Tajuk: Hari Kiamat

Pendahuluan

Hari akhirat maksudnya masa-masa terakhir. Menurut kitab-kitab Islam, hal ini bererti sebuah jangka waktu yang dekat dengan Hari Kiamat. Dalam Rukun Iman yang kelima juga umat Islam diwajibkan beriman kepada hari akhirat. Maksudnya ialah kita wajib beriktikad dan yakin akan wujudnya hari akhirat atau hari kiamat. Harinya pasti. Bila waktunya berlaku tidak seorang pun yang mengetahuinya hanya Allah jua yang Maha Mengetahui bila berlakunya hari kiamat itu.

Namun demikian ada dinyatakan beberapa tanda atau alamat berlakunya kiamat. Alamat kubra(besar) dan alamat syughra(kecil). Alamat syughra itu adalah tanda-tanda awal bahawa dunia ini akan kiamat tetapi waktunya masih lagi panjang, masih ada waktu untuk bertaubat, masih ada peluang untuk kembali ke jalan Allah. Sementara tanda atau alamat kubra, ertinya apabila sudah ada tanda-tanda kubra menunjukkan bahawa dunia sudah hampir benar ke saat kehancurannya. Pintu taubat sudah ditutup ketika itu.

Tanda Kecil

Yang dimaksudkan dengan tanda-tanda kecil kiamat adalah peristiwa dan perkara-perkara yang dikhabarkan oleh Nabi Muhammad S.A.W yang akan terjadi di akhir zaman sebagai syarat dan isyarat yang menunjukkan akan dekatnya kedatangan tanda-tanda besar kiamat, bahkan sebagai landasan permulaannya.
Apabila terjadi dan terbukti tanda-tanda kecil itu, maka tidak akan ada lagi sebab-sebab yang mengakhirkan kemunculan tanda-tanda kiamat besar kerana pengertian dari penamaan kata-kata “tanda-tanda” atau “syarat-syarat” tidak akan ada gunanya apabila kemunculannya tidak merupakan “isyarat” dengan apa-apa yang akan mengikutinya dan ia terjadi selepas dari tanda-tanda kecil kiamat. Tanda-tanda kecil kiamat antaranya ialah:

- Si anak tersebut memperlakukan ibunya seakan-akan ia adalah tuan dari ibunya. Kederhakaan anak pada ibu.

- Para pengembala kambing yang miskin, tidak beralas kaki dan tidak berpakaian akan menetap di gedung-gedung tinggi. (seperti yang berlaku di semenanjung arab)

- Banyak berlaku pembunuhan.

- Meminum arak dan menamakan perbuatan tersebut bukan dengan namanya.

- Penyerahan urusan-urusan bukan kepada ahlinya.

- Banyaknya perbuatan zina dan kotor.

- Kaum lelaki akan memakai sutera.

- Penghalalan lagu-lagu dan alat muzik.

- Pengambilan para penyanyi wanita.

- Tersebarnya pemutusan hubungan silaturahim.

- Tersebarnya pengkhianatan dan tuduhan terhadap orang yang jujur.

- Timbulnya mati secara tiba-tiba.

- Menjadikan masjid sebagai jalan-jalan, yang bermaksud seorang muslim
- melalui sebuah masjid tanpa melakukan solat.
- Terjadinya pertempuran antara dua kelompok besar dikalangan Kaum muslimin.
- Pendeknya waktu, yang bermaksud kurangnya berkat dalam waktu.
- Banyaknya berlaku gempa bumi.

Munculnya wanita yang tidak berpakaian iaitu wanita yang menutup sebahagian yang lain atau berpakaian ketat dan nipis. Dengan demikian mereka belum bererti menutup aurat.

- Ucapan salam(Assalamualaikum) hanya diucapkan oleh seorang muslim terhadap orang yang dikenali.

- Banyaknya sifat bohong, dan ia menjadi perkara umum.

- Manusia bermegah-megah dan berbangga-bangga dengan keindahan Masjid dan peralatannya.

- Manusia akan mewarnai rambut dengan warna hitam agar kelihatan Muda.

- Berangan-angan dan berkeinginan untuk melihat Nabi Muhammad S.A.W. hal itu kerana banyak berlakunya fitnah dan agama menjadi perkara yang aneh.

- Berkurangnya keimanan manusia untuk melaksanakan ketaatan dan amal untuk akhirat.

- Harta kekayaan umum dikuasai segelintir orang tanpa kebenaran.

- Berkurangnya sifat amanah.

- Seorang lelaki hanya mentaati isterinya, sedangkan dia derhaka pada ibunya.

- Seorang lelaki bersikap kasar kepada bapanya tapi bersikap ramah dengan temannya.

- Suara-suara manusia berteriak di masjid-masjid.

- Yang jadi pemimpin adalah seorang yang hina dan fasik.

- Seorang lelaki dihormati bukan kerana budi dan kebaikannya tetapi kerana orang takut akan kejahatannya.

- Lebih ramai jumlah anggota polis.

- Mendahulukan seorang lelaki menjadi imam solat kerana bagus suaranya, walaupun kurang ilmu dan keutamaannya.

- Penjualan jawatan iaitu jawatan diterima dengan wang.

- Iraq kena kepung dan ditahan makanan dan bantuan. Kemudian dikepung negeri Syam(Syria, Lebanon, Jordan dan Palestin).

- Wafatnya Rasulullah S.A.W.

- Fitnah(godaan dan kemaksiatan) telah memasuki setiap rumah.

- Adanya gencatan senjata dan perdamaian antara kaum muslimin dan Rom (Eropah dan Amerika) dan tanda ini merupakan tanda kiamat kecil Yang paling terakhir, kerana setelah peristiwa ini akan terjadi Peperangan besar lagi dahsyat yang terakhir.

Al-Mahdi Al-Muntazar(Imam Mahdi yang ditunggu) adalah seorang lelaki muda
dari kaum Muslimin yang berasal dari keluarga Nabi S.A.W dari keturunan Fatimah binti Rasulullah S.A.W. Namanya adalah Muhammad Ibnu Abdullah. Al-Majdi adalah
merupakan salah seorang dari khalifah Ar-Rasyidin dan pemimpin yang mendapat petunjuk.

CIRI-CIRI IMAM AL-MAHDI.

Sebagaimana yang disebutkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. bahawasanya Al-Mahdi yang akan muncul adalah berhidung panjang, mancung(bentuk berwajah cantik), berkening luas, dia akan memenuhi bumi ini dengan keadilan dan keseimbangan sebagaimana ianya dipenuhi sebelumnya dengan kezaliman dan ketidakadilan). Manusia akan hidup di zamannya setelah turunnya Isa Al-Masih a.s. dalam kedamaian dan kenikmatan yang belum pernah mereka rasakan sebelum itu.

TANDA-TANDA KEMUNCULAN AL-MAHDI a.s.

Tanda-tanda tersebut adalah bahawa Al-Mahdi dibai’ah di kaabah yang mulia di antara Hajarul Aswad dengan Maqam Ibrahim oleh suatu kelompok yang mempunyai jumlah dan kekuatan yang tidak bererti, mereka mencari perlindungan dari keberkatan Kaabah. Sehingga diutuslah(oleh penguasa)sekelompok pasukan yang terdiri dari kaum Muslimin untuk memerangi dan menumpas mereka(Al-Mahdi dan para pengikutnya). Sehingga apabila tentera tersebut telah melalui kota Madinah dan sampai di suatu tempat dekat dengan Zulhulaifah, maka merekapun ditelan bumi.

Dengan demikian, semua orang akan tahu bahawa lelaki yang berlindung di Baitullah tersebut adalah Khalifatullah Al-Mahdi, dimana Allah S.W.T. memberi kekeramatan, perlindungan dan pembelaan untuknya dengan membenamkan tentera yang akan mengejarnya ke perut bumi.

PEPERANGAN-PEPERANGAN YANG BERLAKU DI ZAMAN AL-MAHDI a.s

Setelah berlakunya pembenaman terhadap pasukan yang mengejarnya, maka tersiarlah dan tersebarnya nama “Al-Mahdi” kemudian datanglah kepadanya utusan-utusan para pembai’ah dari timur dan barat yang berjanji untuk mendokong dan membai’ahnya dalam meninggikan kalimah Allah dengan syiar “memilih dua kebaikan” iaitu meraih kemengan atau mendapat mati syahid. Setelah itu, berkumpullah suatu pasukan di kalangan orang-orangg yang bertauhid yang tidak mengenal lelah dan malas, akan tetapi mereka memasuki peperangan-peperangan yang banyak lagi dahsyat.

Ketika itu juga akan terjadi kemurtadan yang sangat banyak. Maka, marilah kita berdoa semoga kita dilimpahkan Allah S.W.T. keselamatan dan ketetapan hati, Amin

Dengan memerhatikan peperangan yang dilalui oleh AL-Mahdi, kita dapat memahami bahawa ia akan memerangi seluruh dunia atau seluruh dunia akan memeranginya, yang akan terjadi dalam waktu yang pendek, tidak lebih dari beberapa puluh bulan sahaja. Maka Al-Mahdi akan memerangi:
1. Kaum Muslimin semenanjung Arab.

2. Kaum Muslimin Syiah.

3. Kaum Rome(Bani Ishaq atau Amerika dan Eropah)

4. Sekularis Turki(Konstantin)

5. Yahudi.

6. Rome.

7. Kaum Komunis(Bangsa Khauz dan Kirman:China, Russia dan Jepun)Sedangkan kemenangan akan berada di pihak Al-Mahdi dalam setiap pertempuran tersebut. Peperangan pertama Al-Mahdi adalah peperangan melawan semenanjung Arab, kemudian peperangan melawan Parsi, peperangan melawan Rome, peperangan melawan Konstatin, peperangan melawan Kaum Nasrani(Rome), peperangan melawan Turki dan Peperangan yang terakhir adalah melawan kaum Khauz dan Kirman(China, Russia dan Jepun.

Terdapat 10 tanda-tanda besar kiamat. Kaum mukminin hanya akan menyaksikan enam tanda-tanda besar kiamat, sedangkan baki empat tanda besar lagi hanya akan disaksikan oleh orang-orang kafir sahaja. Maka enam tanda-tanda yang akan dilihat oleh orang-orang mukmin adalah keluarnya Dajjal, turunnya Isa Ibnu Maryam, keluarnya Yakjuj dan Makjuj, terbitnya matahari dari tempat terbenamnya, keluarnya binatang bumi, dan keluarnya asap.

TANDA PERTAMA: MUNCULNYA DAJJAL
Dajjal adalah seorang lelaki dari kalangan anak manusia(anak Adam) dari kaum Yahudi yang berupa buruk, berperangai dan berbentuk seperti syaitan. Ia dikelilingi oleh syaitan-syaitan dan diikuti oleh 70, 000 orang Yahudi. Dajjal ertinya dusta dan penipu besar. Dajjal akan menyembunyikan dan mengubah perkara-perkara yang benar dengan perkataan dustanya atau perbuatan sihirnya.

TANDA KEDUA: TURUNNYA ISA IBNU MARYAM
Turunnya nabi Allah Isa a.s. dari langit ke dunia. Ketika itu Dajjal masih bermaharajalela. Nabi Isa akan membunuh Dajjal tersebut dan menjadi hakim(raja) yang adil dan jujur memerintah dunia ini. Beliaulah yang akan memusnahkan salib orang Kristian dan membunuh babi-babi.

TANDA KETIGA: KELUARNYA BANGSA YAKJUJ DAN MAKJUJ
Kaum ini pernah muncul pada zaman Raja Zulkarnain tetapi dipenjarakan oleh baginda dengan tembok besi yang tebal dan tinggi. Di dalam dinding tembok itulah mereka terkurung. Apabila hampir kiamat, tembok itu akan roboh, lalu kedua-dua kaum itu merosakkan dunia.

TANDA KEEMPAT: MATAHARI TERBIT DARI ARAH BARAT
Susunan kejadian alam sudah berubah, matahari yang dulunya terbit dari arah timur menjadi sebaliknya. Matahari akan terbit dari sebelah barat dan tenggelam di sebelah timur.

TANDA KELIMA: KELUARNYA BINATANG BUMI
Ketika matahari telah terbit dari barat pada waktu pagi, maka tertutuplah pintu taubat dan manusia akan dicop mengikut kelompok mereka (mukmin atau kafir) pada waktu terbitnya, kemudian pada hari tersebut iaitu waktu dhuha, muncullah binatang bumi yang akan menguatkan bahawa pintu taubat benar-benar telah tertutup dengan penandaan orang-orang mukmin dan kafir.

TANDA KEENAM: KELUARNYA ASAP
Asap ini mengenai orang mukmin lalu mereka semacam terkena penyakit selsema. Tetapi jika asap itu terkena orang kafir mereka akan menjadi mabuk terhoyong-hayang dan asap itu akan keluar dari hidungnya, matanya, telinganya dan duburnya. Setelah kemunculan asap ini akan datang angin yang lembut dari arah Yaman, maka ia akan mencabut arwah setiap mukmin. Tanda-tanda besar kiamat yang tidak akan dilihat oleh orang mukmin ini ada empat:

• Pembenaman bumi di Timur
• Pembenaman bumi di Barat
• Pembenaman bumi di semenanjung Arab
• Api keluar dari dasar Teluk Aden atau dari timur yang akan membawa manusia ke Mahsyar.

“Pembenaman bumi” yang dimaksudkan di atas adalah terbelahnya bumi yang akan menelan manusia yang mana ia merupakan suatu azab.

TIUPAN SANGKAKALA

Apabila sangkakala yang pertama itu ditiup, semua makhluk yang bernyawa akan
mati. Apabila tiupan sangkakala yang kedua, semua makhluk akan dihidupkan kembali
dari kubur masing-masing dalam bentuk asalnya seperti mana mereka di dunia dahulu.

Segala apa yang dikatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. itu adalah benar belaka janganlah disangsikan dan ragu-ragu. Sekiranya kita menghayati apa yang tersirat pada kisah dan peristiwa di atas memang kebanyakannya telah berlaku kini. Tak perlu jadikan budaya barat untuk kita jadikan panduan atau ikutan seperti orang kafir atau menunggu hasil kajian saintifik tentang amalan dan sunnah Rasullullah s.a.w. Jadi sebagai umat Islam wajiblah bagi kita percaya akan berlakunya Hari Kiamat.



------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com