlaku sehingga sekarang dan masih belum dinasakhkan (masih belum dihapuskan) mengikut pendapat jumhur ulama fiqah (majoriti) sehingga orang-orang muallaf yang kaya juga tidak dihalang dari menerima harta zakat.

Hamba Yang Mahu Merdeka
Memandangkan kepada golongan ini sekarang ini sudah tidak ada lagi, bahagian zakat mereka dipindahkan kepada golongan-golongan lain yang berhak menerima harta zakat mengikut pendapat jumhur (majority) ulama fiqah.

Orang-Orang Yang Berhutang
Orang-orang yang berhutang yang termasuk di dalam pengertian golongan ini ialah:
1) Hutang tidak dibuat kerana maksiat
2) Mempunyai hutang sekeliling pinggang
3) Orang yang berhutang sudah tidak mampu lagi menjelaskan hutangnya
4) Hutang sudah tiba tempoh pembayarannya atau telah wajib dijelaskan ketika zakat diberikan kepada orang yang berhutang

Fi Sabilillah
Apa yang dimaksudkan dengan golongan yang berhak menerima zakat (Fi Sabilillah) adalah orang yang berjuang di jalan Allah dalam pengertian yang sangat luas sebagaimana yang telah ditetapkan oleh ulama-ulama fiqah adalah dengan maksud untuk menjaga agama dan meninggikan kalimah Allah seperti berperang, berusaha menegakkan hukum Islam, menolak fitnah-fitnah yang ditimbulkan oleh musuh-musuh Islam dan membendung arus pemikiran-pemikiran yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Ibnu Sabil
Ibnu Sabil iaitu orang asing yang tidak memiliki pembiayaan untuk kembali ke tanah airnya. Golongan ini boleh diberikan zakat dengan syarat-syarat sebagaimana berikut:
1) Masih dalam perjalanan musafir di luar kawasan (negeri) tempat tinggalnya.
2) Perjalanan musafir tersebut bukan untuk urusan yang bertentangan dengan syarak supaya zakat yang diberikan tidak dijadikan sebagai bantuan untuk melakukan maksiat.
3) Pada masa tersebut dia tidak memiliki pembiayaan untuk kembali ke negerinya walaupun dia seorang yang kaya di negerinya.

HARTA YANG WAJIB DIZAKATI
Harta-harta yang wajib dizakati terdiri dari dua macam iaitu Zakat Harta dan Zakat Fitrah.
Zakat Harta dibahagi lagi menjadi beberapa sub bahagian seperti berikut:
1) Zakat Emas, Perak dan Perhiasan
2) Zakat Haiwan dan Produk Haiwan
3) Zakat Pertanian dan Hasil Bumi
4) Zakat Barang Perniagaan
5) Zakat Rikaz dan Barang Galian

Jenis-Jenis Harta Yang Wajib Zakat
1. Harta yang halal dan baik.
2. Harta Produktif (berkembang secara baik).
3. Milik Penuh dan Berkuasa Menggunakannya.
4. Mencapai Nishab (Ukuran Minimal Harta yang Dikenakan Zakat)
5. Berlebih dari keperluan asas dan Terbebas dari Hutang.
6. Haul (Sudah Berlalu Setahun).

JENIS-JENIS ZAKAT
Zakat Tanaman Dan Buah-Buahan

-Zakat diwajibkan pada setiap hasil tanaman yang tumbuh di muka bumi iaitu pada setiap hasil tanaman yang tumbuh di muka bumi iaitu pada seluruh hasil tanaman dan buah-buahan yang ditanam dengan tujuan untuk memanfaatkan serta mengembangkan tanah yang dimiliki mengikut pendapat mazhab Imam Abu Hanifah dan beberapa orang ulama fiqah yang lain.

Zakat Wang Tunai
-Semua jenis mata wang kertas dan syiling, sama ada mata wang tersebut digunakan di negeri yang ingin dikeluarkan zakat ataupun mata wang negeri lain. Kewajipan mengeluarkan zakat wang tunai telah ditetapkan di dalam al-Quran, hadis dan ijmak ulama.

Zakat Barang Perhiasan
-Perhiasan wanita yang dikhususkan untuk pemakaian peribadi tidak wajib dizakati selama tidak melebihi batas yang wajar diantara kaum wanita lainyang berada dalam status social yang sama. Namun perhiasan yang melebihi batas wajar dibayar zakatnya.

Zakat Hasil Pendapatan
-Hasil pendapatan ialah harta yang baru diperolehi oleh orang yang ingin membayar zakat di mana dia tidak memilikinya sebelum itu. Jika orang yang ingin membayar zakat telah memiliki harta yang mecukupi nisab dan sebelum cukup haul dia memperolehi harta dari jenis yang sama seperti keuntungan perniagaan atau hasil pengeluaran binatang ternakan.

Zakat Harta Rikaz
-Harta Rikaz ialah semua harta karun yang ditemui tertanam di dalam bumi. Untuk mengeluarkan zakat Harta Rikaz ini tidak disyaratkan cukup haul ataupun cukup nisab. Kadar zakat yang wajib dikeluarkan ialah sebanyak satu perlima atau 20% mengikut kata sepakat ulama fiqah.

Zakat Bahan Galian
-Kekayaan galian merangkumi seluruh bahan galian yang terdapat di dalam bumi atau di dasar laut sama ada bahan galian tersebut berbentuk cecair seperti minyak ataupun berbentuk pepejal seperti garam ataupun berbentuk gas seperti butana ataupun bahan tersebut dari jenis yang boleh dibentuk seperti besi atau dari jenis yang tidak boleh dibentuk seperti sulfur.

ZAKAT DAN CUKAI
Persamaan antara Zakat dan Cukai
- Bersifat wajib dan mengikat atas harta penduduk suatu negeri, apabila melalaikannya terkena hukuman.
- Zakat dan cukai harus disetorkan pada lembaga rasmi agar tercapai kecekapan penarikan keduanya dan penyalurannya.
- Tidak ada ketentuan memperoleh imbalan material tertentu di dunia.
- Dari segi tujuan ada kesamaan antara keduanya iaitu untuk menyelesaikan masalah ekonomi dan mengurangkan kemiskinan yang terdapat di dalam mayarakat.
- Perbezaan antara Zakat dan Cukai
- Zakat bersifat kewajipan tetap dan berterusan, sedangkan kewajipan cukai sesuai dengan keperluan dan dapat dihapuskan.
- Dalam hukum Al-Quran dan As-Sunnah, suatu negara pembayaran zakat bernilai ibadah dan pendekatan diri kepada Allah sedangkan dalam membayar cukai hanya melaksanakan kewajipan warganegara.
- Nishab dan tarif zakat ditentukan Allah dan bersifat mutlak sedangkan cukai ditentukan oleh negara dan bersifat relatif.
- Nishab zakat memiliki ukuran tetap sedangkan cukai berubah-ubah sesuai dengan anggaran negara.

HIKMAH DISEBALIK PERINTAH BERZAKAT
1) Mampu memperbaiki kedudukan masyarakat dari sudut moral dan material di mana ia dapat menyatukan anggota masyarakat.
2) Melalui zakat kita dapat membersihkan jiwa dari sifat kedekut dan bakhil. Ia juga merupakan benteng keamanan di dalam system ekonomi.
3) Zakat dapat menyucikan hati dan menyuburkan keharmonian kerana zakat bukanlah atas dasar belas kasihan tetap kewajipan dan terbukti memberi keharmonian dalam kehidupan.

“ Dan Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya, sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. Iaitu Umat Islam yang jika kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat “. (Surah al-Hajj:40-41)

“ Dan dirikanlah sembahyang dan keluarkanlah Zakat dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk “. (Surah al-Baqarah:43)


------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com