Tajuk: Dosa-Dosa Besar

PENDAHULUAN
Dosa besar membawa maksud semua dosa yang dikenakan hukuman di dunia atau pun ancaman di akhirat. Firman Allah s.w.t. :-

“ Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, nescaya Kami akan menghapuskan kesalahan (dosa-dosa kecil), dan Kami akan memasukkan kamu ke dalam tempat yang mulia (syurga). ” (An-Nisa’ : 31)

“ Dan mereka yang menjauhkan diri dari dosa-dosa besar dan perbuatan keji, dan apabila mereka marah, mereka sentiasa memaafkan. ” (Asy-Syura : 37)

“ Jauhi tujuh dosa besar! ” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Lalu disebutkannya tujuh macam, iaitu :-
1- Menyekutukan Allah dengan sesuatu.
2- Menyihir orang.
3- Membunuh orang yang diharamkan Allah mengalirkan darahnya, kecuali dengan hak, yakni sebab yang dibolehkan syarak.
4- Makan harta anak yatim.
5- Makan riba (bunga).
6- Lari dari medan peperangan (jihad).
7- Menuduh keji terhadap wanita yang baik, lurus dan beriman.

Dan menurut Ibnu Abbas r. a. dosa-dosa besar ada tujuh puluh macam daripada hanya menjadi tujuh macam sahaja. Sesiapa yang melakukan dosa-dosa besar akan mendapat ancaman di akhirat, baik seksaan dari Allah, kemurkaanNya, atau pun ancaman-ancamanNya yang lain. Dan tidak boleh dinafikan, bahawa setengah dosa itu lebih berat dari setengah yang lain.

1- MENYEKUTUKAN ALLAH (SYIRIK)

Menyekutukan Allah ialah menyamakan sesuatu dengan Allah, serta menyembah kepada selain Allah. Misalnya, menyembah kepada matahari, bulan, Nabi, malaikat, orang yang mulia, raja, binatang, dan sebagainya. Dalam firman Allah s.w.t. :-

“ Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa syirik, dan Dia akan mengampuni segala dosa selain syirik bagi siapa yang dikehendakinya. ” (An-Nisa’ : 48)

Allah s.w.t. berfirman lagi :-“ Sesungguhnya syirik, atau menyekutukan Allah (dengan sesuatu) itu adalah suatu kezaliman (dosa) yang besar. ”(Luqman : 13)

Selain itu, firman Allah lagi :-“ Sesungguhnya orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu), maka pastilah Allah akan mengharamkan baginya memasuki syurga, dan tempatnya adalah neraka. ” (Al – Maidah : 72)

Dosa menyekutukan Allah adalah dosa yang terlalu berat dan tidak akan diampunkan oleh Allah sama sekali. Syirik kecil adalah riya’ seperti dinyatakan dalam Al-Quran. Nabi s.a.w. bersabda :-“ Jauhkan dirimu dari berbuat syirik yang kecil. Lalu para sahabat bertanya: Ya Rasulullah, apakah syirik kecil itu? Nabi menjawab: iaitu riya’. Nanti di hari Allah akan membalas semua hambaNya terhadap amal-amal yang mereka lakukan, Dia akan menyeru : Pergilah kamu sekarang kepada orang-orang yang kamu pamerkan amal kamu dahulu sewaktu di dunia, maka lihatlah apakah kamu boleh mendapatkan apa-apa balasan dari mereka itu? ”

Terdapat larangan keras dari hal menyatakan amalan diri kepada orang lain, sebab kalau amalan itu ditujukan kepada Allah Ta’ala, maka memadailah Allah saja yang memgetahuinya, dan tidak perlu orang lain turut sama mengetahuinya. Tetapi jika maksudnya memancing pujian dan sanjungan manusia maka nyatalah bahawa amalan itu bukan kerana Allah, namun memadailah balasannya dengan mendapat pujian saja, sedangkan Allah berlepas diri dari amalan serupa itu. Orang yang mensyirikkan Allah itu sebenarnya telah menduakan Tuhannya dan telah membelakangkanNya, padahal Dialah yang menjadikan orang itu, dan telah memberikannya segala macam nikmat dan kurnia sewaktu hidupnya di dunia ini. Oleh sebab itu, Allah Ta’ala telah menegaskan bahawa semua dosa manusia diharapkan dapat pengampunan Allah, jika Dia mahu, kecuali dosa syirik saja, maka ia adalah satu-satunya dosa yang tidak terampun lagi.

2- MENYIHIR ORANG

Sihir termasuk dosa besar yang sangat diancam oleh syariat Islam. Al-Quran telah tertulis orang yang mengerjakan sihir, atau orang yang mengajar yang lain dari hal pekerjaan sihir itu dengan pekerjaan syaitan yang terkutuk, kerana syaitan itu membuat kehidupan manusia menjadi kucar-kucir, dan menarik manusia untuk berpaling dari takdir Tuhan. Firman Allah Ta’ala :-

“ Sedangkan kedua-duanya tidak mengajarkan sesuatu (sihir) kepada seseorang pun sebelum mengatakan : Sesungguhnya kami ini hanyalah mencubamu, sebab itu janganlah kamu kafir. Maka mereka mempelajari dari kedua Malaikat itu tentang sihir tersebut, meraka dapat menceraikan seorang suami dengan isterinya. Namun mereka (tukang sihir) itu tidak dapat memberikan bencana dengan sihirnya itu kepada seorang pun, kecuali dengan izin Allah. Dan mempelajari sesuatu yang tidak dapat memberikan bencana kepadanya dan tidak boleh memberikan keuntungan. Dan sesungguhnya mereka telah meyakini, bahawa barangsiapa yang menggunakan sihir itu tiadalah baginya keuntungan di akhirat. ” (Al-Baqarah : 102)

Jampi – jampi termasuk azimat, iaitu suatu kalungan atau tangkal yang biasa dikalungkan oleh orang-orang bodoh di lehernya, di leher anak-anaknya, ini adalah perbuatan jahiliyah. Ada juga sang isteri yang menggunakan sihir untuk menimbulkan cinta kasih suaminya, dan juga manusia yang mempunyai perasaan hasad dengki sesama manusia.

Orang yang berjaya menyihirkan orang lain itu akan merasa gembira dan senang hati terhadap penderitaan orang yang disihirnya, dan berharap supaya penderitaan itu berterusan sampai membawa mati, padahal Allah dan RasulNya melarang cita-cita yang buruk sesama manusia.

Kemudian pekerjaan sihir itu selalunya bergantung kepada syaitan dan jin, yakni makhluk-makhluk terkutuk Allah, dan orang yang membuat sihir itu meletakkan sepenuh keyakinannya kepada makhluk-makhluk jahat ini sehingga ke peringkat penyembahan. Semua amal ini syirik, dan syirik adalah adik-beradik kufur, dan sebab itu Allah menetapkan tempat orang yang mengerjakan sihir ini, dan orang-orang yang bergantung kepada sihir ini di dalam neraka, jika mereka tidak segera bertaubat sebelum mati.

3- RIBA (BUNGA WANG)

Riba merupakan salah satu penyakit masyarakat moden yang merebak pada zaman ini. Lantaran perkembangannya sudah terlalu menyeluruh kepada hampir-hampir semua jual-beli moden sekarang, maka orang Islam yang pada mulanya telah mengaku bahawa riba itu haram secara mutlak dengan nash-nash Al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w. sudah sedikit demi sedikit menampakkan keraguannya pada sesetengah cara jual-beli.

Umat Islam sekarang mahu tidak mahu, terpaksa mengamalkan riba. Riba yang menguntungkan banyak pihak dan bersifat kurang merbahaya. Firman Allah s.w.t. :-

Terjemahan: “ Hai orang-orang yang beriman. Janganlah kamu memakan riba dengan berlipat kali ganda, dan bertaqwlah (takutlah) kepada Allah, semoga kamu mendapat keuntungan. ” (Al-Imran : 130)

Nanti di hari Allah membangkitkan manusia dari kubur masing-masing, semua orang akan keluar dengan cepat, kecuali orang yang memakan riba, maka mereka itu bangun lalu jatuh dan seterusnya seperti orang yang mabuk terhuyung-hayang, perjalanannya antara jatuh dan bangun. Oleh sebab mereka telah memakan riba yang diharamkan Allah di dunia dahulu, maka Allah telah memberatkan perut mereka, sehingga menjadi berat pula tubuh mereka nanti di hari kiamat. Setiap kali dia bangun lalu terjatuh semula, dia mencuba bergegas-gegas bersama orang lain namun dia tidak mampu membuat begitu.

“ Tiada lahir pada sesuatu kaum (bermuamalah) dengan riba, melainkan akan lahir pada mereka sifat gila, dan tiada lahir pada sesuatu kaum perbuatan zina, melainkan akan lahir pada mereka maut, dan tiada suatu kaum yang suka mengurangi sukatan atau timbangan, melainkan Tuhan akan menahan turunnya hujan kepada mereka. ”(Riwayat Ibnu Majah, Bazzar, Baihaqi dan Hakim)

Rasulullah s.a.w. bersabda :-“ Riba itu ada tujuh puluh macam caranya, sedang yang paling ringan caranya, iaitu seperti orang yang menikahi (menyetubuhi) ibunya sendiri, sedangkan dosa riba yang paling besar, iaitu seperti seorang islam yang menyerang kehormatan saudaranya yang beragama Islam. ”(Riwayat Thabarani)

Daripada Sayidina Abu Bakar As-Shiddiq r. a. katanya: si penerima riba dan si pemberi riba (dalam muamalah) sama-sama masuk ke dalam neraka.

4- MAKAN HARTA ANAK YATIM

Allah Ta’ala memerintahkan kita supaya manjaga harta anak yatim yang diserahkan ke dalam tangan kita, untuk disimpan dengan baik, sehingga anak itu mencapai usia dewasa dan dapat mengelolakan hartanya sendiri, iaitu sebagai amanat Allah, yang tentu sekali akan diberikan pahala yang besar, di samping itu Dia juga mengancam orang yang mensia-siakannya, menipu atau memakannya dengan sewenang-wenangnya, dengan seksa yang berat kerana itu termasuk kiraan dosa besar.

Memelihara anak yatim ialah menguruskan semua keperluannya serta menjaga kepentingan hidupnya sehari-hari dari makan minum dan pakaian. Juga memperkembangkan harta bendanya, jika anak itu mempunyai harta. Jika anak yatim itu tidak mempunyai apa-apa harta pun, maka anak yatim itu diberikan perbelanjaan hidupnya dari makan minum dan pakaian kerana mencari keredhaan Allah s.w.t. .

Firman Allah s.w.t. :-“ Sesungguhnya orang yang makan harta anak yatim dengan secara aniaya (tidak benar), maka sebenarnya mereka itu sama dengan yang memasukkan api ke dalam perut mereka, dan nanti mereka akan menduduki neraka yang menyala-nyala. ”(An-Nisa’ : 10)

Dikatakan boleh mengambil harta anak yatim secara berpatutan sesuai dengan empat perkara berikut

i- secara pinjaman (kemudian mesti menggantinya)
ii- secara sekadar keperluan saja (yakni membelanjakan untuk keperluan anak yatim saja)
iii- sekadar yang terbatas dari harta itu, kiranya ia bekerja untuk kepentingan anak yatim itu, yakni sebagai gajinya
iv- ketika timbul darurat sahaja, kemudian bila sudah punya wang wajib dibayar kembali seperti hutang

Allah Ta’ala mengancam keras terhadap orang yang mensia-siakan harta anak yatim, hanya ambil sekadar keperluan saja, kerana itu adalah amanat Tuhan terhadap kita. Kalau tidak dapat menjaganya dengan baik, lebih baik serahkan kepada orang lain kerana menjaga harta anak yatim ramai orang yang akan tergelincir.

5- LARI DARI MEDAN PERANG

Lari dari medan perang iaitu apabila musuh tidak lebih dari dua kali ganda bilangan. Tetapi jika bilangan musuh lebih dari dua kali ganda, lalu larinya kaum muslimin itu kerana sekadar untuk mengatur strategi, atau melarikan diri kerana hendak manggabungkan diri dengan tentera mujahidin yang lain, yang kemudian untuk mengatur langkah serangan yang baru, maka itu memang tidak ada salahnya.

Firman Allah s.w.t. :-“ Dan barangsiapa yang memalingkan belakangnya (berundur lari) pada waktu itu, kecuali yang berbelok (untuk siasat perang), atau hendak menggabungkan diri dengan pasukan yang lain, maka sesungguhnya orang itu kembali dengan membawa kemurkaan Allah, dan tempatnya adalah neraka Jahannam dan itulah seburuk-buruk tempat kembali. ”(Al-Anfal : 16)

“Jika ada dua puluh orang yang dapat bertahan di antara kamu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. ”(Al-Anfal : 65)

“Sekarang Allah telah meringankan ke atas kamu, kerana mengetahui bahawa pada diri kamu ada kelemahan. Maka jika di antara kamu ada seratus orang yang sabar bertahan, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang. Dan jika ada di antara kamu seribu orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ribu orang dengan izin Allah, dan Allah akan bersama-sama mereka yang sabar. ”(Al-Anfal : 66)

Allah Ta’ala mengajar muslimin supaya sentiasa berani dalam perkara kebenaran, sehingga Dia mewajibkan jihad untuk meninggikan syiar kebenaran itu dengan mempertahankan diri, agama dan negara. Islam agama perdamaian, dan mengajak manusia menuju kepada perdamaian. Islam tidak pernah menginginkan peperangan, atau suka memasuki ke dalam peperangan. Hanya barangkali kerana agama ini bertugas untuk mengajak manusia kepada mengenal Allah dan bersatu di bawah bendera Allah, lalu ia selalu dimusuhi dan ditentang oleh manusia yang tidak sukakan konsep ketuhanan yang benar itu, termasuk pengakuan untuk menuhankan Allah sebagai Tuhan yang Satu, dan mengikut Nabi Muhammad s.a.w. sebagai utusan Allah yang akan memimpin manusia ke jalan Allah yang benar.

Apabila ada puak yang mamusuhi konsep ketuhanan yang Maha Esa ini dan mereka ingin menghancurkan kepercayaan ini, maka hendaklah kaum muslimin bangun menentang mereka, sebab mereka itu adalah tentera iblis yang berusaha membawa manusia ke jalan yang kufur.

Dalam menghadapi musuh, orang Islam tidak boleh melarikan diri apabila musuhnya agak berlebihan sampai dua kali ganda kepada bilangan mereka, kerana kebenaran itu mestilah di atas daripada segala-galanya.

6- TUDUHAN BERZINA TERHADAP WANITA YANG BAIK

Tuduhan berzina itu adalah seperkara yang dipandang berat oleh syariat Islam, kerana si penuduh itu telah mencemar kehormatan peribadi orang yang dituduh, dan oleh kerana kesannya terlalu berat sekali, sehingga yang dituduh itu tidak sanggup menanggung malunya dengan begitu saja tanpa bertindak.

Firman Allah s.w.t. :-“ Sesungguhnya orang-orang yang menuduh berzina terhadap wanita-wanita yang baik-baik, wanita yang lengah (tidak terlintas hatinya untuk berbuat dosa). Lagi beriman, maka mereka yang manuduh itu yang akan mendapat kutukan di dunia dan di akhirat, dan bagi mereka disediakan seksa yang berat. Pada hari yang akan bersaksi ke atas diri mereka, iaitu lidah mereka, tangan mereka dan kaki mereka terhadap apa yang mereka kerjakan. ”(An-Nur : 23-24)

Allah s.w.t. berfirman lagi :-“ Dan mereka yang menuduh wanita baik-baik (dengan tuduhan berzina), kemudian mereka tida dapat mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka itu (yang menuduh) sebanyak delapan puluh kali, dan janganlah kamu menerima kesaksian mereka buat selama-lamanya, dan mereka itulah orang-orang yang fasik (berdosa). ”(An-Nur : 4)

Allah Ta’ala telah meletakkan syarat-syarat yang berat untuk membuktikan kebenaran tuduhan itu, yang hampir mustahil si penuduh dapat membawa saksi untuk membuktikan kebenaran dawaannya, meskipun apa yang dituduhnya itu memang benar berlakunya, kerana hukum syariat menuntut si penuduh membawa empat orang saksi yang benar-benar melihat dan menyaksikan perbuatan keji itu berlaku. Kalau tidak maka menuduh pun dikenakan hukuman sebat delapan puluh kali sebagai balasan terhadap akibat tuduhannya yang tidak berasas ataupun yang tidak cukup bukti.

Kemudian syariat Islam mengingatkan manusia muslim supaya menjaga lidah daripada mengucapkan tuduhan yang bukan-bukan mengikut sedap mulut saja, kerana akibatnya sama dengan hukuman yang telah tersebut, padahal apa yang diucapkan itu tidak benar, hanya menurutkan kehendak nafsu yang sedang marah, yang sedikit pun tidak dimaksudkan. Namun maruah telah tercemar dan orang tersebut boleh menuntut, dan hukuman mestilah diputuskan, jika tidak ada saksi. Dari mana hendak membawa saksi, kalau yang diucapkan itu hanya untuk menyedapkan mulut, atau melepaskan marah, tetapi begitulah biasanya manusia hendak melepaskan kepuasan hatinya, sehingga mencemarkan kehormatan manusia lain, yang menyebabkan Allah murka terhadapnya.

“ Tahanlah lidahmu (iaitu biarlah berbicara hanya yang baik-baik), perluaskanlah rumahmu (yakni dengan memperbanyakkan kenalan dan bersilatur-rahim) dan tangisilah kesalahanmu (iaitu dengan banyak bertaubat), dan sesungguhnya orang yang paling jauh daripada Allah, iaitu orang yang berkeras hati. ”(Riwayat Ahmad dan Tarmizi)

7- MENINGGALKAN SOLAT

Solat adalah tiang agama. Solat juga yang membezakan hamba Allah s.w.t. yang beriman dengan orang kafir. Amalan yang pertama dihitung di akhirat nanti adalah solat.

“ Pertama sekali yang akan dihisab (diperhitungkan) pada diri seseorang di hari kiamat dari amalnya, iaitu tentang solatnya. Jika solatnya benar (sempurna), maka yang bersangkutan itu akan menang dan berhasil. Dan jika solatnya itu kurang (iaitu tidak benar), maka yang bersangkutan itu akan rugi dan menyesal. ” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)

“ Barangsiapa yang menjaga solatnya, maka solatnya itu akan menjadi cahaya baginya, dan petunjuk serta penyelamat pada hari kiamat. Dan barangsiapa yang tidak menjaga solatnya, maka tiadalah baginya mendapat cahaya, petunjuk dan keselamatan pada hari kiamat, malah pada hari itu dia akan (dibangkitkan) bersama-sama Fir’aun, Qarun, Haman, dan Ubai bin Khalaf (iaitu mereka dari kaum yang kafir). ”(Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabari)

Ada juga orang yang mencuri dalam solat, iaitu hendak lekas-lekas habis, sehingga tidak khusyuk. Nabi Muhammad s.a.w. pernah berkata, solat itu adalah khusyuk dan khudhuk (merendahkan diri). Selain itu, ada pula yang menjadi imam yang terlampau mempamerkan khusyuknya, sampai menjadi bukan khusyuk lagi. Ada yang menekan-nekan dalam bacaannya, ada juga hendak baca dengan bertajwid sangat.

Seksaan ketika di dunia jika meninggalkan solat termasuk dicabut keberkatan seumur hidup, dihapuskan dari wajahnya tanda cahaya sebagai orang yang soleh, semua amalan yang dilakukan tidak mendapat ganjaran dari Allah, doanya tidak akan naik ke langit (tidak diterima Allah), dan tidak mendapat bahagian doa orang-orang soleh.

Bencana ketika menghadapi kematian jika meninggalkan solat antaranya mengalami kematian yang hina, mengalami kelaparan ketika matinya, dan mati dalam kehausan.
Bencana yang akan diterima ketika berada di dalam kubur ialah kuburnya akan disempitkan hingga tulang rusuknya menjadi hancur, kuburnya akan dinyalakan dengan api yang membara, dan dia akan dijaga oleh ular yang besar.

Seksaan yang akan diterima ketika bangkit dari kubur pada tempat pemberhentian hari kiamat; dia akan dihisab dengan menyulitkan dirinya, dia akan mendapat kemurkaan Allah, dan dia akan dimasukkan ke dalam neraka.

PENUTUP
Setiap orang Islam yang beriman kepada Allah dan RasulNya dengan sebenar-benarnya wajib menghindarkan dirinya dari segala macam dosa, baik yang besar mahupun yang kecil, iaitu segala apa yang dilarang oleh Allah dan RasulNya, sebagaimana yang tertulis dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Di dalam Al-Quran ada nenyatakan tentang sejumlah dosa besar dan apa yang diharamkan, jika kesalahan itu ditinggalkan maka akan dapat menghapuskan segala kesalahan dari dosa-dosa kecil juga.



------------------------------------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206, 011-1070-4212, 011-1078-4731
04-988-2597, 04-9882701, 1 2 3