Tajuk: Adab Makan Minum Cara Nabi

PENDAHULUAN

Sebagai pembawa rahmat kepada alam ini, Rasulullah SAW banyak mengajar kita tentang cara hidup seharian yang berteraskan aqidah dan ibadah sejak kita mula bangun dari tidur, masuk ke tandas, makan dan minum, memakai pakaian, menaiki kenderaan, mula bekerja, pulang ke rumah dan tidur. Sukatan makan dan minum yang menjadi panduan hidup umat islam adalah berasaskan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Adalah kami para Nabi, kami tidaklah hidup kenyang” Jadi cara Nabi SAW makan ialah baginda lebih dahulu berhenti sebelum sampai tahap kekenyangan atau merasa puas. Semua ini mengambarkan eratnya cinta dan kasih hamba kepada Tuhannya yang telah melimpahkan kurnia dan nikmatNya yang tidak dapat dihitung sejak menjadikannya islam, memberi rezeki dan mengajar adab dan hikmah. Jadi seseorang muslim yang patuh kepada sunnah Rasulullah dapat menukar kebiasaan mereka menjadi ibadah tidak seperti orang-orang yang lalai yang hanya tahu makan untuk memenuhi selera dengan beraneka makanan tanpa mengikut perintah Allah SWT. Dia telah berfirman “ Dan makan dan minumlah kamu dan tetapi janganlah kamu melampaui” (Al-A’raaf). Semoga penulisan esei ini dapat menjadikan makan dan minum itu suatu ibadah yang mulia dan memperolehi pahala.

BAHAGIAN PERTAMA-CARA MAKAN

1. CARA SEBELUM MAKAN
MEMBASUH TANGAN
Menurut sabda Nabi SAW, baginda bersabda yang membawa maksud “ Keberkatan makanan itu ialah membasuh (tangan) sebelumnya (sebelum makan) dan membasuh selepasnya”[Hadith Riwayat Abu Daud dan At-Tarmidzi]Maksud sabda Rasullullah SAW ialah membasuh kedua belah tangan serta mulut daripada bau daging yang busuk. Hikmah atau rahsia membasuh sebelum makan itu ialah disebabkan keadaan makan selepas membasuh dua belah tangan itu menjadikan makanan lebih sedap. Selain itu membasuh tangan ialah untuk menghilangkan kekotoran supaya kita dalam keadaan bersih dan suci. Ada pendapat menyatakan membasuh sebelum makan itu adalah satu tindakan untuk memuliakan makanan agar ia berkembang dan bertambah. Hukum membasuh dua belah tangan adalah tidak digalakkan tetapi bagi mereka yang berjunub hendaklah membasuh tangan apabila hendak makan seperti yang dijelaskan melalui Hadith sumber Sayyidah ‘Aa’isyah r. ’anha yang bermaksud “ Bahawa Rasulullah SAW apabila beliau ingin tidur, sedangkan beliau berjunub, maka beliau berwudhu’(seperti wudhu’) untuk sembahyang;dan apabila beliau ingin makan, maka beliau membasuh kedua tangan beliau (lebih dahulu)”Tapi sekiranya tangan seseorang itu kotor, hendaklah dia membasuh tangannya dan jika tidak, maka tidak perlulah dia membasuh

MEMBACA BISMILLAH
Menurut Hadith sumber Ummu Al-Mu’miniin ‘Aa’isyah r. a yang menyatakan Rasulullah bersabda yang membawa maksud “ Apabila seseorang kamu hendak makan sesuatu makanan hendaklah dia mengucapkan Bismillah”Sekiranya seseorang terlupa membaca bismillah sebelum makan, dia hendaklah membaca apabila dia teringat semasa sedang menjamah makanan iaitu bacaan yang membawa maksud “ Dengan (menyebut) nama Allah diawalnya dan (sampai) diakhirnya”. Lafaz ini berdasarkan Hadith yang sama yang bermaksud “ Maka jika dia terlupa menyebutkan nama Allah di awalnya, hendaklah dia mengucapkan, Bismillahiawaaluhu wa aakhiruh”Menurut Jumhuur Al-Ulamaa’, membaca Basmalah sebelum makan adalah digalakkan dan bukan wajib. Tetapi menurut dalil sahiih, hukum membaca basmalah adalah wajib sebelum makan. Namun begitu, Basmalah itu wajib, kerana termasuk dalam umum DZIKRULLAH yang dapat menolak syaitan ketika kita sedang makan.

BERKUMPUL SEWAKTU MAKAN
Kita digalakkan berkumpul sewaktu makan manurut cara yang dibenarkan Syarak seperti tidak bercampur antara lelaki dan perempuan bukan mahram. Antara faedah berkumpul sewaktu makan ialah untuk memperoleh keberkatan dariNya dan juga memperoleh kecukupan seperti sabda Rasulullah yang bermaksud, “Makanan (untuk) dua orang mencukupi tiga orang;makanan tiga orang mencukupi 4 orang (bila ramai)”[Hadith Riwayat Al-Bukhari]Berdasarkan hadis ini, sesuatu makanan itu akan menjadi cukup kerana keberkatan berkumpul sewaktu makan dan setiap kali bertambah bilangan orang, bertambah pula keberkatan. Justeru itu digalakkan berkumpul sewaktu makan.

2. CARA SEWAKTU MAKAN
MAKAN DENGAN TANGAN KANAN
Rasulullah SAW menyuruh orang yang makan supaya makan dengan tangan kanan sebagaimana yang telah disebut dalam hadis yang terdahulu yang bermaksud “…Dan makanlah dengan tangan kanan engkau”Ini merupakan suatu suruhan daripada Rasulullah SAW dan suruhan ini bermaksud wajib dan tiada orang yang dapat mengubahnya malah Rasulullah SAW telah menetapkan siapa yang makan dan minum dengan tangan kiri adalah menyerupai syaitan seperti sabda baginda yang bermaksud “Apabila salah seorang kamu makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya;dan apabila dia minum, maka hendaklah dia minum dengan tangannya;kerana sungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya”[Hadith Riwayat Muslim]. Suruhan Rasulullah ini adalah sahih, jadi tidak halallah bagi seseorang itu makan dengan tangan kiri melainkan bila dia tidak mampu disebabkan uzur.

MULA MAKAN DITEPIAN; TIDAK DI TENGAH
Sabda Rasulullah SAW yang membawa maksud “ Apabila seseorang kamu makan suatu makanan, maka janganlah dia mula makan makanan yang berada dipuncak pinggan tetapi hendaklah dia memakan makanan daripada bahagian disebelah bawahnya;kerana sungguhnya keberkatan itu turun daripada puncaknya (kebawah)”[Hadith Riwayat Abu Daud]. Maksud sabda Rasulullah ialah hendaklah kita makan makanan yang berada ditepi dan makanan yang berada dekat dengan seseorang dahulu. Larangan ini cuma berlaku apabila seseorang makan bersama orang lain. Jadi apabila seseorang ingin makan, dan dia mengutamakan dirinya melebihi sahabat-sahabatnya, dia telah meninggalkan adab dan akhlak yang baik. Apabila seseorang itu makan seorang diri, tidak salah untuk dia makan dibahagian tengah.

CARA DUDUK SEMASA MAKAN
Semasa makan, Rasulullah SAW tidak makan secara bertongkat tangan. Menurut Abu Juhaifar r. a, Rasulullah SAW bersabda, ”Sungguhnya saya tidaklah makan secara bertongkat tangan”. Hukum bertongkat tangan adalah makruh atau lebih baik meninggalkannya. Jadi, adalah lebih baik makan dalam cara duduk berlutut dan menghulurkan kedua telapak kaki, atau mendirikan kaki kanan dan duduk di atas kaki kiri. Terdapat beberapa factor terjadinya larangan bertongkat tangan ini. Ia mengandungi dua rahsia. Pertama, duduk bertongkat tangan ini merupakan perbuatan orang-orang yang membesarkan diri seperti raja raja diluar Tanah Arab. Kedua, makan secara bertongkat tangan ini membuatkan kita duduk dalam keadaan selesa. Akibatnya, kita akan makan dengan lama dan berlebihan. Ini hanya akan memudaratkan kesihatan kita. Selain itu makan secara bertongkat tangan akan menyebabkan perut menjadi buncit. Makan bertongkat tangan juga menunjukkan kita tidak menghargai makanan yang dihidangkan.

TIDAK MENCELA ATAU MENGAIBKAN MAKANAN
“ Tiadalah sekali-kali Nabi SAW mengaibkan makanan (yang terhidang);jika beliau berselera, beliau memakannya;dan jika beliau tidak ingin, beliau meninggalkannya”[Hadith Riwayat Al-Bukhari]. Hadis ini menunjukkan peribadi kekasih kita dan contoh ikutan kita. Baginda tidak sekali-kali mencela makanan yang harus dimakan. Baginda hanya mencela makanan yang haram dan makruh dimakan. Perbuatan mencela makanan adalah seperti menyatakan makanan itu masin, tawar, masam dan amat pedas. Selalunya sebahagian besar kita banyak mencela makanan ketika bulan Ramadhan. Mencela makanan juga termasuk bagi mereka yang menyatakan makanan itu tidak mencukupi. Namun begitu terdapat beberapa keadaaan dimana menkritik sesuatu makanan itu diharuskan iaitu apabila seseorang mengkritik makanan untuk kebaikan masa depan. Contohnya, si suami mengkritik makanan yang dimasak isteri terlalu masin dan akan memudaratkan kesihatan untuk jangka masa panjang.

TIDAK BERNAFAS DALAM BEKAS MINUMAN

Menurut sumber Ibnu ‘Abbaas r. a yang bermaksud “ Sungguhnya Nabi SAW melarang bernafas dalam bekas minum atau menghembuskan kedalamnya”[Hadith Riwayat At-Tarmidzi]. Rasullullah melarang perlakuan ini kerana takut keluar air liur orang yang bernafas jatuh dalam minuman. Ini akan memudaratkan kesihatan orang yang meminum air dalam bekas itu sekiranya orang yang minum sebelumnya sakit.

Sebahagian ulama berpendapat hukum bernafas dalam bekas minuman adalah makruh namun ada juga sebahagian yang tidak kisah dan membiarkan sahaja perlakuan ini terutamanya ketika makanan atau minuman itu dalam keadaan panas. Disamping itu sebahagian orang berasa jijik terhadap perlakuan bernafas dalam bekas air atau ke atas makanan. Manakala makan makanan dalam keadaaan panas adalah bercanggah dengan sunnah Rasulullah SAW kerana memudaratkan kesihatan.

3. CARA SESUDAH MAKAN

DIGALAK MENJILAT PINGGAN DAN JARI
Sesungguhnya Rasulullah saw telah menyuruh umatnya menjilat jari-jari dan pinggan dimana beliau bersabda: “ Sungguhnya kamu tidaklah mengetahui (bahagian) manakah (makanan kamu) yang mengandungi keberkatan”[Hadith Riwayat Muslim]. Rasulullah juga menyuruh umatnya agar menyapu makanan dalam pinggan untuk dimakan. Ini kerana kita tidak tahu keberkatan makanan itu terletak pada makanan yang telah dimakan atau yang terdapat pada jari-jarinya ataupun makanan yang telah tertumpah. Jadi kita hendaklah makan sehingga habis makanan itu untuk memperoleh keberkatan. Ada dikalangan manusia yang rosak fikirannya. Mereka ini berpendapat perbuatan menjilat jari adalah perbuatan yang mengaibkan dan kotor. Mereka tidak menyedari bahawa mereka bukanlah golongan yang mewah yakni mereka yang selalu kenyang.

LARANGAN BANGUN MENINGGALKAN MAKANAN SEHINGGA HIDANGAN DIANGKATKAN

Dalam suatu hadis, Rasulullah SAW bersabda yang membawa maksud “ Apabila telah dihidangkan suatu hidangan, maka janganlah seseorang bangun sehingga diangkatkan hidangan;dan janganlah dia mengangkatkan tangannya (berhenti makan) sekalipun dia sudah kenyang sehinggalah kumpulannya selesai makan;dan hendaklah dia menunggu kumpulan itu;kerana sungguhnya seorang lelaki itu akan merasa malu duduk lagi, maka dia akan berhenti makan;dan barangkali dia masih perlu makan”[Hadith Riwayat Ibnu Maajah]. Walaupun hadis ini dianggap remeh, tetapi pengertiannya adalah benar sekali kerana sebahagian orang yang sudah makan ingin segera beredar dari hidangan namun ada sebahagian yang ingin makan lagi. Tetapi disebabkan malu, mereka yang belum selesai makan ini akan turut beredar. Oleh kerana itu kita hendaklah bersimpati kepada golongan ini dan beredar setelah semuanya telah selesai makan.

MEMBASUH KEDUA BELAH TANGAN
Hadith sumber Salmaan r. a bermaksud “ Keberkatan makanan itu ialah membasuh dua tangan sebelum dan sesudah makan”. Hikmat membasuh tangan selepas makan ialah untuk menghilangkan sisa-sisa makanan yang terlekat pada kedua belah tangan dan juga mulut. Terdapat juga amaran Rasulullah terhadap orang yang tidur tanpa membasuh dua belah tangan yang kotor dimana baginda bersabda yang membawa maksud “ Siapa tidur sedangkan di tangannya terdapat daging busuk dan dia tidak membasuhnya;tiba-tiba dia dikenai sesuatu, maka janganlah dia mencela melainkan keatas dirinya sendiri”[Hadith Riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi]. Jadi sesiapa yang terkena gangguan serangga atau jin, janganlah dia mencela dirinya kerana itu adalah salah dirinya sendiri.

BAHAGIAN KEDUA-CARA MINUM

1. MINUM SECARA BERDIRI
Berdasarkan hadis sumber Muslim, Rasulullah SAW pernah melarang seorang lelaki minum sambil berdiri dan baginda pernah menyuruh siapa yang terlupa akan larangan itu hendaklah memuntahkan kembali air yang diminum. Namun begitu hukum bagi perbuatan memuntahkan balik air yang diminum dikira mengalakkan atau mustahabb. Jadi sekiranya seseorang itu terlupa untuk duduk semasa minum, dia tidak perlu memuntahkan kembali air itu.

2. PEMBERI MINUM, MINUM TERAKHIR
Rasulullah SAW pernah bersabda yang membawa maksud “Sesungguhnya pemberi minum kepada sesuatu kaum itu, dialah peminum yang terakhir” [Hadith Riwayat Muslim]. Menurut hadis ini terdapa peraturan bagi peminum air dan susu dan sebagainya dimana mereka yang membawa minuman atau makanan akan menjadi orang terakhir yang minum dan makan untuk dirinya sendiri. Mereka ini wajib mengutamakan kepentingan orang ramai melebihi diri sendiri.

3. HUKUM MINUM PADA BEKAS EMAS-PERAK
Rasulullah SAW telah melarang minum dalam bekas emas dan perak dan beginda bersabda yang membawa maksud “ Dia (keduanya) ialah untuk mereka (perhiasan orang-orang Kafir) semasa didunia;dan untuk (perhiasan) kamu orang-orang islam semasa di Akhirat” [Haadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]. Hukum bagi sesiapa yang minum dalam bekas emas dan perak ini adalah haram. Ilmuwan Islam juga berpendapat yang sama. Mereka yang minum dalam bekas emas dan perak akan diseksa di Neraka seperti mana yang terkandung dalam hadis riwayat Muslim. Jadi bagi orang islam yang berakal, kita hendaklah menghalang perkara ini terjadi dikalangan umat islam kini yang ada dikalangan mereka ini inginkan kemodenan mengikut arus Barat. Mereka ini adalah orang-orang yang sesat kerana mengikut orang-orang yang sesat daripada jalan Allah Ta’aala dan Sunnah (Perjalanan Hidup) Rasulullah SAW.

PENUTUP
Syukur ke hadrat ilahi kerana saya telah selesai menyiapkan tugasan esei daripada buku bertajuk ‘Adab Makan Minum Cara Nabi’ yang ditulis oleh Ummu ‘Abdillah dimana isi kandungan buku ini telah dialih bahasa oleh ‘Abdullah Al-Qari b. Hj. Salleh. Kandungan buku ini sangat menarik untuk diteladani oleh setiap manusia dimana kita dapat mempelajari bahawa cara makan dan minum kita juga boleh mempengaruhi kehidupan seharian. Melalui buku ini kita dapat mempelajari bahawa makan dan minum juga mempunyai adab-adab yang perlu dipatuhi dan bukan semata-mata untuk memenuhi selera dengan beraneka jenis makanan. Semoga penghasilan esei ini dapat memberi manfaat kepada pelajar agar menjaga adab dan tatasusila ketika makan dan minum seperti yang diamalkan Rasulullah SAW.

RUJUKAN: Abdullah Al-Qari b. Hj. Salleh (1996). Adab Makan Minum Cara Nabi, Kuala Lumpur:Al-Hidayah Publishers.

------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com