Thursday, April 10, 2008

KONSEP DAKWAH

PENDAHULUAN

Dakwah merupakan istilah yang khusus dalam Islam. Ia merupakan satu kewajipan yang dipertanggungjawabkan ke atas setiap muslim yang mempunyai kemampuan, dalam sebarang bentuk dan dalam setiap kesempatan. Dakwah merupakan tugas para Rasul dan perintah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang merupakan juru dakwah pertama semenjak agama Islam diturunkan. Banyak perintah Allah yang ditujukan kepada Rasulullah supaya melaksanakan tugas tersebut secara berkesinambungan, seperti Firman Allah yang bermaksud:
وَادْعُ إِلَى رَبِّكَ إِنَّكَ لَعَلَى هُدًى مُسْتَقِيمٍ(67)
“Dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada ugama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus.”
(Surah Al-Haj:67)

Walaupun banyak ayat-ayat Al-Quran menyuruh Nabi Muhammad SAW supaya berdakwah tetapi ayat tersebut juga ditujukan untuk seluruh manusia muslim dan hanya dikecualikan bagi mereka yang dikecualikan oleh syara’. (Dr. Karim Zaidan, 1987:4).

Dakwah merupakan pelaksanaan terhadap perintah Allah iaitu menyeru manusia ke arah ajaran Islam yang meliputi persoalan teologi, syariah, akhlak dan institusi. Dakwah merupakan satu usaha untuk mengajar kebenaran kepada mereka yang lalai, membawa berita yang baik tentang balasan neraka di akhirat dan kesengsaraannya. Melaksanakan tugas dakwah merupakan puncak kebaikan dan kebahagiaan (Al-Faruqi, 1992:187) sepertimana Firman Allah yang bermaksud:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنْ الْمُسْلِمِينَ(33)
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!" (Surah Fussilat 41:33).

DEFINISI DAKWAH

a. Definisi Dakwah Dari Sudut Bahasa

Dakwah kepada Islam merupakan satu teknik untuk menarik manusia kepada ajarannya sama ada secara teoritikal atau praktikal (Ahmad Ahmad Ghalus, t.t.:9). Perkataan “dakwah” berasal dari perkataan yang bererti mengajak, menyeru, menjemput, memanggil kepada sesuatu perkara (Khozyn Arief, 1984:3) sepertimana yang terdapat dalam firman Allah:
و لله يدعو إلى دار الإسلام
Ertinya : “Dan Allah menyeru kepada negara kesejahteraan”.

Manakala orang yang menyampaikan dakwah disebut sebagai الداعي atau الداعية iaitu “pendakwah” atau “pendukung dakwah” (Muhammad Ahmad Ar-Rashid, 2000:105).

Dari erti perkataan dakwah dari segi bahasa tersebut memperlihatkan bahawa dakwah merupakan satu perkara yang memerlukan satu usaha atau kesungguhan sama ada secara amali atau teori bagi mencapai objektif yang digariskan, justeru itu di dalamnya terdapat tuntutan jihad dan amal (Ahmad Ahmad Ghalus, t.t.:10).

b. Definisi Dakwah Dari Segi Istilah

Banyak definisi dakwah dari sudut istilah telah diberikan oleh para ulama’ Islam, antaranya:



Ibn. Taimiyyah:

“Dakwah kepada Allah ialah menyeru manusia agar beriman dengan Allah serta beriman dengan apa yang telah dibawa oleh para Rasul-Nya dengan membenarkan apa yang telah diberitakan oleh mereka dan taat kepada perintah mereka” (dipetik oleh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid, 2000:104).

Abul A’la Al-Maududi:

“Dakwah adalah panggilan Ilahi dan Rasul mengajak manusia memiliki nilai-nilai suci dan agong. Dakwah adalah menghidupkan manusia, iaitu menghidupkan pancaindera, daya pemerhatian, daya rasa, daya ciptanya, menghidupkan dhamir, hati nurani dan bashirah. Menghidupkan manusia yang seimbang dari segi ilmu, iman dan amal. Ibadah, ikhtiar dan doa”. (Al-Mawdudi, 1982:4).

Prof. Ismail Al-Faruqi:

Mengikut Prof. Ismail Al-Faruqi pula, dakwah baginya merupakan satu usaha untuk mengingati semula fitrah kejadian manusia yang muslim, dimana setiap manusia telah dibekalkan dengan fakulti yang membolehkannya menyedari kewujudan Allah dan kehendak-Nya. Dakwah juga merupakan satu usaha memberi hadiah yang paling berharga kepada orang lain, kerana ia berupa menyampaikan kebenaran kepada orang yang diseru dan menjemput orang supaya menggunakan kebenaran itu. Dakwah juga merupakan seruan kepada kebebasan, iaitu kebebasan dari semua tuhan-tuhan berhala dan kuasa zalim (Al-Faruqi, 1992:187).

Muhammad Al-Bahi:

Mengikut Muhammad Al-Bahi, dakwah ialah memindahkan umat dari satu keadaan kepada keadaan yang lain yang lebih baik. Justeru itu, dakwah adalah satu usaha mengubah keadaan yang negatif kepada keadaan yang positif (Khozyn Arief, 1984:4).

Dari definisi di atas dapat disimpulkan:

1. Dakwah ialah menyeru manusia taat dan beriman kepada Allah dan Rasul.
2. Dakwah ialah mengajak manusia mengamalkan nilai-nilai yang dibawa oleh Islam bagi “menghidup” dan “menyeimbangkan” manusia.
3. Dakwah adalah usaha mengingati fitrah manusia dan seruan kepada pembebasan manusia dari Ilah-ilah palsu dan kuasa tirani.
4. Dakwah ialah usaha-usaha pembaikan dan pembangunan masyarakat yang berkesinambungan.

KEWAJIPAN BERDAKWAH

Dakwah merupakan kewajipan yang dipertanggungjawabkan untuk umat Islam seluruhnya tanpa kecuali mengikut kemampuan dan keupayaan masing-masing, seperti Firman Allah yang bermaksud:
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمْ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمْ الْفَاسِقُونَ(110)
‘Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik. (Surah Ali-Imran : 110).

Ayat di atas menerangkan dua perkara; iaitu tentang kebaikan umat Islam (khaira ummatin) dan kebaikan umat Islam itui terletak kepada tugasnya menyuruh dan mengajak manusia berbuat kebaikan dan mencegah dari kemungkaran (Dr. Karim Zaidan, 1987:4). Menurut Imam Al-Qurtubi, Allah telah menjadikan amar makruf nahi mungkar sebagai garis pemisah di antara orang beriman dengan orang munafik. Ia merupakan ciri orang beriman yang paling istimewa yang membezakannya dengan golongan munafik (Muhammad Ahmad Ar-Rashid, 2000:108). Apabila umat Islam melalaikan tanggungjawab berdakwah maka Allah akan mengharamkan kedudukannya sebagai khaira ummatin (sebaik-baik umat), kerana Allah memberikan status umat mulia ke atas umat Islam kerana pelaksanaan terhadap tanggungjawab dakwah (Amin Ahsan Ishlahi, 1985:22).

Tanggungjawab berdakwah diletakkan ke atas setiap muslim sama ada lelaki atau perempuan, baligh, berakal, sama ada ulamak atau tidak, tetapi peranan ulamak lebih ditekankan dalam memperincikan ajaran agama kerana pengetahuan mereka yang luas. Ia boleh dilakukan sama ada secara perseorangan sepertimana Hadis Nabi yang bermaksud: “Maka hendaklah yang telah menyaksikan antara kamu menyampaikan ilmu kepada orang yang tidak hadir” (Hadis riwayat Bukhary dalam Kitab Sahih Bukhary), dan juga boleh dilakukan secara berorganisasi terutama apabila terdapat aspek-aspek kerja dakwah yang tidak dapat dilakukan secara individu (Dr. Karim Zaidan, 1987:6-8) sepertimana Firman Allah yang bermaksud :
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنْكَرِ وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْمُفْلِحُونَ(104)
“Hendaklah ada di antara kamu umat yang menyeru kepada kebaikan dan menyuruh membuat kebaikan dan mencegah dari kemungkaran, mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan” (Surah Ali-Imran:104).

Bagaimanapun terdapat pendapat yang menyatakan wajib ke atas setiap umat Islam berdakwah, tetapi ia menjadi fardhu kifayah iaitu tanggungjawab yang tertanggung kepada orang-orang tertentu yang mempunyai syarat-syarat keahlian dalam sesuatu bidang yang tertentu yang memerlukan syarat-syarat tersebut yang tidak ada pihak lain menyempurnakannya (Khozyn Arief, 1984:9-10, Muhammad Ahmad Ar-Rashid, 2000:114). Bagaimanapun hukum fardhu kifayah ini tidak bermaksud umat Islam yang lain harus berpeluk tubuh sekiranya kemungkaran terus berlaku dalam masyarakat. Fardhu Kifayah bermaksud sekiranya masyarakat tersebut sudah meninggalkan kemungkaran dan membuat kebaikan, tetapi jika sekiranya masyarakat masih lagi melakukan kemungkaran, maka setiap muslim wajib memikul tanggungjawab tersebut atau memberi sokongan kepada para pendakwah. Setiap orang wajib menambah kekuatan dan memberi sokongan kepada para pendakwah, meramaikan bilangan mereka sehingga mereka menjadi kuat, hebat dan mempunyai pengaruh yang cukup untuk mencegah kemaksiatan (Muhammad Ahmad Ar-Rasyid, 2000:114). Menurut Ibn Qayyim, orang-orang yang meninggalkan kewajipan berdakwah merupakan orang yang telah diperdaya oleh syaitan, kerana syaitan mengajar manusia supaya meninggalkan dakwah, tidak menjalankan tugas amar makruf dan nahi mungkar. (Ibid.,:120).

CIRI-CIRI PENDAKWAH

Pendakwah mempunyai kedudukan yang sangat penting sekali dalam agama. Allah berfirman bahawa dakwah itu adalah sebaik-baik perkataan:
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنْ الْمُسْلِمِينَ(33)
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!" (Surah Fussilat:33).

Pendakwah merupakan golongan yang mewarisi peranan para Nabi dan Rasul yang menyampaikan ajaran agama kepada setiap manusia dan menyeru manusia kepada Allah. Justeru itu mereka sudah semestinya lebih wajar dari orang lain dalam menghiasi diri mereka dengan akhlak Islam seperti mempunyai sifat benar, amanah, lemah-lembut, pemaaf, tawaduk, memudahkan, mulia dan pemurah. Disamping itu mereka harus menjauhkan diri dari sifat bohong, munafiq, pemarah, sombong, megah, bakhil dan kedekut (Abdullah Nasih Ulwan, 1988:6). Pendakwah yang beramal dengan akhlak Islami ini akan membawa pengaruh yang sangat besar dalam perubahan yang dikehendaki dan mendapat penghormatan yang tinggi dalam masyarakat. (Ibid.,:7).

Abul A’la Al-Mawdudi telah menggariskan sifat-sifat yang perlu ada kepada para pendakwah. Antaranya pendakwah harus mempertingkatkan kualiti dirinya sehingga ia betul-betul taat kepada Allah dan Rasul serta tunduk kepada apa yang dibawa oleh Rasul. Ia harus terlebih dahulu memerangi musuh dalam dirinya melalui jihad nafs sebelum berhadapan dengan musuh-musuh lain (Al-Mawdudi, 1982:36-37). Keduanya, seorang pendakwah harus berpegang teguh dengan prinsip yang dipegangnya dan matlamat perjuangan, mengajak orang yang diseru dengan cara yang lembut, tidak kasar atau bermusuhan, tidak menghina mereka, tidak menanamkan rasa kebencian tetapi tanamkan rasa kasih sayang, persaudaraan dan perikemanusiaan (Ibid.,:39-41). Menurut Fathi Yakan, Islam pada zaman ini mengkehendaki para pendakwah yang dapat mengemukakan idea-idea dan prinsip-prinsip Islam dengan baik dan menarik, mengemarkan sasaran dakwah kepada Islam, bukannya meliarkan mereka dan dapat mengemukakan Islam dengan jelas dan bukannya dengan cara yang sukar difahami. Justeru itu pendekatan para pendakwah mestilah dengan cara yang lembut, memberi nasihat dengan cara yang lunak lagi efektif bagi membuka pintu hati orang yang didakwah dan bukannya melalui cemuhan, kecaman atau kekerasan, sepertimana perintah Allah terhadap Nabi Musa dan Nabi Harun agar berdakwah kepada Firaun dengan cara yang lembut dan bersopan (Fathi Yakan, 1987:112-113).

Disamping sifat-sifat tertentu yang perlu ada kepada pendakwah, setiap pendakwah juga perlu mempunyai persiapan-persiapan dalam menjalankan tugasnya agar perjuangannya itu memperolehi kejayaan. Dr. Abdul Karim Zaidan telah menggariskan beberapa persiapan yang perlu ada, iaitu menguasai ilmu pengetahuan yang luas terutama dalam bidang agama, memahami kandungan Al-Quran, halal, haram, memahami hakikat dunia, tipu dayanya dan sebagainya. Pendakwah juga harus mempunyai keimanan yang kuat bagi menghadapi pelbagai cabaran dan halangan dalam berdakwah. Hasil dari keimanan yang kuat akan melahirkan golongan pendakwah yang mencintai Allah. Perasaan cinta kepada Allah akan melahirkan perasaan takut (khauf) dan dari perasaan takut akan lahir pengharapan (raja’) iaitu sifat dinamis yang tidak pernah putus asa dari rahmat Allah (lihat Dr. Karim Zaidan, 1987:32-58).

Al-Mawdudi pula menggariskan beberapa sifat persiapan pendakwah, antaranya ialah sifat sabar. Sifat ini perlu dipelajari melalui Al-Quran dan ucapan Nabi Muhammad SAW. Sifat sabar yang perlu ada kepada pendakwah antaranya ialah sifat teliti, tidak tergopoh-gapah dalam semua tindakan, mempunyai tekad yang kuat, tidak bersifat pesimis atau berputus asa, mempunyai pendirian yang teguh dan selalu memelihara keseimbangan antara akal dan emosi dimana akal akan tetap mengawal emosi bukan sebaliknya. Persiapan yang kedua ialah pendakwah mesti mempunyai sifat sedia memberi pertolongan dan bersedia berkorban masa, tenaga, fikiran dan harta. Persiapan yang ketiga ialah pendakwah harus mempunyai perasaan cinta kepada perjuangan dan memiliki semangat yang tinggi dalam mencapai tujuan dan keempat ialah pendakwah harus menyediakan diri untuk terus bekerja terus-menerus secara teratur dan berkesinambungan (Lihat Al-Mawdudi, 1982:47-54).

METODOLOGI DAKWAH

Pada dasarnya dakwah mestilah dilakukan tanpa kekerasan kerana Islam tidak membolehkan kekerasan atau paksaan dalam agama seperti firman Allah :
لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنْ الغَيِّ
“Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).”. (Al-Baqarah : 256).

Menurut Al-Mawdudi, paksaan akan melahirkan nifaq dan munafiq kerana dakwah adalah mengajak dengan kesedaran (Al-Mawdudi, 1982:5). Namun demikian terkadang diperlukan kekerasan untuk menjaga kemuliaan agama atau untuk memelihara masyarakat, negara dan sebagainya sepertimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW: “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika ia tidak sanggup ubahlah dengan lidahnya. Jika ia tidak sanggup maka ubahlah dengan hatinya dan ini adalah iman yang paling lemah”. (Hadis Sahih Muslim).

Dakwah yang hendak dilakukan hendaklah mengikut metodologi yang diikuti oleh para Nabi dan Rasul disamping menyesuaikannya dengan perubahan zaman dan persekitaran mengikut apa yang terbaik untuk zaman dan masyarakat tersebut. Dakwah boleh disampaikan secara lisan, tulisan atau memanfaatkan dari perkembangan teknologi maklumat yang wujud pada masa kini. Secara dasarnya Al-Quran telah memperjelaskan tiga cara dakwah yang efektif seperti firman Allah yang bermaksud:
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik” (Surah An-Nahl:125).

Ahli tafsir telah menghuraikan maksud tiga cara tersebut (lihat Khozyn Arief, 1984:18-19).

1. Hikmah
Iaitu ketenangan yang jitu dan tepat yang dapat menyakinkan dan menghilangkan karaguan dengan memasukkan roh tauhid dengan akidah iman, dalil-dalil dan keterangan-keterangan yang jelas hingga menyakinkan akal. Termasuk dalam hikmah ialah dengan menggunakan susunan kata-kata yang biasa dan senang diterima akal dan bukannya menggunakan kata-kata

2. Nasihat yang baik (Mau’izah Hasanah)
Iaitu huraian-huraian yang memberi petunjuk dan nasihat yang dapat menyedarkan dan membuka pintu hati untuk mentaati semua petunjuk Islam. Huraian-huraian itu dilakukan dengan jelas tanpa menyakitkan hati orang lain. Metod ini ditunjukkan kepada orang-orang yang menerima dan sudah komited dengan prinsip dan fikrah Islam. Mereka tidak memerlukan kecuali nasihat untuk mengingatkan, memperlembutkan hati dan menjernihkan segala kekeruhan yang wujud (al-Qaradhawi, 1995:238)


3. Berdialog dengan cara yang baik

Iaitu memberi hujah atau bukti-bukti yang dapat menolak sanggahan dan pendapat lawan. Menurut Amin Ahsan Islahi, metod mujadalah hasanah memberi penjelasan kepada pihak lawan dengan menggunakan prinsip-prinsip dan kesimpulan logik agar mereka dapat merenungkannya, menerima kebenaran dan tidak menentang seruan dakwah lagi. Pendekatan tersebut harus dilakukan dengan cara yang penuh kasih sayang, lemah lembut, mengemukakan hujah-hujah dengan baik, sehingga keihklasan, kelembutan dan kejujuran pendakwah membuatkan penentang dakwah merenungkan idea-ideanya seterusnya menerima pandangan tersebut (Amin Ahsan Ishlahi, 1985:73-75). Antara cara dialog atau berbahas dengan cara yang baik ialah menekankan pada titik-titik pertemuan dan faktor-faktor persepakatan antara pendakwah dengan penganut agama lain (al Qaradhawi, 1995:239)

Pendakwah sewajarnya memahami bahawa seruan terhadap Islam merupakan ajakan untuk berfikir, berdebat, berhujah, dan menilai sesuatu perkara. Ini disebabkan hak untuk berfikir merupakan milik semua orang dan tidak ada manusia yang boleh menghalang hak tersebut. Sekiranya dakwah Islam tidak mengira asas tersebut, maka dakwah dengan sendirinya akan rosak (al-Faruqi, 1992:188). Dakwah tidak boleh dilakukan melalui dasar luahan emosi dan psychopathic induction, iaitu pengaburan kesedaran manusia melalui alat mistik atau kimia yang membawa ketidakbebasan memilih secara sedar (al Faruqi, 1982:35). Ini disebabkan dakwah berusaha untuk mencari persetujuan yang ikhlas mengenai apa yang didakwahkannya. Dakwah bukan kerja silap mata atau tarikan terhadap emosi sehingga tindakbalasnya bersifat perasaan dan bukannya penilaian. Dakwah adalah satu proses kritis daya fikir, ia tidak bersifat dogmatik, seruannya sentiasa terbuka kepada bukti-bukti dan alternatif yang baru. Oleh itu, pendakwah-pendakwah Islam bukannya wakil kepada sistem autotarian atau kuku besi tetapi mengajak manusia berfikir secara bersama dalam usaha untuk memahami dan menghargai wahyu Tuhan (al Faruqi, 1992:189)

Disamping metodologi di atas, dakwah yang berkesan adalah dakwah yang disertai dengan budi pekerti yang tinggi. Berapa banyak pendakwah yang bijak menyeru kepada kebenaran dan kemuliaan, tetapi orang tidak menghiraukannya, kerana orang tersebut tidak memenuhi tuntutan sifat-sifat terpuji. Setiap orang yang ingin membaiki kerosakan orang lain, dia mestilah terlebih dahulu menjadi contoh ikutan kepada orang lain. Rasulullah s.a.w. menyeru manusia mula-mula sekali ialah dengan budi pekertinya sebelum menyeru mereka dengan kata-katanya. Budi pekerti baginda yang dipuji Allah, antara lain ialah bersikap lemah lembut, tidak marah, sabar, memaafkan orang yang bersifat kasar terhadapnya, tidak menghalakan kata-kata secara lansung kepada orang yang hendak ditegurnya selagi baginda merasa tujuan itu berhaasil dengan menggunakan kata-kata umum. (Wan Hussein Azmi, 1988:85-86)

TRIBULASI DAKWAH

Tribulasi atau cabaran dalam menyampaikan ajaran Islam merupakan satu fenomena biasa pendakwah baik dahulu mahupun kini. Ini disebabkan Islam merupakan satu seruan terhadap perubahan, iaitu perubahan terhadap segala bentuk jahiliyah, membanteras adat-adat jahiliyah, idea-idea dan sistem-sistemnya. Keadaan ini menyebabkan pendukung dakwah akan lebih banyak terdedah kepada tribulasi. Tribulasi adalah satu faktor perkadiran dan pengujian, iaitu untuk menguji sejauhmana kekuatan iman yang ada dalam setiap diri pendakwah. Tribulasi merupakan fenomena biasa yang telah ditempuhi oleh para Nabi dan Rasul dengan penuh kejayaan, seperti tribulasi yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad s.a.w. melalui perbagai tribulasi yang ditempuhi akan terserlah orang yang mampu dan layak memikul tanggungjawab tersebut dan terserlah juga orang yang tidak layak memikul amanah tersebut (Lihat Fathi Yakan, 1987:7-41). Antara tribulasi dakwah yang ditempuhi oleh para pendakwah ialah manusia yang berpaling dari dakwah Islam, persendaan atau ejekan, penyiksaan, kesusahan, kejayaan selepas kesusahan dan sebagainya (Lihat Mustafa Masyur, 1985:61-70)


PENGABAIAN KEWAJIPAN DAKWAH

Sudah dimaklumi bahawa tanggungjawab berdakwah merupakan kewajipan setiap umat Islam yang berkemampuan. Pelaksanaan terhadap kewajipan ini akan mempertingkatkan kedudukan dan pelaksanaan ajaran Islam dalam diri, masyarakat dan negara. Pengabaian dakwah akan membawa pelbagai implikasi antaranya berleluasanya kemungkaran dalam masyarakat, ajaran Islam hanya akan tinggal namanya sahaja tanpa dapat dilihat aplikasinya dalam masyarakat, kemunduran umat Islam, manusia semakin jauh dari hidayah Allah, Bala’ dan azab Allah akan ditimpakan kepada manusia yang semakin jauh dari hidayah Allah sebagaimana hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Abu Bakar ketika beliau berkhutbah di atas mimbar, katanya; “Wahai manusia, sesungguhnya kamu sedang membaca ayat ini tetapi kamu meletakkannya bukan pada tempatnya padahal aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : “Sesungguhnya manusia apabila melihat kemungkaran lalu mereka tidak merubahnya, hampirlah Allah meranapkan mereka semua dalam azab-Nya”. Kenyataan tersebut dikuatkan dengan peringatan Allah yang bermaksud: “Dan peliharalah dirimu dari siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja di antara kamu. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaan-Nya”. (Surah Al-Anfal:25). Ibn. Abbas berkata : “Allah memerintahkan kepada orang-orang yang beriman agar tidak menyetujui kemungkaran yang berlaku di tengah-tengah mereka. Apabila mereka mengakui kemungkaran tersebut, maka azab akan menimpa mereka semua, baik yang melakukannya maupun orang yang baik-baik (Abdul Karim Zaydan, 1987:21). Justeru itu, tugas pendakwah merupakan satu perbuatan yang amat dipuji oleh Allah dan mendapat pahala yang besar seperti yang disebutkan oleh Hadis Nabi yang bermaksud; “Barangsiapa menunjuki kapada kebaikan maka baginya pahala seperti pahala orang yang memperbuatnya”. Melalui pendakwah manusia akan terselamat dari kesesatan dan membimbing manusia ke jalan yang lurus dan diredai Allah.

KESIMPULAN
Dari perbincangan di atas dapat difahami bahawa dakwah merupakan satu kewajipan yang perlu dipikul oleh setiap muslim bagi menyeru manusia ke arah jalan kebenaran dan hidayat. Dakwah yang hendak dilakukan perlulah mengikut metodologi yang telah ditunjukkan oleh para Nabi dan Rasul, panduan Al-Quran dan Hadis Nabi agar dakwah yang dijalankan mencapai matlamatnya. Di samping itu dakwah tidak hanya terhad kepada seruan secara lisan tetapi juga harus menggunakan media yang luas dan terkini asalkan tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Golongan pendakwah yang menyeru manusia ke arah kebenaran haruslah terlebih dahulu mempraktikkan akhlaq Islam dan mempunyai sifat-sifat seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Pendakwah akan terus berhadapan dengan pelbagai tribulasi dalam usahanya untuk menyampaikan kebenaran kerana ia merupakan sunnah perjuangan.


JIHAD SEBAGAI TERAS KEKUATAN UMMAH

1. Pendahuluan
Bagi menjamin keutuhan Islam dilaksanakan sepenuhnya, Islam mensyariatkan amar makruf nahi mungkar. Bidang amar makruf nahi mungkar begitu luas dan kemuncaknya ialah bersungguh-sungguh hingga ke tahap mengorbankan jiwa demi menegakkan kebenaran Islam dan menghapuskan kebatilan. Itulah yang dikatakan jihad.

2. Maksud Jihad
Jihad diambil dari akar kata ‘jahada’ yang bererti keberatan dan kesusahan; ia bererti berjuang bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu matlamat. Ia adalah cara atau jalan untuk mengekalkan Islam, meneruskan Islam, menegakkan Islam dan meninggikan kalimatnya. (Md Akhir, 1986, 1).

Jihad diertikan juga sebagai perjuangan di jalan Allah dengan menggunakan anggota badan seperti fikiran dan tenaga jasmani. Ibn Rusyd (dalam Abu Urwah, 1990, 148) berpendapat bahawa jihad itu ialah perjuangan yang menyeluruh setiap umat Islam menggunakan segala kuasa yang ada pada mereka sama ada dalam bentuk daya pemikiran, amal, syarahan, semangat, keberanian, kesabaran ketika sukar dan juga harta benda demi untuk menegakkan agama Allah.

Jihad penting untuk mempertahankan akidah, syariat dan sistem hidup Islam agar ia terus terpelihara dan tidak dimusnahkan oleh orang lain. Dengan disyariatkan jihad, umat Islam akan sentiasa bersedia dan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan agama. Mereka sanggup berkorban apa sahaja hinggalah menggadaikan nyawa kerana dijanjikan syurga bagi mereka yang syahid. Firman Allah bermaksud;
وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا بَلْ أَحْيَاءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ(169)
“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;
(Surah Ali Imran:169).

Selain itu jihad difardukan kepada umat Islam bagi menjaga kepentingan agama dalam semua perkara. Islam meletakkan agama sebagai elemen utama yang perlu dijaga dan dipertahankan. Walaupun keperluan lain penting kepada manusia, tetapi agama berada di kemuncak hierarki keperluannya. Konsep ini berbeza dengan teori Maslow (1970) yang meletakkan keperluan fisiologi seperti makanan dan pakaian sebagai keperluan utama sedangkan kita percaya manusia sanggup bergadai nyawa demi mempertahankan agama, keturunan dan harta benda. Nyawa bukanlah perkara terpenting berbanding kepentingan agama dan maruah diri.

Tujuan utama jihad adalah untuk menjernihkan masyarakat daripada kacau bilau, kerosakan akidah dan keruntuhan akhlak, penyelewengan kuasa dan pencabulan keadilan dan yang lebih utama ialah menunaikan hak Islam yang sebenarnya dalam negara.

Rasulullah SAW menamakan jihad sebagai kemuncak binaan Islam ( سنام الإسلام ) kerana dialah tenaga yang menggerakkan dakwah bagi mencurahkan kebaikan kepada umat seluruhnya. Jihad adalah tenaga yang sentiasa memperbaharui kelangsungan dakwah dan memberi kesan besar di kalangan manusia. Pengukuhan dan peneguhan yang dijalankan melalui jihad akan menghalang dunia daripada dipimpin oleh orang yang derhaka kepada Allah, sebaliknya menyerahkan dunia ini kepada kepimpinan orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah (Abu Urwah, 149).

Kefarduan jihad bukanlah bererti Islam suka umatnya berperang, tetapi ia sebagai langkah utama untuk mempertahankan agama dari diselewengkan oleh musuh-musuh Islam. Jika tidak ada kefarduan jihad, maka sukarlah umat Islam untuk mempertahankan agama, jika hanya memadai dengan bermanis muka dan berbudi bahasa, sedangkan musuh bersedia dengan senjata dan kelengkapan teknologi yang serba mencabar. Jika musuh bersedia dengan kelengkapan senjata, maka umat Islam juga perlu bersedia dengan kelengkapan senjata dan begitulah seterusnya ke arah cara hidup Islam yang sebenarnya diiringi dengan azam untuk istiqamah dalam kebaikan. Firman Allah bermaksud;
إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِم
“Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.ْ
(Surah Ar-Ra’du:11).

2.2 Mengukuhkan hubungan dengan Allah.

Hubungan dengan Allah melalui perantaraan zikir, solat, doa dan ibadah lain dapat mengukuhkan benteng ketahanan diri daripada terpengaruh dengan hasutan syaitan. Malah kadangkala perlakuan maksiat terhindar dengan halangan yang mendatang tanpa disedari. Itulah pentingnya hubungan dengan Allah sentiasa dipertautkan. Firman Allah bermaksud;
إِنَّ الَّذِينَ اتَّقَوْا إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ مِنْ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُوا فَإِذَا هُمْ مُبْصِرُونَ(201)
“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar). (Surah Al-A’raf:201)

2.3 Memahami Petunjuk Agama Yang Sebenar
Ajaran Islam hendaklah difahami dan dihayati dengan sebenarnya. Mengenal yang halal dan haram serta perkara yang syubhat, mengetahui hikmah sesuatu hukum agar desakan syaitan tidak mudah menggugat keimanan seseorang. Firman Allah bermaksud:

Sungguh. Sehingga ia berasa bertuah menghayati Islam, sehingga dia berasa seronok dan syukur menunaikan ibadah dan kewajipan dalam hidupnya.

1.2 Jihad dalam beramal dan berpegang teguh dengan apa yang dipelajari.
Untuk mengamalkan ilmu agama bukanlah mudah. Berpegang teguh dengan amal yang benar adalah suatu jihad yang besar, kerana ilmu boleh dipelajari oleh semua orang sedangkan amal tidak semua yang dapat menyempurnakannya dengan baik. Tanpa jihad untuk mengekalkan ilmu dengan amal akan menjadikan seseorang itu tewas pada runtunan nafsunya. Firman Allah bermaksud;

فَخَلَفَ مِنْ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا(59)
إِلَّا مَنْ تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَأُوْلَئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلَا يُظْلَمُونَ شَيْئًا(60)
“Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka), Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun,” (Maryam:59-60)

1.3 Jihad menyebarkan ilmu dan petunjuk melalui dakwah.
Ilmu yang dihayati hendaklah disampaikan kepada orang lain agar kebaikan itu dikongsi bersama dalam masyarakat. Maka berdakwah adalah juga jihad bagi menyemarakkan syiar Islam terlaksana dalam masyarakat dan negara.

1.4 Jihad dalam menanggung segala kesulitan ketika berdakwah.
Oleh kerana realiti dakwah akan sentiasa berhadapan dengan dugaan dan halangan dari kehendak nafsu, hasutan syaitan dan godaan manusia, maka seorang mukmin hendaklah meneruskan jihadnya dengan bersedia menanggung segala

Serta memiliki sifat bijaksana untuk meyakinkan kebenaran Islam kepada mereka. Sekiranya umat Islam berkuasa menerajui pemerintahan negara, ketika itu golongan kafir boleh dikategorikan kepada dua keadaan sama ada zimmi (yang taat dan berlindung di bawah kerajaan Islam) ataupun harbi (yang menentang Islam dan negara). Bagi golongaan zimmi, mereka perlu disampaikan dakwah dan diberikan hak sebagai seorang warganegara yang sah, tanpa menzalimi kepercayaan dan kebebasan mereka. Sebaliknya jika mereka tergolong dalam erti harbi, hendaklah diperangi setelah usaha damai tidak diendahkan oleh mereka.

4. Berjihad menentang golongan munafik
Antara musuh Islam ialah golongan yang berpura-pura beriman kepada Allah tetapi sebaliknya mereka amat membenci agama Islam, mereka tidak suka sistem Islam dilaksanakan dalam pemerintahan dan negara, mereka amat tidak senang jika seorang muslim menghayati ajaran Islam walaupun mereka sendiri beragama Islam. Hakikat ini kerana diri mereka terkepung oleh sifat munafik yang telah dijelaskan oleh Allah yang bermaksud;
يَاأَيُّهَا النَّبِيُّ جَاهِدْ الْكُفَّارَ وَالْمُنَافِقِينَ وَاغْلُظْ عَلَيْهِمْ وَمَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ(73)
“Wahai Nabi, berjihadlah menentang orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan bertindak keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali”.
(Surah At-Taubah:73)

Bagi berjihad menentang golongan munafik, langkah utama ialah mengenali sifat-sifat munafik seperti yang telah dijelaskan oleh Al-Quran. Memberi nasihat dengan meminta mereka bertaubat dan sentiasa berhati-hati dengan tipu helah mereka. Dalam keadaan tetentu golongan munafik boleh diperangi jika sekiranya mereka mengancam keselamatan agama dan negara.

Saksikan itu. Kalau anda ingin menghasilkan macam manusia yang lain melalui pendidikan dan latihan (sekolah) yang lain, dari mana anda kan mendapat sumber daya yang anda perlukan? Malah, bila anda dapat menghasilkan sekelompok pelajar yang baik, di mana mereka akan memperoleh pekerjaan kerana semua sumber pekerjaan itu berada pada tangan pemerintah yang buruk. Anda saksikan di mana-mana kaum yang lemah tidak memperoleh keadilan. Rakyat dibebani hutang melebihi kemampuan mereka, hutang yang digunakan untuk membayar gaji yang besar kepada pegawai-pegawai kerajaan untuk membangunkan gedung-gedung yang megah, untuk membeli persenjataan. Perhatikanlah pemberi-penberi hutang, raja-raja mereka yang bergelar-gelar, pedagang agama, pemilik gedung dan industri, pedagang minuman keras, pemilik pusat perjudian, penerbit buku dan majalah porno dan ramai lagi orang yang sedemikian itu telah dan terus merosakkan hidup, harta-benda, kehormatan, moral dan segala ciptaan Tuhan yang lain dan tidak ada seorangpun yang mencegah perbuatan mereka. Mengapa ini semua bisa terjadi? Semata-mata kerana pemerintah yang rosak…”.

Ulama telah bersepakat (ijmak) dalam menetapkan syarat bagi pemerintah dalam negara Islam hendaklah seorang yang menjauhi dosa besar dan tidak melakukan dosa kecil secara terang-terangan. Hendaklah dia seorang yang terbaik di kalangan umat sehingga kuasanya tidak boleh dipertikaikan dengan sebab ada orang lain yang lebih daripadanya.

Ulama juga bersepakat bahawa orang Islam tidak boleh tunduk kepada pemerintah yang melakukan kekufuran dengan tindakannya menentang hukum-hakam Allah atau mengubah sebarang hukum syariat yang telah ditentukan dalam Al-Quran.

6. Peringkat-peringkat Jihad
Jihad terbahagi kepada tiga peringkat;


1. Jihad dengan lisan
Jihad lisan termasuklah dalam pengertian amar makruf dan nahi mungkar yang tentunya juga memerlukan kecekalan hati dan kemantapan iman. Is termasuklah dalam segala kegiatan dakwah seperti ceramah, bimbingan, pengajaran, didikan dan sebagainya.

2. Jihad dengan tangan
Jihad dengan tangan termasuklah menggunakan kekuatan fizikal bagi mempertahankan kebenaran Islam. Ia termasuklah jihad tulisan dan berperang untuk mempertahankan agama.

3. Jihad Qital (berperang).
Jihad qital adalah kemuncak jihad di jalan Allah iaitu berperang untuk mempertahankan agama dan negara dari diseleweng dan dimusnahkan oleh musuh-musuh Islam. Ganjaran bagi mereka yang gugur adalah syahid di jalan Allah.




Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

P: 04-9882701
H: 013-4006206
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com



No comments: