Tuesday, June 24, 2008

Bab 5: Keistimewaan Ajaran Islam


Islam adalah sebuah agama yang bersifat rabbani iaitu ketuhanan. Setiap umat Islam dituntut supaya mengerjakan sesuatu adalah kerana Allah s.w.t. dan meninggalkan sesuatu kerana Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.(Surah al An’am: 162).

Dalam setiap detik setiap saat umat Islam diwajibkan sentiasa mengingati Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada Dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan Yang Diwajibkan atas orang-orang Yang beriman, Yang tertentu waktunya.(Surah al Nisa’: 103).

Mereka yang enggan menjadikan kehidupan mereka sesuai dengan kehendak Allah s.w.t. maka sudah tentu mereka akan menjadi musuh Allah s.w.t. di dunia dan akhirat.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Dan sesiapa Yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang Yang rugi.(Surah ali ‘Imran: 85).

Islam merupakan agama yang syumul iaitu merangkumi semua bidang kehidupan hingga tidak ketinggalan sesuatu pun semua bidang ada dalam ajaran Islam. Islam memperkenalkan sistem akidah, sistem ibadah, sistem akhlak, sistem ekonomi, sistem politik, sistem kekeluargaan dan sebagainya.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: …. tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di Dalam Kitab Al-Quran ini…..(Surah al An’am: 38).

Al Qur’an mengandungi semua bidang kehidupan yang diperlukan oleh manusia untuk kehidupan dunia dan akhirat. Apabila manusia mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain maka tempanglah kehidupan manusia itu sendiri. Itulah sebabnya Allah s.w.t. menggesa manusia supaya mengamalkan Islam itu secara menyeluruh seperti firman Allah s.w.t.

Terjemahan: Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke Dalam ugama Islam (dengan mematuhi) Segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata.(Surah al Baqarah: 208).

Umat Islam akan mendapat nikmat Islam apabila mereka mengamalkan semua yang terkandung dalam ajaran Islam tanpa pilihan. Ini kerana Allah s.w.t. telah menjamin kesempurnaan dan lengkapnya ajaran Islam itu seperti dalam firmanNya:

Terjemahan: ….pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu….(Surah al Maidah: 3).

Islam merupakan sebuah agama yang sepadu. Ia tidak terpisah-pisah seperti agama-agama lain. Islam tidak memisahkan antara solat dan politik. Seorang pemimpin dalam solat adalah layak menjadi pemimpin negara. Jika mereka tidak layak menjadi imam dalam solat maka menurut Islam mereka juga tidak layak menjadi pemimpin negara. Inilah yang disebut sepadu.

Islam tidak membezakan antara solat dan zakat. Setiap umat Islam wajib mendirikan solat mereka juga wajib mengeluarkan zakat. Mereka wajib mencari kehidupan. Mereka dilarang mencuri. Mereka dilarang berzina. Mereka dilarang membunuh tanpa sebab. Semua ajaran Islam saling kait mengait antara satu sama lain hingga memperlihatkan kesepaduan itu.

Islam mengajar umat Islam menolak sekularisma kerana sekularisma telah memisahkan antara tuntutan hidup agama dan dunia, memisahkan tuntutan Allah s.w.t. dengan tuntutan kebendaan duniawi, memisahkan diri dari mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dengan mengabdikan diri sesama manusia. Pada hal dalam Islam menuntut manusia mencarai keredhaan Allah s.w.t. dunia dan akhirat.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Dan di antara mereka pula ada Yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah Kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah Kami dari azab neraka".(Surah al Baqarah: 201).

Islam adalah agama yang seimbang. Seimbang antara ilmu dan amal. Seimbang antara individu dan masyarakat. Seimbang antara akal dan nafsu. Seimbang antara kepentingan duniawi dan ukhrawi. Seimbang antara aspek lahiriah dan batiniah. Seimbang antara roh dan jasad. Seimbang antara insan dan haiwan. Keseimbangan ini membolehkan manusia menjadi khalifah di muka bumi ini.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Dan Demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan Yang lurus), Kami jadikan kamu (Wahai umat Muhammad) satu umat Yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang Yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang Yang benar dan Yang salah) …..(Surah al Baqarah: 143).
Islam adalah sebuah agama yang praktikal. Ia bukan hanya agama yang bersifat teori semata-mata tetapi boleh diamalkan dengan semuprna dalam semua masa, tempat dan keadaan.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: maka hadapkanlah dirimu ke arah ugama Yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, Iaitu ugama Yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama Yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.(Surah al Rum: 30).

Sesetengah kalangan masyarakat Islam yang kurang memahami ajaran Islam masih beranggapan bahawa ajaran Islam ini hanya dapat diamalkan di zaman lampau sahaja sedangan pada masa kini tidak dapat diamalkan lagi. Kenyataan ini adalah tidak ada kebenarannya sama sekali. Kini kita dapat saksikan begitu banyak terjadi ketempangan dalam rumah tangga muslim adalah kerena mereka tidak menghayati kehidupan berumah tangga secara Islam.

Antara lain Islam telah menetapkan hukum hudud sejak dari dahulu lagi hingga sekarang dan akan datang. Selagi manusia tidak mengamalkan hukum hidud dalam masyarakat maka masalah jenayah tidak mungkin dapat diselesaikan. Bilangan penjenayah semakin hari semakin meningkat kerajaan berbelanja berbillion ringgit untuk memberi makanan percuma kepada mereka. Setelah mereka keluar dari penjara perkara sama akan dilakukan. Selagi tidak kembali kepada ajaran Islam yang sebenar maka selagi itulah masalah jenayah tidak dapat diselesaikan.

Seterusnya selagi manusia tidak kembali kepada sistem ekonomi Islam yang mengharamkan riba, rasuah, judi dan sebagainya maka selagi itulah ekonomi umat Islam tidak akan terjamin.

Menyentuh pula dalam persoalan politik. Selagi mana umat Islam tidak berpegang kepada prinsip politik Islam maka selagi itulah akan berlaku ketempangan dalam pentadbiran politik Umat Islam.

Islam juga telah menetapkan sistem pendidikan yang berteraskan kepada pendidikan al Quran maka jika umat Islam ingin kebahagian dan kenikmatan pendidikan Islam mereka wajib kembali kepada pendidikan Islam bukan pendidikan Barat. Pendidikan Barat akan menambah rumitkan lagi umat Islam dalam penerokaan bidang ilmu pengetahuan. Pendidikan psikologi Barat tidak sama dengan pendidikan psikologi Islam. Pendidikan seks Islam tidak sama dengan pendidikan seks Barat. Pendidikan etika Islam tidak sama dengan pendidikan etika Barat. Ilmu-ilmu Islam tidak sama dengan ilmu-ilmu Barat.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: …. "Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang Yang mengetahui Dengan orang-orang Yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang Yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang Yang berakal sempurna.(Surah al Zumar: 9).

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: … Allah meninggikan darjat orang-orang Yang beriman di antara kamu, dan orang-orang Yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa Yang kamu lakukan.(Surah al Mujadillah: 11).

Dengan ilmu dan iman sahaja seseorang itu dilebihkan derjat mereka berbanding dengan orang lain.


Islam adalah sebuah agama yang tinggi lagi maha agong. Tidak ada agama lain yang lebih baik dari agama Islam.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) Yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan Yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki Yang ada Dalam kalangan mereka. dan (ingatlah), sesiapa Yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka Sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabNya.(Surah ali ‘Imran: 19).

Islam dan umat Islam telah diberikan kedudukan yang lebih baik jika dibandingkan dengan umat-umat lain.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang fasik.(Surah ali ‘Imran: 110).

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan Yang banyak di dalamnya.(Surah al Nisa’: 82).

Alami dari sudut akidah
Dari sudut akidah manusia seluruh dunia akan mengakui bahawa yang mencipta alam ini adalah Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Dan Sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah Yang menciptakan langit dan bumi, dan Yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". maka Bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?(Surah al Ankabut: 61).

Semua manusia akan mengakui bahawa yang menciptakan alam ini adalah Allah s.w.t. Ini menunjukkan bahawa dari sudut akidah sudah menjadi fitrah dalam diri mereka mengakui ketuhanan rububiyah. Ini mereupakan suatu persediaan manusia boleh menerima Allah s.w.t. sebagai tuhan yang mencipta dan memelihara alam.

Alami dari sudut kerasulan
Islam adalah sebuah agama yang bersifat alamiah iaitu sesuai kepada semua masyarakat dunia ini. Islam disebarkan ke seluruh alam ini untuk diamalkan oleh semua manusia tidak mengira bangsa atau keturunan. Oleh sebab itu Islam diperintahkan untuk manusia seluruh alam.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.(Surah al Anbiya: 107).

Alami dari sudut sosial
Demikian juga ajaran Islam menggalakkan supaya manusia saling berkenalan dan berhubung mesra antara satu sama lain untuk mengembang luaskan lagi ajaran agama Islam. Ini menunjukkan kepada kita bahawa Islam adalah sebuah agama yang bersifat alamiyah.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).(Surah al Hujurat: 13).

Alami dari sudut hukum
Masyarakat dunia dapat menerima hukum Islam sebagai peraturan hidup tetapi oleh kerana kesombongan mereka sahaja yang menyebabkan mereka menolak sistem Islam.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia Dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga Yang dekat, dan jiran tetangga Yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir Yang terlantar, dan juga hamba Yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang Yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;(Surah al Nisa’: 36).



Kebebasan akidah
Islam adalah sebuah agama yang bebas. Kebebasan dalam akidah. Mereka boleh memilih agama yang mereka inginkan. Oleh kerana itu di dalam al Qur’an disebut tentang tidak ada paksaan dalam beragama.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Tidak ada paksaan Dalam ugama (Islam), kerana Sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). oleh itu, sesiapa Yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka Sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) Yang teguh Yang tidak akan putus. dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.(Surah al Baqarah: 256).

Ayat berkenaan Allah s.w.t. telah menjelaskan tentang yang benar dan yang salah maka terpulanglah kepada manusia untuk menentukannya sama ada ingin beriman kepada Allah s.w.t. atau sebaliknya. Jika mereka memilih Allah s.w.t. maka mereka akan selamat. Jika mereka memilih taghut, mereka akan mendapat kerugian di dunia dan akhirat.

Bagi manusia yang mengongkong diri mereka dengan nafsu dan buta fikiran mereka akan memilih jalan yang salah.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Dan Sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia Yang mempunyai hati (Tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan Yang mempunyai mata (Tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan Yang mempunyai telinga (Tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang Yang lalai.(Surah al A’raf: 179).

Kebebasan peribadi
Islam mengajar manusia membebaskan diri mereka dari pengaruh nafsu kebinatangan. Mereka dibekalkan dengan ilmu pengetahuan yang bersumberkan kepada al Quran dan al Hadith. Minda orang Islam adalah bebas dari dipengaruhi kebendaan duniawi semata-mata tanpa memikirkan tentang kehidupan yang abadi di akhirat.

Mengikut hawa nafsu secara melulu itu bukanlah ertikan kebebasan yang sebenarnya kerena apabila kita melihat mereka yang hidup bebas terjebak dengan gejala dadah, zina, rompak dan sebagainya akhirnya mereka sendiri yang menerima padah.

Apa yang dimaksudkan dengan kebebasan diri itu ialah membebaskan diri dari kongkongan hawa nafsu kerana nafsu itu sendiri menyuruh kepada kejahatan.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: "Dan tiadalah Aku berani membersihkan diriku; Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang Yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."(Surah Yusuf: 53).

Kebebasan masyarakat
Islam memberi kebebasan dalam masyarakat. Masyarakat Islam sentiasa dibimbing oleh al Quran dan al Hadith supaya mereka saling kenal mengenali antara satu sama lain. Saling hormat menghormati antara satu sama lain. Hidup dalam masyarakat Islam adalah suatu kehidupan yang membahagiakan. Mereka hidup saling tolong menolong antara satu sama lain.
Rasulullah s.a.w. bersabda:

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Begitu juga sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya(Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim).

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan Segala malaikat, dan Segala kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang Yang terlantar Dalam perjalanan, dan kepada orang-orang Yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang Yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang Yang sabar Dalam masa kesempitan, dan Dalam masa kesakitan, dan juga Dalam masa bertempur Dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang Yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang Yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang Yang bertaqwa.(Surah al Baqarah: 177).

Ayat di atas menggesa kepada umat Islam supaya saling bantu membantu sesama umat Islam dengan memberi makanan kepada sesiapa sahaja yang semua ini akan menjadikan masyarakat harmoni. Dari sinilah wujudnya kebebasan dalam masyarakat kerana tidak ada unsur dendam, dengki, mementingkan diri sendiri dan sebagainya.

Kebebasan dalam pemerintahan
Islam menggalakkan umatnya bersifat adil dalam pemerintahan. Mereka yang menjalankan urusan pemerintahan akan sentiasa melakukan keadilan kepada rakyat semata-mata kerana menjalan perintah Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) Dengan membawa kebenaran, supaya Engkau menghukum di antara manusia menurut apa Yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah Engkau menjadi Pembela bagi orang-orang Yang khianat.(Surah al Nisa’: 105).

Ayat ini diturunkan berhubungan dengan pencurian yang dilakukan Thu'mah dan ia menyembunyikan barang curian itu di rumah seorang Yahudi. Thu'mah tidak mengakui perbuatannya itu malah menuduh bahwa yang mencuri barang itu orang Yahudi. Hal ini diajukan oleh kerabat-kerabat Thu'mah kepada Nabi s.a.w. dan mereka meminta agar Nabi membela Thu'mah dan menghukum orang-orang Yahudi, walaupun mereka tahu bahwa yang mencuri barang itu ialah Thu'mah, Nabi sendiri hampir-hampir membenarkan tuduhan Thu'mah dan kerabatnya itu terhadap orang Yahudi. Ini menunjukkan bahawa dalam pentadbiran negara pemerintah sentiasa menjalankan hukum dengan adil untuk menjamin kebebasan dalam pentadbiran.

Kebebasan dalam beragama
Islam tidak peranah memaksa dalam beragama. Mereka yang tidak muslim akan dilayan sebagai rakyat. Walaupun mereka kafir zimmi mereka akan tetapi hidup aman dan damai dalam negara Islam dengan syarat tidak membahayakan masyarakat Islam yang lain.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang Yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.(Surah al Mumtahanah: 8).


Islam adalah agama yang sederhana (wasatiah). Islam bukanlah agama pelampau seperti dakwaan sesetengah musuh Islam yang menganggap Islam adalah agama pengganas. Ajaran Islam tidak pernah mengajar umatnya berkelakuan ganas, bunuh diri, bom diri sendiri dan sebagainya. Islam sentiasa mencari jalan tengah. Harmoni. Bertimbang rasa. Kasih sayang sesama insan.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Dan Demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan Yang lurus), Kami jadikan kamu (Wahai umat Muhammad) satu umat Yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang Yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang Yang benar dan Yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang Yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat Yang Engkau mengadapnya dahulu itu (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah Yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula Yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan Sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang Yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).(Surah al Baqarah: 143).

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan Yang keji dan mungkar serta kezaliman. ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.(Surah al Nahl: 90).

5.9 Saintifik

Islam tidak menolak sains dan teknologi asalkan tidak bercanggan dengan ajaran al Quran dan al Hadith. Dalam sejarah pencapaian Tamadun Islam 1,400 tahun yang lalu kemajuan umat Islam banyak mengambil dari pencapaian umat-umat yang lalu. Melalui kajian yang dijalankan maka lahirlah sains teknologi Islam, matematik Islam, perubatan Islam, kimia Islam dan sebagainya.

Firman Allah s.w.t.
Terjemahan: Katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharam-kan perbuatan-perbuatan Yang keji, sama ada Yang nyata atau Yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh Dengan tidak ada alasan Yang benar; dan (diharamkanNya) kamu memper-sekutukan sesuatu Dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang Bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu Yang kamu tidak mengetahuinya.(Surah al A’raf: 33).

Terjemahan: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Siapakah Yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah Yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda Yang baik lagi halal dari rezeki Yang dikurniakanNya?" katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang Yang beriman (dan juga Yang tidak beriman) Dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang Yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang Yang (mahu) mengetahui.(Surah al A’raf: 32).

Ini menunjukkan bahawa Islam sentiasa memberi galakan kepada umat Islam supaya sentiasa memanfaatkan pemberian Allah s.w.t. di muka bumi ini dengan bersyukur terhadap pemberianNya. Sesungguhnya pemberian Allah s.w.t. di akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.







Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

P: 04-9882701
H: 013-4006206
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com

No comments: