Tajuk: Peringatan Dan Ancaman

PENDAHULUAN

Manusia dicipta oleh Allah SWT dan dilengkapi dengan segala macam keperluan adalah bertujuan untuk beribadah kepadanya. Dengan ertikata lain, menumpukan segala kepatuhan dan ketaatan hanya kepada Allah SWT dengan melaksanakan perintahnya dan meninggalkan laranganNya. Adalah menjadi suatu perkara yang tidak wajar apabila manusia bertindak mengikut kemahuan hawa nafsu mereka dan melupakan ancaman-ancaman Allah SWT terhadap mereka yang menderhaka. Oleh itu, terdapat beberapa ancaman dari Allah SWT melalui al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW tentang perlanggaran terhadap beberapa perkara yang dilarang dalam islam untuk dijadakan pengajaran kepada manusia.

JENIS-JENIS ANCAMAN DAN PERINGATAN DARI ALLAH

ANCAMAN KEPADA AHLI ILMU.
Orang yang menyembunyikan ilmu agama itu lebih berat tanggungjawab di hadapan Allah pada hari kiamat daripada mereka yang jahil dan penyembah berhala serta diancam dengan siksaan yang dahsyat. Allah mengutuk para ulama’ yang menyembunyikan ilmu. Firman Allah SWT:“Sesungguhnya orang yang menyembunyikan keterangan dan petunjuk yang Kami turunkan setelah kami menjelaskan kepada manusia di dalam kitab, mereka itu dikutuk oleh Allah dan dikutuk oleh seluruh manusia kecuali kepada mereka yang telah bertaubat. ” (al-Baqarah: 159-160)

Sabda rasulullah SAW:“Siapa yang ditanyakan tentang sesuatu ilmu, lalu dia enggan menerangkannya nescaya Allah akan mengekangnya di hari Kiamat dengan kekangan daripada api Neraka. ” (HR al-Hakim)

ANCAMAN MENINGGALKAN SOLAT FARDHU.
Solat lima waktu adalah kunci segala kebaikan. Orang yang meninggalkan solat tidak diterima amalnya. Di akhirat nanti, seorang hamba akan disekat dengan sebab amalan solat yang dilakukannya sewaktu di dunia. Jika solat sempurna maka diterima segala amalannya yang lain. Orang yang meninggalkan solat dihukum kafir. Di dalam kitab al-Muhazzab, seseorang yang meninggalkan solat kerana malas ianya dihukum sebagai fasiq dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan yang sewajarnya sehingga ia menjadi insaf. Orang yang meninggalkan solat masuk neraka. Firman Allah SWT:“Penduduk Syurga bertanya kepada ahli di neraka: Kenapa kamu sampai masuk neraka Saqar?Mereka menjawab: Kerana dahulu kami tidak mengerjakan solat. ” (Al-Muddatsir: 42-43)

Memperlambatkan solat dengan mengerjakan di akhir waktu sehingga datang kepada waktu yang lain juga berdosa. Kesimpulannya, meninggalkan solat itu akan ditimpa ancaman di dunia dan di akhirat.

ANCAMAN BAGI MEREKA YANG MENDERHAKAI IBU BAPA
Penderhaka kedua ibu bapa mendapat kutukan dari Allah. Allah menjatuhkan kutukan kepada orang yang menderhaka kepada ibu bapa. Hadis Nabi SAW:“Allah melaknat(kutuk) orang yang menderhakai kedua ibu bapanya. ” (HR Ibnu Hibban)

Penderhaka kedua ibu bapa dimurkai Allah dan berdosa besar. Seorang muslim tidak boleh melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan ibu bapa merasa marah dan tersinggung hatinya kerana kemarahannya itu merupakan kemurkaan Allah. Rasulullah SAW bersabda:“Keredhaan Allah(terhadap seorang lelaki) terletak pada keredhaan kedua ibu bapa, dan kemurkaan Allah juga terletak pada kemarahan kedua ibu bapa. ” (HR Tarmizi, Ibnu Hibban dan Thabrani)

Penderhaka kedua ibu bapa tidak masuk syurga. “Tidaklah akan masuk syurga orang yang membangkit-bangkit pemberian, orang yang menderhakai kedua ibu bapanya dan orang yang sentiasa minum arak. ” Rasulullah SAW bersabda:“Ada 4 orang, hak atas Allah untuk tidak memasukkan hambanya ke dalam syurga dan tidak memberi kesempatan kepada mereka untuk menikmati kebaikan syurga:
- Peminum arak
- Pemakan harta riba’
- Pemakan harta anak yatim
- Penderhaka ibu bapa

ANCAMAN BAGI MEREKA YANG TIDAK MEMBAYAR ZAKAT.
Orang yang tidak membayar zakat mendapat siksaan. Rasulullah SAW bersabda:“Orang yang menahan zakat itu, pada hari kiamat ada di dalam neraka. ” (HR Thabrani)

Zakat adalah rukun Islam yang ketiga dan setiap orang Islam mampu membayarnya. Allah SWT murka kepada mereka yang tidak mahu menyahut perintah pembayaran zakat. Firman Allah SWT:“Sesekali janganlah orang yang bakhil dengan hartanya yang Allah kurniakan. Mereka menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya, kebakhilan itu amat buruk bagi mereka. Harta yang mereka sayangi itu akan dikalungkan pada lehernya pada hari kiamat kelak. ” (Ali Imran: 180)

Harta benda itu adalah kurniaan Allah yang merupakan pinjaman. Allah mengingatkan manusia supaya tidak mencuaikan tanggugjawab di dalam pembayaran zakat. Rasulullah SAW bersabda:“Barangsiapa yang Allah telah berikan kepadanya harta benda, lalu ia tidak mengeluarkan zakatnya, nescaya ia akan diserupakan pada hari Kiamat bagaikan ular yang botak dan mempunyai dua taring. Ular tersebut melilitnya pada hari Kiamat kemudian menangkap dengan kedua rahangnya, lalu ia berkata: “Aku adalah harta bendamu dan aku adalah barang simpananmu. ”Kemudian ia membaca ayat al-Quran yang bermaksud: Sesekali janganlah kamu menjadi orang yang bakhil dengan hartanya……” (HR Bukhari dan Muslim)

Orang yang tidak membayar zakat akan dilaknat. Islam meletakkan kedudukan orang yang tidak membayar zakat itu sebarisan dengan mereka yang memakan harta riba’ dan lain-lain kejahatan yang mendapat laknat dari Rasulullah SAW. Imam Ibnu Khuzaimah telah mendedahkan perkataan Abdullah Ibnu Mas’ud r. a yang berkata:“Orang yang tidak membayar zakat, orang-orang Arab desa yang murtad sesudah hijrah. Mereka semua akan dikutuk menerusi lidah junjungan Nabi Muhammad SAW di hari Kiamat. ” (Sahih Ibnu Khuzaimah dengan sanad hasan)

ANCAMAN BAGI MEREKA YANG MENINGGALKAN FARDHU HAJI.
Tidak bererti kehidupan orang yang meninggalkan haji. Sesungguhnya orang-orang yang sihat tubuh badan, mempunyai harta yang berlebihan dan usia yang panjang, tetapi tidak berusaha untuk menunaikan fardhu haji, kehidupannya tidak memberikan apa-apa kebaikan. Rasulullah SAW bersabda:“Allah SWT berfirman: Sesungguhnya seorang hamba yang Aku telah berikan kesihatan tubuh badannya dan telah Aku berikan kelapangan di dalam kehidupannya, maka berlalulah usianya selama 5 tahun sedangkan ia tidak datang menemui Aku(menunaikan fardhu haji), nescaya ia tidak mendapat apa-apa(kebaikan). ” (HR Ibnu Hibban)

Orang-orang yang enggan menunaikan fardhu haji, akan berada di dalam keburukan di akhir hayatnya. Ertinya, seseorang itu tidak mempunyai sebarang halangan selama hidupnya tetapi enggan pergi ke Mekah menunaikan haji. Halangan-halangan tersebut seperti lemah anggota, kurang perbelanjaan, terdapat musuh di dalam perjalanan dan sebagainya.

ANCAMAN TERHADAP LELAKI YANG MEMANDANG DAN BERDUAAN DENGAN WANITA BUKAN MAHRAM.

Rasulullah SAW bersabda di dalam hadis Qudsi bahawa Allah berfirman:“Sekali pandangan itu adalah panah beracun dari panah iblis. Barangsiapa yang meninggalkannya kerana takut kepada Ku, nescaya Aku akan menggantikannya dengan iman yang ia akan mendapat kemanisannya di dalam hatinya. ” (HR Thabrani dan Hakim)

Pandangan mata merupakan zina. Setiap mata yang memandang merupakan zina melainkan mata yang melihat perkara-perkara yang dibenarkan oleh agama seperti melihat wajah ibu bapa, menatap wajah isteri dan melihat al-Quran.
Sesungguhnya penzinaan antara lelaki dan perempuan itu adalah kejahatan yang terkutuk. Rasulullah SAW bersabda:“Ditulis pada anak Adam nasibnya dari zina. Maka ia pasti akan menemuinya. Dua mata zinanya adalah pandangan, dua telinga zinanya adalah mendengarkannya, lisan zinanya adalah ucapan, tangan zinanya adalah memukul dan kaki zinanya adalah setiap langkahnya. Sedang hatinya cenderung dan mengharapkan…” (HR Bukhari dan Muslim)

Betapa buruknya perbuatan sentuh menyentuh antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya yang disebut di dalam sebuah hadis:“Sesungguhnya ditusuk pada kepala salah seorang dari kamu dengan jarum besi itu lebih baik baginya daripada ia menyentuh orang perempuan yang tidak halal baginya. ” (HR Thabrani dan Baihaqi)

ANCAMAN TERHADAP MEREKA YANG BERZINA.
Zina ialah melakukan hubungan seksual antara lelaki dan perempuan diluar aqad nikah. Penzinaan merupakan dosa besar selain daripada kufur dan pembunuhan.

Berzina merupakan seburuk-buruk perbuatan. Allah SWT telah mengingatkan para hambaNya supaya menjauhi perbuatan zina. Sebagaimana digambarkan di dalam al-Quran:“Janganlah kamu mendekati penzinaan, sesungguhnya zina itu merupakan suatu perbuatan yang keji dan sejahat-jahat jalan. ” (al-Isra’: 34)

Mendekati penzinaan ialah melakukan sesuatu yang boleh membawa kepada perbuatan zina. Contohnya, bergaul antara lelaki dan perempuan di luar aqad nikah, menonton video lucah dan pergi ke pusat pelacuran. Rasulullah SAW bersabda:“Sesungguhnya iman itu bagaikan pakaian yang dikenakan Allah pada siapa yang dikehendakiNya, apabila seorang hamba itu berzina ditanggalkan pakaian imannya dan apabila ia bertaubat, dikembalikan semula kepadanya. ” (HR Abu Daud, Hakim, Tarmizi dan Baihaqi)

Zina membawa kepada kemiskinan. Terdapat banyak kesan negatif yang akan timbul dari perbuatan zina antaranya ialah ia menyebabkan kemiskinan dan kesulitan dalam hidup. Ini kerana wang ringgit mereka habis dan hati mereka tidak tenteram. Di akhirat kelak, orang yang berzina tidak mendapat pandangan rahmat dari Allah SWT. Mereka yang berzina, pada waktu itu meminta belas kasihan tetapi Allah tidak menegurnya disebabkan kejahatan yang dilakukannya itu. Rasullulah SAW bersabda:“Tiga manusia yang tidak ditegur oleh Allah pada hari kiamat dan tidak dibebaskan dari dosa serta tidak dilihat, sedang bagi mereka seksa yang pedih:
- Orang tua yang berzina
- Pemerintah yang berbohong
- Orang miskin yang sombong (HR Thabrani dan Nasa’i)


ANCAMAN KEPADA MEREKA YANG MENZALIMI ANAK YATIM.
Anak yatim ialah anak yang ditinggal mati ayahnya sebelum ia mencapai umur baligh. Islam tidak membenarkan anak-anak yatim diperlakukan apa saja bentuk kezaliman yang boleh merugikannya. Harta mereka tidak boleh digunakan sewenangnya kerana ia termasuk “Sab’ul Mubiqat”, iaitu dosa-dosa besar yang merosakkan umat Islam. Rasulullah SAW bersabda:“Akan dibangkitkan pada hari kiamat kaum dari perkuburan mereka yang mulut-mulutnya berisi api menyala-nyala. ” Maka dikatakan: “Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?” Beliau bersabda: “Allah telah berfirman : “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu telah menelan api sepenuh-penuhnya di dalam perutnya. ” (HR Abu Ya’laa)

ANCAMAN TERHADAP YANG MENUDUH BERZINA, MEMAKI DAN MELAKNAT.

Menuduh berzina terhadap seorang perempuan yang muslim lagi suci tanpa disertai dengan “bayyinah” iaitu empat orang saksi adalah berdosa besar. Allah SWT berfirman dalam al-Quran:
“Dan orang-orang yang menuduh perempuan yang baik-baik(melakukan zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka(yang menuduh) sebanyak 80 kali, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka untuk selama-lamanya. Dan itulah orang-orang yang fasik. ” (an-Nuur: 4)
Menuduh zina boleh memecahbelahkan umat Islam. Rasulullah SAW bersabda:
“Jauhilah 7 perkara yang merosakkan. ” Beliau bersabda. .
- Menyekutukan Allah
- Main sihir
- Membunuh diri yang Allah haramkan kecuali dengan hak.
- Memakan harta anak yatim.
- Memakan riba.
- Melarikan diri dari perang jihad.
- Menuduh zina terhadap wanita yang baik-baik lagi beriman.
(HR Bukhari dan Muslim)

TANDA-TANDA KEDATANGAN HARI KIAMAT.
Sebagaimana disebutkan dalam beberapa hadis, bahawa tanda-tanda kedatangan hari kiamat itu ada sepuluh. Ia merupakan tanda-tanda yang besar menjelangnya hari kiamat. Antara tanda-tandanya ialah:
- Datangnya Dajjal
- Keluarnya asap
- Keluarnya Daabah
- Terbit matahari dari sebelah barat
- Turunnya Isa Ibnu Maryam
- Datangnya Yakjuj dan Makjuj
- Tenggelamnya matahari di barat dan tenggelamnya matahari di Jazirah Arab
- Keluarnya api dari Qoiran(hujung negeri Yaman) yang diambil manusia secara rombongan.

PENUTUP
Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Illahi kerana saya telah berjaya menyiapkan tugasan yang diberikan. Buku yang bertajuk “Peringatan dan Ancaman” ini telah ditulis Abu Shakir dan disunting oleh Ibnu Hussin. Buku ini sangat bermanfaat kepada kita semua kerana ianya menyenaraikan beberapa ancaman dari Allah SWT sekiranya melanggar perintahnya serta peringatan agar kita tidak melakukan kesilapan. Sesungguhnya Allah mengampunkan umatnya sekiranya mereka segera bertaubat dan kembali ke jalan yang diredhai olehNya.


RUJUKAN: Abu Shakir(1999): Peringatan dan Ancaman, Johor Bahru : Perniagaan Jahabersa.


------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com