Tajuk: Kelebihan Bulan Rejab, Sya’ban Dan Ramadhan

Pendahuluan
Sesungguhnya Allah SWT memberikan keistimewaan dan kelebihan ganjaran pahala yang berganda kepada umat islam yang mengerjakan amal ibadah dalam bulan Rejab, Sya’ban, dan Ramadhan. Ini dapat dibuktikan melalui beberapa sabda Rasulullah saw.

Rasulullah bersabda. .“Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban adalah bulanku (Rasulullah) dan Ramadhan adalah bulan umatku. . ” “Kelebihan Rejab atas bulan-bulan lain seperti kelebihan Al-Quran atas qalam. Kelebihan Sya’ban atas bulan-bulan lain seperti kelebihan atas sekalian nabi-nabi. Kelebihan Ramadhan atas bulan-bulan lain seperti kelebihan Allah atas sekalian makhlukNya. . ”“Semua orang lapar pada hari akhirat, kecuali nabi-nabi dan keluarga mereka, dan orang-orang yang berpuasa pada bulan Rejab, Sya’ban, dan Ramadhan. . ”

Berdasarkan sabda Rasulullah itu, hendaklah kita semua merebut peluang amal ibadat supaya kita mampu ke syurga, tempat yang hampir dengan Rasulullah, dan semoga dengan segala amal ini, kita mampu berjauhan dari azab api neraka. InsyaAllah….

BULAN REJAB

Peristiwa penting yang berlaku dalam bulan Rejab adalah Isra’ dan Mi’raj. Dalam peristiwa ini, Nabi Muhammad saw naik dari Baitul Maqdis ke langit dan bertemu dengan Allah, mendapat perintah mengerjakan solat lima waktu dalam sehari semalam.

-Puasa dan fadhilatnya

Perlu diketahui bahawa Rasulullah berpuasa sepanjang bulan Rejab iaitu selama 30 hari. Allah telah menyeru kepada Rasul. . “Telah wajib hakmu atas-Ku, mintalah olehmu kepada-Ku. Demi ketinggian dan kebesaran-Ku, tidak akan Aku tolak hajatmu. Engkau adalah jiranKu di bawah ‘Arasy-Ku, engkau kekasihKu daripada semua makhlukKu, engkau mulia di sisiKu. Berbahagialah kamu, tiada hijab diantara Aku dan engkau. . ” kepada mereka yang berpuasa sebulan di bulan Rejab.

Terdapat banyak fadhilat bagi mereka yang berpuasa pada bulan Rejab. Bagi mereka yang berpuasa sekurang-kurangnya sehari di bulan Rejab dengan ikhlas kerana Allah, maka wajiblah ke atasnya keredhaan Allah. Barang siapa berpuasa dua hari, kemuliannya tidak diketahui seluruh isi langit dan bumi. Berpuasa tiga hari, Allah menyelamatkannya dari cubaan dunia, selamat dari seksa di akhirat dan terselamat dari fitnah dajal. Berpuasa tujuh hari, dikuncikan tujuh pintu neraka baginya. Berpuasa lapan hari, Allah membukakan baginya lapan pintu syurga. Barang siapa berpuasa selama sepuluh hari, maka semua permintaannya dimakbulkan Allah. Berpuasa selama lima belas hari akan diampunkan dosa-dosa yang lalu dan kejahatannya digantikan dengan kebaikan. Dan barang siapa berpuasa lebih dari itu, nescaya Allah tambahkan pula pahalanya.

-Solat Sunat Dan Fadhilatnya

Antara solat-solat sunat termasuklah solat sunat di bulan Rejab, solat Tahajud, Tasbbih, Hajat, Dhuha, Taubat dan lain-lain. Solat sunat Rejab dilakukan pada malam hari diikuti ibadah puasa pada hari esoknya seberapa banyak yang mampu. Menurut sebuah hadis Rasulullah, mereka yang mendirikan solat sunat Rejab 30 rakaat, insyaAllah dihapuskan dosa-dosa lalu dan diberi ganjaran pahala seperti berpuasa sepanjang tahun. Bagi menambahkan ganjaran pahala yang besar bulan Rejab ini, eloklah jika ditunaikan juga ibadah-ibadah solat sunat yang lazimnya kita lakukan di hari biasa seperti solat sunat tasbih, solat sunat tahajud, solat sunat witir, solat sunat taubat, solat sunat hajat dan lain-lain.

-Berzikir, Bertasbih Dan Berselawat

Lembutkan lidah dengan berzikir, tasbih dan selawat setiap hari 100 kali sekurang-kurangnya. Segala amal ibadah ini elok dilakukan dan diulangi di malam hari, selepas, solat sunat tahajjud, solat sunat tasbih dan solat sunat witir. Sesungguhnya Allah berkali-kali lebih mengingati hambaNya apabila kita mengingati Allah.

-Membaca Al-Quran

Besar pahalanya apabila membaca al-Quran di bulan Rejab. Jika tidak membaca al-Quran seluruhnya, terdapat surah-surah pendek yang boleh dibaca seperti surah Al-Fatihah, surah Al-Insyirah, surah Al-Qadr, surah Al-Kaafiruun, surah Al-iklas, surah Al-Falaq, surah An-Naas dan banyak lagi surah-surah pendek dalam juz terakhir.

BULAN SYA’BAN

Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya, Allah Ta’ala turun pada malam pertengahan (nisfu) sya’ban ke langit dunia dan mengampunkan dosa-dosa orang yang lebih banyak dari bilangan bulu-bulu kambing Bani Kalb. . ”
“barang siapa memuliakan bulan sya’ban dan takut kepada Allah, beramal taat kepadaNya, dan menahan dirinya dari perbuatan maksiat, nescaya diampuni Allah segala dosanya dan dipelihara Allah dan dipelihara Allah ia pada tahun itu dari berbagai cubaan dan penyakit-penyakit. . ”

Hadis Rasulullah bermaksud bahawa baginda suka berpuasa penuh sebulan Sya’ban kerana bulan tersebut malaikat maut menghapuskan nama orang-orang yang akan dicabut rohnya (mati) di sepanjang tahun itu. Baginda amat suka jika malaikat maut itu tidak mengambil roh baginda melainkan di dalam bulan Sya’ban.

Dengan terbukanya pintu langit dan pintu rahmat pada malam Nisfu Sya’ban itu, maka Allah memberikan pengampunan umum kepada semua orang yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu kecuali 9 orang iaitu ahli sihir, ahli nujum, bermusuhan sesama islam, peminum arak, orang yang berzina, pemakan riba, orang yang derhaka kepada ibu bapa, an-namimah (menghasut bertujuan menimbulkan pemusuhan), dan orang yang memutuskan silaturrahim.

• Puasa dan fadhilatnya

mereka yang berpuasa pada hari Isnin dan Khamis pertama dan terakhir dalam bulan Sya’ban, akan diampunkan dosanya dan dimasukkan ke dalam syurga. Bagi mereka yang berpuasa sunat sehari akan diharamkan tubuhnya dari api neraka dan masuk ke syurga. Berpuasa tiga hari dan berselawat sebelum berbuka pula akan diampunkan dan diberkati rezekinya. Mereka yang berpuasa sebulan dalam bulan Sya’ban akan dimudahkan semasa sakaratul-maut, terlepas dari azab kubur, ditutupkan aibnya pada hari kiamat dan diwajibkan syurga ke atasnya.

• Solat Sunat Malam Nisfu Sya’ban Dan Fadhilatnya

Pada malam (pertengahan bulan Sya’ban)Nisfu Sya’ban ini, diangkat segala amalan hambaNya ke langit dan pada malam ini juga Allah membebaskan ahli neraka yang ramainya seperti bilangan bulu-bulu kambing Bani Kalb. Maka umat Muhammad digalakkan beramal ibadah dengan bersungguh-sungguh supaya buku baru amalan mereka dimulai dengan sesuatu yang indah.
Oleh kerana bulan Sya’ban adalah bulan di mana amal ibadah kita diangkat dan dipesembahkan kepada Allah, maka wajarlah sepanjang bulan itu diisikan dengan amal ibadah sunat dan taqwa kepada Allah terutama pada waktu malam selepas solat-solat sunat.

BULAN RAMADHAN

Bulan ramadhan adalah bulan yang dinantikan setiap tahun oleh seluruh umat Islam tidak kira di mana mereka berada. Banyak rahmat melimpah-ruah yang merupakan bekalan untuk masa depan bagi meraka yang beramal ibadah demi keredhaan Allah.

Peristiwa penting dalam bulan Ramadhan ini adalah pada tanggal 17 Rammadhan, iaitu hari kitab suci Al-Quran diturunkan yakni Nuzul A-Quran. Peristiwa ini terjadi ketika Nabi kita Muhammad bersunyi diri di Gua Hira Jabal Nur pada waktu umur beliau menjelang 41 tahun. Al-Quran diturunkan untuk menjadi petunjuk antara benar dan salah, namun tidak pula untuk menyusahkan dan mencelakakan orang.

Bulan Ramadhan adalah antara bulan-bulan yang penuh nikmat, hikmat dan rahmat sebahagian darinya adalah pintu langit dibuka bersesuaian dengan sabda Rasulullah “apabila masuk bulan Ramadhan, maka dibukakan pintu langit dan ditutupkan pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan-syaitan. Turut dibukakan adalah semua pintu-pintu syurga dan sesungguhnya setiap hari terdapat sahaja ahli neraka jahanam yang dibebaskan setiap malam sepanjang bulan Ramadhan.

Terdapat juga satu malam yang sangat istimewa di mana malam ini tidak terdpat dalam mana-mana bulan yang lain iaitu malam Lailatul Qadar. Banyak percanggahan pendapat di antara kalangan para ulama tentang tarikh sebenarnya malam Lailatul Qadar ini berlaku. Banyak yang berpandapat ia jatuh pada malam 27 Ramadhan walaupun kebenarannya tidak diketahui. Namun yang pasti malam Lailatul Qadar berlaku diantara 10 malam terakhir dalam bulan Ramadhan. Pendapat ini sangat banyak didapati dalam hadis dan juga Al-Quran.

• Solat Sunat Tarawih Dan Fadhilatnya

Selain pahala berpuasa pada siang hari di bulan Ramadhan, ibadah yang besar pahalanya ialah menghayati setiap malamnya dengan melakukan solat sunat tarawih. Antara fadhilatnya pula termasuklah diampuni dosa-dosa diri dan kedua ibu bapa, diberi pahala seumpama pahala tawaf para malaikat di baitul Ma’mur, bersih dari dosa seperti bayi yang baru lahir, dinaikkan kedudukannya seribu darjat diakhirat kelak dan banyak lagi.

Hukum solat Tarawih adalah sunat Muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut. Solat ini boleh dilakukan secara bersendirian dan sangat dibolehkan juga berjemaah (lebih afdal). Solat ini boleh dilakukan sebanyak lapan rakaat hingga dua puluh rakaat. Rata-rata umat Islam sering melakukan sehingga dua puluh rakaat. Selepas solat sunat Tarawih, kebiasaannya orang ramai mengerjakan solat sunat witir tiga rakaat. Bagi yang masih ingin melakukan apa-apa solat sunat, maka ianya boleh dilakukan selepas solat sunat terakhir sebagai tanda penutupan solat sunat pada hari itu.

Kesimpulan

Terdapat banyak amal ibadah yang boleh kita lakukan bagi menambah saham kita di akhirat kelak. Oleh itu, kita haruslah merebut peluang yang ada. Sesungguhnya terdapat beberapa bulan terpilih di mana amal ibadah kita mendapat ganjaran berlipat ganda iaitu bulan Rejab, bulan Sya’ban dan bulan Ramadhan. Dalam beberapa bulan ini, Allah telah menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda kepada Rasulullah dan juga umatNya yang beramal demi mencari keredhaanNya. Rasulullah dan para sahabat tidak melepaskan peluang ini untuk beribadah. Maka, marilah kita bersama-sama berusaha menambahkan amalan sekali gus mencari peluang untuk mendapat tempat yang elok bersama-sama para rasul, wali dan anbia’ di akhirat kelak.

------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com