Tajuk: Wanita Dan Peranannya

PENDAHULUAN

Wanita adalah hiasan dunia. Makhluk ciptaan Allah yang mampu melahirkan zuriat bagi memastikan kelansungan generasi sebagai khalifah Allah. Wanita sering dikategorikan sebagai racun dan penawar. Gelaran racun adalah amat sesuai diberikan kepada wanita yang tidak menjaga maruah diri dan agama. Sebaliknya, penawar amat sesuai diberikan kepada wanita yang patuh dan taat terhadap landasan syariat yang ditetapkan Allah. Sememangnya bukanlah mudah untuk mencapai status muslimah sejati. Individu tersebut perlu mempunyai kecekalan dan kesabaran yang tinggi. Sehubungan itu, Rasulullah SAW telah mewasiatkan pelbagai peringatan kepada golongan ini agar dapat dijadikan panduan dalam kehidupan seharian. Ini membuktikan bahawa betapa besarnya perhatian Islam kepada kaum wanita serta memastikan kaum wanita tetap memelihara kesucian dirinya dengan budi yang luhur serta akhlak yang terpuji.

CALON-CALON BIDADARI SYURGA
٠ Mentaati dan menggembirakan suami
Seorang isteri wajb patuh dan taat terhadap suaminya selagi mana tidak bertentangan dengan syariat Islam. Keikhlasan dalam memikul dan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang isteri dengan keimanan yang mendalam berhak memperoleh balasan syurga. Sabda Rasulullah SAW : “Jika seseorang isteri itu telah menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, dan menjaga kemaluannya daripada mengerjakan perbuatan haram serta dia taat kepada suaminya, maka akan dipersilakan dia masuk ke syurga melalui pintu mana sahaja yang dikehendakinya. ” (HR. Ahmad dan Thabrani)

Pernah terjadi pada zaman Rasulullah SAW seorang suami pergi berjihad ke medan perang meninggalkan isterinya. Sebelum bertolak ke medan perang, dia sempat berpesan kepada isterinya, “Janganlah kamu meninggalkan rumah sehingga aku pulang. ” Ketika si suami tiada di rumah, si isteri mendapat berita bahawa ibunya sedang sakit. Maka si isteri tersebut telah mengutuskan seorang utusan kepada Rasulullah SAW untuk meminta izin melawat ibunya. Rasulullah SAW menjawab, “ Tunggulah suamimu pulang. Janganlah keluar rumah. ” Akhirnya ibu si isteri meninggal dunia. Kemudian, si isteri sekali lagi menghantar utusan untuk melawat jenazah ibunya. Lalu Rasulullah SAW menjawab, “ Tunggulah sehingga suamimu pulang. ” Selepas itu baginda mengutuskan seseorang kepada si isteri tersebut bahawa Allah telah mengampunkan dosa ibunya kerana ketaatannya terhadap terhadap suami.

Melalui kisah ini, pengajaran yang dapat dijadikan iktibar ialah ketaatan dan kesabaran yang tinggi dalam melaksanakan sesuatu kebaikan kerana Allah, akan diberi ganjaran yang setimpal dengan apa yang kita lakukan.

Selain ketaatan, sebagai seorang isteri, hendaklah dia menggembirakan hati suami. Isteri solehah sememangya tidak akan menyusahkan suaminya malah akan berusaha menyenangkan hati suaminya dan membantu meringankan bebanan masalah. Sebagai contoh, Saidatina Siti Khadijah yang sangat dicintai Rasulullah SAW telah menyenangkan hati baginda yang sedang dalam ketakutan luar biasa setelah didatangi malaikat Jibrail di gua Hira’. Isteri yang dicintai baginda itu dengan penuh rasa sayang dan mesra berkata,
“Bergembiralah wahai sayangku. Demi Allah, Dia tidak akan menghinakanmu sedikitpun. Demi Allah, sesungguhnya dirimu aku perhatikan, sentiasa memelihara hubungan baik dengan keluarga, bercakap benar, menunaikan amanah, tabah dalam menanggung musibah, suka menerima tetamu, dan sedang menolong orang yang ditimpa bencana. ”
(HR. Thabrani)
Sifat seperti inilah yang perlu ada dalam setiap diri wanita muslimah agar keharmonian rumah tangga dapat dikekalkan hingga ke akhir hayat.

٠ Jauhi dosa besar.

Rasulullah SAW berpesan kepada umatnya agar tidak melakukan dosa besar yang membolehkan iman seseorang mukmin itu rosak dan seterusnya membawa dirinya terjerumus dalam kesesatan. Kaum wanita dijadikan dengan sembilan nafsu dan satu akal. Justeru, amat bertepatan dengan hakiki pesanan baginda. Sabda Rasulullah SAW :“Jauhkanlah olehmu tujuh kejahatan yang membinasakan. ” Para sahabat bertanya, “Apakah tujuh kejahatan yang membinasakan itu ya Rasulullah?” Baginda bersabda, “Mempersekutukan Allah, mengamalkan sihir, menghilangkan nyawa seseorang yang diharamkan Allah, kecuali dengan hak, makan riba, makan harta anak yatim, melarikan diri pada waktu dalam peperangan, dan menuduh berzina; perempuan-perempuan mukminah yang suci dan terpelihara. ” (HR. Bukhari dan Muslim)

Dosa yang besar antara dosa-dosa besar ialah menyekutukan Allah, derhaka kepada ibu bapa dan perkataan jahat dan keji.

Sebagai wanita solehah, perkara-perkara negatif seperti ini perlu dijauhi kerana ia boleh merosakkan akidah sebagai wanita Islam. Pengamalan sihir amatlah terkenal dalam kalangan wanita seperti memakai susuk supaya nampak kekal muda dan cantik dan membuat ‘nasi kangkang’ supaya si suami tunduk kepada isteri. Semua ini hanyalah mendatangkan kesan buruk dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Individu yang melakukan dosa-dosa ini adalah sesuai dikatakan bahawa jiwa mereka telah kotor atau dengan lebih tepat lagi dapat dikatakan bahawa mempunyai penyakit rohani. Antara penyakit rohani tersebut adalah kufur nikmat, sombong, tamak, benci-membenci, dengki-mendengki hingga melampaui batas dan sanggup bunuh-membunuh.

Kufur nikmat adalah suatu penyakit yang tidak bersyukur terhadap apa yang dikurniakan oleh Allah kepadanya. Penyakit ini lebih tepat sekiranya disamakan dengan sentiasa tidak berpuas hati dengan apa yang dimilikinya. Manusia yang tidak mensyukuri nikmat Allah itu, dengan mempergunakan nikmat yang diterimanya untuk menderhakai Allah, maka itulah dikatakan kufur nikmat.

Sifat sombong atau bongkak adalah suatu emosi yang merasakan diri lebih daripada orang lain, kerana merasakan dirinya lebih cantik, lebih kaya, berpangkat dan lain-lain. Sifat tamak mendorong seseorang melakukan suatu pekerjaan dengan cara yang haram untuk kepuasan dan kepentingan diri sendiri. Sifat tamak akhirnya akan memakan diri sendiri.

Sebagai seorang muslim dan wanita sejati, perasaan marah perlu dijauhi sejauh-jauhnya. Aisyah r. a berkata : “Tidak pernah Rasulullah SAW memukul sesuatu dengan tangannya, sama ada perempuan dan khadam kecuali dalam peperangan pada jalan Allah dan tidak pernah membalas satu perbuatan salah sahabat baginda terhadap diri baginda dengan perbuatan salah yang sebanding dengan perbuatannya (dimaafkan dan diampunkan) kecuali dilanggar apa-apa yang diharamkan Allah, barulah baginda membalas kerana Allah SWT. ” (HR. Muslim)

Justeru, kita sepatutnya mencontohi Rasulullah SAW supaya terhindar dari godaan syaitan yang sering mencari peluang untuk menyesatkan seseorang yang sedang dalam keadaan marah.
Selain itu, hindarilah daripada berprasangka buruk kerana sebagai seorang muslimah yang bertaqwa, perlu selalu berhati-hati dalam setiap pengucapan yang dituturkan dan berfikir dengan mendalam sebelum membuat keputusan. Secara ringkasnya, wanita mestilah bertindak dengan berilmu pengetahuan.

Rasulullah SAW bersabda : “Sesungguhnya seseorang yang mengucapkan perkataan yang diredhai Allah SWT yang dia tidak menyangka bahawa kata-katanya itu akan mendapat keredhaan Allah sampai hari kiamat. Dan seseorang yang mengucapkan perkataannya itu akan sampai ke mana-mana. Lalu Allah SWT memurkainya hingga hari kiamat. (HR. Imam Malik)

٠ Rambut palsu.
Di samping itu, wanita dilarang sama sekali untuk memakai rambut palsu walau dalam apa keadaan sekalipun. Ini dibuktikan pada zaman Rasulullah SAW bahawa seorang wanita telah datang menemui Rasulullah SAW, katanya kepada baginda;“Ya Rasulullah, saya mempunyai seorang anak perempuan remaja yang telah diserang penyakit demam campak yang menyebabkan rosak atau gugur rambutnya. , adakah boleh saya memakaikannya dengan rambut palsu?” Rasulullah SAW menjawab: “Allah mengutuk perempuan yang memakai rambut palsu. ” (HR. Bukhari dan Muslim)

٠ Teguh pada tali Allah.
Sebagai seorang wanita, muslimah hendaklah berpegang teguh pada tali Allah. Ketaatan dan kepatuhan sudah pasti akan memperoleh balasan yang amat istimewa daripada Pencipta alam ini. Setiap hamba Allah yang hanya semata-mata berlindung kepadaNya tanpa menyekutukanNya, Allah akan menolong menguatkan imannya. Sekiranya ada yang ingin menganiyainya maka Allah melemahkan musuhnya itu, manakala sekiranya ada yang dianiayai, Allah akan mempermudahkan jalan keluar terhadap mereka. Keredhaan terhadap qadha dan qadar Allah ialah rela terhadap ketentuan, kehendak dan kekuasaan Allah. Ini adalah wajib dan merupakan tanda keimanan seseorang terhadapnya.

Dalam sebuah hadis qudsi dijelaskan firman Allah: “Barangsiapa yang tidak meredhai qadha dan qadarKu dan tidak bersabar atas bencana yang aku timpakan atasnya, maka carilah tuhan yang selain daripadaKu. ” (HR. Thabrani)

Islam adalah agama yang sempurna. Kesempurnaan kehidupan seseorang bergantung kepada keimanan terhadap Allah. Mukminah sempurna adalah orang yang selalu sibuk mengingati Allah dan sentiasa meningkatkan amal ibadahnya. Sehubungan itu, keimanan yang sempurna akan membentuk keperibadian yang sempurna. Mukminah berperibadi sempurna mencerminkan keindahan Islam yang tidak tergambar dek mata dan tidak terungkap dek ucapan. Namun, keadaan hidup manusia yang serba moden ini menjauhkan diri kebanyakan umat terhadap Allah. Terlalu banyak yang kafir, musyrik, dan tidak bertuhan. Antara golongan yang masuk ke dalam neraka itu, berdasarkan kemaksiatan dan dosa yang dilakukannya.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah berfirman pada hari kiamat, “Hai Adam, bangunlah, siapkanlah seratus sembilan puluh sembilan keturunanmu untuk ditempatkan ke dalam neraka, dan satu di antara mereka itu akan ditempatkan ke dalam syurga. (Ketika Rasulullah SAW menerima firman Allah ini kemudian menyampaikannya kepada para sahabat) Rasulullah menangis teresak-esak, demikian pula para sahabat lainnya, lalu beliau bersabda: “Angkatlah kepala kamu semua. Demi Tuhan yang menguasai jiwaku. (Jika dibandingkan) dengan umat-umat nabi yang lain, maka umatku bagaikan sehelai bulu putih (yang terdapat) pada kulit lembu jantang yang berbulu hitam.(HR. Thabrani)

Hadis di atas menjelaskan bahawa sebenar-sebenar umat Nabi Muhammad SAW adalah sedikit jika dibandingkan dengan umat-umat yang sesat.

٠ Penghargaan agama terhadap wanita.

Islam memandang tinggi terhadap kaum wanita. Sebagai contoh, dalam hubungan antara ibu dan anak. Anak wajib menghormati ibu. Tiada yang lebih diutamakan melainkan redha ibu. Keredhaan Allah adalah terletak pada keredhaan ibu selagi tidak bertentangan dengan syariat Islam. Allah berfirman dalam surah Lukman ayat 14 yang bermaksud:“Kami mewasiatkan kepada manusia, supaya ia berbuat baik kepada ibu bapanya. Ibunya yang mengandungkan dia dengan berbadan lemah yang berlipat ganda, melahirkannya dan menyusukannya, dan mencerainya dari susu sesudah dua tahun lamanya. Sebab itu hendaklah berterima kasih kepadaKu dan kepada ibu bapamu. ”(Lukman:14)

Pernah terjadi pada zaman Rasulullah SAW. Seorang sahabat Nabi yang sangat setia sedang jatuh sakit iaitu Al-Qamah. Para sahabat sangat sedih kerana Al-Qamah berhadapan dengan saat sakaratulmaut yang memerit dan memilukan. Mulutnya tidak dapat mengucapkan kalimah syahadah walaupun telah berkali-kali diajar. Setelah itu, Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat,

“Adakah ibu Al-Qamah masih hidup? Aku curiga, mungkin Al-Qamah telah menderhakai ibunya, dan ibunya tidak redha terhadapnya. Sebab jangan harap turun redha Allah jika tidak memperoleh redha orang tua. ”Lalu seorang sahabat mengakuinya. Kemudian, Rasulullah SAW memerintahkan Ali dan Bilal berjumpa dengan ibu Al-Qamah. Mereka mendapati menjumpai rumah ibu Al-Qamah, ternyata Bilal dan Ali amat terkejut kerana ibu Al-Qamah sudah tua dan uzur.
“Betulkah nenek ibu Al-Qamah?”
“Bukan. Saya bukan ibu Al-Qamah. ”Jawab nenek itu.
Sebelum sempat Ali dan Bilal bertanya lebih lanjut, nenek itu berkata, “Dulu Al-Qamah adalah anakku. Dulu waktu berada dalam kandunganku. Dulu aku melahirkannya dengan susah payah. Dulu waktu ia kelaparan, kedinginan, dan aku yang menyuapinya serta memberinya air susu dari darah dagingku. Sekarang, Al-Qamah bukan lagi darah dagingku. ”

Ali dan Bilal sekali lagi sangat terkejut. Dengan wajah yang mendung, suara yang terputus-putus dan menangis, nenek itu mula bercerita. “Setelah Al-Qamah berkahwin, dia bukan anakku lagi. Dia terlalu sibuk dengan urusannya, terlalu sayang isterinya, hingga tiada masa untukku. Suatu ketika dulu, Al-Qamah lalu di depan rumahku. Hanya sekali itulah sejak dia berkahwin. Dia membawa dua bungkusan. Alangkah gembiranya aku apabila diberi satu daripada bungkusan itu. Setelah kubuka bungkuan itu, sehelai kain sutera yang sangat indah ku peluk dan ku cium. Namun, malangnya, Al-Qamah mengambil kembali dan menyatakan bahawa itu untuk isterinya. ”

“Aku sangat kecewa. Setelah Al-Qamah pulang, aku membuka bungkusan kedua itu. Alangkah terasa hinanya aku apabila di dalamnya berisi sehelai kain buruk yang berkemungkinan dibeli di tepi jalan. Masih berhakkah Al-Qamah menganggap diriku ibunya?”

Ali dengan ragu-ragu memberitahu keadaan Al-Qamah. Namun, nenek itu tetap bertegas. Terpaksa mereka pulang dan menceritakan kepada Rasulullah SAW. Lalu baginda menyuruh Ali dan Bilal kembali kepada nenek tersebut dan mengatakan bahawa Rasulullah ingin berjumpa.

Kemudian, Rasulullah SAW menyuruh para sahabat mengumpulkan kayu api untuk membakar Al-Qamah. Al-Qmah diangkat dari tempat tidurnya menghampiri tempat kayu api dikumpulkan.

Setelah nenek itu tiba bersama Bilal dan Ali, Baginda menyambutnya dengan penuh rasa hormat. Lalu, nenek itu bertanya. “Siapakah yang terbaring dekat dengan kayu api itu?” Jawab Rasulullah SAW, “Itu adalah Al-Qamah yang menderhakai ibunya, jadi ia terseksa pada waktu sakaratulmaut. Kerana itu, daripada melihat dia terus menderita, lebih baik akan ku bakar dalam kayu api yang akan dinyalakan skejap lagi. ” Nenek itu sambil menggigil lalu bertanya, “Benarkah ia akan dibakar?” Rasulullah mengakuinya melainkan jika nenek itu mengampunkan dosa-dosanya. Nenek itu tetap berkeras. Lalu kayu api itu dinyalakan dan Al-Qamah diangkat untuk dilemparkan ke dalam api. Nenek itu tetap bertegas. Setelah Al-Qamah diayunkan, nenek itu menangis dan memaafkan anaknya itu.

Melalui cerita ini, dapat dipelajari bahawa syurga di bawah telapak kaki ibu. Sebagai ank, wajib patuh dan melaksanakan tanggungjawab terhadap kedua ibu bapa dengan penuh berhemat.

PENUTUP
Sekiranya semua kaum Hawa mengamalkan segala yang diterangkan dalam riwayat Rasulullah SAW, insya-Allah sudah pasti segala urusan duniawi akan diberkatiNya. Tiada lagi unsur-unsur negatif yang boleh mengundang kepada masalah sosial dan seterusnya menyumbang kepada kerunttuhan akhlak di kalangan umat Islam seperti hari ini. Dari hal itu, suka di sini saya menyeru diri sendiri dan seluruh umat wanita agar berusaha berhijrah untuk mendapat keredhaan hidup di dunia dan juga di akhirat. Tiada yang lebih bernilai dalam kehidupan melainkan diberkatiNya.

------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com