Tajuk: Rahsia Dan Keistimewaan Solat Berjemaah

PENDAHULUAN

Al- Quran menetapkan adanya keistemewaan solat berjemaah bagi kaum muslimin. Allah berfirman: “Dan rukuklah bersama orang-orang yang rukuk(yakni melakukan sembahyang dengan berjemaah) (Surah al- Baqarah: 43)

Sedangkan nabi dan para sahabat sendiri diingatkan agar tidak tertinggal menunaikan sembahyang berjemaah walaupun dalam keadaan sakit. Bagaimanapun kita sebagai umat nabi Muhammad rela menghabiskan waktu berjam-jam di depan televisyen dan enggan sembahyang berjemaah. Padahal banyak manfaat yang dapat diperolehi dari ibadah yang hanya memerlukan beberapa minit sahaja. Selain melatih disiplin dan memperkukuhkan tali silaturrahim, sembahyang berjemaah juga boleh menjadi pemangkin untuk melaksanakan ketaatan yang lain. Dan kalau orang moden sering mengeluh kehampaan spiritual, maka lazimkanlah dengan bersembahyang secara berjemaah. Insya-Allah, naluri kita akan menjadi kaya-raya.

ANJURAN SEMBAHYANG BERJEMAAH

Rasulullah s.a.w sebagai teladan telah memberikan contoh dan mengajarkan kepada kita bahawa sembahyang sunat sebaiknya dilakukan sendiri-sendiri (kecuali sembahyang sunat tertentu) atau di rumah masing-masing, namun kalau sembahyang fardhu alangkah dilakukan berjemaah iaitu di masjid. Anjuran sembahyang berjemaah terdapat dalam banyak hadis-hadis Rasulullah s.a.w, antara lain ialah sabdanya: “ sebaik-sebaik sembahyang seseorang ialah di rumahnya, kecuali sembahyang fardhu” (Muttafaq ‘alaih)

Anjuran Abu Hurairah, bahawasanya Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Demi (Tuhan) yang diriku di tanganNya, sesungguhnya aku rasanya hendak menyuruh (orang-orang) sembahyang, lalu diadakan azan buatnya, kemudian aku perintah seorang mengimami orang ramai, kemudian aku pergi kepada orang-orang yang tidak hadir sembahyang, lau aku bakar rumah-rumah mereka buat kerugian mereka. Dan demi Allah yang diriku di tanganNya, sekiranya seorang dari mereka mengetahui bahawasanya ia akan mendapat tulang yang berdaging gemuk atau daging dua rusuk yang baik, nescaya ia hadir sembahyang Isyak. ” (Muttafaq’ Alaih, tetapi lafazh itu bagi Bukhari

Dari keterangan hadis di atas dapatlah difahami bahawa sembahyang berjemaah sangat dianjurkan sekali di dalam Islam

SYARAT-SYARAT IMAM SEMBAHYANG

Dalam soal sembahyang berjemaah ini bukanlah setiap orang boleh sesuka hati tampil ke hadapan untuk menjadi imam bagi orang ramai. Islam telah mengatur dan menentukan siapa yang lebih berhak menjadi imam.

1. Orang yang disukai oleh rakyat: Dalam Islam imam atau pemimpin mesti ditaati, selagi dia tidak maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, pemilihan pemimpin mestilah dilakukan dengan berhati-hati. Rakyat diberi hak untuk menegur penguasa bila dia keliru, diberi hak untuk mencabut dan menggantikannya apabila dia menyimpang. Rakyat tidak boleh diheret dengan paksa untuk mengikuti pelbagai system ekonomi, social dan politik yang tidak mereka sukai. Siapa yang merenungkan prinsip-prinsip dasar Islam, Islam tidak membenarkan seseorang yang dibenci dan tidak disukai makmum untuk mengimami mereka. Dalam sebuah hadis disebutkan: “Ada tiga jenis orang yang sembahyangnya tidak naik di atas kepalanya walaupun satu jengkal. ”Disebutkan satu di antaranya adalah” orang yang mengimami satu kaum, sedangkan ia dibenci oleh kaum itu. ” (Riwayat Ibnu Majah dari Ibnu Abbas)

Imam atau pemimpin bagi kaum muslim yang utama adalah orang yang faham tentang Al-Quran dan faham tentang hadis. Oleh itu, pemimpin yang ideal sebagaimana ada pada diri Rasul yang juga mesti diteladani

2. Shidiq(Benar): Seorang imam atau pemimpin mestilah berakhlak mulia dan benar ucapannya. Dia tidak pernah skandal, sama ada skandal harta apalagi skandal wanita. Oleh itu, pemimpin mestilah sentiasa melatih dirinya untuk kebaikan, agar kebaikan itu menjadi tabiat bagi dirinya, dan apabila telah demikian, maka mudahlah ia melakukannya. Pemimpin tidak sahaja mempertanggungjawabkan kekuasaannya di hadapan rakyatnya, tetapi Allah sentiasa kelak akan menyoalnya kelak pada hari kemudian nanti. “ Ibnu Umar r. a berkata: Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Pemimpin akan ditanya dari hal rakyat yang dipimpinnya. ” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pemimpin yang benar adalah pemimpin yang mampu berlaku adil, ertinya tidak memberikan hak istimewa kepada dirinya atau segolongan orang di dalam masalah hokum, semua diperlakukan sama. Pemimpin yang seperti itulah yang Allah akan diberi perlindungan di saat tidak ada perlindungan, selain perlindungan Allah.

3. Tabligh (menyampaikan): Seorang imam mestilah yang mampu berkomunikasi dengan para bangsawan atau orang-orang awam, bukan nama besar yang disandang oleh ibu bapanya atau sukunya, juga tidak sekadar membaca teks di atas mimbar, tetapi siap juga untuk berbincang mencari penyelesaian. Seorang pemimpin tidak sahaja dikagumi kerana akhlaknya, tetapi kemampuannya berbincang dan berdiplomasikan dengan kawan-kawan dan lawan-lawan politiknya. Nabi Muhammad s.a.w. diperintahkan Allah menyampaikan pesan-pesan Al-Quran dengan lisan dan tidak dengan diam. “sampaikanlah olehmu sekalian dari aku walaupun hanya satu ayat. ”

Dari keterangan di atas jelaslah, sebagai pemimpin bangsa yang tidak hanya berhadapan dengan rakyatnya semata-mata, tetapi juga akan berhadapan dengan negara-negara di dunia di mana perlu dihadirkan pemimpin yang punya kemampuan berucap.

4. Amanah(Jujur / Dipercaya): Imamah dalam hal ini adalah kekuasaan merupakan amanah yang diberikan Allah untuk dijalankan dengan sebaik-baiknya, di dalam negara yang berlandaskan Islam, ditegakkan berdasarkan ba’iat dan bermusyawarah, pemimpinnya terpilih dari kalangan orag jujur serta penuh perhatian.

5. Fatonah(cerdas/ intelek): Imam yang dikehendaki makmum mestilah mempunyai daya ingatan yang kuat untuk menghadapi era globalisasi. Oleh itu, seorang pemimpin perlulah cerdas dan mempunyai idea-idea yang futuristic dan progressif.

KEISTIMEWAAN SEMBAHYANG BERJEMAAH

Sebahagian besar umat Islam memandang remeh akan sembahyang berjemaah. Mereka meremehkan ibadah ini dengan alasan kesibukan dan kesempitan waktu. Padahal di sebalik sembahyang berjemaah terdapat hikmah yang besar.

  1. Langkah kaki berpahala besar: Pahala besar yang diterima oleh orang yang melangkahkan kaki menuju masjid tidak sahaja ketika pergi, tetapi ketika pulang pun mendapat pahala yang sama.
  2. Lebih mulia di sisi Allah: Sembahyang berjemaah, sekalipun dengan jumlah yang sangat sedikit, pelakunya lebih suci dan lebih mulia dalam pandangan Allah daripada sembahyang bersendirian, sekalipun jumlah orangnya lebih ramai.
  3. Melebihi sembahyang berjemaah: Sembahyang berjemaah keistimewaannya melebihi sembahyang bersendirian. Dua puluh tujuh kali ganda, bila disbanding dengan darjat sembahyang bersendirian.
  4. Mematuhi perintah Allah: Dengan sembahyang berjemaah bererti seseorang telah mematuhi salah satu perintah Allah kepada umat manusia yang beriman. Dalam mazhab Syafi’i, sembahyang berjemaah adalah fardhu kifayah yang mesti didirikan dalam sebuah perkampungan
  5. Mematuhi perintah Rasul: Dengan melaksanakan sembahyang berjemaah, bererti mematuhi perintah Rasulullah dan megikut sunah baginda sama ada ucapan mahupun perbuatan. Rasulullah memerintah kepada umatnya untuk segera melaksanakan sembahyang berjemaah. Dalam hal ini Rasulullah telah menegaskan :” Sesiapa mendengar azan, lalu tidak mendatanginya, maka tidak ada sembahyang yangsempurna baginya, kecuali yang mempunyai uzur”. Dalam riwayat yang lain ditegaskan” Apabila mereka bertiga, maka hendaklah salah seorang di antara mereka menjadi imam. Dan yang paling berhak menjadi imam adalah yang paling pandai(fasih) membaca Al- Quran. ”
  6. Memelihara diri dari syaitan: Sembahyang berjemaah akan menyelamatkan pelakunya dari godaan syaitan yang menjadi musuh tradisinya. Sebab syaitan tidak pernah berputus asa untuk menggodanya, hingga dia terjerumus ke jurang neraka.
  7. Mendapat ampunan dosa: Sembahyang berjemaah adalah salah satu diantara sebab diampuni segala dosa, sama ada yang baru sahaja dilakukan mahupun yang telah lalu.
  8. Mendapat Tazkiyah: Bagi mereka yang melakukan sembahyang secara berjemaah, akan mendapat tazkiyah (pernyataan kesucian) dan anugerah besar dari sisi Allah. Mereka adalah orang-orang yang tidak lalai melaksanakan sembahyang hanya kerana bisnes, perniagaan mahupun kegiatan yang lain. Mereka selalu mengingat Allah, mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat.
  9. Mengagungkan yang diagungkan Rasul: Sembahyang berjemaah memiliki erti yang besar dan penting sekali serta bentuk dari pengagungan apa yang diagungkan Rasulullah dan menekankan apa yang beliau tekankan. Perintah melakukannya tidak sahaja dalam suasana biasa, tetapi Allah memerintahkan dan menekankan sembahyang berjemaah sampai dalam suasana yang tidak aman dan menakutkan. Rasulullah juga menekankan tentang pentingnya sembahyang berjemaah. Beliau memerintahkan sembahyang berjemaah dan tidak memberikan keringanan (rukshah) kepada orang yang meninggalkannya.
  10. Perbezaan dari orang munafik: Melaksanakan sembahyang berjemaah secara berterusan dapat menyelamatkan seseorang dari sifat munafik, yang mereka diancam akan dimasukkan ke neraka yang paling bawah. Di antara sifat orang-orang munafik yang paling nyata, adalah meninggalkan sembahyang berjemaah, lebih- lebih lagi sembahyang Isyak dan Subuh.
  11. Sebagai saksi keimanan : Sembahyang berjemaah adalah alat utama untuk memakmurkan masjid-masjid. Jika bukan dengan sembahyang berjemaah, tentu masjid-masjid menjadi lengang dan sepi. Allah bersaksi bahawa “ sesungguhnya orang-orang yang memakmurkan masjid-masjid Allah adalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhir, serta tetap mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan tidak takut kepada sesiapa pun selain Allah. Maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk. ” (Tafsir Ibnu Kathir Jilid: 2, halaman :376)

KELONGGARAN DALAM SOLAT JEMAAH

- Sembahyang dalam cara berbaring: Kalau tidak boleh dikerjakan dengan duduk, boleh dengan berbaring, sambil seluruh anggota tubuh dihadapkan ke kiblat. Sedangkan rukuk dan sujudnya cukup dengan isyarat gerak kelopak mata. Jika dengan gerak kelopak mata pun tidak mampu, sembahyang boleh dilakukan dengan gerak hati sahaja.

- Sembahyang dengan cara telentang: Jika tidak mungkin atau tidak mampu dengan cara berbaring, sembahyang boleh dilakukan dengan telentang. Kaki dihadapkan kea rah kiblat dan kepala ditinggikan dari badan. Gerakan-gerakan sembahyang dilakukan seperti cara sembahyang berbaring atau bila rukuk cukup menundukkan kepala sedikit ke muka dan bila sujud agak lebih.

Demikianlah tata cara sembahyang orang sakit mengingatkan kita adalah ibadah yang sangat penting dalam keadaan apa pun.

ORANG YANG WAJIB SEMBAHYANG BERJEMAAH

Sembahyang yang berjemaah diwajibkan ke atas:

1. Kaum lelaki. Kaum wanita tidak diwajibkan menghadiri sembahyang berjemaah, mereka lebih dianjurkan mengerjakan di rumah dan lebih afdal lagi di dalam bilik.
2. Orang merdeka. Hamba tidak wajib menghadiri sembahyang berjemaah kerana ia sibuk melayani tuannya.
3. Tidak ada uzur(penghalang)
4. Sembahyang yang hendak dikerjakan adalah sembahyang yang wajib (sembahyang fardhu lima waktu), selain itu tidak wajib menghadirinya, seperti sembahyang Kusuf(sembahyang gerhana), sembahyang istisqa’, sembahyang yang terawih dan sembahyang-sembahyang lima waktu yang diqadha’.

SEKURANG-KURANG ORANG YANG SEMBAHYANG BERJEMAAH

Dikatakan sembahyang berjemaah bila berjumlah minimum dua orang, seorang imam dan seorang makmum. Semakin ramai peserta sembahyang berjemaah semakin disukai oleh Allah, berdasarkan sabda Nabi s.a.w. berikiut ini:

“sembahyang bersama orang lain berjemaah lebih baik daripada sembahyang bersendirian, sembahyang berjemaah bersama dua orang lebih baik daripada sembahyang berjemaah bersama satu orang. Semakin ramai jemaahnya semakin disukai oleh Allah. ”

Dan telah dikira jemaah meskipun makmumnya hanya seorang anak kecil atau seorang wanita. Dalam kisah lain yang diriwayatkan oleh Muslim dari Anas bin Malik r. a bercerita bahawa Rasulullah s.a.w. mengimaminya sembahyang bersama ibu dan mak saudaranya. Anas berkata:” beliau menyuruhku berdiri di sebelah kanan beliau dan para wanita di belakang kami. ”

UZUR-UZUR YANG MENINGGALKAN SEMBAHYANG BERJEMAAH

Tidak ada sebarang keringanan atau kelonggaran untuk meninggalkan sembahyang fardhu berjemaah kecuali bila ada uzur. Uzur terbahagi dua, uzur umum dan uzur khusus.

Uzur umum misalnya hujan deras, sama ada pada malam hari ataupun pada waktu siang, angina kencang pada malam kelam, hujan salji, udara sejuk yang menyegal, sangat lecak, udara panas yang bersangatan pada waktu tengah hari dan seumpamanya.

Uzur khusus ialah:

1. Sakit yang memberatkan penderitanya menghadiri sembahyang berjemaah. Tidak termasuk di dalam sakit ringan, seperti pening kepala, selesema ringan dan seumpamanya.

2. Keadaan tidak aman yang dapat membahayakan diri, harta dan kehormatannya. Allah berfirman: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. ”(Surah Al- Baqarah: 286)

3. Menahan Al- Akhbathain. Al-akhbathain adalah buang air kecil dan buang air besar. Sebab hal itu akan menghalanginya sembahyang dengan khusyuk dan sempurna.

4. Saat makanan telah dihidangkan. Berdasarkan hadis yakni sabda Rasulullah : “ Tidak boleh mengerjakan sembahyang saat makanan telah dihidangkan. ”

5. Baru memakan makanan yang menimbulkan bau tidak sedap. Kewajipan sembahyang berjemaah gugur atas orang yang baru memakan makanan yang menimbulkan bau tidak sedap, seperti bawang merah, bawang putih dan seumpamanya. Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Jibir r. a. , Rasulullah bersabda:
“ sesiapa memakan bawang merah atau bawang putih hendaklah menjauhi masjid kami dan hendaklah ia tetap di rumah sahaja. ”

6. Imam mengerjakan sembahyang terlalu panjang hingga memberatkan makmum. Berdasarkan riwayat Abdullah bin Mas’ud r. a bahawa seorang lelaki mengadu: “ Demi Allah, wahai RAsulullah saya terpaksa tidak sembahyang subuh berjemaah kerana imam yang mengimami sembahyang terlalu panjang. ”

Maka belum pernah saya melihat Rasulullah s.a.w memberikan peringatan yang sangat keras kecuali pada hari itu, beliau berkata: “ sesungguhnya di antara kamu ada yang mebuat manusia lari. Sesiapa bertindak sebagai imam hendaklah meringankan sembahyang. ”

7. mengantuk sangat kuat, berdasarkan hadis Abu Qatah r. a: “ Tidak dikira lalai kerana tertidur. Baru dikira lalai apabila dalam keadaan terjaga. Jika kamu terluput mengerjakan sembahyang hendaklah ia mengerjakannya saat ia mengingatnya. ”

8. Tidak punya baju

9. Dalam keadaan safar dan bimbang ditinggal rombongan.

10. Sibuk mengurus jenazah

11. Kerisauan yang menghalangi khusyuk di dalam sembahyang. Abu Darda’ r. a berkata: “ Termasuk kedalam fiqah seseorang adalah menyelesaikan urusannya terlebih dahulu hingga ia dapat mengerjakan sembahyang dengan hati yang lapang. ”
Termasuk di dalamnya orang yang sedang sibuk mengurus urusan, mencari barangnya yang hilang, berusaha mengembalikan barangnya yang dirampas, mendapat gangguan di tengah jalan dan sebagainya.

Kesimpulan
Allah s.w.t telah menetapkan hambaNya melaksanakan solat sebagai salah satu bukti atau cara penghambaan diri kepada-Nya. Kita sebagai seorang hamba yang lemah harus patuh dengan peraturan yang telah ditetapkan. Diharapkan dengan mengkaji rahsia solat berjemaah, kita akan dapat meluangkan sedikit waktu untuk memenuhi saf yang kosong –kosong di masjid.

------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com