Tajuk: Pengertian Islam (Bab 2: Pengertian Islam)

Bab 2: Pengertian Islam

2.1 Bahasa
Perkataan “Islam” adalah berasal dari kata dasar “aslama” “yuslimu” “islam”. Dari sudut bahasa “Islam” mempunyai beberapa makna:

Islam ertinya menyerah diri iaitu hanya berserah kepada kehendak Allah s.w.t. Oleh sebab itu hati seorang Muslim sentiasa berserah kepada Allah s.w.t. sama ada penyerahan diri dalam bentuk perintah suruhan ataupun laranganNya.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari ugama Allah? padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk Yang ada di langit dan di bumi, sama ada Dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadanya lah mereka dikembalikan.(Surah ali ‘Imran: 83).

Islam ertinya damai iaitu berdamai sesama manusia. Islam adalah agama yang menyeru kepada manusia hidup dalam keadaan aman damai saling hormat menghormati sesama insan.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka Engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya ia Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.(Surah al Anfal: 61).

Islam ertinya selamat iaitu mencapai keselamatan di dunia dan akhirat. Apabila seseorang itu melaksanakan perintah Allah s.w.t. maka mereka akan selamat.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: ….pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu….(Surah al Maidah: 3).

Islam juga membawa erti ikhlas iaitu mengikhlaskan diri kepada Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Dan tidak ada Yang lebih baik ugamanya daripada orang Yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan ia pula mengikut ugama Nabi Ibrahim Yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid); dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya.(Surah al : 125).

Di dalam al Quran Allah s.w.t. mengingatkan kembali berkenaan dengan pengakaun nabi-nabi terdahulu mengenai kepatuhan mereka keapda Allah s.w.t. seperti Nabi Nuh a.s. berkata:

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: "Oleh itu, jika kamu berpaling membelakangkan peringatanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku, kerana Aku tidak meminta sebarang balasan daripada kamu (mengenai ajaran ugama Allah Yang Aku sampaikan itu); balasanKu hanyalah dari Allah semata-mata (sama ada kamu beriman ataupun kamu ingkar); dan Aku pula diperintahkan supaya menjadi dari orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)".(Surah Yunus: 72).

Ketika Nabi Ibrahim a.s. menyerah dirinya keapada Allah s.w.t. sebagai mana firman Allah s.w.t.

Terjemahan: Tidak ada orang Yang membenci ugama Nabi Ibrahim selain dari orang Yang membodohkan dirinya sendiri, kerana Sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan Sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang Yang soleh Yang (tertinggi martabatnya). (ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: "Serahkanlah diri (kepadaKu Wahai Ibrahim)!" Nabi Ibrahim menjawab: "Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam".(Surah al Baqarah: 130-131).

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk ugama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk ugama Kristian, tetapi ia seorang Yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.(Surah ali ‘Imran: 67).

Nabi Yusuf a.s. menyerahkan dirinya kepada Allah s.w.t. sebagaimana firman Allah s.w.t.

Terjemahan: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan Yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) Dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku Dengan orang-orang Yang soleh".(Surah Yusuf: 101).

Begitulah juga dengan Nabi Musa a.s. yang menyeru kaumnya supaya penyerahan dirinya kepada Allah s.w.t. seperti firman Allah s.w.t.

Terjemahan: Dan Nabi Musa pula berkata (kepada kaumnya): "Wahai kaumku! kalau sungguh kamu beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika betul kamu orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)".(Surah Yunus: 84).

Seterusnya Nabi Isa a.s. mengajak kaumnya supaya sentiasa menjadi seorang muslim seperti firman Allah s.w.t.

Terjemahan: Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui Dengan yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah ia:" siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?". orang-orang "Hawariyyuun" (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: "Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (Wahai Nabi Allah) Sesungguhnya Kami ialah orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah).(Surah ali ‘Imran: 52).

Nabi Muhammad s.a.w sebagai penutu nabi-nabi dan rasul-rasul Allah s.w.t. telah berfirman:

Terjemahan: ….dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu…. (Surah al Maidah: 3).


2.2 Istilah.

Para ulama telah memberi pengertian “Islam” adalah seperti berikut:

1. Syahadah.
Iaitu pengakuan bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan pengakuan bahawa Muhammad adalah hambaNya dan rasulullah-Nya, menunaikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji ke Baitullah sekiranya mampu.

Definisi ini berdasarkan kepada jawapan Rasulullah s.a.w. apabila baginda ditanya oleh Jibril mengenai pengertian Islam.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Pada suatu hari, ketika Rasulullah s.a.w berada bersama kaum muslimin, datang seorang lelaki kemudian bertanya kepada baginda: Wahai Rasulullah! Apakah yang dimaksudkan dengan Iman? Lalu baginda bersabda: Kamu hendaklah percaya iaitu beriman kepada Allah, para Malaikat, semua Kitab yang diturunkan, hari pertemuan denganNya, para Rasul dan percaya kepada Hari Kebangkitan. Kemudian lelaki tersebut bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah makna Ihsan? Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau hendaklah beribadat kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya, sekiranya engkau tidak melihatNya, maka ketahuilah bahawa Dia sentiasa memerhatikanmu. Lelaki tersebut bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Bilakah Hari Kiamat akan berlaku? Rasulullah s.a.w bersabda: Sememangnya orang yang bertanyakannya lebih mengetahui dariku. Walau bagaimanapun aku akan ceritakan kepadamu mengenai tanda-tandanya. Apabila seseorang hamba melahirkan majikannya maka itu adalah sebahagian dari tandanya. Seterusnya apabila seorang miskin menjadi pemimpin masyarakat, itu juga sebahagian dari tandanya. Selain dari itu apabila masyarakat yang pada asalnya pengembala kambing mampu bersaing dalam menghiasi bangunan-bangunan mereka, maka itu juga dikira tanda akan berlakunya Kiamat. Hanya lima perkara itulah sahaja sebahagian dari tanda-tanda yang diketahui dan selain dari itu Allah sahaja Yang Maha Mengetahuinya. Kemudian Rasulullah s.a.w membaca Surah Luqman ayat 34 Yang bermaksud: Sesungguhnya Allah lebih mengetahui bilakah akan berlaku Hari Kiamat, di samping itu Dialah juga yang menurunkan hujan dan mengetahui apa yang ada di dalam rahim ibu yang mengandung. Tiada seorang pun yang mengetahui apakah yang akan diusahakannya pada keesokan hari iaitu samada baik atau jahat dan tiada seorang pun yang mengetahui di manakah dia akan menemui ajalnya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Amat Meliputi pengetahuanNya. Kemudian lelaki tersebut beredar dari situ. Rasulullah s.a.w terus bersabda kepada sahabatnya: Sila panggil orang itu kembali. Lalu para sahabat berkejar ke arah lelaki tersebut untuk memanggilnya kembali tetapi mereka dapati lelaki tersebut telah hilang. Lantas Rasulullah s.a.w bersabda: Lelaki tadi ialah Jibril a.s. Kedatangannya adalah untuk mengajar manusia tentang agama mereka (Hadith Muttafaq ‘Alaih).

Sabda Rasulullah ini juga membawa maksud bahawa Islam adalah mentauhidkan Allah, tunduk, patuh, dan ikhlas kepada Allah serta beriman dengan dasar-dasar yang telah ditetapkan olehNya.

2. Kepatuhan
Ketundukan, ketaatan dan penyerahan diri dengan penuh keikhlasan, dengan sukarela bukan secara terpaksa kepada Allah s.w.t. dalam seluruh aspek kehidupan. Merangkumi jasmani dan rohani, akal dan perasaan. Meliputi aspek aqidah, syariat dan akhlak.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari ugama Allah? padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk Yang ada di langit dan di bumi, sama ada Dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadanya lah mereka dikembalikan.(Surah ali ‘Imran: 83).

3. Arah Tujuan
Islam merupakan jawapan kepada tiga persoalan penting yang dihadapi oleh manusia, iaitu: Dari mana manusia datang, mengapa manusia datang dan ke mana kesudahan manusia?

Hanya Islam sahaja yang mampu menjawab persoalan-persoalan ini dengan memberi jawapan yang menepati fitrah akal manusia. Antara jawapan kepada persoalan "dari mana manusia datang" ialah firman Allah s.w.t.

Terjemahan: Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging Yang disempurnakan kejadiannya dan Yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara Yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan kami); dan Kami pula menetapkan Dalam kandungan rahim (ibu Yang mengandung itu) apa Yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa Yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu Yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula Yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu Yang telah diketahuiNya dahulu. dan (ingatlah satu Bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan Yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman Yang indah permai. (Surah al Hajj: 5).

4. Hidayah
Islam ialah ruh yang hakiki, cahaya petunjuk yang abadi dalam kehidupan, ubat yang paling mujarab bagi penyakit dan jalan lurus yang selamat bagi manusia yang melaluinya.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Dan Kami turunkan Dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat suci Yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang Yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang Yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.(Surah al Isra’: 82).

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Dan sesiapa Yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka Sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) Yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan Segala urusan.(Surah Luqman: 22).

5. Sistem hidup
Peraturan hidup (way of life) yang bersifat asas atau tunjang yang mengatur hidup dan kehidupan manusia dan menjadi dasar akhlak mulia serta disampaikan oleh nabi Muhammad s.a.w. untuk menjadi panduan seluruh umat manusia.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Dan Kami turunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) Dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab suci Yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu Dengan apa Yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah Engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa Yang telah datang kepadamu dari kebenaran. bagi tiap-tiap umat Yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). dan kalau Allah menghendaki nescaya ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu Dalam ugama Yang satu), tetapi ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa Yang telah disampaikan kepada kamu. oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka ia akan memberitahu kamu apa Yang kamu berselisihan padanya.(Surah al Maidah: 48).

2.3 Islam sebagai ad-Din.

Al Quran menjelaskan bahawa manusia merupakan makhluk Allah s.w.t. yang mulia dan sempuma serta indah kejadiannya.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia Dalam bentuk Yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai Dengan keadaannya). (Surah al Tin: 4).

Terjemahan: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu Dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang Yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih Dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa Yang kamu tidak mengetahuinya".(Surah al Baqarah: 30).

Al Quran juga menjelaskan hanya agama atau cara hidup Islam sahaja diterima oleh Allah s.w.t.

Terjemahan: Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) Yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan Yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki Yang ada Dalam kalangan mereka. dan (ingatlah), sesiapa Yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka Sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabNya.(Surah ali ‘Imran: 19).

Begitu juga dalam surah ali ‘Imran ayat 85:
Terjemahan: Dan sesiapa Yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang Yang rugi.(Surah ali ‘Imran: 85).

Terjemahan: Dia lah Yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) Dengan membawa petunjuk dan ugama Yang benar (ugama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikanNya atas Segala ugama Yang lain, Walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.(Surah al Taubah: 33).
Agama Islam membimbing umatnya dalam segenap aspek kehidupan untuk kebahagiaan mereka di dunia dan di akhirat. Islam bukan hanya upacara-upacara tertentu malah ia terlibat dalam semua aktiviti harian hingga tidak terkecuali sesuatu pun.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke Dalam ugama Islam (dengan mematuhi) Segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata.(Surah al Baqarah: 208).

Ayat di atas menjelaskan berkenaan Allah s.w.t. memerintahkan supaya umat Islam hendaklah tunduk dan patuh perintahNya dalam semua aspak kehidupan dan jangan sekali-kali menurut hawa nafsu dalam kehidupan serta membelakangkan perintah Allah s.w.t.

1. Zikrullah (mengingati Allah s.w.t.)
Seseorang muslim yang menjadikan Islam sebagai cara hidupnya akan sentiasa mengingati Allah s.w.t. dalam kehidupan hariannya.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada Dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan Yang Diwajibkan atas orang-orang Yang beriman, Yang tertentu waktunya.(Surah al Nisa’: 103).

2. Khalifah (kepimpinan)
Yang dimaksud dengan menjadikan manusia sebagai khalifah ialah menjadikan manusia berkuasa di bumi. Mereka diberi tugas dan tanggung jawab tertentu untuk mentadibir alam ini mengikut hukum dan perintah Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu Dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang Yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih Dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa Yang kamu tidak mengetahuinya".(Surah al Baqarah: 30).

Terjemahan: Dia lah Yang menjadikan kamu orang-orang Yang berkuasa (khalifah) di muka bumi silih berganti; oleh itu sesiapa Yang kufur ingkar maka balasan kufurnya itu akan menimpa dirinya sendiri; dan orang-orang Yang kafir, kufurnya tidak menambahkan mereka di sisi Tuhan mereka melainkan kemurkaan dan kehinaan; dan juga orang-orang Yang kafir itu, kufurnya tidak menambahkan mereka melainkan kerugian jua.(Surah Fatir : 39).

3. Zikrul maut (mengingati kematian)
Seorang muslim yang menjadikan Islam sebagai cara hidup sentiasa memikirkan tentang kehidupannya setelah kematian. Mereka berusaha memperbanyakkan bekalan untuk hari akhirat dengan berbakti kepada Allah s.w.t.

Terjemahan: Sesiapa Yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka Sesungguhnya Kami akan menghidupkan Dia Dengan kehidupan Yang baik; dan Sesungguhnya Kami akan membalas mereka, Dengan memberikan pahala Yang lebih dari apa Yang mereka telah kerjakan.(Surah al Nahl: 97).

4. Syukur
Seorang muslim yang benar-benar menjadikan Islam sebagai cara hidup ialah mereka sentiasa bersyukur atas nikmat yang telah diberikan oleh Allah s.w.t. kepada mereka.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Dan Sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): bersyukurlah kepada Allah (akan Segala nikmatNya kepadaMu)". dan sesiapa Yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa Yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana Sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.(Surah Luqman: 12).

Allah s.w.t. memerintahkan kepada manusia supaya sentiasa bersyukur atas segala pemberianNya.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkanNya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.(Surah al Nahl: 18).

5. Berdisiplin
Islam mengajar umat Islam sentiasa berdisiplin. Allah s.w.t. telah menetapkan hukum atau peraturan yang wajib diikuti. Mereka yang menjadikan Islam sebagai cara hidup akan sentisa mengikut peraturan itu menjadikan mereka seorang yang berdisiplin.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Kesudahannya Kami jadikan Engkau (Wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka Turutlah syariat itu, dan janganlah Engkau menurut hawa nafsu orang-orang Yang tidak mengetahui (perkara Yang benar).(Surah al Jathiah: 18).

6. Akhlak (budipekerti)
Seorang muslim yang soleh ialah sentiasa menjaga akhlak dan tingkah laku mereka. Akhlak yang dimaksudkan ini adalah akhlak nabi s.a.w. kerana Allah s.w.t. telah menjamin Rasulullah s.a.w. mempunyai akhlak yang cukup agong.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Dan Bahawa Sesungguhnya Engkau mempunyai akhlak Yang amat mulia.(Surah al Qalam: 4).
Firman Allah s.w.t.

Terjemahan: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)(Surah al Ahzab: 21).

7. Taqwa (takut dan cintakan Allah)
Islam mengajar penganutnya agar sentiasa bertakwa kepada Allah s.w.t. dalam segala hal dan keadaan. Mereka yang bertakwa akan terlepas dari pengaruh syaitan. Orang yang bertakwa sentiasa melakukan amar makruf dan nahi munkar dan sentiasa menegakkan hukum Allah s.w.t. dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Wahai Nabi! tetaplah bertaqwa kepada Allah, dan janganlah Engkau patuhi kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (Surah al Ahzab: 1).

8. Keadilah
Islah mengatur kehidupan umatnya supaya sentiasa berlaku adil dalam segala hal. Islam melarang sama sekali melakukan kezaliman sesama insan.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Wahai orang-orang Yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang Yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui Dengan mendalam akan apa Yang kamu lakukan.(Surah al Maidah: 8).

9. Wasatiah (kesederhanaan)
Islam mengajar umatnya supaya sentiasa bersederhana dalam kehidupan dari semua aspek kehidupan seperti dalam pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan dan sebagainya.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu Yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat Ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang Yang melampaui batas.(Surah al A’raf: 31).

Demikianlah Allah s.w.t. ingin menghancurkan sesebuah negara diberikan kemewahan yang berlebih-lebihan kemudian penduduknya hidup bermewah-mewah dan melakukan maksiat makan Allah s.w.t. akan menurunkan kebinasaan.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang Yang melampau Dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.(Surah al Isra’: 16).

10. Bertanggung jawab
Islam mendidik umatnya sentiasa memikul tanggung jawab terhadap diri, keluarga dan seterusnya masyarakat.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan.(Surah al Tahrim: 6).

11. Berilmu pengetahuan
Islam mengajak umat Islam supaya menyintai ilmu pengetahuan. Mereka diwajibkan mempelajari ilmu pengetahuan agama. Tiada ada jalan lain yang boleh menyelamatkan mereka di dunia dan akhirat melainkan dengan adanya ilmu pegetahuan yang mencukupi. Dengan ilmu itu mereka dapat meningkatkan keimanan dan amalan mereka.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: ….Allah meninggikan darjat orang-orang Yang beriman di antara kamu, dan orang-orang Yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa Yang kamu lakukan.(Surah al Mujaadilah: 11).

Firman Allah s.w.t.

Terjemahan: Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya Dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) Dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang Yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga Yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.(Surah ali ‘Imran: 18).

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Dan misal-misal Perbandingan Yang demikian itu Kami kemukakan kepada umat manusia, dan hanya orang-orang Yang berilmu Yang dapat memahaminya.(Surah al Ankabut: 43).

12. Doa
Islam mengajar umatnya supaya sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t. dalam segala hal dan keadaan. Mereka yang menjadikan Islam sebagai cara hidup sentiasa berdaoa. Berdoa ketika bangun dari tidur. Berdoa ketika makan dan minum. Berdoa ketika memulakan perjalanan seperti firman Allah s.w.t.

Terjemahan: …. Maha suci Tuhan Yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang Kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya -(Surah al Zukhruf: 13).

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.(Surah al Mu’min: 60).

Yang dimaksud dengan menyembah-Ku di sini ialah berdoa kepada-Ku. Orang-orang yang tidak mahu berdoa kepada Allah s.w.t. dianggap sebagai sombong kepada Allah s.w.t. Oleh itu orang yang beriman akan sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t. dalam segala hal. Hingga berdoa itu menjadi budaya atau cara hidup orang Muslim.

2.4 Penyelewengan ajaran Islam.

Islam merupakan agama lengkap dan sempurna namun syaitan berusaha bersungguh-sungguh supaya manusia keluar dari ajaran Islam dan menyesatkan mereka jauh dari kebenaran.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: "Bukankah Aku telah perintahkan kamu Wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh Yang nyata terhadap kamu!(Surah Yasin: 60).

Hasil dari bisikan syaitan ini maka lahirlah berbagai ideologi dan fahaman manusia yang semuanya menyesatkan mereka seperti fasik, zalim, kafir, murtad, zindiq dan sebagainya.

1. Kufur
Seseorang itu menjadi kufur apabila melakukan keingkaran kepada Allah s.w.t. dalam keadaan sedar. Jika mereka tidak menyedari tidaklah dianggap sebagai kufur. Orang-orang Yahudi yang sudah mengetahui kelahiran Rasulullah s.a.w. melalui kitab Taurat sengaja menafikan kerasulan nabi Muhammad s.a.w. itu maka itulah yang dinamakan kufur.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Dan ketika datang kepada mereka sebuah Kitab dari Allah (Al Quran), Yang mengesahkan apa Yang ada pada mereka (Kitab Taurat), sedang mereka sebelum itu sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan atas kaum kafir musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi pembawa Kitab itu). setelah datang kepada mereka apa Yang mereka sedia mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad dan Al Quran), mereka mengingkarinya; maka (dengan Yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang Yang kafir ingkar itu.(Surah al Baqarah: 89).

Berkenaan ayat di atas ada diterangkan oleh sebuah kisah bahwa kaum Yahudi minta pertolongan untuk mengalahkan kaum Aus dan kaum Khazraj dengan memakai nama Rasulullah SAW sebelum beliau diutus menjadi Rasul. Akan tetapi setelah Allah mengutus Rasul dari bangsa Arab, mereka kufur kepadanya. Dan mereka ingkari apa yang mereka katakan tentang Nabi SAW. Maka berkatalah Muadz bin Jabal, Bisyrubnul Barra dan Dawud bin Salamah kepada mereka: "Wahai kaum Yahudi! Takutlah kamu kepada Allah dan masuk Islamlah kamu, karena kamu telah minta pertolongan kepada Allah memakai nama Muhammad untuk mengalahkan kami, di saat kami termasuk kaum Musyrikin. Kamu memberi kabar kepada kami bahwa sesungguhnya ia (Muhammad) akan diutus dan kamu mengemukakan sifat-sifat Muhammad dengan sifat-sifat yang ada padanya itu." Maka berkatalah Salam bin Masykam salah seorang dari bani Nadlir: "Dia tidak memenuhi sifat-sifat yang kami kenal, dan dia bukan yang kami terangkan kepadamu." Maka Allah menurunkan ayat ini (S. 2: 89) berkenaan dengan peristiwa di atas.
(Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Sa'id atau 'Ikrimah yang bersumber dari Ibnu Abbas.)

2. Riddah
Riddah ertinya kembali kepada agama asal. Mereka yang kembali kepada agama asal atau keluar dari agama Islam maka dianggap murtad kecuali mereka yang dipaksa.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Sesiapa Yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang Yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram Dengan iman; akan tetapi sesiapa Yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab Yang besar.(Surah al Nahl: 106).

Firman Allah s.w.t.

Terjemahan: Wahai orang-orang Yang beriman! sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum Yang ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang Yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang Dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang Yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah Yang diberikanNya kepada sesiapa Yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi meliputi pengetahuanNya.(Surah al Maidah: 54).

3. Syirik
Syirik ialah menduakan Allah s.w.t. Menyengutukan Allah s.w.t. dari sudut zatNya, sifatNya, af’alNya atau asma’Nya.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Dan katakanlah: "Segala puji tertentu bagi Allah Yang tiada mempunyai anak, dan tiada baginya sekutu Dalam urusan kerajaanNya, dan tiada baginya Penolong disebabkan sesuatu kelemahanNya; dan hendaklah Engkau membesarkan serta memuliakanNya Dengan bersungguh-sungguh!"(Surah al Isra’: 111).

Firman Allah s.w.t.

Terjemahan: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang Yang mempersekutukanNya Dengan sesuatu (Apa jua), dan akan mengampunkan Yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa Yang mempersekutukan Allah Dengan sesuatu (Apa jua), maka Sesungguhnya ia telah sesat Dengan kesesatan Yang amat jauh.(Surah al Nisa’: 116).

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah Engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman Yang besar".(Surah Luqman: 13).

4. Ilhad
Ilhad ertinya tidak mengaku kebenaran agama Islam, meninggalkan suruhannya dan cenderung kepada zalim dan syak terhadap Allah s.w.t. Mulhid pula ertinya orang yang tidak mengaku serta mengumpat agama Islam serta meninggalkan segala suruhan dan cenderung kepada zalim dan syak kepada Allah s.w.t. (Marbawi, 1996).

Di dalam al Quran kita akan mendapat mengenai mulhidin ini sama ertinya dengan mudhillin.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Aku tidak memanggil mereka menyaksi atau membantuKu menciptakan langit dan bumi, dan tidak juga meminta bantuan setengahnya untuk menciptakan setengahnya Yang lain; dan tidak sepatutnya Aku mengambil makhluk-makhluk Yang menyesatkan itu sebagai pembantu.(Surah al Kahfi: 51).

Apabila manusia menjadi mulhid atau sesat maka lahirlah berbagai-bagai fahaman seprti sekular, nasional, kapitalis, komunis, sosialis, materialis, hidonis dan zionis yang bercanggah dengan nilai-nilai yang terdapat di dalam al Quran dan al Hadith.

------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com