Tajuk: Sifat-Sifat Syurga

PENDAHULUAN

Segala puji adalah khas bagi Allah S.W.T yang telah mengurniakan kemuliaan kepada kami di akhirat dengan diberi-Nya tempat tinggal di dalam syurga, yang menganugerahkan nikmat kepada kami memasuki syurga makwa’ dan telah menjanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa di kalangan mereka masuk syurga Darussalam.

Selawat dan salam atas Nabi Muhammad yang mempunyai hak syafaat pada hari Kiamat dan mempunyai kelebihan dan tempat yang terpuji. Dan juga ke atas ahli keluarganya yang suci dan dikurniakan nikmat kepada mereka di tempat-tempat yang mulia di syurga dan juga ke atas sahabat-sahabat dan pengikutnya yang ditempatkan di syurga al-Naim dan juga kepada sesiapa yang mengikuti jejak mereka dengan kebaikan sehingga hari melintas di atas siratul mustaqim.

NAMA-NAMA SYURGA

Allah telah menjanjikan syurga untuk umatNya yang telah beriman kepadaNya semasa kehidupan di dunia. Syurga mempunyai sebelas nama dan mempunyai keistimewaan yang tidak terfikir oleh akal manusia.

Nama syurga yang pertama ialah Al-Jannatu iaitu meliputi dan merangkumi kediaman syurga serta mempunyai berbagai-bagai jenis nikmat dan kelazatan, keseronokan, kegembiraan dan bidadari. Syurga yang diberi nama Al-Jannatu ini telah disebut di dalam Al-Qu’ran sebanyak 143 kali.

Darussalam ialah nama syurga yang kedua. Syurga ini dinamakan Darussalam kerana tempat tinggal yang selamat daripada segala ujian dan keburukan kepada ahlinya. Al-Salam juga adalah di antara nama-nama Allah S.W.T. yang memberikan keselamatan dan keamanan kepada ahli syurga dan Allah juga mengucapkan salam kepada mereka. Ini tekandung dalam hadith daripada Jabir, ertinya:Daripada Jabir dia berkata : Rasulullah s.a.w bersabda, semasa ahli syurga menikmati segala nikmat- nikmat yang ada pada mereka di syurga dengan demikian akan memancar sinaran cahaya, maka mereka akan pandang ke arah sinaran cahaya itu. Dengan tiba-tiba Allah S.W.T. berada melihat ahli syurga daripada atas dan mengucapkan salam kepada ahli syurga.

Darul-Khuldi bermaksud kediaman kekal iaitu ahli syurga tidak akan keluar berpindah daripadanya. Dan firman Allah S.W.T. , ertinya:Adakah itu yang baik atau syurga yang kekal yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa.

Nama syurga yang keempat ialah Darul-Maqam yang menceritakan tentang keadaan ahli syurga. Kediaman yang kekal dan kurniannya tidak merasa lelah dan tidak pula merasa letih lesu. Dan firman Allah S.W.T. , ertinya:Dan mereka berkata:segala pujian adalah bagi Allah yang telah menghilangkan kesedihan daripada kami, sesungguhnya Tuhan kami adalah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri yang menempatkan kami dalam syurga dan kurnian-Nya dan di dalamnya kami tidak merasa lelah dan tidak pula di dalamnya merasa letih lesu. (Surah Fatir:34-35)

Jannatul Makwa adalah nama syurga yang kelima. Maksudnya ialah tempat tinggl orang yang bertakwa. Dan firman Allah S.W.T. , ertinya:Berhampiran dengannya (di sisinya) ada Syurga Makwa (tempat tinggal orang yang bertaqwa). (Surah al-Nazi’at:40-41)

Nama syurga yang ke-enam ialah Jannatu ‘Adnin. Penghuni syurga akan diberi keistimewaan iaitu diberi perhiasan dengan gelang-gelang daripadea emas, mutiara dan pakaian berasaskan sutera.

Darul Hayawan bermaksud syurga. Tempat tinggal yang kekal selama-lamanya dan tidak ada kematian di dalamnya. Dan firman Allah S.W.T. , ertinya:Dan sesungguhnya syurga itu ialah yang sebenar-benarnya, kalaulah mereka mengetahuinya. (Surah al-‘Ankabut:64)

Syurga Al-Firdaus adalah untuk orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Sesiapa yang beriman akan mewarisi syurga ini untuk selama-lamanya. Berdoalah supaya dimasukkan ke dalam syurga Al-Firdaus kerana syurga ini adalah syurga yang paling tinggi dan pertengahan dan daripadanya memancar semua sungai-sungai di syurga.

Syurga yang ke-sembilan ialah Jannatul Naim iaitu syurga yang penuh dengan kenikmatan. Kelebihannya ialah terdiri daripada semua jenis kenikmatan iaitu nikmat zahir dan batin.

Al-Maqamul-Amin bermaksud tempat yang selamat. Al-Maqam bermaksud tempat tinggal dan Al-Amin pula bermaksud tempat keselamatan dan aman daripada segala keburukan, bencana alam dan kejahatan.

Nama syurga yang terakhir pula ialah Maq’adu Sidqi yang bermaksud kesenangan dan kecantikan yang akan diperolehi di dalam syurga. Dan firman Allah S.W.T. , ertinya:Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ditempatkan di dalam syurga –syurga yang berhampiran sungai-sungai, di tempat yang benar di sisi Tuhan yang Maha Kuasa. (Surah al-Qamar:54-55)

SIFAT AHLI SYURGA DI DUNIA

Sifat ahli syurga ialah merasa takut dan bersifat sedih dan menangis dan meneruskan silaturahim di dunia manakala sifat ahli neraka dengan mereka berseronok di dunia dan ketawa dan bergurau. Dan firman Allah S.W.T. , ertinya:Mereka berkata sesungguhnya kami dahulu sewaktu berada di tengah-tengah keluarga kami, merasa takut akan diazab. (Surah al-Thur:26)

SIFAT SYURGA DAN NIKMATNYA YANG DISEDIAKAN ALLAH KEPADA AHLINYA

Allah menyediakan nikmat kepada hamba – hamba yang soleh. Ada nikmat yang masih dirahsiakan iaitu apa yang mata tidak melihat, telinga tidak mendengar dan tidak terlintas di hati manusia. Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan dari keseronokan. Gambaran syurga ialah Rabbul-ka’bah iaitu cahaya yang berkilat, wangian yang bergerak, istana yang dihias, sungai yang mengalir bersambung terus menerus, buah-buahan yang sudah masak, isteri menawan dan cantik, barang-barang yang banyak di tempat abadi dan kekal dalam keadaan baru dan bersinar-sinar, di kediaman tinggi selama dan bercahaya. Bentuk binaan syurga ialah batu-batanya daripada misk yang sangat harum dan di anak batu (di tanah dan pasirnya) daripada bauan zafran. Sesiapa yang masuk ke dalam syurga dia akan tinggal kekal tidak akn mengalami malang, dan tidak akan berubah keadaan rupa mudanya.

SUNGAI-SUNGAI DAN BUKIT-BUKIT DI SYURGA

Sungai – sungai daripada air yang tidak berubah rasa dan baunya, dan sungai – sungai daripada arak yang lazat rasanya bagi peminum dan sungai – sungai daripada madu yang bersih dan jernih. Sungai – sungai yang ada di syurga keluar daripada timbunan tanah atau bukit – bukit adalah seperti misk. Di syurga ada sebuah lautan daripada air, lautan daripada susu, lautan madu dan lautan daripada arak, kemudian ia bercabang kepada sungai – sungai. Dan firman Allah S.W.T. , ertinya:Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa ialah ada di dalamnya sungai-sungai daripada air yang tidak akan berubah rasa dan baunya, dan sungai-sungai daripada susu yang tidak akan berubah rasanya dan sungai-sungai daripada arak yang lazat rasanya bagi peminumnya, dan sungai-sungai daripada madu yang bersih dan jernih. (Surah Muhammad:15)

DARI MANA KELUAR SUNGAI-SUNGAI SYURGA

Syurga Firdaus adalah syurga pertengahan dan syurga yang paling tinggi dan di atasnya terletak arshur-rahman iaitu sungai yang mengalir daripadanya. Maksud syurga di pertengahan ialah dari segi ketinggiannya. Sesiapa yang beriman kepada Allah, Rasul, menunaikan sembahyang dan berpuasa dalam bulan Ramadan, dia akan dimasukkan ke dalam syurga oleh Allah.

MINUMAN DAN PAKAIAN AHLI SYURGA

Minuman dan pakaian ahli syurga ialah arak, sutera, bekas emas dan perak. Sabda Rasulullah “Barangsiapa yang menggunakan pakaian sutera di dunia, dia tidak akan dapat memakainya di akhirat, barangsiapa meminum arak di dunia maka dia tidak dapat meminumnya di akhirat. Barangsiapa meminum dalam bekas emas atau perak, dia tidak akan dapat meminum dengannya di akhirat. ”Kemudian Rasulullah barsabda:”itu adalah pakaian ahli syurga dan bekas-bekas kegunaan ahli syurga. ”

POKOK-POKOK DAN BUAH-BUAHAN DI SYURGA

Di dalam syurga ada sepohon bidara yang tidak berduri malah tempat – tempat duri itu dijadikan buah. Buah – buahan yang keluar daripadanya adalah tujuh puluh dua warna dengan rasa yang berlainan. Tidak ada suatu warnanya yang menyerupai yang lain. Ertinya:Abu Hurairah berkata “Aku telah menyediakan kepada hamba-hamba-Ku yang beramal soleh, apa yang mata tak pernah melihat, telinga tak pernah mendengar dan tidak terlintas di hati manusia”, dan bacalah sekiranya kamu mahu. [Yakni seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan bagi mereka daripada keseronokan dan macam-macam nikmat. ]

PAKAIAN DI SYURGA DAN PAKAIAN AHLINYA

Pakaian di syurga berwarna hijau daripada sutera halus dan sutera tebal. Sapu tangan di syurga juga ialah dari kain sutera.

SYURGA DAN POKOKNYA PENUH DARIPADA PAKAIAN DI SYUGA

Syurga penuh dengan pakaian dan semua pokok yang mempunyai batang berwarna emas. Ertinya:Abu Hurairah berkata:Rasulullah s.a.w. bersabda “Tidak ada di syurga sebatang pokok melainkan batangnya daripada emas”.

POKOK TAMAR DI SYURGA DAN BUAH-BUAHANNYA

Dahan – dahan pokok tamar di syurga daripada batu permata zamrud hijau dan dahannya daripada emas merah. Buah tamarnya terang, lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu dan lebih lembut daripada majerin dan tidak mempunyai biji.

PINTU SYURGA DAN NAMANYA
Babur – rahmat ialah pintu syurga yang sentiasa terbuka sehingga terbitnya matahari sebelah barat maka tertutup sehingga hari kiamat. Pintu – pintu yang lain terbahagi kepada kebaikan amal ibadat maka ada pintu untuk sembahyang, pintu untuk puasa, pintu untuk zakat, sedekah dan pintu haji, pintu jihad, pintu silaturahim dan pintu rumah. Ertinya:Salim bin Abdullah meriwayatkan daripada bapanya, dia berkata:Rasulullah s.a.w. bersabda:Pintu yang dikhaskan untuk umat aku yang akan masuk syurga luasnya adalah sejauh perjalanan seorang penunggang gajah selama tiga hari kemudian mereka akan membuat kesesakan di hadapan pintu itu hingga daging bahu mereka hampir terputus.

DARJAT DI SYURGA
Di syurga ada seratus darjat yang jaraknya antara satu sama lain adalah jarak langit dengan bumi. Digambarkan jika seluruh alam itu (manusia dan jin) berkumpul di salah satu darjat pasti muat. Syurga yang paling tinggi ialah al-Firdaus dan yang ditengah-tengahnya juga syurga al-Firdaus. Arshur-Rahman terletak di atas syurga al-Firdaus dan terkeluar sungai-sungai daripadanya.

BILIK DI SYURGA
Orang yang bertaqwa kepada Allah akan mendapat bilik – bilik yang diatasnya dibangunkan pula bilik – bilik di tempat-tempat tertinggi di syurga. Bilik dibina daripada batu permata yaqut merah atau batu permata zabarjat hijau atau mutiara putih yang tiada kesan pecahan iaitu bilik itu tidak dibina daripada batu – bata yang mempunyai kesan sambung dan pisah. Ada bilik – bilik di syurga yang bahagian luarnya boleh dilihat dari dalamnya dan dari dalam boleh nampak luarnya.

ISTANA-ISTANA DI SYURGA
Istana yang dibina oleh Allah kepada umatnya di syurga ialah empat segi yang dibina daripada emas. Allah memberi ganjaran kepada sesiapa yang membaca surah al-Ikhlas sebanyak sepuluh kali akan dibina sebuah istana untuknya di syurga dan sesiapa yang membaca dua puluh kali akan dibina dua istana untuknya di syurga dan begitulah seterusnya.

KHEMAH DAN PASAR DI SYURGA
Di syurga ada khemah daripada mutiara, bahagian dalamnya kosong, lebarnya 60 batu dan pada tiap-tiap hujungnaya ada ahli keluarga isteri – isteri kepada orang – orang mukmin, tidak nampak satu sama lain dan orang – orang mukmin akan berjalan pusing di keliling mereka. Sebuah pasar yang ada di syurga akan dikunjungi ahli keluarga pada tiap – tiap hari jumaat. Apabila ahli syurga masuk ke dalam syurga mereka akan datang ke pasar itu, mengikut darjat dan kelebihan amalan – amalan mereka.

TIADA SIAPA MASUK SYURGA TANPA PASPORT
Tiada yang siapa yang masuk syurga melainkan dengan permit (pasport) ke dalam syurga yang tinggi yang buah – buahan berdekatan.

ORANG MISKIN MENDAHULUI MASUK SYURGA
Orang – orang faqir daripada Muhajirin akan masuk syurga lima ratus tahun sebelum orang kaya daripada mereka. Orang miskin akan memasuki syurga pada hari kiamat mendahului orang-orang kaya selama empat puluh hari.

SIFAT AHLI SYURGA
Kumpulan yang pertama yang akan masuk syurga daripada umat yang bercahaya menyerupai bulan purnama, kemudian orang yang hampir kepada mereka bercahaya seperti bintang yang sangat berkilat di langit dan terang, kemudian mereka yang ada martabat, mereka tidak akan membuang air kecil, tidak meludah, tidak akan berak, sikat – sikat mereka daripada emas, daripada perak, minyak wangi mereka adalah wangian misk, anak batu di situ adalah permata dan isteri mereka adalah bidadari. Setiap orang mempunyai dua orang isteri yang sangat cantik. Mereka sentiasa bertasbih kepada Allah siang dan malam.

BIDADARI
Kumpulan bidadari al-‘Ain di syurga akan barsuara yang belum pernah manusia mendengar suaranya. Bidadari tidak akan mati, mereka sangat berlemah – lembut dan tidak berkeras dan menyusahkan. Bidadari di syurga yang dipanggil lu’batun (mempesonakan).

MAKANAN DAN MINUMAN DAN KAHWIN SEBENAR DI SYURGA
Ahli syurga akan makan di dalamnya, mereka minum, mereka tidak akan kencing, mereka tidak akan membuang najis dan tidak akan ada tahi hidung. Makanan akan jadi peluh seperti minyak wangi misk.

APA YANG ADA DI SYURGA KEKAL
Penghuni syurga akan barterusan sihat, tidak akan sakit selama – lamanya, tidak akan mati selama – lamanya, berkeadaan muda untuk selama – lamanya dan tidak akan tua. Mereka akan menikmati syurga selama – lamanya dan tidak akan mengalami kesusahan dan kedukaan dan tidak akan kotor pakaiannya.

SEKIRANYA ORANG MUKMIN INGIN ANAK DI SYURGA
Sekiranya orang mukmin ingin dapatkan anak di syurga jadi kandungannya dan kelahirannya dan usianya pada saat itu seperti mana yang diinginkannya.

BURUNG, KUDA DAN UNTA DI SYURGA
Al-Kaunsar ialah sebuah sungai yang diberikan oleh Allah. Ia lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu, burung – burung yang ada pada sungai itu lehernya seperti leher al – Jazar (lobak merah) iatu burung Naima. Di dalam syurga juga terdapat kuda daripada batu permata yaqut yang bebas terbang ke mana sahaja dan juga terdapat unta.

KAMBING, BIRI-BIRI DAN KAMBING
Kambing biri – biri ialah binatang syurga dan perlu menjaga kambing dari gangguan.

SYURGA MEMPUNYAI KAWASAN SEKITAR DAN BOLEH BERCAKAP
Sekitar kawasan syurga boleh bercakap dan pokok telah berkata beruntunglah orang – orang yang beriman manakala syurga daripada batu – bata pula daripada emas dan batu – bata daripada perak maka berkata lah pula malaikat telah masuk ke dalamnya dan bertuahlah kerana ditempatkan di kediaman raja.

KESIMPULAN

Dari Allah S.W.T. kita datang dan kepadaNya juga kita kembali. Semoga selama kita hidup di dunia ini kita perlu membuat amal ibadat untuk memudahkan masuk ke syurga Allah S.W.T. yang penuh dengan nikmat. Dunia ini hanyalah pinjaman semata-mata dan ada kehidupan yang lebih kekal abadi di akhirat kelak.Allah S.W.T telah berjanji kepada hamba yang taat kepadaNya akan mendapat ganjaran syurga Al-Jannah apabila di akhirat. Syurga itu bertingkat-tingkat tingginya dan Syurga yang tertinggi ialah Jannatun Firdaus dikhaskan kepada yang banyak membuat pahala dan meniggalkan laranganNya semasa hidup di dunia.Pintu taubat masih terbuka bagi yang ingin mendapatkan syurga di akhirat kelak. Beramallah sebelum terlambat, dunia hanyalah sementara. Syurga mempunyai pelbagai nikmat yang akan diberikan kepada orang yang beriman.Sesiapa yang mengamalkan perintah Allah akan menerima berita gembira di akhirat kelak. Mereka akan dimasukkan ke dalam syurga yang jauh dari segala azab neraka.

------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com