Tajuk: Rahsia Mengenal Nafsu Dan Cara Mengawalnya

PENDAHULUAN

Manusia adalah Gabungan Akal dan Hawa Nafsu. Hawa nafsu mempunyai daya yang sangat kuat dan aktif serta efektif dalam kehidupan manusia, tapi kehendak untuk menyempurnakan, mematangkan dan menonjolkan peranan akal tidak pernah dihiraukan. Hal itu adalah disebabkan oleh kerana manusia itu sendiri terdiri dari akal dan hawa nafsu.
Manusia selalu berada dalam dilema antara dua faktor ini. Fluktuasi keduanya berakibat langsung pada manusia. Semuanya, bergantung pada manusianya sendiri dalam mengfungsikan atau tidak akal dalam kehidupannya.

Manusia berbeza sekali dengan binatang. Binatang tidak mempunyai akal yang bisa mengatur dunianya; langkah-langkahnya secara keseluruhannya dikemudi oleh hawa nafsu. la sepenuhnya tunduk padanya dan sikapnya termanifestasi melalui faktor hawa nafsu saja.
Imam Ali as berkata: "Allah menganugerahkan akal yang tak berunsur syahwat kepada malaikat, syahwat tanpa unsur akal pada binatang, dan keduanya (akal dan syahwat) kepada anak cucu Adam. Oleh itu, sesiapa yang akalnya dapat mengalahkan syahwatnya, maka dia lebih baik daripada malaikat dan siapa yang syahwatnya mengalahkan akalnya, maka dia lebih buruk daripada binatang. "

Hawa Nafsu dalam Al-Quran dan Hadis

HADIS
Diriwayatkan dari Imam Al-Baqir bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, Allah SWT berfirman: "Demi kemuliaan-Ku, kebesaran-Ku, keagungan-Ku, keperkasaan-Ku, nur-Ku, ketinggian-Ku dan ketinggian tempat-Ku, tak seorang hamba pun yang mengutamakan keinginannya (nafsunya) di atas keinginan-Ku, melainkan Aku kacaukan urusannya, Aku kaburkan dunianya dan Aku sibukkan hatinya dengan dunia serta tidak Aku berikan dihina kecuali yang telah kutukar untuknya.
Demi kemulian-Ku, kebesaran-Ku, keagungan-Ku, keperkasaan-Ku, nur-Ku, ketinggian-Ku dan ketinggian tempat-Ku, tak seorang hamba pun yang mengutamakan keinginan-Ku di atas keinginan (nafsu) dirinya melainkan Aku suruh malaikat untuk menjaganya, langit dan bumi menjamin rezekinya dan menguntungkan setiap perdagangan yang dilakukannya serta dunia akan datang dan selalu berpihak kepadanya".

NAFSU

Baik buruknya manusia adalah bergantung kepada tahap-tahap kesucian batinnya atau nafsunya.
Nafsu mempunyai dua pengertian:
1. Suatu pengertian yang meliputi segala tabiat-tabiat: seperti marah, nafsu berahi dan syahwat serta semua yang keji seperti hasad dengki, riak, dendam, sum'ah dan sebagainya. Nafsu ini ada juga pada binatang. Tapi tiada sama sekali pada malaikat.

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Sejahat-jahat musuh engkau ialah nafsu engkau yang terletak di antara dua lambung engkau"

Makna yang kedua adalah berkaitan kejadian "latifah rabbaniyyah' iaitu sesuatu yang batin yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar sebaliknya ia adalah melibatkan soal-soal kerohanian.

JENIS-JENIS NAFSU

Terdapat berbagai-bagai jenis nafsu yang disebutkan di dalam Al-Quran.
antaranya ialah:

1. Amarah
2. Lawammah
3. Mulhammah
4. Mutmainah
5. Radhiah
6. Mardhiah
7. Kamaliah

Terminologi Hawa Nafsu dalam Al-Quran dan Sunnah. Hawa nafsu adalah istilah keislaman yang digunakan dalam Al-Quran dan Sunnah. la menjadi istilah dengan erti khas budaya keislaman. Kita sering terjumpa perkataan hawa nafsu dalam Al-Quran dan Sunnah. Antara lain, Allah SWT berfirman: "Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya?" (Q. S. Al-Furqon 43.)
Dan firman Allah SWT: "Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal(nya). "(Q. S. An-Nazia'at 40- 41.)

Amirul Mukminin Ali as dalam Nahjul Balaghahnya berkata: "Sesungguhnya yang paling aku khuatirkan pada kalian adalah dua hal, iaitu taat hawa nafsu dan angan-angan panjang. "
Diriwayatkan melalui Imam Shâdiq bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Waspadalah terhadap hawa nafsu kalian sebagaimana kamu sekalian waspada terhadap musuh. Tiada yang lebih pantang bagi manusia daripada mengikuti hawa, nafsu dan ketergelinciran lidah yang tak bertulang. "
Imam Shâdiq as juga berkata: "Janganlah kalian biarkan jiwa bersanding bersama hawa nafsu. Kerana, hawa nafsu pasti (membawa) kehinaan bagi jiwamu.

Enam Sumber dalam Jiwa Manusia
Untuk mengenal posisi hawa nafsu dalam jiwa dan peranannya dalam kehidupan manusia, perlu ditegaskan bahawa Allah SWT telah menetapkan beberapa sumber gerak dan kesedaran manusia. Semua gerak aktif ataupun reaktif dan kesedaran manusia bermula dari sumber-sumber ini. Terdapat enam sumber penting, yang terutamanya adalah hawa nafsu, sebagai berikut.

1. Fitrah, yang telah dilengkapi Allah dengan kecenderungan. Hasrat dan gaya tarik menuju dan mengenal-Nya dan meraih keutamaan-keutamaan akhlak, seperti kesetiaan, 'iffah (harga diri), belas kasih dan murah hati.
2. 'Aql, adalah titik perbezaan manusia.
3. Irâdah, adalah pusat keputusan dan yang menjamin kebebasan manusia (dalam mengambil keputusan).
4. Dhamir, yang berfungsi sebagai mahkamah dalam jiwa. la bertugas mengadili, mengecam dan melakukan penekanan terhadap manusia demi menyeimbangkan perilakunya.
5. Qalb, fuad dan shadr, merupakan jendela lain bagi kesedaran dan pengetahuan, sebagaimana kita fahami melalui ayat-ayat Al-Quran, yang dapat menerima atau menampung pencerahan Ilahi.
6. Al-hawa, adalah kumpulan berbagai nafsu dan keinginan dalam jiwa manusia yang menuntut pemenuhan secara intensif. Bila tuntutannya terpenuhi, maka ia akan dapat memberi manusia kenikmatan yang tersendiri.
Inilah keenam sumber penting bagi gerak dan kesadaran jiwa manusia yang telah diberikan oleh Allah.

Daya Gerak dan Desak yang Dahsyat pada Hawa Nafsu
Hawa nafsu adalah faktor terkuat yang menggerakkan manusia. Buktinya adalah sejarah peradaban-peradaban Jahiliah yang telah merangkumi bahagian terbesar sejarah dan geografi bumi.

Dengan ungkapan yang luar biasa indah, Al-Quran bercerita tentang isteri Al-Aziz (raja Mesir) dan menunjukkan betapa kuatnya peranan hawa nafsu dalam kehidupan manusia.
Allah berfirman dalam surah Yusuf, ". . . kerana sesungguhnya hawa nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh TuhanKu". (QS. Yusuf 53.)
Amirul Mukminin Ali as berkata: "Dosa-dosa (syahwat) tak ubahnya kuda liar yang terlepas kendalinya, ia akan dengan kencang melarikan pengendaranya ke neraka. Ketahuilah, sesungguhnya taqwa ialah kendaraan yang patuh. Pengendaranya dengan santai dapat memegang kendali dan ia akan membawanya masuk ke syurga. "
Demikianlah halnya hawa nafsu dan syahwat yang membawa pelakunya sehingga ia tidak dapat menguasainya dan tidak mampu mengarahkannya. Sebaliknya taqwa, ia selalu membantu manusia menguasai hawa nafsu, membimbing dan mengarahkan jiwa menuju syurga.

Tuntutan Hawa Nafsu akan Berlipat ganda jika Dipuaskan
Pelipat-gandaan tuntutan dan desakan hawa nafsu sangat berbeza dengan pemenuhan yang dilakukan manusia. Dalam pada itu, sebagai konsekuensi logiknya, kawalan manusia terhadap hawa nafsu berkurang. Demikian juga sebaliknya, setiap kali manusia mengekang tuntutan hawa nafsunya dengan tali akal, maka tuntutannya semakin berkurang dan kemampuan manusia untuk menguasainya semakin bertambah.
Syahwat bagaikan api. Semakin ditiup, semakin membara dan membahayakan.
Pemenuhan yang terkawal di bawah syariat adalah lebih "memuaskan" nafsu manusia berbanding pemenuhan secara mutlak yang tidak terbatas.
Dalam beberapa nas keislaman telah disebutkan dua bentuk pemenuhan ini:
1. Pemenuhan tuntutan hawa nafsu secara mutlak yang akan menambah ghairah dan paksaan tuntutannya. Sebaliknya, bila pemenuhan tuntutannya dibatasi ketentuan-ketentuan syariat, maka akan cepat merasa puas dan cukup.
Imam Ali as berkata: "Menolak syahwat bererti memuaskannya, sedang memenuhinya akan menguatkannya. ”
Maksud "menolak syahwat" adalah memenuhi tuntutannya dengan cara yang terkendali. Maksud kalimat "memenuhinya" ialah memenuhi tuntutannya dengan tanpa batas.
2. Memenuhi tuntutan (hawa nafsu) secara mutlak menyebabkan kelemahan sistem kawalan manusia terhadap hawa nafsu, sehingga seluruh kehendak dan kemampuannya terbelenggu. Sebaliknya, memenuhi tuntutan hawa nafsu secara terbatas lebih mendorong manusia untuk menguasai dan menundukkan hawa nafsu dan syahwat.
Dan Imam Al-Bâqir as berkata: "Orang yang rakus terhadap dunia bagaikan ulat sutera. Kian bertambah banyak suteranya, kian jauh kemungkinannya untuk bisa keluar dari sarangnya. Sampai akhirnya dia mati (terjerat suteranya sendiri). "

MENGENAL KELAPARAN DAN BAHAYA KEKENYANGAN

Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya:“Perangilah hawa nafsumu dengan lapar dan haus, kerana sesungguhnya pahala dalam hal itu adalah seperti pahala berperang di jalan Allah. Dan sesungguhnya tiada sebuah amalpun yang lebih dicintai Allah daripada lapar dan haus”.

Pada umumnya keadaan nafsu ini adalah rakus, mendambakan kesenangan, lari dan enggan beribadah. Kerana itulah langkah yang tepat baginya adalah lapar, sebab ia akan merasakan kepedihannya dalam banyak hal agar ia menyerah kalah. Kesederhanaan dalam mengambil makanan adalah dituntut dalam islam.

Lapar bermaksud ruang perut yang kosong akibat tidak membenarkan makanan masuk ke dalamnya.

Kenyang pula bermaksud memenuhi segenap ruang perut yang kosong dengan makanan.

Jika seseorang itu kenyang, maka hendaklah dia tidak meneruskan urusan makannya itu kerana sesungguhnya orang yang banyak makan itu lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Dalam sebuah Hadis Mursal disebutkan: “Sesungguhnya makan dalam keadaan kenyang menyebabkan sakit kusta”

Nabi Muhammad S.A.W bersabda: “Orang mukmin makan dalam sebuah perut sedang orang munafik makan dalam tujuh buah perut”.

Apa yang dimaksudkan dengan sabda Rasulullah S.A.W di atas bukanlah seseorang munafik itu mempunyai tujuh buah perut tetapi sebagai kiasan iaitu orang munafik mempunyai keinginan nafsu sebanyak tujuh kali ganda dari keinginan nafsu orang-orang mukmin.

LUQMANUL HAKIM: “Hai anakku, apabila perut ini penuh, tidurlah fikiran, bisulah kebijakan dan malaslah anggota-anggota tubuh ini untuk beribadah”.

Kebaikan Lapar

Sebagai seorang manusia biasa, sudah tentu kita tidak dapat lari dari mengisi perut yang lapar untuk melakukan pekerjaan seharian dengan lancar dan tiada gangguan. Tapi, tahukah kita bahawa bertindak dengan tidak memanjakan perut dengan makanan yang banyak boleh mendatangkan banyak kebaikan daripada keburukan.

Banyak kebaikan yang boleh didapati dari lapar ini. Antaranya ialah lapar boleh membuatkan seseorang itu lebih mengingati Allah dan ringan badan untuk menghadap dan menghambakan diri kepada Allah S.W.T. Lapar menjadikan tubuh kita lebih rajin untuk beribadah kerana badan kita diwaktu ini adalah ringan untuk melakukan sebarang aktiviti, lebih-lebih lagi yang melibatkan ibadah kepada Allah S.W.T.

Selain itu, lapar juga membuatkan seseorang itu sedar betapa sukarnya golongan yang susah mendapatkan makanan iaitu fakir miskin serta membuatkan seseorang itu bersyukur dengan segala apa yang dinikmati selama ini. Ini bermaksud, apabila perut mula berbunyi, itu menandakan bahawa kita disuruh supaya mengisinya dengan makanan. Apa yang akan berlaku jika tiada langsung bekalan makanan di waktu tersebut?

Contohnya ketika bulan Ramadhan. semua umat Islam di dunia ini diwajibkan berpuasa. Tidak kira taraf hidup, pangkat mahupun darjat. Semuanya perlu melalui perkara yang sama. Di saat ini, mereka yang berada akan terasa keperitan yang teramat sangat kerana jarang sekali mereka ini mengosongkan perut. Ketika ini, barulah mereka terfikir betapa beruntungnya mereka selama ini berbanding golongan fakir miskin. Rasa kesyukuran itu akan datang dengan sendirinya.

Lapar dapat mencerdaskan minda seseorang itu dan mendorong manusia berfikir secara rasional dan logik kerana kosongnya perut akan lebih melajukan pergerakan minda agar dapat berfikir secara kritis dan kreatif. Ketika perut kosong, otak lebih cenderung berfikir ke arah positif dan menjadikan kita lebih focus terhadap perkara-perkara yang dilakukan.

Merasa kalah dan hina, serta kehilangan kecongkakan, kegembiraan dan mengkufurkan nikmat. Semua ini menjadi penyebab penyimpangan dan kelalaian dari mengingati Allah S.W.T kerana nafsu tidak pernah merasa kalah dan hina dengan apa pun seperti ketika dia merasa kalah disebabkan lapar. Ini bermaksud apabila seseorang itu lapar, maka dia akan terus berasa lapar dan merendah diri kepada Allah, manakala apabila kita kenyang kita akan berasa lebih bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang diberikan.

Perut dan farji memang merupakan sebuah pintu dari pintu-pintu neraka, dan pangkalnya adalah kenyang. Kehinaan dan kekalahan nafsu adalah lapar. Siapa yang menutup sebuah pintu dari pintu-pintu neraka maka dia benar-benar telah membuka sebuah pintu dari pintu-pintu syurga secara pasti.

Kemudian, jika seseorang itu lapar, maka mereka tidak lupa bala Allah dan azabNya dan tidak lupa pemilik-pemilik bala. Dengan itu, mereka akan lebih mengingati azab akhirat. Kenyang membuat kita lupa pada orang yang lapar dan lapar itu sendiri. Jadi, kita akan termasuk dalam kalangan mereka yang tidak sedar diri dan sombong serta mambangga diri.

Pernah ditanyakan kepada Nabi Yusuf a.s : “Mengapa engkau harus lapar, sedang di tanganmu terdapat simpanan kekayaan bumi?”

Dia menjawab : “Aku khuatir kalau aku kenyang lalu aku lupa terhadap orang yang sedang lapar. Jadi, mengingat orang-orang yang sedang kelaparan dan orang-orang yang punya hajat adalah salah satu manfaat dan faedah lapar. Hal ini mengundang kasih sayang, memberi makan dan belas kasihan terhadap makhluk Allah sedang kenyang berada dalam kelalaian dari kepedihan lapar. ”

Lapar juga dapat mematahkan keinginan nafsu terhadap semua bentuk maksiat serta menguasai nafsu yang sentiasa membawa kita ke jalan kejahatan dan kesesatan. Sumber maksiat adalah kesenangan nafsu dan kekuatan manakala bahan kesenangan serta kekuatan nafsu adalah makanan-makanan. Contohnya, jika kita berpuasa, secara automatiknya kita akan dapat mengawal diri dari melakukan perkara-perkara yang ditegah dan melakukan suruhanNya iaitu amal makruf nahi munkar.

Menghalangi tidur dan melengahkannya jaga juga adalah kebaikan lapar. Ini adalah kerana orang yang banyak makan dan minum akan mendapatkan tidur yang banyak.
“Umur itu merupakan mutiara yang paling indah, tidur adalah sebuah kematian, banyak tidur bererti mengurangkan umur”. Sebagai manusia biasa, kita tidak akan boleh tidur dalam keadaan lapar. Ini adalah kerana jika kita cuba tidur di waktu perut kosong, maka otak kita akan cepat bertindak mengarahkan kita untuk mendapatkan apa yang kita mahu untuk mengenyangkan perut. Jadi, kita tidak akan tidur lena. Janganlah kita mengikutkan sangat nafsu tersebut sebaliknya kita akan berjaga untuk melakukan suruhanNya.

Selain itu, lapar dapat memanjangkan masa kita bersama Allah. Jadi, ia memudahkan kita untuk tekun dan memberikan sepenuh komitmen dalam ibadah seharian. Contohnya, seorang suri rumah sering menyediakan juadah harian. Mereka banyak menghabiskan masa untuk membasuh makanan-makanan mentah dan memasaknya walhal di waktu begitu, kita dituntut supaya kita berzikir dan beribadah kepada Allah.
Adalah lebih untung jika seseorang itu berpuasa kerana di samping mendapat pahala yang dijanjikan, puasa membolehkan kita memperbanyakkan ibadah kepada Allah. Ini adalah kerana jika kita berpuasa, kita tidak perlu melakukan tugas-tugas rutin seperti memasak dan mengambil masa untuk makan.

Mengambil makanan dalam kuantiti yang sedikit akan menjadikan tubuh kita lebih sihat dan selamat dari ancaman penyakit. Penyakit yang datang selalunya berpunca dari makanan yang banyak dan bercampur aduk dalam perut dan urat-urat. Kemudian, sakit itu akan menghalangi ibadah, hati akan menjadi risau, menghalang dari berzikir dan berfikir dan memerlukan doktor dan bantuan perubatan. ini akan membebankan kerana semuanya memerlukan perbelanjaan dan wang. Semua ini boleh dielakkan jika manusia tidak mengambil makanan secara berlebihan.

Pernah disebutkan di hadapan sementara ahli filsafat dari tabib-tabib ahli Kitab mengenai sabda Nabi Muhammad SAW:
“Sepertiga untuk makanan, Sepertiga untuk minuman, sepertiga lagi untuk nafas”.

Nabi Muhammad SAW bersabda lagi:
“Perut penuh adalah pangkal penyakit dan memelihara diri adalah pangkal ubat. Biasakanlah setiap tubuh ini dengan apa yang menjadi kebiasaannya”.

Dalam hadis juga ada disebutkan: “Berpuasalah tentu akan sihatlah kamu”.

Selain itu, keringanan pembiayaan kos hidup kerana orang yang membiasakan makan sedikit cukuplah baginya sedikit harta. “Sebab-sebab kebinasaan manusia adalah rakusnya terhadap duniawi dan sebab-sebab kerakusan terhadap duniawi adalah kerana perut dan farji serta sebab keinginan nafsu farji adalah kerana keinginan nafsu perut. ”

Sabda Nabi Muhammad SAW:
“Biasakanlah mengetuk pintu syurga dengan lapar”

Lapar mengingatkan kita untuk bersedekah kepada fakir miskin yang tidak mempunyai bekalan makanan yang mencukupi. Orang fakir tidak mempunyai makanan yang mencukupi dan mereka sentiasa berada dalam keadaan lapar. Jadi, jika perut kita yang lapar, ia akan lebih membantu kita untuk mengingati orang yang sedang dalam kelaparan dan menggalakkan kita untuk bersedekah. Bersedekah dengan lebihan makanan yang ada adalah lebih utama daripada gemuk dan kenyang. Di samping mendapat pahala lapar, kita juga telah melakukan amal jariah iaitu bersedekah. Kedua-duanya juga merupakan ibadah.

MENYIAPKAN DIRI MENGHADAPI NAFSU PERUT

Antara tugas Pencari Akhirat:

1.Mengurangi makanan dan cara melatih diri di dalamnya adalah dengan cara sedikit demi sedikit.
Ini bermaksud jangan berubah secara drastik kerana jika kita telah biasa mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak dan tiba-tiba ingin menghadkan makanan iaitu dengan mengambilnya dalam kuantiti yang sedikit, maka daya ketahanan tubuh kita akan jatuh dan kita mulai lemah. Contohnya, jika selama ini kita makan dalam jumlah kekerapan sebanyak 5 kali sehari, maka seharusnya kita mengurangi kuantiti tersebut dengan mengambil makanan sebanyak 3 kali sehari dalam masa sebulan dan 2 kali sehari dalam tempoh masa setahun.

Hadis ada menyebut: “Sepertiga lagi untuk zikir” sebagai ganti kepada kata “sepertiga lagi adalah untuk nafas”.
Firman Allah S.W.T:“Dan janganlah kamu berlebih-lebihan”

2.Masa makan dan batas mengakhirkannya.
Maksudnya adalah menghadkan masa makan dan kuantiti makanan yang diambil. Waktu makan tidak seharusnya kerap. Ambillah makanan mengikut selang masa yang tertentu. Lebih baik dan jika mampu, selanglah waktu makan dalam seberapa panjang masa yang mungkin. Para ulama’ berpendapat: “Barangsiapa yang lapar kerana Allah selam 40 hari, maka akan lihatlah olehnya keluasan dari alam langit. Ertinya akan diperlihatkan kepadanya sebahagian rahsia-rahsia Ilahiah”.

3.Mengenai jenis makanan dan meninggalkan lauk.
Kebiasaan yang berlaku bagi orang-orang yang menempuh jalan menuju akhirat adalah menghindari lauk untuk selamanya (meninggalkan kenikmatan makanan yang lazat), bahkan menghindari yang menyenangkan nafsu. Kerana setiap yang nikmat dan diinginkan manusia, lalu dimakannya maka hal itu menyebabkan rasa sombong dalam nafsunya dan kekerasan dalam hatinya. Nabi Muhammad S.A.W bersabda: “Sejahat-jahat umatku adalah orang-orang yang makan dengan nikmat dan tumbuhlah tubuh mereka atas itu”.

Nabi S.A.W bersabda lagi: “Apabila engkau menutup kepedihan lapar dengan sepotong roti dan segelas air putih maka binasalah dunia beserta pengabdinya”.

Diisyaratkan bahawa yang dimaksudkan adalah menolak kepedihan lapar dan haus dan menghilangkan bahaya keduanya bukan bertujuan bersenang-senang denagn kelazatan dunia. Ini bermaksud, jika perut terasa lapar yang teramat sangat, cukuplah dengan sekali makan untuk mengelakkan pedih perut (gastrik) dan janganlah mengambil makanan yang berat-berat lagi selepas itu. Jika lapar yang teramat sangat, makanlah jika itu adalah nikmat dari Allah atas berkat kesabaran kiat mentaati Allah.

MAKANAN DAN IBADAH

Makanan adalah sumber tenaga bagi setiap makhluk ciptaan Allah. Manusia memerlukan makanan untuk mendapatkan tenaga untuk meneruskan hidup seharian dan juga untuk beribadat kepada Allah S.W.T. Tetapi haruslah beringat bahawa makanan yang diambil tidaklah terlalu banyak sehingga memenuhi keseluruhan perut dan menyebabkan kekenyangan yang teramat sangat.
Firman Allah S.W.T, maksudnya:“Makan dan minumlah, janganlah kamu berlebih-lebihan”(Al-A’raf : 31)

Hukum sembunyikan keinginan makanan di hadapan orang.

Terdapat dua bahagian yang lebih dahsyat dari bahaya makan itu sendiri.

Bahaya pertama: Nafsu tidak mampu untuk meninggalkan makanan yang menyenangkan, lalu ia menginginkannya. Tetapi ia tidak ingin diketahui bahawa ia menginginkannya, maka disembunyikan keinginan itu dan makan sendiri makanan itu tanpa orang lain bersamanya. Ini merupakan syirik samar. Kerana ini dalah menunjukkan kejujuran sikap dan sekaligus menutup ketinggian mujahadah dengan amalan-amalan. Menyembunyikan kekurangan dan memperlihatkan kesempurnaan yang merupakan lawannya adalah dua kekurangan yang berganda. Bohong yang disertai dengan menyembunyikan adalah dua jenis kebohongan yang mendapat kutukan.

Orang kafir membuat kekafiran dengan memperlihatkannya sedangkan orang munafik membuat kekafiran dalam bentuk lain kerana dia telah mengabaikan penglihatan Allah terhadapnya. Contohnya seorang Islam itu berlagak alim dan tetapi tidak mengerjakan solat lima waktu sehari semalam. Dia langsung tidak takutkan Allah dan beranggapan Allah tidak dapat melihat apa yang dilakukannya. Kadangkala orang begini adalah seorang yang pandai dalam soal jawab agama islam tetapi tidak mengamalkannya dan hanya bertopengkan islam sebagai agamanya.


Allah SWT berfirman, maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang paling bawah di neraka” (An-Nisa: 145)

Bahaya Kedua: Seseorang itu meninggalkan kesenangan nafsu untuk merasa gembira. Jika dia merasa begitu maka termasyhurlah dia sebagai orang yang memelihara diri dari kesenangan nafsu. Ini bererti dia telah meninggalkan kesenangan nafsu iaitu kesenangan makan tetapi telah mematuhi keinginan nafsu kedudukan, maka hendaklah dia makan dan itu lebih tepat baginya. Maksudnya disini ialah dia tidak mengikut nafsu makan dan melupakan begitu sahaja. Tetapi dalam masa yang sama dia sedang tamakkan kedudukan dan pangkat yang membuatkan dirinya tidak dianggap mulia disisi Allah. Memang mulia dari segi nafsu makannya tetapi dari segi lainnya, dia tamakkan kedudukan di dunia. Jadi, tidak perlulah dia menahan lapar. Teruskanlah dengan nikmat kenyang yang diperoleh kerana kedua-dua nafsu ini adalah sama sahaja.

Dapat disimpulkan bahawa orang yang meninggalkan kesenangan nafsu dalam makan, tetapi terjun dalam kesenangan nafsu riya’ adalah seperti orang yang lari dari kala jengking atau ketakutan menuju kepada seekor ular. Kerana kesenangan nafsu terhadap riya’ adalah lebih banyak bahayanya daripada kesenangan nafsu terhadap makanan.

KEINGINAN NAFSU FARJI

Selain nafsu makan yang disebutkan tadi, terdapat juga keinginan lain iaitu nafsu farji. Keinginan nafsu terhadap persetubuhan menguasai manusia kerana dua manfaat dan faedah.

Manfaat pertama: Manusia akan bertemu dengan nikmat persetubuhan dan akan mengkiyaskan nikmat tersebut. Seandainya nikmat bersetubuh ini dapat diabdikan maka ia merupakan tingkat tertinggi bagi tubuh-tubuh manusia, sebagaimana api dan kepedihannya adalah kepedihan terbesar bagi tubuh.

Manfaat Kedua: Kelangsungan keturunan dan keabdian wujud ummat. Semua itu adalah manfaat persetubuhan tetapi di dalamnya terdapat bermacam-macam bahaya yang dapat mengancam keselamatan agama dan dunia jika tidak dibatasi.

Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda dalam doanya yang bermaksud:
“ Aku berlindung kepadaMu dari kejahatan pendengaranku, penglihatanku, hatiku, laat kelaminku dan air maniku”.

Selain itu, baginda juga bersabda maksudnya:
“Perempuan-perempuan itu adalah merupakan perangkap-perangkap syaitan. Seandainya tiada syahwat tentu tidak ada kekuasaan bagi perempuan-perempuan atas kaum lelaki”.

Dan dikatakan juga: “Apabila zakar seorang laki-laki itu berdiri tegang maka hilanglah seperti akalnya”. Ini bermaksud apabila seorang lelaki itu mula bernafsu terhadap perempuan, maka nafsu tersebut akan menguasai akalnya iaitu menguasai keseluruhan pemikiran logiknya. Selain itu juga, lelaki tersebut akan berada di luar kawalan yang membolehkannya melakukan perkara-perkara yang membatasi batas keimanannya.

Jelaslah disini bahawa perempuan adalah nafsu utama bagi kaum lelaki. Ini memang telah terbukti dan termaktub adalam Al-Quran. Ulama’ juga turut berkata bahawa sesungguhnya syaitan berkata kepada perempuan: “Engkau adalah setengah dari perajuritku, engkau adalah anak panahku yang akan aku lepaskan dan tidak pernah meleset, engkau adalah tempat rahsiaku dan engkau adalah utusanku untuk memenuhi keperluanku”.

Antara perajurit-perajurit syaitan adalah kesenangan nafsu dan setengah yang lain adalah kemarahan dan kesenangan nafsu terbesar adalah keinginan terhadap perempuan.
Yang paling berat ialah yang menguasai akal sehingga mengarahkan lelaki untuk bersenang-senang dengan perempuan atau gundik dan menghalangi mereka ke jalan menempuh akhirat. Juga menguasai agama untuk ke jalan yang keji dan hina.

Keinginan nafsu yang berlebihan ini akan membawa manusia kepada dua perkara yang sangat tercela, iaitu:

1. Mereka akan makan apa sahaja yang mampu menguatkan syahwat agar mampu melakukan persetubuhan dengan lebih kerap. Ini membuatkan mereka akan mengambil makanan dengan kuantiti yang banyak kerana beranggapan bahawa makan banyak akan memberi mereka lebih bertenaga untuk bersama pasangan masing-masing. Selain itu, mereka turut mengambil ubat-ubatan yang berkaitan untuk menguatkan lagi tubuh fizikal.

2. Keinginan nafsu terhadap perempuan ini membawa seseorang itu kepada kerinduan (keasyikan), dan ini merupakan puncak kebodohan manusia dimana harus diletakkan persetubuhan tersebut. Orang sebegini tidak boleh putus dari melakukan persetubuhan dan kadangkala mereka sanggup tidak berpuasa demi memuaskan nafsu. Mereka ini berfikiran sempit kerana hanya menyalurkan nafsu ke arah persetubuhan sahaja. Tidak mengapa jika pasangan itu suami isteri, seorang suami memang wajib untuk memenuhi kehendak batin isteri. Tapi, bagi yang belum berkahwin dan tidak dapat mengawal nafsu mereka akan sanggup melakukan perkara ini dengan sesiapa pun yang sanggup. Lebih kejam lagi apabila mereka melempiaskan nafsu tersebut secara paksa. Akibatnya, terjadilah kes rogol dan sebagainya. Ini akan merosakkan institusi kekeluargaan yang terdapat di dunia ini.


Manusia sebegini telah tunduk dan mengabdikan diri kepada nafsu lebih dari pengabdian diri kepada Allah. Perkara-perkara begini perlulah dihindarkan dan dibendung sejak dari awal-awal lagi. Jika tidak, ia akan menjadi tabiat yang tidak dapat ditinggalkan lagi. Hari ini, ibu bapa sibuk bekerja sehari-harian sehingga tiada masa untuk mengambil berat akan kebajikan anak-anak mereka. Jadi, anak-anak akan lebih mudah terdedah dengan gejala-gejala yang tidak sihat seperti berzina. Bermula dengan berdua-duaan dengan pasangan sehingga terjadinya zina. Mungkin mereka tidak sedar, apabila berduaan lelaki dan perempuan yang bukan muhrim, maka orang ketiga antara mereka adalah syaitan laknatullah.

Oleh itu, janganlah memberi ruang kepada nafsu untuk menguasai akal kerana jika berlebihan maka akal akan rosak dan tidak berguna lagi malah lebih teruk lagi akan memesongkan aqidah umat islam.

AHLI THARIQAT DAN PERKAHWINAN

Perkahwinan ialah ikatan yang dimetrai dengan lafaz akad. Setiap lelaki dan perempuan yang bersekedudukan perlulah mempunyai ikatan yang sah iaitu melalui akad nikah perkahwinan.

Seseorang itu tidak digalakkan untuk berkahwin kerana apabila berkahwin akan mendorong mereka selalu tenteram dengan isteri mahupun suami. Ini akan menjadikan hati mereka tenteram dan akan sibuk meninggalkan Allah. Abu Sulaiman Ad-Darani berkata: “Barang siapa yang menikah maka benar-benar dia telah condong kepada dunia”. Dan dia juga berkata bahawa tidak pernah melihat seorang murid yang menikah dapat menagguhkan malam pertamanya. Dan katanya, setiap hal yang
menyibukkan diri dari Allah SWT, baik isteri, harta mahupun anak, maka semua itu adalah kecelakaan bagi mereka itu.

Mata adalah antara elemen maksiat yang mendahului anggota fizikal yang lain. Bak kata pepatah melayu, “dari mata turun ke hati”. Secara fitrahnya, lelaki mempunyai 99 akal dan satu nafsu. Nafsu yang satu itu tidak lain dan tidak bukan ialah perempuan. Oleh itu, seseorang itu haruslah memelihara mata dan pandangan serta pemikiran daripada terjatuh ke lembah maksiat dan bencana yang tidak dapat dielakkan. Permulaan zina itu ialah pandangan mata dan lamunan.

Zina mata adalah termasuk dalam dosa kecil yang terbesar yang akan membawa kepada zina farji. Jadi, sesiapa yang tidak mampu memelihara mata maka dia tidak akan mampu untuk memelihara farjinya.

Nabi Isa a.s: “Berhati-hatilah terhadap pemandangan mata kerana sesungguhnya akan menanam keinginan nafsu dalam hati. Dan itu sudah cukup sebagai fitnah”.

Nabi Daud a.s pernah berkata kepada anaknya Nabi Sulaiman as: “Hai anakku, berjalanlah di belakang singa atau bahkan beberapa ekor singa, tetapi janganlah engkau berjalan di belakang perempuan”.

Maksud Nabi Daud as dalam kata-katanya ialah perempuan adalah lebih bahaya dari singa kerana pandangan mata dan aura perempuan mampu menggugat emosi dan nafsu seorang lelaki dan lebih bahaya lagi nafsu tersebut akan berlanjutan sehingga menyebabkan mereka akan terhumban ke arah kemaksiatan.

Firman Allah SWT: “Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya”(An-Nur:30)

Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya:“Takutlah kamu terhadap fitnah dunia dan fitnah perempuan, kerana sesungguhnya pertama-tama fitnah dalam Bani Israil adalah kerana perempuan”

Orang perempuan dibolehkan berbicara dengan para lelaki dan memandang mereka hanyalah untuk memenuhi hajat yang umum. Contohnya jika seorang perempuan itu bekerja untuk menambah pendapatan keluarga, dibolehkan mereka menggauli lelaki atas dasar pekerjaan itu sendiri.

Memandang ke wajah remaja dengan keinginan nafsu adalah haram. Oleh itu, perempuan digalakkan memakai hijab iaitu menutup aurat. Dengan ini, akan berkuranglah kemaksiatan kerana nafsu lelaki terhadap perempuan akan berkurangan disebabkan tidak nampak susuk tubuh badan dan kulit perempuan tersebut.

Kemudian, dugaan nafsu perempuan yang paling dahsyat ialah kepada seorang pelajar. Seseorang yang keluar menuntut ilmu dinamakan sebagai pelajar. Pelajar juga makhluk Allah yang biasa seperti manusia lain yang mempunyai nafsu terhadap perempuan. Jadi, syarat seorang pelajar ialah dia haruslah membujang pada permulaannya sehinggalah kuat ma’rifatnya. Ini adalah kerana diwaktu mereka bergelar sebagai pelajar, mereka sepatutnya lebih kerap mengabdikan diri kepada Allah SWT. Akal dan fikiran lebih banyak digunakan dan lebih tertumpu kepada ilmu dan ibadah.

Hati orang yang menuntut ilmu ini perlulah bersih dan suci agar senang menerima segala ilmu yang disampaikan. Mereka tidak digalakkan berkahwin ketika belajar kerana apabila berkahwin, isteri akan menjadi komitmen pertama yang akan diberikan perhatian. Ini akan menjadikan mereka lebih jauh dari Allah dalam meakukan ibadah kerana sibuk meluangkan masa bersama isteri dan hal-hal lain yang berkaitan rumahtangga.

Bagi mereka yang tidak dapat menahan nafsu terhadap perempuan, maka hendaklah mereka berpuasa. Jika dengan lapar pun tidak dapat dihilangkan nafsu tersebut, langkah terakhir yang perlu diambil ialah dengan cara berkahwin. Kalau itu dapat mengelakkan mereka dari melakukan perkara-perkara yang membawa kepada dosa-dosa besar. Jika hati sudah terpaut, maka hendaklah halalnya diambil dengan cara menikahinya. Ini bermaksud berkahwinlah untuk mengelakkan bencana dan dosa.

Sungguhpun begitu, lelaki yang ingin mengahwini seorang perempuan haruslah memandang kepada empat aspek yang perlu dititikberatkan iaitu agama, keturunan, harta dan juga kecantikannya. Ini amat penting bagi melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang dan akan mengukuhkan lagi institusi kekeluargaan. Perkara sebengini penting untuk mengelakkan segala kemaslahatan yang akan timbul di kemudian hari.

Terdapat satu kisah yang menceritakan seorang lelaki yang mengahwini seorang perempuan yang amat cantik. Ketika malam persandingan dan pernikahan mereka, tiba-tiba pengantin perempuan tersebut dijangkiti kudis yang amat teruk. Pihak pengantin perempuan amat sedih kerana takut pengantin lelaki ini akan jijik dengan kudis tersebut dan terus membatalkan perkahwinan tersebut. Dalam diam, pengantin lelaki tersebut telah mengetahui hal ini. Maka, dia terus memperlihatkan kepada keluarga pihak pengantin perempuan yang dia diserang penyakit mata yang menghilangkan peglihatannya. Pihak pengantin perempuan lega kerana lelaki tersebut tidak akan dapat melihat kudis itu dan akhirnya mereka disandingkan.


Mereka hidup bersama berpuluh tahun lamanya. Perempuan itu akhirnya meninggal dunia. Selepas itu, barulah lelaki atau si suami tersebut membuka matanya dan berkata, “Aku memang sengaja berbuat demikian demi keluarganya untuk mengelakkan mereka dari terus bersedih”. Maka dikatakan kepdanya, “Engkau benar-benar telah dapat mendahului kawan-kawanmu sebab budi pekerti seperti ini”. Amat mulia hati lelaki ini kerana telah menjaga hati dan menutup aib keluarga pengantin perempuan itu.

MENGAWAL NAFSU SYAHWAT DAN MATA

Keinginan nafsu syahwat adalah merupakan keinginan nafsu yang lebih umum kepada manusia, lebih menentang lagi ialah apabila nafsu ini bergejolak. Orang yang meninggalkan nafsu ini berada di tingkat orang-orang shiddiqin.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barangsiapa yang merindukan (cinta), lalu dia menahan nafsunya, menyembunyikan dan meninggalkan dia, maka dia adalah syahid. ”

Nabi SAW bersabda lagi: “Tujuh orang yang akan mendapat naungan Allah dalam naunganNya, pada harinya tidak terdapat naungan kecuali hanya naunganNya: Pemimpin yang dulu, pemuda yang hidup dalam beribadah kepada Tuhannya, laki-laki yang hatinya selalu tertambat pada masjid-masjid, dua orang laki-laki yang saling mengasihi dalam urusan Allah, mereka berkumpul kerana Allah dan berpisah kerana Allah juga, laki-laki ynag dirayu seorang perempuan yang memiliki kedudukan dan kecantikan tetapi dia lalu berkata: “Sesungguhnya aku takut kepada Allah Tuhan sekalian alam. ” Laki-laki yang bersedekah dengan tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang telah diinfakkan oleh tangan kanannya, dan seorang laki-laki yang berzikir kepada Allah Azza wa Jalla dan bercucuranlah kedua matanya. ”

Hendaklah seseorang itu memelihara pandangan matanya kerana pandangan mata adalah zina kecil. Pandangan mata kali pertama kali jika tidak disengajakan tidaklah dituntut, tetapi mengulanginya lagi adalah dituntut. Jika pandangan mata tidak dapat dikawal, maka dia akan melihat kecantikan dan keanggunan wajah perempuan yang disukainya. Ini dapat menghalangnya dari melakukan ibadah kepada Allah. Contohnya, setelah lelaki itu telah bernafsu memandang perempuan cantik, sudah tentu dia tidak akan dapat melupakan dan selalu terbayangkan wajah perempuan tersebut di fikirannya. Seterusnya, apabila dia ingin mengadap Allah, iaitu mengerjakan solat, sudah pasti sedikit sebanyak gambaran wajah perempuan tadi akan menjelma di ingatannya. Akibatnya, hilanglah kekhusyukan solat dan kemanisan dalam beribadah.


KESIMPULAN

Nafsu terbahagi kepada pelbagai kategori dan jenis. Nafsu adalah pemandu manusia ke arah kemaksiatan dan dosa semata jika tidak dibendung. Daripada apa yang diperjelaskan sebelum ini, dapat disimpulkan bahawa nafsu adalah keinginan dan kesenangan semata-mata dan bersifat duniawi. Nafsu syahwat adalah nafsu yang terbesar yang perlu dielakkan selain nafsu makan kerana nafsu ini boleh membawa kepada dosa besar jika tidak dibendung. Untuk mencari bekalan menuju akhirat, kita seharusnya meninggalkan dan melawan nafsu tersebut dengan mendekatkan diri dengan Maha Pencipta, Allah SWT dengan cara melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan laranganNya.

Banyakkanlah berpuasa kerana sesungguhnya puasa akan membataskan nafsu seseorang itu. Segala perbuatan jahat yang ingin dilakukan akan terbatas dan terbantut kerana otak telah memberi arahan bahawa tiada perkara-perkara yang tidak baik akan dilakukan ketika kita sedang berpuasa. Selain dari puasa, berkahwin dengan cara yang halal juga adalah penyelesaian kepada keinginan nafsu syahwat yang tidak dapat dibendung. Beribadahlah kepada Allah nescaya Allah akan memelihara kita dari terjebak ke lembah maksiat dan terjunam ke dalam neraka.

Tuntutlah ilmu kerana tiada yang lebih baik daripada ilmu dan ibadah. Jangan kita mepergunakan otak kita melainkan untuk ilmu dan ibadah. Pusatkan fikiran kita kepada ilmu dan ibadah. Bila sudah fokus, maka kita akan jadi kuat, bila sudah kuat maka semua yang dikerjakan akan berhasil. Janganlah banyak berfikir. Berfikirlah hanya untuk ilmu dan ibadah sahaja. Selain ilmu dan ibadah adalah batil dan sesat dan selain dari ilmu dan ibadah juga akan menghancurkan dunia.

Oleh itu, setiap manusia haruslah beringat yang kita kini berada di hujung alam iaitu di ambang kiamat. Kini, semua makhluk Allah di bumi ini haruslah mengucapkan kesyukuran diatas segala rahmat yang diberikan selama ini. Alhamdulillah kerana kita masih bernafas hingga ke saat ini.

Semuanya telah diperjelaskan. Terpulang kepada individu itu sendiri untuk mengubah diri dari perlakuan yang buruk kepada yang lebih baik. Bertaubatlah segera selagi pintu syurga masih belum tertutup untukmu. Sekian sahaja “Rahsia Mengenal Nafsu dan Cara Mengawalnya”


------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com